Sabtu, 29 Ogos 2009

Tanpa Ilmu Kehidupan / Perjuangan Keliru



Telah berkata Omar Abdul Aziz:

“Barangsiapa yang mengabdikan diri kepada Allah tanpa ilmu, dia akan melakukan lebih banyak kerosakan daripada kebaikan.”(Jami’ Bayan al-Ilmi wa Fadlih – Ibn Abdul al-Barr, juz.1)

Seorang yang tidak pernah tahu tentang penyakit dan ubat, tiba-tiba kerana kasihankan rakannya yang sedang menderita sakit, terus diberikannya ubat tertentu untuk dimakan. Natijahnya, rakannya menjadi semakin tenat. Begitulah kiasannya dengan mereka yang ingin beramal, ingin beribadah, hendak memperbaiki masyarakat yang tenat, ingin melakukan islah, ingin mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran tetapi tanpa ilmu. Niatnya memanglah baik tetapi tanpa ilmu, kemudaratan dan fitnah akan menimpa ke atas amal dan perjuangan.

Ilmu (terutamanya ilmu agama) adalah pintu gerbang kepada segala kebaikan. Ini telah ditegaskan oleh Nabi di dalam sabda Baginda:

“Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan baginya, maka dianugerahkan kefahaman yang mendalam tentang agama dan diilhamkan petunjuk (kepadanya).”(Bukhari – Muslim)

Ilmu akan menampakkan kepada seseorang tentang yang hak dan batil dan ini akan membantunya berjalan menuju syurga. Nabi bersabda:

“Barangsiapa yang memasuki suatu jalan untuk memperolehi ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan ke syurga.”(Riwayat Muslim)

Justeru itu, ketika ditanya kepada Abdullah ibn Mubarak, seorang tokoh hadis, tentang siapakah manusia yang sebenarnya, beliau menjawab:

“Orang-orang yang berilmu!” (Ihya Ulumuddin Bab Kelebihan Ilmu)

Alangkah bahayanya jika seseorang pemimpin tidak memahami agamanya di samping tidak beramanah dengan kepimpinannya. Justeru itu, Nabi Yusof menyebutkan tentang dua ciri yang wajib ada pada seseorang yang menjadi pemimpin:

“Berkata Yusof: Jadikanlah aku Penjaga Khazanah negara kerana sesungguhnya aku beramanah lagi berilmu pengetahuan.” (Yusof 12:55)

Pemimpin yang jahil tentang agama akan sesat dan menyesatkan. Nabi bersabda:

"Yang paling aku khuatiri ke atas umatku ialah pemimpin-pemimpin sesat.." (Abu Daud Tarmuzi)

Alangkah bahayanya jika seseorang itu berani mengeluarkan pendapat dan fatwa tanpa berasaskan ilmu. Telah berkata Imam ibn Sirin:

“Seseorang yang mati dalam keadaan jahil adalah lebih baik berbanding seorang yang jahil tetapi berani mengeluarkan pendapatnya tanpa berasaskan ilmu.”(Fiqhul Awlawiyyat – Dr. Yusof Qardawi)

Alangkah bahayanya jika seseorang pendakwah berdakwah dan berjuang tanpa ilmu. Telah berkata Imam Al-Ghazali:

“Hendaklah seseorang pendakwah itu mempunyai ilmu….supaya dakwahnya diletakkan di atas batas-batas agama.” (Ihya Ulumuddin Bab Adab-Adab Muhtasib)

Berdakwah berasaskan ilmu merupakan landasan perjuangan Rasulullah. Tanpanya dakwah akan menjadi songsang.

"Katakanlah wahai Muhammad: Inilah jalanku, aku menyeru manusia kepada Allah dengan hujjah-hujjah yang jelas, itulah jalanku dan yang mengikutku.." (Yusuf 108)

Alangkah bahayanya bagi seseorang penulis, kolumnis dan pengkritik jika dia tidak menguasai ilmu agama dan tidak memahami kaedah-kaedah tentang halal dan haram. Penyebaran fitnah akan menjadi ringan baginya. Justeru itu Luqman Al-Hakim telah berkata:

“Menutup apa yang kau lihat adalah lebih baik berbanding menyiarkan apa yang kau sangka.” (Ihya Ulumuddin Bab Rukun Amar Makruf Dan Syarat-syaratnya)

Dan, di dalam konteks keluarga, alangkah bahayanya jika kedua-dua ibu-bapa sama-sama jahil tentang agama. Nabi bersabda:

“Setiap anak dilahirkan di dalam fitrah. Ibu-bapanyalah yang meyahudikannya, menasranikannya dan memajusikannya.”(Bukhari)

Telah berlaku suatu insiden di zaman Rasulullah di mana salah seorang sahabat telah luka parah dan ketika itu beliau sedang berhadas besar. Dia telah diarahkan agar melakukan mandi wajib untuk mengangkat hadasnya dan kesan dari itu dia telah meninggal dunia. Nabi amat murka dengan arahan itu:

"Mereka telah membunuhnya...biarlah Allah membunuh mereka. Mengapa tidak bertanya ketika tidak tahu kerana sesungguhnya penawar bagi kebodohan itu adalah bertanya.."(Abu Daud, Ahmad dan Al-Hakim)

Justeru itu, marilah sama-sama kita pertingkatkan ilmu agama kita agar ianya menjadi suluhan kepada kita di mana saja kita berada di samping akan memantapkan perjuangan kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan