Khamis, 22 Oktober 2009

Hukum Azan Menggunakan Pita Rakaman

Azan merupakan di antara ibadat qauliah yang paling baik. Ia juga adalah syiar Islam yang jelas. Jika penduduk sesebuah negeri meninggalkannya, maka mereka perlu dihukum. Ia juga merupakan tanda yang membezakan di antara negeri Islam dan negeri kafir.

Sesungguhnya azan disyariatkan untuk solat lima waktu. Tujuan yang utama dari azan ialah untuk memberitahu kemasukan waktu solat fardu.

Para ahli fiqh telah menyebut syarat-syarat sah azan dan sifat-sifat seorang muazzin. Di antara syarat sah azan ialah: Adanya niat, jika muazzin mengumandangkan lafaz azan tanpa niat, maka azan itu tidak sah (pada pendapat yang rajih). Maka seorang muazzin mesti berniat ketika mengumandangkan azan, bahawa "Ini adalah azan bagi solat ini yang telah masuk waktunya."

Di antara sifat-sifat yang disyaratkan bagi seorang muazzin pula ialah: seorang Islam, berakal, lelaki yang mumaiyiz. Oleh itu tidak sah azan dari seorang bayi / kanak-kanak yang tidak mumaiyiz (sepakat ahli fiqh), tidak sah juga azan orang yang mabuk, gila, pitam (pada pandangan kebanyakan ulama).

Pada akhir-akhir ini terdapat di beberapa buah negara Islam menyiarkan azan di corong-corong radio dengan rakaman azan. Pada asalnya azan itu dirakam ketika muazzin sedang mengumandangkan azan, kemudian rakaman tersebut diulangi selepas pada itu. Tujuannya ialah untuk menyedarkan manusia bahawa masuknya waktu solat fardu.

Sebenarnya sesuatu azan itu terlaksanakan (sempurna) apabila terdapatnya muazzin secara praktikal, dia berniat ketika mengumandangkan azan bahawa "Ini adalah azan bagi solat ini yang telah masuk waktunya.", kemudian barulah dia menjelaskan suaranya untuk memperdengarkannya kepada orang lain.

Fatwanya:

Pertubuhan Fiqh Islam (الهيئات والمجمعات الفقهية الإسلامية) telah mengeluarkan fatwa dan kenyataan bahawa tidak boleh beramal dengan perkara di atas (iaitu mengumandangkan azan dengan menggunakan pita rakaman), ia tidak mencukupi dalam menunaikan azan yang wajib bagi solat lima waktu hanya menggunakan pita rakaman, ia tidak menghasilkan azan yang disyariatkan. Wajib ke atas orang Islam dari setiap pihak menentukan seorang muazzin yang layak untuk mengumandangkan azan ketika masuk waktu solat.(1)


(1) Lihat fatwa-fatwa dan risalah-risalah Shiekh Muhammad bin Ibrahim (2/113, 112) dan fatwa-fatwa (اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء (6/67،66) فتوى رقم 4091 ورقم 10189)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan