(Perkuburan Baqi' - Madinah)
Soalan:
Apakah hukum duduk di atas kubur?
Jawapan:
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Abi Hurairah Radiallahu anhu yang bermaksud: "Seseorang itu lebih baik baginya duduk di atas bara api sehingga terbakar kainnya dan kulitnya daripada duduk di atas kubur, yang mana zahir hadis ini melarang keras perbuatan duduk di atas kubur.
Dengan merujuk kepada al-fiqh ‘ala mazhab ar-Ba’ah juzu’ 1 halaman 94 ada disebutkan bahawa maksud dengan duduk di atas kubur yang menjadi larangan di dalam hadis itu ialah duduk di atasnya dengan menjadikannya tempat untuk menghabiskan masa, menghilangkan kepenatan, berbual-bual bersukaria dan seumpamanya seperti yang dilakukan di kelab-kelab tempat perhimpunan orang-orang Bandar, suatu keadaan yang berlainan dengan maksud menziarahi kubur iaitu untuk mendapat iktibar dan takut pada Allah disamping ianya tidak melakukan perbuatan menghina kubur
Negara asal : Malaysia
Negeri : Kedah
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah
Penulis/Ulama : Mufti Kerajaan Negeri Kedah
------------------------------------------------------------------------------------
Fatawa: Membina Maqam Atau Apa-Apa Binaan Atas Kubur
Soalan:
Haruskah disisi syarak membina apa-apa binaan, maqam atau sebagainya di atas kubur?
Jawapan:
1) Makruh dibuat binaan di dalam atau di atas kubur yang di dalam tanah yang dimilki oleh orang yang membuat binaan (tanah persendirian) kecuali binaan itu dibuat bertujuan untuk menyelamatkan kubur dari digali atau dikorek oleh binatang buas atau diruntuh oleh banjir seumpamanya.
2) Haram dibuat binaan di dalam atau di atas kubur apa jua jenis dan bentuk binaan yang boleh jadi kekal selepas hancur mayat dengan tiada apa-apa tujuan seperti yang tersebut di atas sekiranya kubur itu di dalam tanah yang disediakan untuk perkuburan atau yang di wakaf untuk perkuburan dan wajib dirobohkan kerana binaan yang kekal wujudnya selepas hancur mayat itu menghalangkan orang-orang Islam daripada menggunakan tempat perkuburan itu dengan tiada ada apa-apa sebab yang diluluskan oleh syarak dan meruntuhnya itu hendaklah dengan kebenaran qadhi atau dengan kebenaran Majlis Agama Islam jika ditakuti berbangkit perbalahan atau pergaduhan dan sebagainya, batu-batu dan perkakas-perkakas binaan itu menjadi hak milik warisnya dipulangkan kepada mereka jika tiada waris atau ada tetapi mereka enggan mengambilnya maka menjadi hak kepada Baitulmal.
Negara asal : Malaysia
Negeri : Kedah
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah
Penulis/Ulama : Mufti Kerajaan Negeri Kedah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan