RINGKASAN HAJI
1. Pengertian Haji/Umrah Dan Bila Difardukan
Haji pada syarak mengunjungi Baitullahil Haram dalam bulan-bulan haji kerana mengerjakan tawaf, saie dan wuquf di Arafah dengan menurut syarat-syaratnya serta menunaikan segala wajib-wajibnya.
Pengertian Umrah
Umrah pada syarak menziarahi Baitullahil Haram kerana mengerjakan tawaf dan saie dengan menurut syarat-syaratnya serta menunaikan segala wajib-wajibnya.
Bila Difardukan
Difardukan pada tahun lima hijrah, tetapi mula dilaksanakan oleh para sahabat dalam tahun ke 9 Hijrah dan Rasulullah menunaikannya pada tahun ke 10 Hijrah yang dinamakan "Hajjatul Wada".
2. Dalil Wajib Haji Dan Umrah
Firman Allah bermaksud:"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu siapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadaNya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat sesuatupun dari sekian makhluk)" Surah Al-Imran Ayat
Firman Allah bermaksud: "Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah" Surah Al-Baqarah Ayat 96
Firman Allah bermaksud: "Dan serukanlah kepada umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang (ke rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan berbagai faedah kepada mereka serta mengingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu".
Maksud hadis dari Ibnu Umar R.A, Rasulullah S.A.W bersabda "Islam itu dibina di atas 5 perkara mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah"
Maksud hadis dari Saidina Ali R.A., Rasulullah S.A.W. bersabda "Sesiapa yang memiliki harta benda dan kenderaan untuk menyampaikan ke Baitullah tetapi tidak mengerjakan haji maka bila ia mati akan menjadi sebagai Yahudi atau Nasrani".
3. Hikmah Dan Kelebihan Haji
Mendapat Balasan Syurga
Maksud hadis dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda "Haji yang mabrur tidak ada balasan kecuali syurga"
Riwayat Bukhari dan Muslim
Diampunkan Dosa
Maksud hadis dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda "sesiapa yang menunaikan haji dan tidak melakukan kefasikan ataupun perbuatan yang fasik akan diampunkan dosanya seperti ia baru dilahirkan oleh ibunya".
Doa Dimakbulkan
Maksud sabda Rasulullah S.A.W., "Jemaah haji dan jemaah umrah adalah tetamu Allah. Doa-doa mereka dimakbulkan dan bila memohon keampunan diampunkan".
Mendapat Gandaan Pahala
Maksud sabda Rasulullah S.A.W, "Mengeluarkan perbelanjaan untuk menunaikan haji adalah sama seperti mengeluarkan perbelanjaan fisabillah 1 dirham itu diganda dengan 700 dirham".
4. Falsafah Haji
•Perhimpunan tahunan. Sebagai lambang perpaduan dan satu haluan umat Islam. Meraka bertemu bagi tujuan merapatkan hubungan dan bekerjasama dalam semua urusan harian.
•Manusia adalah sama di sisi Allah dengan tidak mengira samada raja, hamba atau kaya atau miskin. Allah hanya memandang kepada amalan dan ketakwaan.
•Mempelajari pengorbanan sepertimana yang berlaku dalam sirah Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Allah Ismail.
•Mempelajari dari latihan menjaga pantang larang dalam Ihram sebagai contoh untuk dilaksanakan di dalam kehidupan seharian:-
•Buat perkara yang baik boleh mengundang berkat, buat perkara yang jahat boleh mengundang musibat.
•Buat perkara yang baik boleh mendapat rahmat, buat perkara yang jahat boleh mendapat laknat.
•Buat perkara yang baik boleh mendapat pahala, buat perkara yang jahat boleh mendapat dosa.
•Buat kerja yang baik bermakna buat kerja halal, buat kerja jahat bermakna buat kerja yang haram.
•Buat kerja yang baik adalah perbuatan maaruf, buat perkara yang jahat itu adalah perbuatan mungkar.
•Buat perkara yang baik bermakna buat perbuatan yang terpuji, buat perkara yang jahat bermakna buat perbuatan yang tercela.
•Buat perkara yang baik boleh menguntungkan, buat perkara yang jahat boleh merugikan.
•Buat perkara yang baik mendapat balasan syurga, buat perkara yang jahat balasannya neraka.
5. Kelebihan Tanah Suci Makkah
•Tempat bersejarah, tempat lahirnya Rasulullah S.A.W
•Tempat turunnya wahyu.
•Tempat menunaikan fardhu haji.
•Sabda Rasulullah S.A.W
•"Sesiapa yang meninggal di Makkah samada jemaah haji atau jemaah umrah tidak akan dikira atau ditanya dan ia akan dimasukkan di syurga"
•Dajjal tidak masuk Kota Suci Makkah.
6. Kelebihan Masjid Makkah
•Sembahyang berganda dengan gandaan 100,000 kali ganda.
•Adanya Baitullah di mana ganjaran pahala yang besar bila melakukan tawaf kelilingnya.
•Kiblat umat Islam seruluh dunia bertuju arah semasa sembahyang.
•Ada tempat-tempat mustajab seperti Multazam, Hijir Ismail dan maqam Ibrahim.
7. Kelebihan Air Zam-Zam
•Sebaik-baik air di muka bumi.
•Air minuman yang mengenyangkan.
•Penawar segala penyakit.
•Menjadi ubat mengikut niat.
8. Talbiah
Bertalbiah iaitu menyahut seruan Allah atau pengakuan atau pembuka kata dan pembuka tirai serta ikrar, iltizam, komitmen perjanjian dan berkata-kata atau berdialog dengan Allah.
Hadith-hadith Rasulullah:-
Hadith dari Zaid bin Khalid Al Jahni r.a telah datang Malaikat Jibril dan berkata: wahai Muhammad ajaklah sahabat-sahabat kamu untuk mengangkat suara mereka bertalbiah kerana talbiah itu adalah syiar atau lambang haji. Riwayat Ibni Majah.
Hadith dari Sahal bin Saad r.a. sabda rasulullah S.A.W. "bila setiap muslim bertalbiah maka akan bertalbiah bersama-samanya mereka yang berada di sebelah kanan dan kirinya samada batu atau pokok-pokok sepanjang perjalanan dari sini dan sana. Riwayat Tarmizi dan Ibni Majah.
Hadith dari Saidina Abu Bakar As Sidiq r.a. Rasulullah S.A.W telah ditanya apakah amalan haji yang mulia. Baginda menjawab iaitu bertalbiah dengan suara yang nyaring dan menyembelih bintang korban. Riwayat Tarmizi, Ini Majah dan Abu Zarr
Hadith dari Jabir bin Abdullah r.a. Sabda Rasulullah "setiap mereka yang berihram bila menghabiskan masanya bertalbiah hingga tenggelam matahari maka akan tenggelam jugalah dosa-dosanya atau hapuslah atau bersihlah dosa-dosanya dan balik bersih seperti baru dilahirkan oleh ibunya".Riwayat Ibni Majah
SYARAT-SYARAT WAJIB HAJI DAN UMRAH
Syarat-syarat wajib haji dan umrah adalah sama iaitu :-
1. Islam Tidak wajib dan tidak sah ke atas orang kafir dan murtad
2. Baligh Tidak wajib ke atas kanak-kanak dan jika ia mengerjakannya adalah sah tetapi tidak menggugurkan haji fardhunya.
3. Berakal Tidak wajib ke atas orang gila dan tidak sah hajinya jika dilakukan
4. Merdeka Hamba abdi tidak diwajibkan haji tetapi sah dan mendapat pahala jika dilakukan.
5. Berkuasa Berkuasa dengan sendiri atau dengan pertolongan orang lain.
NOTA :
BERKUASA mengerjakan haji dan umrah terbahagi kepada dua bahagian :-
Pertama - Berkuasa dengan sendirinya iaitu :-
a) Berkuasa membayar tambang-menambang dan segala perbelanjaan bagi mengerjakan haji hingga selesai dan balik ke tempatnya.
b) Mempunyai bekalan yang cukup untuk saraan nafkah orang yang dibawah tanggungannya.
c) Ada kenderaan pergi dan balik.
d) Aman di dalam perjalanan pergi dan balik seperti tidak ada peperangan , perompak, penyamun dan musuh yang mengancam keselamatan diri atau hartanya, atau tidak ada penyakit yang berjangkit yang membahayakan tubuh badan.
e) Sihat tubuh badan.
f) Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah. Bagi wanita ditambah dua syarat lagi :
- Dengan izin suami atau wali.
- Hendaklah ditemani oleh suami atau mahramnya ( orang yang haram nikah dengannya ) atau yang thiqat ( perempuan-perempuan yang dipercayai ).
