Rabu, 11 November 2009

TAZKIRAH ILMU

Peringatan pada adik-adik dan pelajar-pelajar Muslim semua...

DOSA - NIAT BELAJAR KERANA PERIKSA / KESENANGAN DUNIA

Kebanyakan pelajar Muslim hari ini tujuan mereka belajar tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meraih markah tinggi dalam peperiksaan, lantas memudahkan mereka merealisasikan cita-cita mereka untuk menjadi seorang peguam, penasihat ekonomi, pensyarah dan lain-lain pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan. Ibu-bapa, guru-guru, serta masyarakat merupakan pendorong terhadap tujuan tersebut. Antara nasihat yang sering kali didengari dari mereka: “Anak belajar betul-betul, nanti dah pandai boleh cari kerja bagus-bagus, hidup senang, tak lah hidup susah macam ayah ni.”

Sebenarnya niat belajar mesti ikhlas kerana Allah semata-mata, untuk mencari redha Allah swt,dan beramal dengan ilmu yang diperolehinya serta menyebarkan kepada masyarakat barulah dijanjikan syurga yang abadi.
Firman Allah:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لا تَفْعَلُون َ

Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu berkata tidak kamu laksanakan, besar kemurkaan disisi Allah terhadap orang yang berkata tetapi tidak melaksanakannya” ( Al-Saff 2-3)

Amatlah rugi mereka yang belajar kerana dunia, mereka bukan sahaja tidak mendapat pahala terhadap ibadah belajar yang mereka lakukan bahkan Nabi s.a.w menjanjikan meraka tidak akan mencium bau syurga.

Sabda Baginda:

من تعلم علماً مما يبتغى به وجه الله عز وجل، لا يتعلمه إلا ليصيب به عرضاً من الدنيا، لم يجد عرف الجنة يوم القيامة

Mafhumnya: “ Barangsiapa yang belajar sesuatu ilmu sepatutnya dia belajar kerana Allah, dia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapatkan ganjaran dunia, maka dia tidak akan dapat bau syurga pada hari kiamat ” ( Sohih Riwayat Abu Daud )

Golongan ini juga dijanjikan oleh nabi akan masuk ke dalam neraka.

Sabda Nabi:
من تعلم العلم ليباهي به العلماء، أو يماري به السفهاء، أو يصرف به وجوه الناس إليه، فهو في النار

Mafhumnya: “ Barangsiapa yang belajar sesuatu ilmu untuk menyaingi para ulama’ atau berdebat dengan orang yang bodoh atau suapaya manusia memandang kepadanya maka dia di dalam neraka ” ( Sohih Riwayat Tirmizi )

Sebagaimana sesuatu amalan akhirat tidak diterima sebagai amalan dunia kerana diniatkan kerana dunia, begitulah juga sesuatu amalan itu tidak diterima seandainya mensyirikkan Allah dengan menduakan niat sebahagian kerana Allah sebahagian lagi kerana dunia. Seandainya seseorang mempunyai dua niat tapi kedua-duanya kerana Allah, ulama’ kita membenarkannya sepertimana Az-Zarnuji di dalam kitab Ta’limu Ta’lim Toriqut Taa’lum membenarkan beberapa niat yang kesemuanya kerana Allah Ta’ala diantaranya: niat belajar untuk menghilangkan kejahilan, menghidupkan agama, mengekalkan islam dan lain-lain.

Oleh yang demikian marilah kita bersama-sama berusaha mengubah niat dan perbuatan kita agar kita semua belajar semata-mata kerana Allah. Tidak salah niat belajar kerana sijil, tapi sijil itu bukan bertujuan untuk mendapatkan pekerjaan yang bagus sebaliknya sebagai wasilah untuk menyebarkan dakwah di jalan Allah. Masyarakat pada zaman ini memandang sijil dan kelayakkan seseorang untuk menerima dan mempercayai kata-kata individu tersebut.

Sufyan At-Thauri berkata: “ Pada permulaan kami belajar bukan kerana Allah tapi akhirnya kami belajar kerana Allah”

Marilah kita sama-sama berdoa agar diri kita senantiasa ikhlas belajar keranaNya DAN BERMAL dengan segala ilmu yang kita pelajari seterusnya berjaya memperolehi redoNya.

Firman Allah:-


وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الْآَخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Maksudnya: “ Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan permainan dan senda gurauan. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa adakah kamu tidak memikirkannya?”. (Al-An’aam 32)

Wallahua’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan