Isnin, 14 September 2009

Syurga di bawah tapak kakinya


Mak merenung jauh. Melihat nasib tuanya. Hatinya sungguh sayu. Sekiranya aruah ayah masih hidup, sudah pastilah bukan sekarang ini galur hidup mak. Dari luar jendela, mak memandang jauh ke rumah Opah, rumah emak mentuanya. Rumah yang dulu begitu usang akhirnya menjadi sebuah rumah idaman yang besar dan selesa. Mak membandingkan antara rumahnya dengan rumah opah. Samakah situasinya? Hatinya tertanya-tanya. Apa bezanya. Hatinya kian bercelaru.

Teringat mak akan dikala pinangan dari bakal suaminya. Dia tidak pernah terlintas untuk merasakan bahawa hidupnya selesa dan mewah maklumlah aruah ayah adalah seorang guru. Mak tak kenal langsung siapa bakal suaminya itu. Apa yang dia tahu, pada waktu seusia begitu, dia sudah boleh dicapkan sebagai anak dara tua. Rakan-rakan sebaya dengannya semuanya sudah beranak pinak. Kakaknya sendiri sudah tiga orang anaknya. Jetun, kawan baiknya juga dah dua orang anaknya. Mak? Baru sahaja mencecah usia 20 tahun barulah ada orang yang masuk meminang. Bukannya apa sebabnya sebelum ini Mak begitu sibuk dengan pelbagai kemahirannya sebelum disunting orang. Bukan salah mak juga, aruah atuk juga yang berkeinginan menghantar mak untuk belajar memasaklah, belajar menjahitlah dan sebagainya. Atuk hendak anak perempuan bongsunya ini jadi seorang wanita yang serba boleh. Begitulah impian aruah atuk. Mak akhirnya disunting oleh bukannya orang lain. Anak saudara Naib Tok Kadi Mukim ini juga. Siapa tak kenal keturunan Tok Naib (gelarannya) di mukim ini. Keturunan orang alim-alim dari Batu Bara. Siapa tak kenal keturunan itu, alamat tak kahwinle sampai ke tua gayut.

Mak memerhatikan dari kejauhan ini, berbalam-balam rasanya kesepian hatinya. Ayah telah lama pergi meninggalkan mak keseorangan untuk meneruskan hidup ini. Mak tidak dapat membayangkan kesepian hidupnya biarpun selama 23 tahun mak belum pernah mengalaminya. Kadang kala mak menangisi akan kesepian yang melanda hati kecil ini. Pernah mak menyalahkan takdir yang memisahkan kasihnya dengan orang yang amat disayanginya itu. Mak selalu merasakan kekosongan hidupnya tanpa ayah di sisi. Kesepian itu benar-benar mengugat kesetiaannya kepada jiwa yang turut bersemadi di dasar tanah itu. Sekiranya dulu mak merelakan pemergian ayah tapi kini hati kecilnya seringkali tertanya-tanya kenapa ayah mesti meninggalkan dia keseorangan di dunia ini. Keseorangan dengan dikelilingi oleh anak-anaknya yang tidak pernah ingin mencurahkan kasih sayang mereka kepadanya. Mak benar-benar kesepian ibarat tunggul kayu di hutan belantara. Ada anak seramai tujuh orang pun dia merasakan macam dia langsung tidak pernah melahirkan apa-apa zuriat ke atas muka bumi ini. Adakah salah mak mendidik mereka? Apakah mak selama ini telah tersalah menyuapkan mereka makanan yang tidak berkat ke dalam tembolok mereka? Mak berkira-kira bahawa selama ini apa yang tidak cukup yang telah dia curahkan kepada anak-anaknya itu. Habis segala harta pusaka bonda mak dipajak dan digadai semata-mata untuk melihat anak-anaknya hidup senang di kemudian hari. Mengharap gaji ayah sebagai seorang pendidik yang tidak seberapa dalam menanggung anak yang seramai tujuh orang sememangnya tidak pernah mencukupi. Maklumlah bukan sahaja anak yang seramai tujuh orang ini sahaja yang aruah ayah tanggung bahkan adik-adik tiri ayah yang seramai 10 orang lagi juga perlu ayah tanggung persekolahan mereka. Menitis air mata mak ke bumi. Mak segera menyeka air matanya dengan hujung tangan baju kurung kusamnya itu. Sejurus itu mak rasakan bahawa mak tersalah memilih kehidupan ini. Kenapa kehidupannya penuh dengan kesengsaraan. Penderitaan dan kesedihan. Menitis lagi air mata mak. Gugur dan jatuh ke bumi. Berkata hati kecil mak kenapalah kehidupannya tidak seperti Hajah Gayah, Makcik Besah dan jiran-jiran yang lain. Sekurang-kurangnya ada juga anak-anak mereka yang masih sudi untuk mengetahui sakit pening orang tua mereka. Tidaklah terasa terbuang dan terasing sungguh seperti dirinya ini.

Entahlah dalam sehari mak sukar untuk mengerti kenapa hati tuanya kian terusik. Begitu mudah untuk tersentuh dan akhirnya air matalah menjadi temannya. Anak-anak mak semuanya berjawatan besar. Semuanya berpendidikan besar. Semuanya kahwin dengan orang besar-besar dan apa yang mak tahu ialah sekarang ini semua anak-anak mak tu semuanya berhidung yang kekayaan. Memandang mak bagaikan satu kehinaan. Mak memang terasakan kehinaan diri tuanya ini amat dibenci oleh anak dan juga menantunya. Mak beranggapan bahawa tidak semua anak mak akan bertindak sedemikian. Mak beranggapan bahawa Usu tidak mungkin sanggup membuang mak seperti mana dengan abang dan kakaknya yang lain. Sangkaan mak benar-benar meleset. Usu langsung membuang mak bagaikan sampah selepas dia berkahwin dengan adik sepupu Menteri Kabinet. Malu katanya dengan mak. Malu dengan pembawaan mak. Malu dengan pemakaian mak. Malu segala-galanya dengan apa yang ada pada mak. Mak adalah satu kehinaan bagi Usu untuk ditonjolkan kepada keluarga iparnya. Malu bermakkan seorang perempuan tua yang sudah berkedut seribu dimamah us ia ini. Malu sebab semua pakaian mak lusuh dan tidak sedap dipandang mata.

Sejak dari kecil mak tatang semua anak-anak mak bagaikan menatang minyak yang penuh. Sakit pening anak-anak mak adalah sakit pening mak juga. Mak mahu melihat anak-anaknya menjadi orang yang berjaya dan ternama. Hajat mak itu memang kesampaian tetapi sekiranya kini mak menutup mata, mungkin hatinya akan tersengkang dengan kesedihan yang teramat sangat kerana anak-anaknya memang berjaya. Anak-anaknya memang menjadi orang ternama tetapi anak-anaknya juga malu mengakui mak sebagai mak mereka kerana mak bukanlah dari golongan orang yang ternama. Air mata mak menitis lagi. Kesedihan mak memang tidak dapat dibayangkan lagi. Alangkah bahagianya jika mak dapat mencontohi opah yang kini hidup senang lenang walaupun hanya membesarkan anak-anak tiri dan anaknya sendiri yang seramai 11 orang. Tiada seorang pun daripada mereka yang melupakan opah. Tidak pernah rumah opah sepi dari gelak tawa cucu-cucunya. Rumah mak terus sepi. Sepi bagaikan berada dihujung dunia. Sepi bagaikan langsung tiada berpenghuni. Sepi dengan segala-galanya.

Mak sangkakan bahawa anak-anak mak akan mencontohi jejak langkah pakcik dan makciknya (adik beradik aruah ayah), malangnya air mata mak mengalir lagi. Lesu hatinya memikirkan kesuraman hidupnya. Hanya air mata terus mengalir menemani mak.

"Opah! Opah!" "Assalamualaikum!" "Opah! Opah!" Hati mak tersentak. Sudah meninggi matahari rupanya. Segera mak menyeka air matanya daripada terus mengalir. "Hah..Kamarul masuklah"

Mak melihat dengan sayu kedatangan cucunya yang rajin menziarahnya itu. Ditangannya dibawanya bekas makanan yang dibawa dari rumah Halimah, anak sulungnya yang duduk jauhnya 3 lorong dari rumahnya itu.

"Apa khabar opah, ni ada mak buatkan lauk gulai masam tempoyak yang opah hendakkan semalam tu," Kamarul dengan segera menyalinkan bekas-bekas makanan yang dibawanya ke dalam pinggan.

"Kenapa mata opah merah? Opah menangis ke?" Kamarul mula merapati mak.