Kedua - Berkuasa dengan pertolongan orang lain :
Bagi mereka yang sudah mencukupi syarat-syarat dari segi kewangan untuk menunaikan fardhu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya sendiri disebabkan oleh uzur dan sakit yang tidak ada harapan sembuh atau terlalu tua umurnya yang telah putus asa tidak dapat pergi menunaikan fardhu haji maka bolehlah digantikan dengan dengan orang lain untuk mengerjakan haji itu bagi dirinya dengan upah yang berpatutan atau dengan sukarela. Begitu juga dengan orang yang meninggal dunia yang berupaya semasa hayatnya tetapi tidak mengerjakan haji maka terhutanglah fardhu haji ke atasnya sehingga warisnya atau orang yang menerima wasiatnya menyelenggarakan hutang hajinya itu dengan upah yang berpatutan atau sukarela.
ADAB-ADAB SEBELUM MENUNAIKAN FARDHU HAJI
Setiap amalan yang baik akan menjadi lebih sempurna dan diterima oleh Allah SWT, jika dilakukan mengikut adab-adab tertentu. Dalam mengerjakan Haji, ulama telah menggariskan beberapa adab sebelum menunaikan Haji yang perlu dipatuhi bagi membolehkan seseorang itu mendapat Haji yang mabrur. Antaranya sebagaimana senarai di bawah :-
Niat Yang Ikhlas
Ikhlas di dalam niat adalah asas penerimaan segala ibadat. Firman Allah yang bermaksud :
" Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap tetap teguh di atas Tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan demikian itulah agama yang benar " Dan Sabda Rasulullah S.A.W daripada Saidina Omar bin Al-Khattab yang bermaksud: " Setiap amalan adalah bergantung kepada niat dan seseorang itu akan menerima ganjaran mengikut niatnya".
Ikhlas makna membersihkan jiwa yang hendak menghampiri Allah dari segala campuran yang terdorong kepadanya oleh nafsu yang riak yang mana amalan untuk mendekatkan diri dengan Allah apabila bercampur dengan riak atau lain-lainnya daripada sifat keji maka amalan itu terkeluar daripada ikhlas. Al-Fudhoil bin Ayyadh pernah ditanya tentang amalan yang dimakbulkan Allah, beliau menjawab iaitu yang ikhlas dan betul. Ditanya lagi, apakah yang ikhlas dan betul itu, beliau menjawab sesungguhnya amalan itu bila ia ikhlas dan tiada betul tiada diterima dan apabila betul tetapi tidak ikhlas juga tiada diterima sehinggalah ia ikhlas dan betul. Yang ikhlas dan betul itu ialah semata-mata kerana Allah dan mengikut sunnah.
Bertaubat Dari Segala Dosa Dan Kezaliman
Apabila seseorang itu berazam hendak menunaikan haji, ia hendaklah bersungguh-sungguh bertaubat dari segala maksiat dan segala yang dibenci oleh syarak dan berterusan taubatnya serta disertai dengan istighfar dan meninggalkan segala perbuatan zalim terhadap hamba-hamba Allah. Menjelaskan segala yang boleh segala hutang-hutangnya, mengembalikan segala amanah yang ada di tangannya, meminta halal dari orang yang ia berurusan dengan mereka dan sahabat handainya, menulis wasiat samada yang bersangkut dengan hak-hak Allah mahupun dengan hak-hak hamba dan dipersaksikan wasiat itu dan mewakilkan untuk ditunaikan hutangnya dan membekalkan belanja untuk keluarga dan orang-orang yang di bawah tanggungannya yang mencukupi sehingga masa kepulangannya.
Mencari Keredhaan
Berusaha untuk mencapai keredhaan kedua ibubapa, kaum kerabat dan guru-guru. Jika ia seorang isteri hendaklah ia mendapatkan keredaan suaminya dan kaum kerabatnya. Bagi suami disunatkan mengerjakan haji bersama-sama isterinya. Jika seseorang itu ditegah oleh salah seseorang ibubapanya dari mengerjakan haji, hendaklah dilihat jika ditegah dari mengerjakan haji fardhu maka tegahannya itu tidak perlu dihiraukan kerana ibubapanya sudah melakukan maksiat dengan tegahannya itu. Apabila ia berihram bapanya tidak boleh memaksanya bertahallul dari ihramnya. Walaubagaimana pun jika haji itu haji tatawwu' (sunat ) tiada harus baginya berihram dan jika ia berihram harus bagi bapanya memaksanya bertahallul mengikut qaul yang saheh. Adapun suaminya berhak menghalangnya dari mengerjakan haji fardhu mengikut qaul yang azhar kecuali di didalam beberapa keadaan kerana hak suami terhadap isteri itu segera, manakala menunaikan haji fardhu tiada dengan segera.
Punca Perbelanjaan
Wang perjalanannya hendaklah daripada sumber yang halal yang tiada subahat kepadanya. Jika ia mengerjakan haji dengan wang yang haram, hajinya sah pada zahir tetapi ia tidak akan menjadi haji mabrur. Jauh dari diterima oleh Allah. ini adalah menurut Imam Shafie, Malik dan Abu Hanifah dan Jumhur Ulamak salaf dan khalaf tetapi di sisi Imam Ahmad bin Hambal tiada sah hajinya dengan harta yang haram.
Bekalan Yang Lebih
Disunatkan berbekal dengan bekalan dan perbelanjaan yang lebih bagi tujuan membantu orang-orang yang berhajat kepada bantuan dan hendaklah bekalan itu dari barang-barang yang bermutu baik dan halal serta diniatkan dengan ikhlas. Firman Allah yang bermaksud:
" Wahai orang-orang beriman belanjakanlah ( pada jalan Allah ) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik, dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya. ( Lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat)".
Menjauhi Tawar Menawar
Sunat menjauhi tawar menawar yang berlebih-lebihan ketika membeli barang-barang untuk keperluan haji bagi dirinya demikian juga barang-barang yang hendak dibuat kebajikan dengannya untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Tidak Bersekutu Bekalan Dan Perbelanjaan
Tidak digalakkan bersekutu di dalam perbelanjaan kerana bersekutu itu boleh menghalang seseorang itu melakukan berbagai-bagai kebajikan sekalipun diizinkan oleh rakan sekutunya tetapi tidak dapat dipercayai sejauhmana keredhaannya. Jika kedua-duanya bersetuju membuat kebajikan, maka disunatkan masing-masing menggunakan di bawah kadar haknya.
Adapun berhimpun, makan beramai-ramai, bergilir-gilir belanja makan adalah baik dan elok. Seseorang itu dibolehkan memakan lebih banyak dari rakan-rakannya jika ia percaya atau ada pada zatnya yang rakan-rakannya tidak menghalang. Jika tidak hendaklah makan mengikut keadaan habuannya.
Mencari Rakan Dan Teman
Eloklah kita mendapatkan rakan-rakan, teman yang sesuai yang cenderung kepada kebajikan dan bencikan kejahatan. Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud: " Sebaik-baik rakan ialah bila kita lupa ia mengingatkan dan bila kita ingat ia membantu " Amatlah baik sekiranya rakan-rakan itu dari golongan orang-orang yang berilmu ( Ulama ) kerana ia sangat membantu ke arah melakukan berbagai-bagai kebajikan dan berakhlak mulia dan dengan ilmu dan amalannya, ia dapat mencegah rakannya dari keburukan yang boleh berlaku daripada seseorang musafir iaitu perangai-perangai yang tidak baik seperti tidak sabar, keluh kesah dan sebagainya. Seseorang itu hendaklah memelihara keredhaan rakannya, bersabar di atas kesilapan yang berlaku dan masing-masing memandang yang lainnya lebih baik dan lebih hormat dari dirinya. Sekiranya berlaku perselisihan yang berlarutan di antara keduanya dan tiada harapan untuk diperbetulkan, maka hendaklah disegerakan perpisahan dengan cara yang baik kerana perpisahan yang demikian itu lebih menyelamatkan kedua pihak dari melakukan perkara-perkara yang meletakkan amalan haji jauh dari dapat diterima oleh Allah.
Sembahyang Sunat Musafir
Apabila seseorang hendak meninggalkan rumah dan bermusafir, disunat menunaikan dua rakaat sembahyang sunat musafir. Niat sembahyang sunat musafir ialah " Sahaja aku sembahyang sunat musafir dua rakaat kerana Allah Taala". Dibaca pada rakaat pertama selepas Al-Fatihah, Surah Al-Kafirun dan rakaat kedua selepas Fatihah, Surah Al-Ikhlas. Sabda Nabi Muhammad S.A.W : " Tiada yang lebih baik yang ditinggalkan oleh seseorang kepada keluarganya selain dari dua rakaat sembahyang yang dilakukan di sisi mereka ketika hendak bermusafir". Disunatkan membaca ayat Kursi dan Surah Al-Quraisy selepas salam kerana di samping berkat Al-Quran pada tiap-tiap suatu dan pada sebarang waktu terdapat perkataan-perkataan Assalafussoleh seperti Mafthumnya: " Sesiapa yang membaca ayat Kursi ketika keluar dari rumahnya, tiada menimpa ke atasnya sesuatu yang tidak disukai sehingga ia pulang dari ibadat hajinya". Terdapat juga perkataan Assalafussoleh berkenaan dengan membaca Surah Al-Quraisy iaitu maksudnya : " Sesiapa yang hendak bermusafir dan ia merasai takut kepada seteru atau binatang buas, maka bacalah Surah Al-Quraisy. sesungguhnya ia mengamankan dari sebarang keburukan. Kemudian berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat. Pertolongan dan taufik di dalam perjalanannya".
Mengucap Selamat Tinggal
Sunat mengucap selamat tinggal kepada keluarga, jiran dan kawan-kawan kerana telah sabit bahawa Rasulullah S.A.W apabila hendak musafir, baginda pergi menemui sahabatnya dan memberi salam kepada mereka dan apabila pulang mereka ( sahabat-sahabat ) pula datang menemuinya dengan mengucapkan salam kepada baginda. Orang hendak musafir mendatangi kerana ia yang hendak berpisah dan orang yang pulang didatangi untuk diucap tahniah dan selamat pulang. Yang hendak bermusafir dan yang mengucapkan selamat berangkat masing-masing saling berdoa di antara mereka.
Tidak Berlebih-Lebihan Di Dalam Sebarang Keadaan
Menjauhi kekenyangan yang berlebih-lebihan dan berhias-hiasan, tiada mempelbagaikan makan minum, berurusan dengan lemah-lembut sekalipun dengan khadam dan orang suruhan. Tiada bersikap kasar lebih-lebih lagi terhadap peminta bantuan sedekah dan seumpamanya. Menjauhi perkelahian, pertengkaran, dan berpusu-pusu dengan manusia yang ramai di mana jua. Memelihara dari percakapan yang kotor, maki-hamun, mengumpat serta mengata. Sentiasa mengingati sabda Rasulullah S.A.W. Maksudnya : " Tiada mengeji orang yang berjalan tanpa bekalan bahkan mereka bersimpati dengannya dan membantunya sekadar yang boleh atau menolaknya dengan baik dan berdoa untuknya "
Berdoa Di Dalam Perjalanan
Sunat membanyakkan berdoa sepanjang masa perjalanannya untuk dirinya, dua ibubapanya, para kaum kerabat dan sekalian orang muslimin. Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya : " Tiga permohonan yang diterima oleh Allah iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang musafir dan doa dua ibubapa terhadap anaknya".
Sentiasa Di Dalam Kebersihan
Berkekalan di dalam thaharah atau pun bersuci dan sentiasa memelihara sembahyang dan orang yang bermusafir juga diharuskan mengqasar atau menjamakkan sembahyangnya jika mencukupi syarat-syaratnya.
Mempelajari Kafiat Mengerjakan Haji
Akhirnya apabila seseorang itu berazam menunaikan fardhu Haji, hendaklah ia mempelajari
khafiatnya iaitu segala rukun-rukun, syarat-syarat, wajib-wajib dan yang haram di dalam ihram dan yang merosakkan. Ini adalah fardhu ain. Tidak sah ibadat mereka yang tiada mengetahuinya. Sunat dibawa bersama kitab yang menerangkan amalan haji dan selalu membacanya kerana dibimbangi berlaku kesilapan atau ketinggalan syarat atau rukun atau umpamanya yang boleh merosakkan ibadat haji dan umrahnya. Ada orang yang terikut-ikut di dalam mengerjakan ibadah haji ini dengan orang-orang yang disangkakan mengerti dalam perkara ibadat haji itu seperti sebahagian penduduk-penduduk Makkah, padahal mereka juga tiada mengerti maka ia jadi tertipu dan akibatnya hajinya tidak diterima.
SELAMAT MENUNAIKAN HAJI - SEMOGA BEROLEH HAJI YANG MABRUR-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan