Isnin, 16 November 2009

KISAH PENDUDUK AL-AHQAF

Hadis ini mengisahkan tentang keadaan Rasulullah SAW apabila menghadapi suasana hujan yang akan turun.

Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Harun ibn Ma'ruf telah menceritakan kepada kami, Abdullah ibn Wahb telah menceritakan kepada kami, Amru, iaitu Ibn al-Harith telah memberitahu kepada kami bahawa Abu al-Nadr telah menceritakan daripada Sulayman ibn Yasar daripada Aisyah r.a. yang berkata:

"Aku tidak pernah melihat Baginda SAW ketawa terbahak-bahak hingga kelihatan rahangnya, baginda cuma tersenyum (senyum ialah cara Rasulullah SAW ketawa)." Aisyah r.a. menambah lagi, "Air muka Rasulullah SAW berubah apabila hari mendung yang menandakan hujan akan turun." Pada suatu hari Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah! Aku lihat orang lain sangat gembira apabila hujan akan turun. Tetapi kekanda tidak begitu. Kekanda tidak sukakannya?" Rasululllah SAW menjawab, "Wahai Aisyah! Apa yang membimbangkan aku adalah takut-takut ia membawa azab. Azab ini telah menimpa kaum Nabi Nuh a.s. iaitu kaum 'Ad. Ketika kaum 'Ad ternampak azab (awan) ini mereka mengatakan, "Ini adalah awan yang akan membawa hujan kepada kita." (HR. Imam Ahmad)

Kisah kaum 'Ad ini terdapat dalam dua kisah. Hadis ini jelas menunjukkan adanya dua kisah berbeza. Kisah yang tersebut dalam Surah Al-Ahqaf ini berlaku kepada kaum 'Ad yang kedua iaitu kaun Nabi Hud.

Firman Allah SWT:-
"Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita! (Mendengarkan kata-kata yang demikian, Nabi Hud berkata) : Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah Al-Ahqaf:24)

Sebelum berlakunya kejadian itu, Nabi Hud a.s. telah memberi amaran dan ingatan kepada kaumnya menyuruh mereka menyembah Allah SWT dan kaumnya itu memperli Nabi Hud a.s. dengan mengatakan Nabi Hud sedang memesongkan mereka.

Firman Allah SWT:-
"Dan ingatlah peristiwa (Nabi Hud) saudara kaum 'Ad, ketika dia memberi amaran kepada kaumnya yang tinggal di lembah "Al-Ahqaaf", sedang (amarannya itu samalah seperti) amaran-amaran yang telah diberikan oleh rasul-rasul yang terdahulu daripadanya dan yang datang sesudahnya (dengan berkata): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari yang besar (huru-haranya).

Mereka menjawab: Adakah engkau datang kepada kami untuk memesongkan kami dari menyembah tuhan-tuhan kami? Maka bawalah azab seksa yang engkau janjikan kepada kami itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar!

Nabi Hud berkata: Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan azab itu) hanya ada di sisi Allah dan (tugasku hanya) menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan membawanya, tetapi aku lihat kamu satu kaum yang jahil (akan tugas Rasul)!"
(Surah Al-Ahqaf: 21-23)

Firman Allah SWT:-
"Dan juga pada (kisah) kaum 'Ad (terdapat perkara-perkara yang menjadi iktibar) , ketika kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang tidak mengandungi sebarang kebaikan;

Angin itu tidak meninggalkan sesuatupun yang dirempuhnya, melainkan menjadikannya (hancur) seperti debu."
(Surah al-Dhariyat:41-42)

Kaum 'Ad adalah sebuah kaum yang takbur dan bangga diri. Ini dapat dilihat daripada Firman Allah SWT dari Surah Fusilat ayat 15-16:-

"Adapun kaum 'Ad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar, serta berkata: Siapakah yang lebih kuat dari kami? Dan (mengapa mereka bersikap demikian?) Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka (dari tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatanNya dari mereka? Dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahuinya).

Lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang dalam beberapa hari yang nahas malang, kerana Kami hendak merasakan mereka azab seksa yang menghina dalam kehidupan dunia dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat lebih besar kehinaannya; sedang mereka tidak diberikan pertolongan (menghindarkan azab itu). "
(Surah Fusilat:15-16)

Setelah Nabi Hud berdakwah dan terus berdakwah namun begitu kaumnya terus mendustakannya dengan mengatakan Nabi Hud telah pun dikenakan penyakit gila kerana mencaci penyembahan mereka itu.

Firman Allah SWT:-
"Mereka berkata: Wahai Hud! Engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu! Dan kami tidak sekali-kali percaya kepadamu!

Kami hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu). Nabi Hud menjawab: Sesungguhnya aku menyeru Allah menjadi saksi tentang kebenaranku, dan kamu juga saksikanlah bahawa aku bersih dari dosa perbuatan syirik kamu. "
(Surah Hud: 53-54)

Walaupun Nabi Hud a.s. dicaci dan ditomah dengan pelbagai tohmahan namun Nabi Hud a.s. tetap menyampaikan dakwahnya dengan penuh nasihat dan diplomasi tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada kaumnya.

Firman Allah SWT:-
"Wahai kaumku! Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu. Upahku hanyalah dari Allah yang menciptakan daku; maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal (untuk mengetahui kebenaran)?" (Surah Hud:51)

Berikut adalah keterangan mengenai keadaan kaum 'Ad apabila mereka ditimpakan bencana daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT:-
"Adapun 'Ad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya.

Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.

Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)? "
(Surah al-Haqqah: 6-8)

Ibnu Muslim: Semoga tulisan/info ini dapat diambil iktibar dan pengajaran bersama insyaAllah.

Wallaua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan