1AQIDAH: ALLAH DIDAHULUKAN, RASULULLAH DIUTAMAKAN..... "Terimalah sedikit kesusahan dunia yang sementara,dalam menegakkan kebenaran untuk terlepas daripada kesusahan Akhirat yang berkekalan"
Khamis, 3 September 2009
AWAS! SYIRIK TRADISIONAL DAN SYIRIK MODEN
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.”
Maksud Surah an-Nisa’: Ayat 48
(Akibat syirik itu) menjadilah mereka orang-orang yang kufurkan nikmat yang Kami telah berikan kepadanya dan (menjadi) orang-orang yang hanya dapat bersuka ria di dunia; kemudian mereka akan mengetahui kelak akibat buruk apa yang mereka lakukan.
Maksud Surah al-Ankabut: Ayat 66.
Pembaca Sekelian,
Ketahuilah olehmu bahawa sebesar-besar dosa ialah syirik kepada Allah s.w.t. Syirik bermaksud menyengutukan Allah baik dari segi asma’ (nama-Nya), sifat-Nya dan af’al (perbuatan-Nya). Kita tidak boleh sama sekali merasakan dan mengatakan meskipun di dalam hati bahawa ada makhluk sama ada manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, bulan dan bintang yang sama hebat dan setanding dengan Allah s.w.t. Benar bahawa dalam sedar memang sukarlah untuk dicari manusia muslim yang sanggup mengatakan kuasa matahari sama hebat dengan kuasa Allah, nama manusia sama indah dengan nama Allah dan kemampuan manusia mencipta mikrocip dan komputer sama canggih dengan ciptaan Allah. Kalau mereka ber’itikad demikian maka sudah pasti jelaslah kesyirikan itu malah boleh membawa kepada kerosakan akidah.
Pembaca Sekelian,
Kini kita berada di zaman serba moden; apalagi di zaman akan datang setelah ulamak pergi menemui Ilahi. Bukan sahaja corak dan sistem kehidupan serta peralatannya canggih, malah cara berfikir manusia pun semakin maju dan menerawang kepada idea-idea baru. Manusia semakin meminggirkan ilmu dan amalan agama. Sewenang-wenang sahaja manusia bercakap tentang keberkesanan ubat-ubat, ketrampilan sistem teknologi maklumat dan kecekapan sistem perhubungan tanpa bersandar dengan iman kepada Tuhan. Mereka sudah terlupa untuk berkata dan mendetikkan di hati bahawa di sebalik serba kehebatan itu adalah bertolak dari premis kuasa Ilahi semata-mata. Mereka telah lupa dan malas untuk mengiringkan kuasa Allah dalam hal-hal sedemikian. Mereka merasakan diri kolot atau konservatif sekiranya selalu mendendangkan nama Allah, SubhanalLah. Jangan jadi demikian wahai pembaca budiman.
Pembaca Sekelian,
Sering juga tanpa sedari kita bercakap tentang kuasa makhluk halus. Kadang-kadang manusia mengucapkan pelbagai jampi serapah yang tidak difahami maksudnya. Entah-entah jampi serapah itu memuji dan memuja kuasa hantu dan jin. Besar salahnya apabila kita menilai kuasa hantu dan makhluk halus begitu hebat sehingga dapat menentukan untung nasib dan hayat manusia. Kita merasakan hantu dapat memberi pelbagai sakit misteri dan jin dapat menyembuhkan penyakit. Kalau kita menolak kuasa makhluk halus, bomoh dan jampi serapah, jangan pula kalian terlupa tentang ubat-ubatan moden. Kalau kalian meletakkan kehebatan pada ubat-ubatan tertentu, samalah dengan meletakkan kehebatan kepada makhluk-makhluk tadi.
Ramai orang faham tentang kepercayaan syirik pada bomoh, jampi dan seumpamanya tetapi mereka pada sisi lain memuji dan memuja ubat dan perubatan moden dan kontemporari. Ini bermakna peralihan syirik bentuk lama kepada bentuk baru sahaja. Kesyirikan tetap wujud. Di manakah Allah wahai pembaca? Apakah makhluk-makhluk ini mempunyai kuasa yang begitu hebat secara mutlak sehingga kita tidak merasakan lagi sesuatu kejadian itu ditentukan oleh Allah mengikut kehendak dan kuasa-Nya? Sedarilah wahai pembaca sekelian bahawa kuasa makhluk adalah terbatas, lemah dan merupakan pinjaman sahaja.
Hanya jika Allah izin barulah tangan dapat menghayun. Ingatlah diri kita umpama pokok dan bayang. Pokok tidak mampu bergoyang. Kalau pokok bergoyang juga bermakna ada angin yang kita tidak nampak menolaknya. Begitu juga bayang; tiada bayang kalau tiada objek konkrit. Bayang yang bergerak itu adalah kerana objek kepada bayang itu bergerak. Kalau objek itu tidak bergerak maka tidak bergeraklah bayang itu. Demikianlah kedudukan kuasa makhluk dinisbahkan dengan kuasa Tuhan yang menjadikan kau dan aku serta alam keseluruhannya.
Pembaca Sekelian,
Begitu juga dengan hukum-hakam al-Quran. Dari hukum mubah dan harus hinggalah kepada hukum wajib, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah hukum itu mengikut nafsu dan kedangkalan ilmu kita. Mutakhir ini atas nama hak dan persamaan, ada orang yang mempertikaikan hukum pembahagian harta pusaka antara waris lelaki dan waris perempuan. Mereka mempertikaikan apa yang telah jelas termaktub di dalam al-Quranul Karim. Apakah mereka lebih pandai daripada Allah? Apakah makhluk (yang dicipta) lebih pandai daripada Khaliq ( Yang Maha Pencipta)? Subhanallah.
Mereka merasakan ilmu dan zaman mereka dapat mengubah hukum Tuhan mengikut kesesuaian. Ada pula di kalangan muslimin yang merasakan ada hukum lain yang lebih baik dari hukum Tuhan. Mereka mempertikaikan hukum hudud dan qisas kerana alasan tidak sesuai lagi pada zaman moden dan masyarakat majmuk. Apakah Allah begitu lemah sekali sehingga tidak tahu menurunkan suatu hukum yang sesuai untuk semua manusia, zaman dan tempat? Subhanallah.
Betapa kroniknya iman manusia yang mengaku muslim pada hari ini. Segala-galanya mereka hendak bersandarkan pada hukum akal mentang-mentang mereka ada segulung ijazah, Phd. Dan dianggap golongan intelektual. Berwaspadalah wahai umat Islam kesayanganku agar kalian tidak terperangkap dalam polemik dan perdebatan intelektual yang sesat dan menyesatkan. Berhati-hatilah wahai sahabat2ku, kawan-kawan dan putera-puteriku agar kalian tidak terperangkap di dalam telaga buta berbentuk kejahilan.
Pembaca Sekelian,
Ana berdoa agar Allah melindungi kita sekelian daripada kejahatan syirik dan proksi-proksinya. Berdoalah kalian dan terus dekatkan diri pada Ilahi dan bertekun dalam mendalami ilmu yang akan menyelamatkan iman dan akidah kalian. Amin.
Kerana sisik ikan kelisa
Tersilau pandangan burung pekaka
Kerana syirik iman binasa
Tersika badan dibakar neraka.
Berkata Imam Ahmad bin Hanbal:
إذا سكت العالم تقية والجاهل يجهل فمتى يتبين الحق
[ Apabila orang alim berdiam diri dan orang jahil terus dalam kejahilannya, maka bilakah akan nyatanya kebenaran ].
Ketika Rasulullah Saw. menantang berbagai keyakinan bathil dan pemikiran rusak kaum musyrikin Mekkah dengan Islam, Beliau dan para Sahabat ra. menghadapi kesukaran dari tangan-tangan kuffar. Tapi Beliau menjalani berbagai kesulitan itu dengan keteguhan dan meneruskan pekerjaannya.
BalasPadamKetika Rasulullah Saw. menantang berbagai keyakinan bathil dan pemikiran rusak kaum musyrikin Mekkah dengan Islam, Beliau dan para Sahabat ra. menghadapi kesukaran dari tangan-tangan kuffar. Tapi Beliau menjalani berbagai kesulitan itu dengan keteguhan dan meneruskan pekerjaannya.
BalasPadam