Hati mak tersentuh lagi. Air matanya terus mengalir. Kalau tidak kerana Halimah, anak sulungnya, sudah lama dia mati kelaparan di sini. Tapi apa boleh buat, Halimah kini milik Bakar, suaminya. Mak masih ingat lagi kerana maklah nyaris Halimah dan Bakar berbalah sampai nak jatuh talak. Mujurlah mak segera ambil tindakan segera balik semula ke rumahnya. Apakah malang nasibnya. Ada anak yang mengambil berat tentangnya, menantunya pula tak suka. Hiba.

Mak memandang jauh keluar jendela rumah. Entahlah kenapa sejak kebelakangan ini hatinya begitu mudah terusik. Kenapa sekarang memori kenangan silam begitu ligat berputar di dalam lingkaran otaknya. Kenapa sekarang barulah mak benar-benar mengalami kesunyian itu.

Kerisauan mak semakin ketara bila Kamarul memberitahunya bahawa Usu akan melahirkan anaknya bila-bila masa sahaja. Hati mak begitu teringin melihat cucunya. Cucu yang mungkin akan ditatapnya buat kali terakhir. Kali terakhir sebelum nafasnya terhenti. Hati mak meronta-ronta untuk menghubungi Usu. Bagaikan diseru, anak mak Angah Kamariah singgah ke rumah hari ini. Mak gembira bukan kepalang. Hatinya meminta agar Angah Kamariah dapat menelefon Usu. Mak teringin sangat untuk bercakap dengan Usu. Mak teringin untuk melihat cucu mak yang bakal lahir itu. Mak benar-benar kepingin.

"Mak jangan buat tabiat! Duduk ajelah kat rumah ni. Janganle nak gatal nak berjalan ke rumah Usu," bentak Kamariah. Mak tergamam. Air mata mak mengalir lagi.

"Aku bukan apa, aku teringin sangat jumpa Usu, sekurang-kurangnya kau tolonglah tekankan nombor telefon dia.biar aku yang cakap dengan dia.."rayu mak pada Angah Kamariah. "Hish.menyusah aje orang tua ni..tak faham-faham ke.orang kata tak nak! Tak nak le! Jangan pandai-pandai nak telefon Usu, karang menyusahkan dia aje. Malu orang tengok mak nanti," Hati mak semakin hiba. Terguris pilu yang tiada berdarah tetapi kepedihan itu amat memeritkan. Adakah semua anak-anaknya malu sebab beribukan seorang perempuan kampung sepertinya.

Hati mak semakin diruntuh dengan sebak yang amat mendalam. Dalam hati kecilnya terselit seribu penyesalan yang teramat sangat. Menyesal kerana melahirkan anak-anaknya selama ini. Menyesal mengandungkan kesemua anak-anaknya selama 9 bulan 2 minggu selama ini. Air mata mak mengalir lagi. Sebak di dadanya tiada ubatnya. Keruan hatinya semakin melarat. Kekecewaan bergelinang di lubuk hatinya.

Hati tuanya kian terusik. Pusara ayah diziarahinya. Batu sungai yang menjadi nisan persemadian ayah, mak dakap, mak peluk. Air matanya mengalir. Empangan air matanya sendiri tidak dapat menahan rasa sebak di hati ini. Air mata itu semakin deras mengalir. Pada siapa lagi yang boleh mak luahkan. Pada pusara ayahlah tempat mak mengadu segala rasa sebak di dadanya. Mak berharap agar roh ayah dapat melihat betapa deritanya hidup mak kini. Mak harap roh ayah dapat merasakan kelukaan di hati tuanya kini. Itulah harapan mak. Walaupun mak tahu apa yang mak buatkan ini seolah-olah menyalahkan takdir yang menentukan tapi mak terpaksa meluahkan kekusutan hati tuanya itu. Sebak dalam dadanya yang kian bersarang. Semakin deras air mata mak melepasi empangannya. Semakin lama semakin deras. Kesyahduan petang ini berhiaskan kesuraman ufuk kirmizi bagaikan berkabung dengan penderitaan yang mak alami. Kemerahan suasana suram ini bagaikan bermurung dengan semua kesayuan yang mak pendamkan di hati tuanya.

"Mak ke mana tadi?" jerkah Angah Kamariah sebaik sahaja mak menjejakkan kakinya di ambang pintu.

Hati mak semakin merekah kesedihan.

"Mak tak dengar ke apa yang saya tanya ni?" semakin kuat jerkahan Angah Kamariah.

"Kau tak boleh tanya aku dengan baik ke Angah? Kau ingat aku ni pekak ke? Kau tak tahu aku ni siapa yang kau nak jerkah-jerkah? Aku ni kan mak kau!" dalam hiba mak melepaskan segala yang terpendam di dalam dadanya. Perasaan ini tidak dapat ditahannya lagi.

"Angah tanya mak tu dari mana? Mak bukannya sihat lagi. Kalau berlaku apa-apa siapa yang susah. Angah juga yang susah. Cubalah dah tua-tua tu duduk kat rumah. Janganle gatal nak berjalan ke sana sini. Nanti siapa yang susah!"

"Apa yang kamu susahkan. Kalau aku mati lagi kamu suka. Bukan begitu?" Luahan mak bagaikan gunung berapi yang meletus. "Apa yang mak cakapkan ni?" pintas Angah.

"Kamu dulu masa kecil aku jaga, aku tatang tapi kamu layan aku macam aku ni orang gaji. Kamu ndak herdik ke? Ndak marah ke? Kamu ingat aku ni tak ada perasaan ke? Kamu ingat aku ni orang tua tumpul ke?" Air mata mak semakin tidak boleh disekat. Jelas di raut mukanya mak ingin melepaskan segala-galanya. Melepaskan apa yang terbuku di dalam sanubarinya selama ini. Biarlah Angah mengatakannya sebagai mengungkit segala kisah silam tapi itulah yang ingin dilafazkan oleh mak. Mak inginkan ketenangan dulu maka biarlah mak meluahkan kebukuan dihati tuanya ini.

"Mak.. Angah tak kata begitu, mak jangan salah sangka!" Angah bagaikan terpana dengan hirisan hati mak. Cetusan yang mak sampaikan bagaikan halilintar yang menyentak keperibadian Angah Kamariah. Angah Kamariah bagaikan cuba berselindung di balik tirai yang jarang. Menipu keadaan memaksa perasaan. "Selama ini aku bersusah payah membesarkan kamu semua. Pernah kamu berterima kasih dengan segala apa yang aku berikan!" cetusan mak semakin menyala.

"Pernah kamu bertanya tentang perasaan aku? Kesepian aku selepas ayah kamu pergi? Pernah kamu kisahkan semua itu?" Air mata mak tidak dapat dikekang lagi. Mengalir sekali lagi. Harapannya untuk kali yang terakhir untuk tumpah menimpa bumi. Melepaskan perasaan yang terbukam sepi dalam sendu hatinya.

"Kau buat aku macam abdi sahaja dalam rumah ni. dan semua anak-anak yang aku lahirkan semuanya sama. Mentang-mentanglah aku ni hanya perempuan kampung. Selama ini aku bangga dengan semua anak-anak aku. Semasa kecil aku tatang bagaikan minyak yang penuh. Habis barang kemas aku gadaikan demi pelajaran anak-anak aku. Tapi aku silap... aku sebenarnya telah melahirkan tuan kepada aku. Tuan besar yang menganggap aku ni hamba abdi mereka. Seolah aku ni tidak layak dipanggil mak. Aku tidak layak menyatakan syurga itu di bawah telapak kakiku,"

Ketenangan hati mak yang tergugat akhirnya goyah. Kesetian hati tuanya pada kesuraman jiwa dan perasaan akhirnya meledakkan sebuah perasaan yang menggentaskan sanubari. Mak rebah selepas itu. Angah Kamariah tergopoh gapah. Air mata Angah Kamariah jelas mengalir. Jelas dalam kesamaran. Antara kesedaran dan keinsafan. Angah Kamariah bagaikan terpukul melihatkan dalam rebah mak yang dilinangi air mata tuanya, riak mukanya bagaikan tersenyum. Tersenyum kerana semuanya telah berakhir.

"Mak!!!!!!!" Hanya itu sahajalah yang mampu Angah Kamariah lafazkan.
Sudah terlambat..Mak!!!sudah tiada jawapan lagi yang kedengaran...hanya tangisan sahaja yang mengiringi hembusan nafas terakhir ibu yang terluka kerana anak-anak yang disayanginya..

#p.s - berbaiklah dengan kedua orang tuamu sebelum mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ingatlah bahawa jasa mereka dalam melahirkan dan membesarkan kita semua terlalu berharga dan jangan disesalkan akan pemergian mereka ke pangkuan Ilahi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan