Isnin, 26 Oktober 2009

Hadis Minggu Ini : Macam-macam Jenis Ulama

(Hadis ini akan di kupas dan disampaikan pada malam ini 26 Okt 2009 di Surau Al-Ikhwan Kembojasari selepas Maghrib)

عن أنس رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : العلماء ثلاثة - رجل عاش بعلمه وعاش الناس به. ورجل عاش الناس به وأهلك نفسه . ورجل عاش بعلمه ولم يعش يه غيره.
(أخرجه الديلمي في مسند الفردوس)


Ertinya :
Daripada Anas radhiallahu ‘anhu bahawasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda : “ Ulama itu ada tiga jenis– Pertama orang yang alim yang hidup dengan ilmunya (yang mengamalkan ilmunya) dan masyarakat juga hidup dengan ilmunya. Kedua orang yang alim yang masyarakat mengambil manfaat dengan ilmunya tetapi dia sendiri membinasakan dirinya (tidak mengamalkan ilmunya). Ketiga, orang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) tetapi orang lain tidak mengambil manfaat dengan ilmunya”. H.R Ad-Dailami

Keterangan
Orang yang alim itu bermacam-macam. Yang mula-mula ini misalnya lebih berperanan dari yang lain. Masyarakat sangat merasakan peranannya dan dia juga mempunyai keahlian dalam memberikan layanan kepada semua lapisan masyarakat, maka kewujudannya di tengah-tengah masyarakat laksana lampu yang menyinari kawasan di sekelilingnya. Danada pula orang alim yang berperanan di dalam masyarakat, orang lain dapat mengambil manfaat dari ilmunya, tetapi dia sendiri jauh dari mengamalkan ilmu yang ada di dalam dadanya, seperti sebatang lilin yang membinasakan dirinya sendiri walaupun ia dapat menerangi kawasan yang ada di sekelilingnya.

Dan ada pula orang yang alim yang dia dapat mengambil manfaat dari ilmunya, tetapi dia tidak dapat menyampaikan ilmunya kepada orang lain, mungkin dia tidak mempunyai kemampuan untuk menyampaikan ilmunya kepada orang lain, dan boleh jadi juga dia tidak mampu menyampaikan ilmu dan oranglain sukar memahami apa yang disampaikannya.

Itulah orang alim, sememang tidak sama peranannya, namun mereka tetap tidak merosakkan masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan