Sabtu, 18 Julai 2009

FATWA MENGENAI HUTANG

Fatawa: MASALAH HUTANG SI MATI ATAS PINJAMAN WANG DARI PIHAK KERAJAAN ATAU MAJIKAN

Soalan:-Pada masa sekarang, berbagai kemudahan disediakan kepada orang ramai untuk kemudahan mereka membeli atau membina rumah atau membeli kenderaan. Antaranya ialah dengan cara menyediakan kemudahan pinjaman dimana peminjam dikehendaki membayar balik hutangnya itu secara ansuran dalam tempoh tertentu. Selain dari itu, peminjam dikenakan faedah tertentu atas jumlah pinjaman yang dibuat.Untuk mengelakkan risiko kerugian kepada pihak yang mengeluarkan pinjaman wang, mereka menetapkan syarat bahawa peminjam diwajibkan mengambil polisi insuran menurut kadar yang ditentukan dimana pihak insuran akan menjamin serta menjelaskan semua hutang peminjam sekiranya berlaku kejadian berikut:

(1) Kematian peminjam sebelum selesai menjelaskan hutangnya atas pinjaman membeli rumah.(2) Kemalangan yang memusnahkan barang atau harta yang dibeli, seperti kebakaran rumah atau kenderaan
(3) Kecurian atas kenderaan yang dibeli.Dengan jaminan dan perlindungan itu, maka harta tersebut dikira bebas dari tanggungan hutang dan ianya boleh dimiliki oleh waris si mati atau orang yang berhak keatas harta tersebut tanpa mengeluar apa-apa bayaran lagi.

Dengan kata lain, hutang dengan pihak yang memberi pinjam dikira selesai dengan sebab berlaku perkara tersebut di atas, sekalipun peminjam belum sempat membayar balik pinjamannya walaupun sekali. Sistem ini diamalkan dengan meluas di zaman ini dan menjadi sebahagian dari muamalat yang penting dikalangan masyarakat umum.Semasa membincang masalah tersebut,mesyuarat ditarik perhatian kepada fatwa jemaah ulama’ majlis sebagaimana yang dimuat dalam buku himpunan fatwa jilid pertama keluaran Majlis Agama Islam Kelantan tahun 1987 halaman 163. Fatwa tersebut berbunyi:(orang mati yang menanggung hutang apabila dipersetujui oleh si pemberi hutang untuk melepaskan hutangnya samada melalui perjanjian yang dibuat semasa berhutang atau dimaafkan selepas si pemiutang itu mati, maka ia tidak lagi termasuk didalam hadis tersebut, insya Allah. Wallahualam)

Jawapan:
Dengan mengambil kira fatwa tersebut, mesyuarat bersetuju membuat keputusan sebagaimana berikut:

(1) Bahawa pinjaman wang yang dibuat bagi memenuhi keperluan asasi iaitu rumah kediaman sendiri dan kenderaan untuk kegunaan sendiri hukumnya harus kerana ianya termasuk dalam perkara daruriyat, dengan syarat ianya sederhana sahaja menurut taraf hidup si peminjam. Jika tidak maka hukumnya haram.

(2) Jika si peminjam mati sebelum sempat menghabiskan hutang pinjaman dan dia mengambil perlindungan insuran yang diwajibkan oleh pihak yang mengeluar pinjaman wang, maka dia tidak lagi menanggung hutang atas pinjamannya itu walaubagaimanapun, jika dalam keadaan dimana si peminjam diberi pilihan untuk mengambil polisi insuran yang diakui sah menurut hukum syara’, maka dia hendaklah mengambil insuran sedemikian itu bagi melindungi pinjamannya. Contohnya insuran takaful atau lain-lain sama dengannya, jika ada.

Negara asal : Malaysia
Negeri : Kelantan
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan
Tarikh Diisu : 1995

Tiada ulasan:

Catat Ulasan