Selasa, 3 November 2009

ISTERI MEMBANTU DUA IBU-BAPA; PERLUKAH IZIN SUAMI?

Soalan;

assalamualaikum ustaz, maafkan saya bertanya... apakah hukumnya sekiranya saya memberi duit (nafkah) kepada kedua ibu bapa saya tanpa memberitahu suami. saya berasal dari keluarga susah dan saya merupakan anak sulung. sebelum berkahwin saya banyak membantu keluarga saya. selepas berkahwin suami saya tidak bersetuju saya memberikan duit setiap bulan kepada ibu bapa. katanya kami anak beranak hanya cukup-cukup makan.. suami saya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan saya yang banyak menyara keluarga. seperti membayar sewa rumah, pengasuh anak, bil api air, kereta saya, kadang-kadang terpaksa bayarkan ansurans keretanya, duit suami untuk makan minum dan perkara kecil-kecil sahaja.saya tidak mempersoalkan tetapi saya berasa terkilan kerana dia tidak bersetuju saya mengirim duit kepada ibu bapa saya di kampung.(saya terpikir dia takut sekiranya sewa rumah atau apa2 bil tidak terbayar ).oleh yang demikian, saya membantu ibu bapa saya tanpa memberitahunya.apakah penyelesaiannya ustaz? terima kasih kerana membantu.

Jawapan;

1. Jika ibu-bapa puan miskin dan puan mampu menafkahi mereka dengan duit puan, wajib atas puan menafkahi mereka. Tidak harus puan mengikuti kehendak suami puan untuk tidak menafkahi ibu-bapa puan sedangkan mereka miskin dan amat mengharapkan bantuan puan. Yang terbaik ialah jika puan dapat berbincang dengan suami puan dan mencapai kata sepakat dengannya. Jika tidak dapat, lakukanlah tanpa pengetahuannya.

2. Adapun jika mereka (yakni ibu-bapa puan) orang berada dan puan ingin memberi duit kepada mereka atas dasar pemberian dari seorang anak untuk berbuat baik kepada ibu-bapanya dan menjaga silaturrahim (bukan kerana mereka miskin atau memerlukan), dalam hal ini para ulamak berbeza pandangan; adakah harus isteri bersedekah dari duitnya sendiri tanpa keizinan suaminya atau tanpa pengetahuannya?

a) Jumhur/kebanyakan ulamak (merangkumi mazhab Syafi’ie, Hanbali dan Hanafi) berpendapat; tidak wajib isteri mendapat keizinan suaminya terlebih dahulu untuk bersedekah dari duitnya, yakni diharuskan ia bersedekah dari duitnya sendiri tanpa wajib memohon keizinan suaminya terlebih dahulu atau tanpa memberitahunya. Mereka berdalilkan dalil-dalil berikut;

- Dalam Soheh al-Bukhari dan Muslim ada riwayat menceritakan; Isteri Nabi iaitu Maimunah binti al-Harith r.a. membebaskan seorang hamba perempuannya tanpa memberitahu Nabi s.a.w.. Apabila tiba giliran Nabi bersamanya, ia berkata kepada Nabi; “Tidakkah kamu perasan aku telah membebaskan hamba perempuanku?”. Nabi berkata; “Benarkah”. Maimunah menjawab; “Ya”. Nabi lalu berkata kepadanya; “Jika kamu menghadiahkan hamba itu kepada ibu-ibu saudara kamu nescaya pahalanya lebih besar lagi”.

Berdasarkan hadis ini, para ulamak memutuskan bahawa; harus isteri berderma atau berbuat kebajikan dari duitnya sendiri tanpa keizinan suaminya. Jika perkara tersebut diharamkan tentu Nabi akan melarang isterinya (Maimunah) dari membebaskan hamba tersebut tanpa pengetahuannya. Oleh kerana tiada larangan dari baginda, itu menunjukkan bahawa perbuatan Maimunah itu adalah harus di sisi Syarak.

- Di dalam hadis yang lain, Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Jabir r.a. yang menceritakan; “Pada hari raya Fitrah (‘Aidil-Fitri), Nabi s.a.w. memulakan dengan mengerjakan solat (yakni solat sunat hari raya), kemudian baginda menyampaikan khutbah. Setelah selesai khutbah, baginda turun dari mimbarnya dan menuju kepada kaum wanita dengan ditemani oleh Bilal. Baginda menyampaikan peringatan kepada kaum wanita dengan menggalakkan mereka supaya bersedekah. Bilal membentangkan kainnya dan kaum wanita meletakkan sedekah-sedekah mereka di atas kain tersebut. Dalam riwayat lain disebutkan; “Lalu mereka (yakni kaum wanita) memberi sedekah dengan barang-barang perhiasan mereka”.

Dalam hadis ini, kaum wanita bersedekah sebaik sahaja mendapat galakan dari Nabi. Mereka tidak memohon keizinan dari suami-suami masing-masing tersebih dahulu dan Nabi juga tidak memerintahkan mereka berbuat demikian. Ini menunjukkan bahawa diharuskan kaum wanita memberi sedekah dari harta mereka tanpa keizinan suami mereka.

b) Ada di kalangan ulamak berpendapat (antaranya Imam Malik dan al-Laith); tidak harus isteri memberi sedekah melainkan setelah mendapat izin suaminya walaupun sedekah itu dari hartanya sendiri. Mereka berdalilkan hadis Nabi s.a.w. yang menyebutkan;

لا يجوز لامرأةٍ عطيةٌ إلاَّ بإِذن زوجها

“Tidak harus bagi seorang wanita memberi hadiah/pemberian kecuali dengan izin suaminya” (Riwayat Imam Abu Daud dari Abdullah bin ‘Amru r.a.).

Namun jumhur ulamak menjelaskan; hadis tersebut khusus bagi wanita/isteri yang tidak cerdik (yakni tidak dapat menguruskan harta mengikut jalan yang baik) atau arahan hadis supaya meminta izin di atas adalah arahan sunat sahaja, bukan arahan wajib kerana dalam hadis-hadis sebelum ini baginda tidak melarang isteri-isteri bersedekah tanpa keizinan atau tanpa pengetahuan suami.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatawa Syeikh al-Munajjid (http://www.islam-qa.com/ar/ref/48952).
2. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 7, Kitab az-Zakah, bab Fadhl an-Nafaqah wa as-Sodaqah ‘Ala al-Aqrabiin…
3. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 6, Kitab Solat al-‘Idaiani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan