Jumaat, 11 September 2009

KHUTBAH JUMAAT 21 RAMADHAN 1430


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Qadar :
إنا أنزلنــه فى ليلة القدر . وما أدرئك ما ليلة القدر . ليلة القدر خير من ألف شهر . تنزل الملــئكة والروح فيها بإذن ربهم من كل أمر . سلــم هي حتى مطلع الفجر

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan tahukah engkau apakah itu Lailatul-Qadar?. Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Sempena berada dalam bulan Ramadhan yang dijanjikan oleh Allah dengan penggandaan pahala dan pengampunan dosa maka kita wajib menggunakan peluang dan tawaran yang berharga ini bagi menambahkan bekalan akhirat. Lebih-lebih lagi umat Islam mula memasuki 10 malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang dijanjikan Allah bahawa ada di antara malamnya suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Jadikanlah diri kita sebagai umat yang sentiasa berlumba dalam menambah amalan soleh bukannya sebagai umat yang berkarat hatinya dicemari maksiat sehingga tidak lagi merasai keinginan yang mendalam untuk merebut peluang yang datang dalam menambah amalan kebaikan sebagai bekalan hari akhirat yang bakal menjelang. Betapa ruginya manusia yang menolak peluang dan tawaran yang datang di hadapan mata. Inilah antara sifat manusia yang tidak bersyukur kepada Allah di mana dia sentiasa mengeluh tentang suatu yang tiada dalam miliknya sedangkan dalam masa yang sama dia jarang menggunakan sebaiknya peluang atau rezeki yang telah berada dalam genggamannya

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah telah berkata : Adalah Rasulullah S.A.W telah beriktikaf pada malam-malam sepuluh terakhir daripada Ramadhan dan baginda S.A.W bersabda yang bermaksud : Carilah malam lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir daripada Ramadhan

Antara sebab disembunyikan Lailatul Qadar menurut Imam al-Razi seorang ahli tafsir terkenal ialah yang Pertama : Agar umat Islam dapat membesarkan keseluruhan malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja. Kedua : Bimbang umat Islam tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat walau pun telah ditetapkan malam tertentu atau pun dia melakukan maksiat pada malam itu sehingga mendapat kemurkaan Allah kerana berbuat maksiat dalam keadaan tahu lebih besar dosanya. Ketiga : Supaya umat Islam bersungguh-sungguh mencari Lailatul Qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu. Keempat : Melahirkan umat yang menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan Lailatul Qadar sehingga meningkat amal solehnya.

Amat malang jika orang lain menggunakan masa yang begitu istimewa ini untuk beriktikaf di masjid sedangkan kita asyik sibuk di Super Market atau di kedai kopi atau lepak2 di kedai mamak hingga ketengah malam. Amat rugi jika orang lain sibuk menggandakan amalan pada hari-hari terakhir Ramadhan sedangkan kita terlalu sibuk dengan persiapan hari raya. Oleh itu ubahkanlah diri ke arah menjadi umat bertaqwa hasil daripada tarbiah Ramadhan bukannya terus berada di takuk yang lama malah semakin teruk akibat tidak mampu melawan nafsu walau pun iblis dan syaitan telah pun dirantai pada bulan mulia ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebagaimana kita begitu yakin bahawa memang adanya Lailatul Qadar antara malam-malam Ramadhan ini sehingga kita begitu bersungguh dalam mengejarnya agar segala janji Allah dapat diraih maka begitulah juga kita mesti yakin tentang janji pertolongan dan kemenangan daripada Allah kepada hambaNya yang soleh sehingga kita semakin bersemangat dan istiqamah dalam memperjuangkan Islam walau pun ditentang dan dihalang oleh musuh dari pelbagai sudut. Jika Lailatul qadar disembunyikan agar kita dapat menambahkan amalan serta berusaha mencarinya maka begitulah juga dengan janji pertolongan dan kemenangan daripada Allah turut disembunyikan agar kita terus berjuang sehingga datangnya ketentuan daripada Allah samada dianugerahkan kemenangan bersama keredhaanNya atau pun ditimpa dengan ujian kekalahan. Ingatlah bahawa Allah akan bertanya apakah usaha kita dalam meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini bukannya ditanya apakah hasil perjuangan kita selama ini. Kita juga perlu ingat bahawa bukan dengan semata-mata kita berada dalam agama Islam maka kita mesti menang dengan mudah ke atas musuh. Lihatlah perjuangan para nabi dan rasul termasuk nabi Muhammad s.a.w dan para pejuang Islam yang terdahulu di mana mereka diuji dengan begitu teruk sehingga nyawa bagaikan berada dihalkum yang membuatkan hubungan mereka dengan Allah semakin rapat barulah datangnya kemenangan gemilang yang dijanjikan oleh Allah. Oleh itu marilah kita muhasabah diri samada sudah cukupkah syarat sebagai umat yang dijanjikan kemenangan termasuk hubungan kita dengan Allah adakah semakin rapat atau jauh.

Kita terlalu bimbang jika umat Islam terus ketinggalan dalam semua perkara berbanding musuh termasuk hubungan kita dengan Allah yang begitu jauh serta bergelumangnya kita dengan dosa sebagaimana musuh maka usah ditanya lagi mengapakah Allah belum datangkan kemenangan kepada umat Islam pada hari ini. Sebaliknya tanyalah diri kita sendiri bilakah lagi masa yang paling sesuai untuk merapatkan diri kepada Allah dan bilakah lagi masa yang terbaik untuk menjauhi sebarang dosa jika bukan pada bulan Ramadhan ini sehingga diri kita mampu lahir antara umat yang dijanjikan kemenangan oleh Allah. Ujian kekalahan ke atas umat Islam yang tidak mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar adalah lebih baik daripada anugerah kemenangan kerana ditakuti mereka lebih berani melawan Allah selepas itu atas alasan bahawa jika mereka tidak melaksanakan ajaran Islam pun boleh menang, jadi buat apa lagi perlunya mereka untuk kembali kepada ajaran Islam yang menyeluruh. Alangkah malangnya jika berlalunya Ramadhan sedangkan ketaqwaan dalam diri kita terus lemah. Sepatutnya kedatangan bulan Ramadhan bukan bererti melemahkan umat Islam kerana terpaksa berpuasa sebaliknya ia menyemarakkan lagi semangat jihad dalam melawan musuh dalam diri iaitu nafsu dan musuh zahir dari kalangan munafik dan kuffar. Ramadhan bukan menjanjikan kemenangan dalam melawan nafsu sahaja sebaliknya apabila nafsu dapat dikalahkan maka keadaan diri umat Islam lebih dekat kepada Allah sehingga kita mampu untuk menghadapi musuh zahir dengan lebih yakin.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Sudah menjadi sunnah ketetapan Allah bahawa bagi setiap tugas pejuang Islam dalam mememelihara kesucian agama Allah mesti adanya musuh yang sentiasa menghalangnya dengan pelbagai cara sehingga ada yang gugur dan ada yang meneruskan perjuangan dan tidak kurang mereka yang lari daripada perjuangan akibat tidak tahan dengan ujian.
Firman Allah dalam ayat 123 surah al-An’am:

وكذلك جعلنا فى كل قرية أكــبر مجرميها ليمكروا فيها وما يمكرون إلا بأنفسهم وما يشعرون
Maksudnya : Dan demikianlah Kami jadikan dalam setiap negeri ketua penjenayah yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri sedangkan mereka tidak menyedarinya

Ingatlah kita bahawa dalam setiap umat adanya golongan yang soleh dan ada pula golongan jahat yang melakukan pelbagai kerosakan di muka bumi ini. Ini semuanya berada di bawah perancangan dan pengetahuan Allah bagi menguji keimanan golongan yang mempertahankan iman mereka. Umat Islam hari ini turut berhadapan dengan penyangak dan penjahat besar dunia iaitu zionis yahudi yang berjaya memperkudakan Amerika dalam melakukan kezaliman dan dan penindasan. Umat Islam mesti berhadapan dengan musuh Allah ini bukan dengan kekuatan kebendaan semata-mata sebagaimana blok demokrasi melawan blok komunis sebelum ini tetapi apa yang paling penting ialah umat Islam mesti bersedia dalam semua bidang dan sistem berasaskan Islam serta melahirkan lebih ramai umat bertaqwa yang begitu hampir hubungan mereka dengan Allah barulah janji kemenangan akan menjelma.

Malah kuasa komunis Soviet Union tidak tumbang disebabkan kekuatan blok demokrasi sebaliknya mereka jatuh menyembah bumi hasil perjuangan mujahidin Afghanistan yang sentiasa berkobar semangat jihad mereka. Dunia Islam turut menyaksikan bagaimana peperangan antara negara-negara Arab ke atas yahudi Israel tahun 1967 di mana walau pun mempunyai kekuatan senjata dan tentera sehingga Presiden Mesir pada waktu itu, Jamal Abdul Nasser menyatakan dengan penuh yakin bahawa serangan itu bakal menyaksikan sebelum Subuh lagi Israel akan jadi padang jarak padang tekukur. Apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila negara arab kalah teruk sehingga Sinai, Mesir dan Golan, Syria jatuh ke tangan musuh. Ini adalah kerana kekuatan senjata tidak mencukupi jika bergerak bukan atas dasar iman. Ini berbeza dengan hasil kepada suatu lagi peperangan antara tentera Mesir dan Syria dibantu oleh negara arab lain dalam melawan yahudi Israel dengan slogan Allahu Akbar ketika umat Islam sedang berpuasa Ramadan tahun 1393 Hijrah bersamaan Oktober 1973 Masihi di mana yahudi Israel tidak menyangka sekali mereka akan tewas teruk dalam masa sekejap sehingga ratusan pesawat hancur sebelum terbang dan kenderaan ranap sebelum sempat bergerak malah kubu yang dianggap terkuat di dunia berdekatan Terusan Suez turut hancur. Pada hari pertama sahaja yahudi Israel terpaksa meminta bantuan daripada barat dan jika tidak disebabkan bantuan Amerika maka sudah tentu yahudi telah terkubur pada waktu itu. Kemenangan ini boleh berulang jika umat Islam kembali bersatu atas dasar Islam dengan membuang ideologi sesat ciptaan manusia yang selama ini menjadikan kita umat yang tidak mampu berdikari.

Namun apa yang malangnya apabila umat Islam hari ini terus berpecah ketika berhadapan dengan yahudi dan Amerika sehingga kita mudah dikalahkan dan dijajah ditambah dengan tindakan pemimpin negara umat Islam sendiri yang lebih ganas dalam memusuhi rakyat demi menjaga hati Amerika daripada melihat musuh yang sebenar sebagai penjenayah yang sepatutnya dimusuhi. Oleh itu kembalilah kita kepada dasar Islam dan berusaha mendaulatkan Islam mengikut kepakaran, kebolehan dan kemampuan yang kita ada sekurang2nya kita dapat menjawab persoalan Allah di hari kiamat kelak bahawa kita tergolong dikalangan orang yang berusaha menyokong, mempertahan dan berusaha menegakkan kalimah Allah di bumi ini dan bukannya tergolong dikalangan orang yang bermati-matian ingin melenyapkan syiar, syariat, sistem Islam serta menyokong orang yang benci kepada Islam. Dengan usaha kita ini didoakan agar keadilan dan kebenaran dapat dirasai serta kita diredhai oleh Allah di dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat 35 surah al-Maidah :
يــأيها الذين ءامنوا اتقوا الله وابتغوا إليه الوسيلة وجــهدوا فى سبيله لعلكم تفلحون

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

21 Ramadhan 1430/11 September 2009
Ustaz Naim Bin Hashim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan