Jumaat, 31 Julai 2009

BERSETUBUH KETIKA HAID : PENJELASAN SYARAK MENGENAINYA

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Apakah Dia Kaffarah Kerana Bersetubuh Ketika Haid Itu?

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu‘ Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya bagaimana dengan keadaan seseorang yang mendatangi (menjimak atau menyetubuhi) isterinya pada ketika haid. Baginda lalu bersabda:

Maksudnya: “(Dia) bersedekah dengan satu dinar atau setengah dinar.”(Hadis riwayat Abu Daud)

Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Majah, ad-Daruquthni, ad-Darimi dan an-Nasa’i. Menurut Abu Daud dan al-Hakim, ini adalah hadis shahih. Manakala yang lainnya mengkategorikan hadis ini bertaraf marfu‘ dan mawquf.

Manakala hadis mawquf kepada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Jika (dia) menyetubuhinya (isterinya) pada waktu permulaan darah (haidh), maka (dia membayar) satu dinar. Dan jika (dia) menyetubuhinya (isterinya) pada waktu darah berhenti (kering), maka (dia) membayar setengah dinar.”(Hadis riwayat Abu Daud)

Berdasarkan kedua-dua hadis di atas, kaffarah yang dimaksudkan itu ialah 1 (satu) dinar jika berlaku persetubuhan pada permulaan haid, iaitu ketika darah haid masih kuat warnanya.

Manakala ½ (setengah) dinar jika berlaku persetubuhan pada penghujung atau akhir haid, iaitu ketika darah haid beransur lemah warnanya dan hampir-hampir kering atau sudah berhenti.

Adapun maksud dinar di atas adalah dinar mengikut timbangan Islam daripada emas tulin. Satu dinar bersamaan dengan satu misqal daripada emas, iaitu 4.25 gram emas (mengikut timbangan pada zaman sekarang).

Sebagai irsyad, harga minima bagi satu gram emas 21 karat (setakat Irsyad Hukum ini ditulis) ialah $29.70. Maka nilai satu dinar mengikut nilaian matawang ringgit ialah 4.25 gram x $29.70 = $126.225. Manakala setengah dinar pula bernilai $63.1125.(Ini untuk Brunei(dolar), untuk malaysia sila kira dalam nilaian ringgit malaysia)
(anggaran semasa di Malaysia, 1 gram emas = rm125.30x4.25gram =rm 532.525)
*SILA DAPATKAN HARGA EMAS SEMASA DAN TERKINI DI PASARAN (4.25 GRAM)*

Kaffarah yang disebutkan itu hanya dikenakan ke atas suami sahaja dan disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin. Manakala menurut Imam ar-Rafi‘e Rahimahullah, memadai kaffarah tersebut diberikan kepada seorang fakir sahaja.

Bersetubuh Setelah Kering Darah Haid Tetapi Belum Mandi

Imam an-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Majmu‘ bahawa ulama-ulama Syafi‘e mengatakan apabila perempuan yang haid itu sudah kering darahnya, maka terangkatlah beberapa perkara yang diharamkan ke atasnya seperti puasa, talak dan zhihar.

Adapun larangan kerana disebabkan hadas seperti sembahyang, tawaf, sujud Tilawah dan Syukur, i‘tikaf, memegang dan membaca al-Quran dan tinggal atau duduk dalam masjid, masih dilarang dan masih berjalan hukumnya sehinggalah dia mandi mengangkat hadas besar. Begitu juga larangan bersetubuh dan mubasyarah (menyentuh) kawasan antara pusat dan lutut.

As-Sayyid al-Bakri menukilkan kata-kata Syaikh al-Islam Zakariyya al-Anshari dalam Syarh ar-Raudh, sebagaimana diharamkan bersetubuh pada akhir waktu haid, diharamkan juga bersetubuh setelah darah haid berhenti atau kering sebelum mandi mengangkat hadas besar.

Menurut jumhur ulama, hukum bersetubuh dengan perempuan yang haid sebelum dia mengangkat hadas sekalipun darahnya sudah kering atau berhenti atau bersih adalah haram sehinggalah dia terlebih dahulu mandi mengangkat hadas ataupun bertayammum (pada keadaan sah tayammumnya itu).

Begitu juga dengan mubasyarah (menyentuh) kawasan antara pusat dan lutut sehinggalah perempuan tadi mengangkat hadas besar. Jika dia tidak mendapati air, maka hendaklah dia bertayammum kerana tayammum itu bersamaan dengan mandi dalam mengangkat hadas.

Di samping itu jumhur mengatakan jika seseorang bersetubuh dengan perempuan yang sudah berhenti atau kering darah haid dan sebelum mandi, maka (sunat) ke atasnya kaffarah, iaitu bersedekah kepada orang fakir miskin dengan ½ (setengah) dinar.

Perintah Untuk Mandi Setelah Kering Darah Haid

Ulama sepakat bahawa mandi mengangkat hadas disebabkan haid dan nifas adalah wajib, iaitu apabila telah berhenti atau kering darah tersebut.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis riwayat ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha ketika Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Baginda mengenai masalah haid dan istihadhah.

Maksudnya: “Maka jika datang haidhmu, maka kamu tinggalkanlah sembahyang, dan jika (kadar masa kebiasaan haidh) telah berlalu (tamat), maka bersihkanlah dari dirimu darah haidh (mandilah) kemudian sembahyanglah”.
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Secara dasarnya darah haid itu bukan sahaja menjijikkan kepada orang lain, malah bagi perempuan yang mengalami haid itu sendiri. Kerana itu, tegahan melakukan persetubuhan ketika haid walaupun menggunakan kondom adalah sangat wajar, di samping ianya mendatangkan mudharat. Manakala dari sudut pandangan agama, hukumnya adalah haram dan melakukannya dengan senghaja merupakan dosa besar dan pelakunya disunatkan membayar kaffarah.

Menurut Imam al-Ghazali, melakukan persetubuhan sebelum mandi akan mewarisi judzam (penyakit kusta) kepada anak.

Oleh kerana itu hubungan suami isteri akan terbatas selama mana isteri belum mandi mengangkat hadas, sekalipun darah haid sudah kering atau berhenti. Maka apabila darah haid telah kering, wajiblah menyegerakan mandi untuk mengangkat hadas supaya tidak tertinggal melaksanakan ibadat yang dituntut.

WALLAHUA'LAM

Khamis, 30 Julai 2009

Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM

Oleh: Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Jualan Pelbagai Peringkat atau lebih dikenali sebagai ‘Multi Level Marketing' atau MLM adalah amat popular di Malaysia. Dalam pada masa yang sama, sistem yang sama juga digunakan oleh industri penjualan Saham Amanah Islam dan beberapa produk Takaful. Statistik tahun 2003 menunjukkan industri MLM Malaysia mencatatkan jualan RM 4 bilion dan lebih dari 3 juta orang Malaysia terlibat dalam urusniaga MLM.

Akibat dari kebanjiran produk dan syarikat yang menggunakan sistem ini dalam mempromosi dan penjualan produk mereka. MLM kini boleh dianggap sebagai sebuah sistem pemasaran yang diterima ramai. Bagaimanapun, amat jarang dijumpai ilmuan Shariah samada dalam atau luar negara yang ingin atau berminat untuk menghuraikan sistem ini dari aspek Shariah dengan terperinci dan konkrit. Ini mungkin disebabkan kerumitan atau kurangnya minat ilmuan Shariah untuk mendalami proses sistem ini.

Para ‘Ustaz' dan Multi Level Marketing

Saya juga tidak dapat lari dari dibanjiri soalan demi soalan berkenaan hal ini. Pada awalnya, saya cuba untuk mengelak disebabkan terlampau banyak bentuk dan jenis MLM ini hingga menyukarkan sesiapa juga untuk memandu dan menerangkan hukumnya secara jelas. Di tambah pula mengenagkan pengikut dan pengamalnya yang terlalu ramai dan kebanyakkannya pula kelihatan ‘taksub' dan amat yakin akan halalnya kaedah MLM ini.

Tidak kurang juga terdapat para graduan Shariah atau pengajian Islam yang digelar ‘Ustaz' dan Ustazah' yang juga kuat berkempen produk-produk syarikat dengan skim MLM. Lebih hangat dan meriah lagi, kumpulan ini kerap mendakwa ianya halal lalu diselitkan dengan pelbagai dalil Al-Quran dan Hadith yang menggalakkan umat Islam berniaga, kuat ekonomi dan lain-lain. Hakikatnya, dalil-dalil ini bukanlah khusus untuk menyokong MLM dan perniagaan piramid mereka.

Ikhlas saya ingin nyatakan di sini, agak ramai juga orang ramai yang terpengaruh dengan kempenan dari kumpulan ilmuan agama seperti ini, menyebabkan orang ramai menyertainya tanpa berfikir lagi berkenaan halal atau haramnya sesuatu produk itu kerana ia telah diiktiraf oleh seorang ‘ustaz'. Justeru, saya ingin menasihatkan semua rakan-rakan lulusan Shariah dan Pengajian Islam agar lebih berhati-hati memberikan sebarang hukum dan merujuk dengan lebih mendalam sebelum berkempen dan mendakwa halalnya sesuatu produk hanya semata-mata kerana ia mendapat keuntungan besar di dalamnya. Ini kerana agak ramai juga saya dapati orang ramai yang berkiblatkan ustaz tertentu dalam kempen MLM mereka. Berkatalah Al-Laith bin Sa'ad : « Seandainya orang-orang yang memiliki pemahaman halal dan haram meneliti masalah ini, pastilah mereka tidak akan membolehkannya kerana terdapat di dalamnya unsur perjudian » ( Riwayat Al-Bukhari, no 2346 ). Sayyidina Umar al-Khattab r.a telah mengingatkan:

لا يبع في سوقنا إلا من قد تفقه في الدين

Ertinya : "Jangan seseorang kamu berjual beli di pasar kami, kecuali ia telah mendalami ilmu (hukum) agama tentangnya" ( Riwayat Tirmidzi, no 487, hlm 129 ; Albani : Hasan)

Bagi membantu masyarakat yang semakin ‘hangus' dalam industri ini, saya merasakan adalah elok untuk saya berkongsi panduan umum Shariah dalam hal penggunaan MLM ini. Bagaimanapun, saya tidaklah mampu untuk menujukan tulisan ringkas ini kepada mana-mana jenama MLM yang wujud di Malaysia mahupun luar negara. Tulisan ini hanya memberikan sedikit gambaran dan garis panduan yang diletakkan oleh undang-undang Islam dalam hal MLM ini.

Pengertian MLM

Secara umum ‘Multi Level Marketing' adalah suatu cara perniagaan alternatif yang berkaitan dengan pemasaran yang dilakukan melalui banyak level (tingkatan), yang biasa dikenal dengan istilah ‘Upline' (tingkat atas) dan ‘Downline' (tingakt bawah), orang akan disebut ‘Upline' jika mempunyai ‘Downline'. Pokok utama dari perniagaan MLM ini digerakkan dengan jaringan ini, sama ada yang bersifat ‘vertikal' atas bawah mahupun ‘horizontal kiri kanan' ataupun gabungan antara keduanya. (Lihat All About MLM oleh Benny Santoso hal: 28, Hukum Syara MLM oleh Hafidz Abd Rahman, MA)

Bentuk MLM yang Haram atau syubhat
Ada beberapa bentuk sistem MLM yang jelas keharamannya atau keraguannya, iaitu apabila ia menggunakan sistem berikut :

1) Harga tinggi dari biasa : Menjual produk yang diperjualbelikan dalam sistem MLM dengan harga yang jauh lebih tinggi dari harga biasa, ia adalah amat tidak digalakkan menurut Islam malah menurut sebahagian ulama, aqad seperti ini adalah terbatal. Tatkala itu, ia digelar ‘Gabhnun Fahisyh' menurut istilah ulama Fiqh. Hukum jualan secara ‘Ghabnun Fahisy' ini diperbezakan oleh ulama antara harus, makruh dan haram. (Durar al-Hukkam Fi Syarh Majallah al-Ahkam, klausa no 356, hlm 369). Bagaimana Nabi SAW pernah mengisyaratkannya sebagai suatu kezaliman jika berlaku kepada orang yang tidak mengetahui selok belok harga barang. (Al-Qawaid, Ibn Rusyd, hlm 601)

Bagaimanapun perlu diingat, dalam satu MLM mungkin terdapat 3 atau 4 unsur syubhat dan haram yang akan saya sebutkan. Ini tidaklah bermakna saya mengatakan MLM haram hanya kerana adanya unsur "Harga Lebih Tinggi dari Biasa" , ia cuma salah satu unsur yang perlu disemak dan boleh memburukkan lagi hukum sesuatu MLM sehingga boleh jatuh tahap haram kerana penipuan dalam keadaan tertentu yang lain.

Apa yang ingin saya nyatakan ‘Ghabnun' di sini adalah yang dibuat dalam bentuk penipuan harga kepada orang awam, iaitu harga yang sengaja dinaikkan kerana merangkumkan yuran penyertaan dalam system priamid. Sebagai contoh saya pernah ‘terpaksa' membeli sebuah produk MLM. Oleh kerana tukang jual MLM ini amat sukar beralah, dan saya ingin ia cepat menamatkan kempenanannya dengan adab, lalu saya belilah satu produknya yang termurah, iaitu sebiji bantal yang dikatakan sangat hebat, harganya mencecah RM300 sebiji. Inilah namanya 'Ghabnun', sedangkan bantal tersebut rupa-rupanya langsung tiada istimewanya setelah digunakan. Maka jelas harganya dinaikkan kerana penyertaan sebagai ahli dan masuk dalam sistem. Tapi saya senyapkan saja keahlian dan langsung tidak bergerak, membeli hanya kerana kasihan dengan si penjual yang dikenali ini sahaja.

Inilah maksud saya mempunyai unsur ‘Ghabnun', mungkin unsur ini tidak cukup kuat untuk menjadikannya haram, tetapi ia salah satu unsur yang memberi kesan kepada aqad, kesan ini apabila ia bergabung dengan unsur-unsur syubhat yang lain, ia boleh menjadi haram.


Sebagai Makluman :

Mazhab Hanafi : terbahagi kepada 3 pandangan, iaitu ada ulamanya yang mengatakan ghabnun harus walaupun Fahisyh, kedua : Haram , ketiga : Haram bila ada usnur penipuan sahaja ( Syarh ad-Dur , AL-Haskafi, 2/82 )

Mazhab Maliki : Juga ulama mereka berbagai pandangan : Pertama : Ghabnun Mustrasil samada Yasir atau fahsiyh : Haram ; Kedua : Ghabnun lebih tinggi 1/3 dari harga pasaran biasa tanpa adalah HARAM. ( Al-Qawaid : Ibn Rusyd , hlm 601 ; AL-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Ibn Juzay, hlm 294)

Mazhab Syafie : Harus hukumnya kecuali pandangan ganjil dari al-Mutawaali yang mengharamkannya . ( Al-Majmu' , 7/500 )

Mahzab Hanbali : Ibn Quddamah berkata : "Ghabn Mustarsil adala apabila si pembeli membeli dengan harga yang terkeluar dari harga pasaran ... teruatamanya apabila didesak ( agar tak pergi semak kedai-kedai lain dulu) dan cuba disegerakan oleh penjual " ( Al-Mughni , 4/78 )

Justeru, perbincangan panjang tentang 'Ghabn' sebenarnya menunjukkan terdapat jenis 'Ghabn' yang disepakati haramnya oleh ulama, ada yang disepakati halalnya, dan terdapat yang diperbezakan pandangan. Justeru apabila saya sebut 'ghabn' sebagai salah satu sebab boleh jadikan MLM haram, maka ini kerana berkemungkinan jenis yang disepakati haram itu berlaku. Justeru, semasa menulis artikel anda perlu faham target saya. Adakah anda yakin semua jenis 'Ghabn' yang berlaku dalam MLM itu tergolong dari golongan yang harus ?. Jika ye, maka itu pandangan anda , bukan saya. Saya lebih selesa berpandangan ia banyak jenis 'Ghabn' yang berlaku lebih menjurus kepada haram terutamanya apabila hampir semua syarikat-syarikat MLM ini amat mengambil mudah akan hal hukum agama. Jika tidak, pastinya mereka telah mengambil Penasihat Shariah sejak dari awal.

2) Jualan target sebagai syarat komisyen : Selain dari yuran yang wajib dibayar oleh ahli, pada kebiasaannya terdapat syarat yang mewajibkan ahli tersebut mencapai target jualan tertentu bagi melayakkannya mendapat apa jua komsiyen dari hasil jualan orang di bawahnya. Apabila ia gagal mencapai ‘harga target' tersebut maka keahliannya akan hilang atau tiada sebarang komisyen untuknya walaupun orang bawahannya menjual dengan begitu banyak. Semua MLM yang terlibat dengan syarat seperti ini, menyebabkan sistem MLM mereka menjadi bermasalah dari sudut Shariah kerana wujudnya unsur kezaliman terhadap ahli selain wujudnya kewajiban jualan bersyarat dengan syarat yang tidak menyebelahi ahli serta berbentuk penindasan. Seolah-olah pihak syarikat memaksanya dengan mengatakan "Anda mesti membeli atau mengekalkan penjualan peribadi sebanyak RM 500 sebulan bagi membolehkan anda mendapat hak komisyen orang bawahan anda".

Pada asasnya, komisyen yang diambil atas usaha menjual (seperti ‘brokerage fee') sesuatu barangan adalah adalah harus menurut Shariah, ia adalah pandangan ulama besar Tabi'en seperti Muhammad Ibn Sirin, ‘Ato' Bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha'ie dan ramai lagi (Sohih Al-Bukhari ; Al-Musannaf, 5/242 ; Mawahibul Jalil, 4/452 ). Bagaimanapun, komisyen dalam hal MLM dan system piramdi ini boleh bertukar menjadi haram apabila :-

* Diikat komisyen jualan rangkaiannya dengan sesuatu jualan olehnya, ia menimbulkan masalah dari sudut Shariah seperti unsur pemaksaan, syarat yang tidak sah dalam perwakilan dan perjudian.

* Komisyen datang dari orang bawahan yang langsung tidak dikenalinya kerana sudah terlampau jauh ke bawah. Ini menjadikan orang atasan seolah-olah mendapat untung di atas angina tanpa sebarang kerja dan usaha lagi. Ia juga boleh dikelaskan sebagai broker di atas broker di atas briker di atas broker dan seterusnya. Dalam hal berbilangnya rantaian komsiyen broker ini, menurut perbincangan saya bersama Syeikh Prof. Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pakar Shariah utama dalam bidang kewangan Islam dunia di Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia, AAOIFI, Dow Jones Islamic Index dan lain-lain) ia termasuk dalam konteks memakan harta orang lain dengan bathil selain terdapat unsur judi. Ini adalah kerana ia seolah-olah meletakkan syarat kepada semua orang bawahan samada dengan pengetahuan mereka atau tidak, semua hasil jualan mereka akan diambil sebahagian keuntungannya untuk orang atasnya.

* Dari sudut yang lain, terdapat juga keraguan dalam isu pemberian komisyen di atas usaha dan tugas agen (wakil penjual) atau "brokerage" (tukang kempen). Ini kerana sepatutnya komisyen ke atas "brokerage" tidak harus mensyaratkan tukang kempen itu untuk membeli untuk diri sendiri sebagaimana yang berlaku dalam beberapa jenis MLM. Sesetengahnya pula mensyaratkan ‘broker' atau ‘agen' untuk menjual sendiri sebanyak sekian jumlah bagi memperolehi komisyen jualan broker (ahli) di bawahnya. Dengan sebab-sebab ini, hal ‘broker' atau ‘agen' menjadi syubhah dan tidak lagi benar ianya disifatkan sebagai komisyen wakil atau broker yang diterima Islam.


3) Jika ahli berdaftar menyertai MLM dengan yuran tertentu, tetapi tiada sebarang produk untuk diniagakan, perniagaannya hanyalah dengan mencari orang bawahanya (downline), setiap kali ia mendapat ahli baru, maka diberikan beberapa peratus dari yuran ahi tersebut kepadanya. Semakin banyak anggota baru bermakna semakin banyak jualah bonusnya. Ini adalah bentuk riba kerana memperdagangkan sejumlah wang untuk mendapat sejumlah lebih banyak yang lain di masa hadapan. Ia merupakan satu bentu Riba Nasiah dan Riba Al-Fadl. Hal yang sama juga hukumnya bagi perusahaan MLM yang tidak mempunyai produk bersungguh dan berkualiti, sebaliknya produk miliknya hanyalah berupa ruangan laman web yang tidak berfaedah buat kebanyakkan orang, atau apa jua produk yang hanya dijadikan sebagai alasan pembelian. Malah harga sebenar produknya juga adakalanya jauh dari harga yang dijual kepada ahli (sebagai contoh dijual produk web komputer, sedangkan haragnya jauh lebih tinggi dan si ahli pula tidak mempunyai komputer pun). Pada hakikatnya, si ahli bukannya ingin membeli produk itu, tetapi untuk menyertai rangkaian serta memperolehi wang darinya. Ia juga termasuk dalam yang diharamkan. Hal membeli produk tidak benar dengan niat utama memasuki rangkaian dan mendapat untung dari rangkaian ini telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah Arab Saudi no 15/192-193.

4) Terdapat juga syarikat MLM yang melakukan manipulasi dalam menjual produknya, atau memaksa pembeli untuk menggunakan produknya atau yang dijual adalah barang haram. Maka MLM tersebut jelas keharamannya. Namun tidak semua MLM begini, cuma sebahagianya sahaja.

5) Terdapat juga unsur mirip "shafqatayn fi shafqah", atau bay'atayn fi bay'ah, (iaitu dua aqad jenis jual beli dalam satu) yang dilarang oleh Baginda SAW dengan pelbagai lafaz antaranya : "

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن صفقتين في صفقة واحدة

Ertinya : "Rasulullah SAW melarang dari membuat dua belian (aqad) dalam satu aqad" ( Riwayat Ahmad, Al-Bazzar ; Al-Haithami : perawi Ahmad adalah thiqah ; 4/84 )

Ini berlaku apabila ada sebahagian syarikat MLM yang membuka pendaftaran ahlinya, setiap ahli perlu membayar sejumlah wang disebut yuran, tidak dapat dipastikan samada yuran tersebut untuk membeli kedudukan di dalam rangkaian ataupun membeli produk. Pada waktu yang sama, dengan termeterainya keahliannya itu, ia akan menjadi wakil pula bagi syarikat untuk merekrut ahli baru, maka tindakan MLM seperti ini, boleh dikatakan termasuk dalam kategori hadis : shafqatayn fi shafqah, atau bay'atayn fi bay'ah. Ini kerana, dalam hal ini, orang tersebut telah dikira melakukan transaksi aqad Mu'awadat (kontrak pertukaran hak kewangan) bila membeli produk atau menjadi ahli dan dalam masa yang sama masuk dalam satu jenis aqad lagi iaitu perwakilan (untuk menjualkan produk itu kelak di samping mencari ahli baru) dengan komisyen tertentu. Maka, praktis seperti ini jelas tergolong sebagaimana hadith di atas.

Ingin saya tekankan juga, hal berkaitan komisyen jualan orang di level keseratus akan diperolehi juga oleh upline di tingkat kedua, padahal mereka tiada sebarang kaitan aqad yang jelas, dan hanya kerana rantaian orang dibawahnya maka ia mendapat untung?. Apa yang diletakkan untuk mendapat untung?.

Sedangkan dalam contoh sebuah syarikat besar, seorang pemegang saham sememang layak dapat untung walaupun goyang kaki kerana ia meletakkan 'modal', sebagaimana yang diketahui , keuntungan boleh didapati dari tiga sebab iaitu 1) Modal 2) Kerja 3) Jaminan 'Dhoman' barangan dari sebarang aib pada barang yang dijual.

Lalu si pemegang modal berhak mendapat untung kerana ia letak modal, si pekerja layak mendapat untung kerana ia bekerja .. jadi apa hak si upline kedua untuk dapat untung jualan si downline ke seratus? Tiada modal, tiada kerja, tiada jaminan atau dhoman barangan yang dijual, kernaa jaminan barangan yang dijual adalah dari syarikat, bukan upline!.

Apa Maksud Sebenar Dua Aqad Dalam Satu ?

Shafqatain di Safqah dan lafaz yang seertinya denganya memang tidak dinafikan mempunyai banyak takrif dan tafsiran menurut kefahaman ulama yang berbeza. Manakala sesiapa yang hanya mendedahkan hanya beberapa kerat dari pandangan tersebut dan kemudian terus memegangnya. Tapi perlu diingat disana terdapat pelabagi tafsiran yang lain pula, dan saya memegang tafsiran yang lain. Maka itu tidak bererti tafsiran pegangan saya adalah salah, dan tafsiran pegangan anda mesti betul. Jika demikian perangainya, maka ini jelas tidak faham konsep ikhtilaf dalam nas.

Sebagai hadiah untuk awam dan pembaca yang mampu faham ini beberapa tafsiran tentang hadith dua aqad dalam satu mengikut beberapa kumpulan ulama silam dan kaitannya dengan MLM:-

1) iaitu contoh berkata penjual kepada pembeli : " Aku jual kepadamu baju ini dengan harga RM 10 tunai , atau RM 20 secara tangguh" , maka si pembeli bersetuju TANPA mengspecifickan plan tangguh atau tunai yang dikehendakinya. Ini bentuk yang ditafsirkan oleh Imam Malik, Abu Hanifah, At-Thawri, Ishak Rahawaih, Imam As-Syafie ( Syarh as-Sunah, Al-Baghawi, 8/142 ; ‘Aridathul Ahwazi, 5/240 ; Al-Mughni, Ibn Quddamah, 6/333; Al-Mudawwanah, 9/191 ).

Tiada khilaf di kalangan ahli ilmu, jenis ini adalah HARAM. Bagaimanapun tafsiran ini tidak berapa berkaitan dengan MLM, kerana biasnaya plan harga akan dipilih dengan tepat.

2) Iaitu contohnya pembeli : "jualkan kepadaku barangan ini dengan harga RM 10 tunai atau dengan sebuah radio pada tarikh akan datang", kemudian kedua-dua bersetuju tanpa memberikan yang mana satu mereka inginkan. Ini adalah tafsiran Imam Malik pula ( ‘Aridathul Ahwazi, 5/240 ) . Ini juga tiada kaitan dengan MLM.

3) Iaitu contohnya berkata seorang lelaki : "Aku jual kebunku ini dengan harga RM 10,000 dengan syarat kamu jualkan rumah kamu pula dengan harga RM 15,000" . Inilah juga tafsiran ulama mazhab Hanafi, Hanbali dan Syafie. ( Al-Mughni , 6/332 ; Al-Um, 3/67 ; ‘Aridatul Ahwazi, 5/239 )

Inilah tafsiran yang saya lihat ada kaitannya dengan kebanyakkan MLM. Iaitu berkata syarikat MLM kepada seorang ahli baru sebagai contoh : "aku jual barang water filter ini dengan harga RM 2000 dengan syarat engkau jadi wakil jualanku dengan komisyen sebanyak 3 % dari harga jualanmu dan aku beri mandate kamu untuk jadi lantik ahli baru dan setiap jualannya kamu akan dapat 1 % dengan syarat kamu ada jualan sendiri sebanyak RM 1000 setiap bulan"

Lihat, dalam contoh saya tu ada berapa jenis aqad muawadah maliah yang bersifat lazim?

a- Jual barang RM 2000 - Aqad jual beli yang bersifat lazim

b- Lantik jadi wakil dengan upah (Wakalah bil Ujr) - aqad wakalah yang bersifat lazim.

c- Beri mandate untuk cari ahli - ini tiada masalah

d- Setiap ahli yang kamu lantik jual kamu layak dapat 1% - Ini ju'alah, juga kelihatan tiada masalah.

e- Kamu hanya layak dapat 1 % ju'alah tadi dengan syarat kamu ada jualan sendiri RM 1000 - Ini ada syubhat sikit syarat seperti ini. Perlu perbincangan dan ijtihad.

Cuma, secara umum kita dapat melihat bergabungnya dua aqad mu'awadat maliah (pertukaran hak milik harta) yang bersifat Lazim. Jika aqad itu ghayru Lazim maka ia diharuskan, tetapi dalam hal ini dua aqad itu adalah "aqad lazim"

4) Iaitu seorang penjual menjual dua barangan berlainan harga iaitu kasut dengan harga RM 100 dan handphone dengan harga RM 700, tetapi ia membuatnya terikat, iaitu jika anda beli handphone, maka pembelian kasut juga menjadi wajib. Inilah takrif yang dipegang oleh Al-Qadhi Ibn Al-Arabi al-Maliki ( Al-Qabas Syarah Al-Muwatta', 2/842 ; Al-Muntaqa , 5/36) .

Ini juga mempunyai sedikit kaitan dengan MLM kerana meletakkan syarat satu aqad lain sebagai syarat untuk sesuatu aqad itu boleh ‘concluded'.

5) Iaitu contohnya : Berkata penjual : " Aku jual handphone ini dengan RM 100 dengan bayaran ansuran dalam 3 bulan, dengan syarat aku akan belinya semual darimu dengan harga RM 80 tunai" . Ini adalah tafsiran Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim pula. Ia adalah sama dengan takrif Bai Inah. ( Mukhtasar Al-Fatawa Lib Ibn taymiah, hlm 327 ; Tahzib Mukhtasar Sunan Abi Daud, Ibn Qayyim, 5/100 )

Tafsiran ini agak kurang kaitannya dengan MLM.

Demikianlah beberapa takrifan dan tafsiran ulama tentang hadith dua aqad dalam satu. Sebenarnya ada terdapat 3 lagi tafsiran, Cuma cukuplah sebagai info tambahan kepada pembaca. Oleh kerana beberapa yang dilakukan dalam MLM ada terdapat dalam salah satu tafsirannya, maka saya masukkan point dua aqad di dalam satu sebagai isu yang boleh menjadikan MLM samada haram atau batal atau syubhat.

Keputusan Majma Fiqh Sedunia ?

Kesatuan Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian. Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang digunakan adalah komisyen atau upah ‘brokerage' sebagaimana didakwa. (Rujuk keputusan nombor 3/24, 17 Julai 2003). Selain itu, Syeikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya : "Banyak pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai. Yang secara umum gambarannya adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian selanjutnya. Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah tertentu dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan. Sebenarnya kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak menginginkan produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:

Ø Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan produknya, akan tetapi tujuan utama mereka adalah menyertai rangkaian piramid bagi mendapatkan kekayaan cepat apabila setiap ahli baru membayar yuran.

Ø Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30% dari wang yang dibayarkan pada syarikat MLM.

Ø Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang berada pada level atas (Upline) sedangkan level bawah (downline) selalu memberikan nilai point pada yang berada dilevel atas mereka.

Justeru, saya kira, amat tipis untuk mencari MLM yang tidak tergolong dalam item-item salah yang saya sebutkan di atas, malah saya juga suka menyarankan agar pengamal-pengamal jualan amanah saham dan Takaful secara wakil untuk lebih berhati-hati agar tidak terjerumus dalam bab MLM. Bagaimanapun, jika anda masih ingin mendakwa halalnya MLM ini, saya sarankan agar pengamal MLM memastikan asas minima Shariah berikut dapat dipatuhi :-

1. Produk MLM ini mestilah dibeli dengan tujuan yang sebenarnya (seperti produk yang benar-benar bermanfaat dan dibangunkan dengan serius seperti ubat-ubatan berkualiti, unik dan lainnya). Justeru, produk MLM yang kabur kualiti dan kegunaannya tidaklah dibenarkan kerana ia hanyalah bertujuan untuk mengabui dalam undang-undang dan hukum Shariah, ia tiadalah halal di sisi Shariah. Justeru, kekuatan MLM itu ialah kepada produknya yang bermutu dan bukan kepada objektif jangka pendek mengumpul dana (modal).

2. Produknya bukan emas dan perak yang boleh dijual beli secara tangguh. Ini kerana penjualan barangan emas secara tangguh adalah Riba jenis Nasiah.

3. Komisyen yang diberikan kepada ahli untuk setiap penjual dan ahli bawahannya mestilah jelas. Tiada komisyen tanpa usaha, ini bermakna orang atas hanya berhak mendapat komisyen dari ahli bawahan yang dibantunya sahaja.

4. Keuntungan dan komisyen bukan berdasarkan ‘kepala' atau ahli yang ditaja, tetapi adalah berdasarkan nilai produk yang berjaya di jualnya. Ini diperlukan bagi membuktikan ia menumpukan kepada perniagaan penjualan produk dan perkhidmatan dan bukannya permainan wang (money game).

5. Tidak diwajibkan bagi si ahli menjual jumlah tertentu bagi memperolehi komsiyen dari orang bawahannya.

6. Setiap ‘upline' atau orang di sebelah atas mestilah menaruh usaha atas jualan orang bawahannya, seperti mengadakan perjumpaan taklimat, motivasi dan teknik berkempen secara terancang seperti sebuah syarikat yang pelbagai ahlinya. Ia perlu bagi melayakkannya menerima komisyen itu dari sudut Shariah, jika tidak adalah dibimbangi ia akan terjerumus kepada keraguan ‘syubhah'. Ini kerana konsep niaga dalam Islam tidak membenarkan suatu keuntungan dari sesuatu perniagaan yang diperolehi tanpa usaha. Justeru, sedikit usaha perlu dicurahkan bagi menjadi sebab haknya ke atas komisyen. Perlu diingat, kebanyakan ahli di kaki yang 10 ke bawah, mungkin tidak mengenalinya lantaran ia dilantik oleh orang bawahannya yang kesembilan. Jika tidak, apakah haknya untuk mendapat komisyen yang demikian berangkai dan begitu jauh ?.

7. Tidak menggunakan skim piramid iaitu skim siapa masuk dulu akan untung selamanya. Manakala hak mereka yang masuk kemudian akan berkurangan. Justeru, plan pemasaran mestilah memberikan hak kepada semua, malah orang bawahan mampu mendapat keuntungan lebih dari orang atasannya, apabila ia mampu menjual dengan lebih hebat.

8. Mempersembahkan system komisyen dan bonus yang telus dan boleh difahami dan dipantau oleh ahli dengan jelas. Ia bagi mengelakkan segala jenis penipuan.

9. Menstruktur plan pemasaran di anatara ahli dan orang bawahannya secara musyarakah iaitu perkonsgian untung dan rugi berdasarkan modal masing-masing dengan nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal lagi.

Mana MLM alternatif??

"Kalau ustaz pandai sangat, kenapa tak tuliskan sahaja macam mana MLM yang menepati Shariah tu, biar orang boleh guna" Demikian tempelak seorang pemuda tanpa kesabaran melalui sebuah web.

Jawapan saya seperti berikut :-

Pertama : Memang ramai 'suruh', 'arah' dan minta saya sebutkan macam mana MLM yang harus serta realistik.

Inilah masalah orang ramai, tidak berfikir mendalam sebelum meminta. Kita kena faham, tak semua yang perniagaan diasakan ikut cara yang menpeati Shariah itu menarik pada pandangan mata orang ramai dan boleh laku untuk dijual di Malaysia, dan tak semua pula plan dan skim atau produk yang sangat boleh dijual dan menarik itu menepati hukum Shariah. Jadinya bagi menghasilkan satu plan hebat yang menepati Shariah dan boleh jual, perbincangan dua pihak antara Ilmuan Shariah & bisnesman amat perlu dalam hal ini.

Mana mungkin sebuah plan pemasaran MLM terbaik dapat dicadangkan hanya dengan mengemukakan permintaan mudah begitu sahaja kepada saya, ini kerana mungkin saya mempunyai penyelesaian dari sudut teori Shariahnya. Teori ini pula sebahagiannya bersifat fleksible dan tidak sebahagian yang lain, kerana itu perbincangan diperlukan dengan pihak pakar pemasaran demi memastikan samada ia 'viable' untuk diperkenalkan atau tidak. Kerana saya bukanlah pakar dalam bab pemasaran.

Kedua : Saya juga bukanlah seorang jutawan yang membolehkan saya memperkenalkan plan bisnes MLM contoh yang hebat dan menepati Shariah. Mudahnya, selagi tiada bisnesman Muslim yang punyai perhatian kuat tentang halal haram dan berkesudian berbincang dengan orang Shariah, selagi tu tidak akan didapati plan dan skim MLM alternatif yang menepati Shariah.

Untuk maklumat, proses inilah yang amat kerap kami (ilmuan Shariah sedunia, saya dan rakan-rakan ustaz di semua institusi kewangan Islam seluruh dunia) ; iaitu kami duduk berjam-jam dengan pakar pemasaran, peguam untuk mencipta produk kewangan Islam yang halal serta dalam masa yang sama aqad-aqadnya juga halal dan boleh diaplikasikan di sisi undang-undang Malaysia. Kesimpulan saya, jika hanya ada satu pihak sahaja yang bersungguh, ia pasti akan menjadi hasrat yang terbengkalai juga.

Akhirnya, saya tahu bahawa hukum MLM ini masih terbuka untuk perbincangan, malah Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah ketika perbincangan dengan beliau mengakui ini isu yang agak baru baginya. Benar, amat sukar ditemui tulisan para ulama Islam dari Timur Tengah berkenaan hal MLM ini, disebabkan MLM belum masuk ke pasaran negara Arab dengan meluas. Justeru, menjadi tanggungjawab para ilmuan Shariah Asia Tenggara untuk membantu masyarakat untuk mengetahui pandangan Shariah tentang MLM ini. Tulisan ringkas saya hanyalah pandangan awal bagi memberi peringatan bahawa dengan sekadar pandangan, kelihatan begitu banyak keraguan boleh muncul dalam perniagaan MLM ini. Tidak perlulah pembaca merasa marah dan benci dengan tulisan ini. Ini sekadar nasihat bagi mereka yang mengambil berat tentang pendapatan serta memikirkan barzakh dan akhirat mereka yang kekal abadi. Wallahu ‘alam.

Kuala Lumpur, Malaysia (14 Zulhijjah 1427 H = 4 Januari 2007)
http://www.zaharuddin.net/content/view/222/95/

Halusi hukum MLM sebelum ghairah melabur

Isu Jualan Pelbagai Peringkat atau lebih dikenali sebagai "Multi Level Marketing" (MLM) bukan perkara baru, malah ia diperdebatkan sejak sekian lama, terutama mengenai hukum halal-haramnya, apatah lagi apabila ramai yang terbabit dengan jenis perniagaan seperti ini kelihatan seperti orang yang arif tentang agama.

Tentulah atas sifat perniagaan ini yang menawarkan keuntungan berlipatkali ganda maka banyak pihak ghairan untuk melabur di dalamnya. Dari satu segi, semakin ramai umat Islam terbabit dengan perniagaan merupakan fenomena yang membanggakan, terutama dalam meningkatkan aktiviti ekonomi umat Islam.

Ya, masakan kita hanya menjadi pemerhati kepada kerancakan dunia bisnes sedangkan pihak lain menerjah mahu ke depan. Cuma, yang menjadi kemusykilan saya, apakah aktiviti MLM ini sudah dihalusi daripada segi syarak. Keuntungan memang menggiurkan tetapi bagaimana pula dengan pandangan Islam terhadapnya?

Dalam sekian banyak tulisan mengenai MLM ini saya cukup tertarik dengan pandangan seorang tokoh muda, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, yang disiarkan dalam detikdaily.net pada 25 Januari lalu. Mungkin pandangannya mencetuskan polemik tetapi saya rasa elok juga diperbincangkan isu MLM ini daripada pelbagai sudut pandangan, bagi memasakkan lagi pemahaman kita mengenai jualan langsung ini.

Untuk memulakan perbincangan elok jika saya rakamkan sebahagian pandangan Zaharuddin itu, moga kita mendapat manfaat daripadanya:

Bentuk MLM yang Haram

Ada beberapa bentuk sistem MLM yang jelas keharamannya, iaitu apabila ia menggunakan sistem berikut:

1) Harga tinggi dari biasa: Menjual produk yang diperjualbelikan dalam sistem MLM dengan harga yang jauh lebih tinggi dari harga biasa, ia adalah amat tidak digalakkan menurut Islam malah menurut sebahagian ulama, aqad seperti ini adalah terbatal. Tatkala itu, ia digelar "Gabhnun Fahisyh" menurut istilah ulama Fiqh. Hukum jualan secara Ghabnun Fahisy ini diperbezakan oleh ulama antara harus, makruh dan haram. (Durar al-Hukkam Fi Syarh Majallah al-Ahkam, klausa no 356, hlm 369).

Bagaimana Nabi s.a.w. pernah mengisyaratkannya sebagai suatu kezaliman jika berlaku kepada orang yang tidak mengetahui selok belok harga barang. (Al-Qawaid, Ibn Rusyd, hlm 601)

2) Jualan target sebagai syarat komisyen : Selain dari yuran yang wajib dibayar oleh ahli, pada kebiasaannya terdapat syarat yang mewajibkan ahli tersebut mencapai target jualan tertentu bagi melayakkannya mendapat apa jua komsiyen dari hasil jualan orang di bawahnya. Apabila ia gagal mencapai 'harga target' tersebut maka keahliannya akan hilang atau tiada sebarang komisyen untuknya walaupun orang bawahannya menjual dengan begitu banyak.

Semua MLM yang terlibat dengan syarat seperti ini, menyebabkan sistem MLM mereka menjadi bermasalah dari sudut Shariah kerana wujudnya unsur kezaliman terhadap ahli selain wujudnya kewajiban jualan bersyarat dengan syarat yang tidak menyebelahi ahli serta berbentuk penindasan. Seolah-olah pihak syarikat memaksanya dengan mengatakan "Anda mesti membeli atau mengekalkan penjualan peribadi sebanyak RM 500 sebulan bagi membolehkan anda mendapat hak komisyen orang bawahan anda".

Pada asasnya, komisyen yang diambil atas usaha menjual (seperti 'brokerage fee') sesuatu barangan adalah adalah harus menurut Shariah, ia adalah pandangan ulama besar Tabi'en seperti Muhammad Ibn Sirin, Ato' Bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha'ie dan ramai lagi (Sohih Al-Bukhari ; Al-Musannaf, 5/242 ; Mawahibul Jalil, 4/452 ). Bagaimanapun, komisyen dalam hal MLM dan sistem piramid ini boleh bertukar menjadi haram apabila:

* Diikat komisyen jualan rangkaiannya dengan sesuatu jualan olehnya, ia menimbulkan masalah dari sudut Shariah seperti unsur pemaksaan, syarat yang tidak sah dalam perwakilan dan perjudian.

* Komisyen datang dari orang bawahan yang langsung tidak dikenalinya kerana sudah terlampau jauh ke bawah. Ini menjadikan orang atasan seolah-olah mendapat untung di atas angina tanpa sebarang kerja dan usaha lagi. Ia juga boleh dikelaskan sebagai broker di atas broker di atas briker di atas broker dan seterusnya.

Dalam hal berbilangnya rantaian komsiyen broker ini, menurut perbincangan saya bersama Syeikh Prof. Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pakar Shariah utama dalam bidang kewangan Islam dunia di Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia, AAOIFI, Dow Jones Islamic Index dan lain-lain) ia termasuk dalam konteks memakan harta orang lain dengan bathil selain terdapat unsur judi.

Ini adalah kerana ia seolah-olah meletakkan syarat kepada semua orang bawahan samada dengan pengetahuan mereka atau tidak, semua hasil jualan mereka akan diambil sebahagian keuntungannya untuk orang atasnya.

Sesetengahnya pula mensyaratkan 'broker' atau 'agen' untuk menjual sendiri sebanyak sekian jumlah bagi memperolehi komisyen jualan broker (ahli) di bawahnya. Dengan sebab-sebab ini, hal 'broker' atau 'agen' menjadi syubhah dan tidak lagi benar ianya disifatkan sebagai komisyen wakil atau broker yang diterima Islam.

3) Jika ahli berdaftar menyertai MLM dengan yuran tertentu, tetapi tiada sebarang produk untuk diniagakan, perniagaannya hanyalah dengan mencari orang bawahanya (downline), setiap kali ia mendapat ahli baru, maka diberikan beberapa peratus dari yuran ahi tersebut kepadanya.

Semakin banyak anggota baru bermakna semakin banyak jualah bonusnya. Ini adalah bentuk riba kerana memperdagangkan sejumlah wang untuk mendapat sejumlah lebih banyak yang lain di masa hadapan. Ia merupakan satu bentu Riba Nasiah dan Riba Al-Fadl.

Hal yang sama juga hukumnya bagi perusahaan MLM yang tidak mempunyai produk bersungguh dan berkualiti, sebaliknya produk miliknya hanyalah berupa ruangan laman web yang tidak berfaedah buat kebanyakkan orang, atau apa jua produk yang hanya dijadikan sebagai alasan pembelian.

Malah harga sebenar produknya juga adakalanya jauh dari harga yang dijual kepada ahli (sebagai contoh dijual produk web komputer, sedangkan haragnya jauh lebih tinggi dan si ahli pula tidak mempunyai komputer pun).

Pada hakikatnya, si ahli bukannya ingin membeli produk itu, tetapi untuk menyertai rangkaian serta memperolehi wang darinya. Ia juga termasuk dalam yang diharamkan. Hal membeli produk tidak benar dengan niat utama memasuki rangkaian dan mendapat untung dari rangkaian ini telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah Arab Saudi no 15/192-193.

4) Terdapat juga syarikat MLM yang melakukan manipulasi dalam menjual produknya, atau memaksa pembeli untuk menggunakan produknya atau yang dijual adalah barang haram. Maka MLM tersebut jelas keharamannya. Namun tidak semua MLM begini, cuma sebahagianya sahaja.

5) Terdapat juga unsur mirip "shafqatayn fi shafqah", atau bay'atayn fi bay'ah, (iaitu dua aqad jenis jual beli dalam satu) yang dilarang oleh Baginda s.a.w. dengan pelbagai lafaz antaranya: "Rasulullah s.a.w. melarang dari membuat dua belian (aqad) dalam satu aqad" (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar ; Al-Haithami : perawi Ahmad adalah thiqah ; 4/84 )

Ini berlaku apabila ada sebahagian syarikat MLM yang membuka pendaftaran ahlinya, setiap ahli perlu membayar sejumlah wang disebut yuran, tidak dapat dipastikan samada yuran tersebut untuk membeli kedudukan di dalam rangkaian ataupun membeli produk.

Pada waktu yang sama, dengan termeterainya keahliannya itu, ia akan menjadi wakil pula bagi syarikat untuk merekrut ahli baru, maka tindakan MLM seperti ini, boleh dikatakan termasuk dalam kategori hadis: shafqatayn fi shafqah, atau bay'atayn fi bay'ah.

Ini kerana, dalam hal ini, orang tersebut telah dikira melakukan transaksi aqad Mu'awadat (kontrak pertukaran hak kewangan) bila membeli produk atau menjadi ahli dan dalam masa yang sama masuk dalam satu jenis aqad lagi iaitu perwakilan (untuk menjualkan produk itu kelak di samping mencari ahli baru) dengan komisyen tertentu. Maka, praktis seperti ini jelas tergolong sebagaimana hadith di atas.

Kesatuan Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian. Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang digunakan adalah komisyen atau upah 'brokerage' sebagaimana didakwa. (Rujuk keputusan nombor 3/24, 17 Julai 2003).

Selain itu, Syeikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya : "Banyak pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai. Yang secara umum gambarannya adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian selanjutnya. Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah tertentu dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan.

Sebenarnya kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak menginginkan produknya.

Oleh:
Peniaga Muda

Sumber:Harakahdaily.net

HUKUM MLM : JAKIM MENJAWAB

Nama
mohd jamli. E-Mail ?

Aduan
Assalamualaikum

Saya ingin bertanya berkenaan trend skim cepat kaya internet seperti em-pay, swiss cash dan lain-lain.Apakah hukumnya dari segi syariah?

Kenapa tidak diwar-warkan di media massa oleh pihak JAKIM sekiranya perkara itu adalah haram bagi umat islam menyertainya.Terima kasih.

Jawapan:
Secara umum Multi Level Marketing adalah suatu cara perniagaan alternatif yang berkaitan dengan pemasaran yang dilakukan melalui banyak level (tingkatan), yang biasa dikenal dengan istilah Upline (tingkat atas) dan downline (tingkat bawah), orang akan disebut Upline jika mempunyai Downline.

Pokok utama dari perniagaan MLM ini digerakkan dengan jaringan ini, sama ada yang bersifat vertikal atas bawah mahupun horizontal kiri kanan ataupun gabungan antara keduanya.

Kesatuan Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian.

Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang digunakan adalah komisyen atau upah brokerage sebagaimana didakwa.

Selain itu, Syeikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya : "Banyak pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai.

Yang secara umum gambarannya adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian selanjutnya.

Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah tertentu dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan.

Sebenarnya kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak menginginkan produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:

1. Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan produknya, akan tetapi tujuan utama mereka adalah menyertai rangkaian piramid bagi mendapatkan kekayaan cepat apabila setiap ahli baru membayar yuran.

2. Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30% dari wang yang dibayarkan pada syarikat MLM.

3. Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang berada pada level atas (Upline) sedangkan level bawah (downline) selalu memberikan nilai point pada yang berada dilevel atas mereka..

Status
Selesai.
Nombor Rujukan
1/3/2007
Tarikh

MLM: YANG HALAL DAN YANG HARAM

Soalan; Sekarang ini banyak jualan langsung yang menjalankan operasi di Malaysia. Apa pendirian Syarak berkenaan MLM; apa ciri-ciri MLM yang harus dan apa ciri-ciri MLM yang haram pula?

Jawapan;

Setakat sekarang ini penulis (Artikel ini di tulis pada Tuesday, June 17, 2008) belum menemui sebarang fatwa yang jelas berkenaan Sistem Jualan Lansung MLM dari mana-mana ulamak muktabar hari ini khususnya dari Timur Tengah atau Al-Azhar sama ada mengharuskannya atau mengharamkannya. Namun secara umumnya panduan urus-niaga secara Islam telah dihuraikan oleh ulamak dengan lengkap dan panjang lebar di dalam kitab-kitab Feqah. Dengan memahami sebaik mungkin panduan tersebut, kita sebenarnya dapat mengukur sama ada suatu urus-niaga yang ditawarkan kepada kita itu (termasuklah MLM) halal atau tidak. Di sini, saya akan kemukakannya secara ringkas.

Menjadi prinsip yang diterima oleh semua ulamak bahawa dalam hal-hal keduniaan (antaranya urusan perniagaan dan jual-beli), kedudukan asal setiap perkara dan urusan yang berkait dengannya adalah harus sehingga terdapat bukti yang jelas yang menunjukkan percanggahannya dengan Syarak sama ada dari segi prinsipnya atau terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan.

Oleh itu, dalam berhadapan dengan suatu perkara baru atau urusan baru yang bersifat keduniaan, yang harus diteliti ialah ada atau tidak di dalamnya sebarang unsur yang menyalahi prinsip Syarak dan unsur-unsur yang diharamkan? Jika tidak ada, maka ia dikekalkan atas kedudukan asalnya iaitu harus. Secara umumnya, perniagaan yang sah menurut Syari’at Islam ialah yang memenuhi prinsip-prinsip asas berikut;

1. Ia berasaskan akad saling meredhai antara penjual dan pembeli
2. Ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Syarak ke atas suatu urusan perniagaan atau jual-beli.
3. Ia bebas sepenuhnya dari larangan-larangan Syarak iaitu perkara-perkara yang diharamkannya.

Saling meredhai

Saling meredhai bermaksud pembeli meredhai atau berpuas hati dengan barang atau produk yang diterimanya dan tidak rasa tertipu dan penjual juga meredhai dengan harga jualannya, yakni ia tidak menjual dengan terpaksa. Prinsip saling redha-meredhai ini amat penting dalam urusan perniagaan kerana Allah berfirman (yang bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan saling meredhai di antara kamu” (Surah an-Nisa’, ayat 29).

Syarat-syarat bagi akad perniagaan

Bagi memastikan prinsip saling meredhai itu terlaksana, maka Syarak telah menetapkan syarat-syarat tertentu bagi setiap urusan perniagaan. Syarat-syarat ini jika dilanggari akan menyebabkan suatu urusan perniagaan tidak sah atau batal. Di antara syarat-syarat tersebut ialah;

1. Orang yang menjalankan akad perniagaan hendaklah mumayyiz, iaitu mampu membuat pertimbangan sendiri.
2. Mereka melakukan akad dengan kerelaan sendiri, iaitu tidak dipaksa melakukan akad.
3. Status barang yang diperniagakan dan harganya hendaklah diketahui dengan pasti (yakni tiada kesamaran) oleh penjual dan juga pembeli. Ini untuk mengelak dari berlakunya gharar.
4. Barangan jualan diizinkan oleh Syarak (yakni tidak tersenarai dalam barang-barang yang haram)
5. Jika urus-niaga membabitkan mata-wang hendaklah mematuhi syarat-syarat pertukaran matawang mengikut Syarak.
6. Hendaklah diselaraskan kandungan ijab dan qabul dari segi sebutan barang, harga dan sebagainya. Tidak sah aqad jual-beli yang ijab dan qabulnya tidak selaras seperti penjual berkata; “Saya jual barang ini dengan harga RM 40” dan pembeli pula berkata; “Saya beli dengan harga RM 30”.

Larangan-larangan Syarak dalam perniagaan

Setiap urusan perniagaan yang hendak diiktiraf oleh Islam juga hendaklah bebas dari sebarang unsur yang dilarang atau diharamkan oleh Syarak. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi, larangan-larangan Syarak dalam urusan perniagaan berkisar atas beberapa sebab iaitu;

a) Membantu kepada perbuatan maksiat
b) Terdapat unsur-unsur gharar atau penipuan
c) Terdapat unsur-unsur eksploitasi atau pemerasan
d) Terdapat penganiayaan terhadap salah satu pihak yang beraqad. (Al-Haram wa al-Haram Fi al-Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi. Hlm. 242)

Lebih terperinci, antara unsur yang dilarang oleh Syarak dalam urusan perniagaan ialah;

(1) Menjalankan perniagaan yang diharamkan atau mendatangkan mudarat. Jika ada syarikat MLM yang menjual barangan/produk yang diharamkan oleh Syarak atau mendatangkan mudarat kepada manusia, maka tidak harus syarikat tersebut disertai oleh orang Islam sama ada sebagai pembeli, pengedar, penaja atau sebagainya.

(2) Al-Gharar; iaitu menjalankan urus-niaga dalam kesamaran iaitu tanpa dipastikan dengan tepat barangan/produk yang terlibat dan harganya sama ada oleh penjual atau pembeli. Para fuqaha’ sepakat menyatakan bahawa jual-beli secara gharar adalah batal atau tidak sah kerana sabit di dalam hadis; “Rasulullah s.a.w. menegah daripada jualan secara gharar” (Riwayat Imam Ahmad dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

(3) Melakukan penipuan dalam urusan urus niaga. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Sesiapa yang menipu maka ia bukan daripada golonganku” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Antara contoh penipuan ialah;
( a) Membuat iklan barangan dengan memaparkan keistimewaan-keistimewaan atau ciri-ciri yang sebenarnya tidak ada pada barangan tersebut melainkan untuk menarik perhatian orang supaya membelinya semata-mata. Penipuan sebegini dinamakan at-Taghrir iaitu memperdaya.
(b) Menipu pembeli dengan menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran. Contohnya; menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.
(c) Menyembunyikan kecacatan barangan atau produk. Contohnya; menyembunyikan kerosakan enjin kereta yang akan dijual dan sebagainya.
(d) Mengurangi timbangan

(4) Antara yang dilarang juga di dalam perniagaan ialah melakukan penganiayaan, memeras pengguna dan merosakkan kepentingan masyarakat; antaranya dengan melakukan ihtikar (monopoli barangan; yakni menyorok barangan untuk menaikkan harganya) dan menjadi orang tengah yang memeras pengguna. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Tidak melakukan ihtikar melainkan orang yang berdosa” (Riwayat Imam Ahmad, Muslim, Abu Daud, an-Nasaie dan Ibnu Majah dari Mu’ammar Ibn Abdillah r.a.)

Larangan-larangan di atas jika berlaku dalam urusan perniagaan akan menyebabkan perniagaan tidak sah atau sekurang-kurangnya mendatangkan dosa kepada pelakunya walaupun perniagaan masih dianggap sah.

Prinsip-prinsip di atas bersangkutan dengan perniagaan secara umum termasuklah perniagaan secara MLM. Di sana ada perkara-perkara khusus yang berkait dengan MLM yang perlukan perhuraian atau garis panduan iaitu mengenai yuran keahlian, bonus dan harga barangan/produk.

Syarat-syarat yuran keahlian

Boleh dikatakan kesemua syarikat MLM menetapkan suatu kadar yuran keahlian terhadap orang yang ingin menjadi ahli atau pengedar bagi produk-produk keluarannya. Mengenakan yuran keahlian tersebut diharuskan jika memenuhi syarat-syarat berikut;

1. Yuran tersebut tidak bertujuan untuk mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan dari peserta.
2. Yuran tersebut bertujuan untuk menyediakan maklumat dan keterangan kepada peserta berkaitan urusan dan agenda yang akan dijalankan oleh syarikat.
3. Yuran itu tidak mengikat peserta dengan mewajibkan syarat-syarat yang zalim dan tidak bermoral, dalam erti kata lain peserta boleh menarik diri dan dalam sesetengah hal duit akan dikembalikan.
4. Yuran tersebut tidak mempengaruhi perlakuan akad yang selanjutnya semasa berurus-niaga atau berjual-beli.

Syarat-syarat di atas kita putuskan berasaskan kepada fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Majma’ al-Fiqh terhadap soalan mengenai yuran yang dikenakan sebagai satu syarat penting sebelum berhak menyertai jualan lelongan yang diamalkan oleh syarikat-suarikat peniagaan. Mengikut fatwa tersebut, pengenaan yuran tersebut adalah harus apabila ia memenuhi syarat-syarat di atas. (Lihat; Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami, 1994, 2/37).

Bonus

Dicadangkan pemberian bonus dilakukan dengan menepati konsep al-Ji’alah di dalam Fiqh Islam. Al-Ji’alah bermaksud menjanjikan suatu pemberian (komisyen) kepada orang yang melakukan suatu kerja atau tugas tertentu yang sukar seperti seorang lelaki berkata; “Sesiapa dapat mengembalikan untaku yang hilang, baginya pemberian sebanyak RM 200” (Al-Majmu’, jil. 15, Bab al-Ji’alah). Al-Ji’alah adalah akad yang diharuskan dengan dalil al-Quran dan hadis, antaranya firman Allah;

“Orang-orang menteri menjawab: “Kami kehilangan cupak raja dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu”. (Yusuf: 72)

Menurut ulamak, keharusan al-Ji'alah terikat dengan beberapa syarat, antaranya;

1. Pihak yang berakad hendaklah terdiri dari mereka yang memiliki keahlian untuk melakukan akad.
2. Hendaklah bayaran terdiri dari nilai harta yang diketahui.
3. Hendaklah manfaat yang diperolehi menerusi kegiatan ini diketahui pada hakikatnya serta harus memanfaatkannya dari sudut Syarak.(Wahbah az-Zuhaili, 4/787)

Jadi, supaya bonus dapat menepati konsep al-Ji'alah tersebut, maka pemberian bonus oleh Syarikat MLM hendaklah berasaskan kepada manfaat/kerja yang disumbangkan oleh para pengedar atau orang terbabit dalam membantu syarikat. Nilai bonus yang dijanjikan hendaklah dinyatakan dengan pasti oleh Syarikat kepada para pengedarnya supaya ia menepati syarat yang kedua di atas.

Berdasarkan pengalaman saya dalam Syarikat HPA Industri Sdn. Bhd. (salah satu Syarikat Bumiputra Muslim yang giat menjalan perniagaan secara MLM di Malaysia), bonus yang diberikan oleh Syarikat HPA kepada pengedar-pengedarnya adalah sebagai ganjaran/upah yang dijanjikan kerana sumbangan mereka dalam melakukan perkara-perkara tersebut;

1. Memperkenalkan syarikat kepada orang ramai
2. Menaja ahli-ahli baru untuk syarikat
3. Membuat jualan produk-produk syarikat kepada orang ramai.
4. Membimbing dan memimpin anak buah (downline) untuk membina organisasi perniagaan yang kukuh. Ini terpaksa melalui proses seperti pertemuan dari masa ke semasa untuk perbincangan, perancangan, penerangan berkenaan produk dan perkembangan terbaru syarikat.

Melihat kepada kerja/manfaat yang disumbangkan oleh para pengedar seperti di atas, saya merasakan pemberian bonus oleh Syarikat HPA menepati prinsip al-Ji'alah yang diharuskan oleh Syarak tadi.

Meletakkan syarat untuk memperolehi Bonus

Menetapkan syarat tambahan -selain dari yang ditetapkan Syarak- dalam mana-mana akad perniagaan dan harta adalah harus jika syarat itu tidak melanggar hukum Syarak yang sedia termaktub dan tidak terdapat sebarang penganiayaan dan pilih kasih. Keharusan ini adalah berdasarkan hadis Nabi s.a.w.; "Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka selama menepati yang hak (yakni hukum Allah)” (Riwayat al-Hakim dari Anas dan Aisyah r.a.).

Oleh demikian, tindakan pihak syarikat menetapkan syarat tertentu ke atas para pengedarnya untuk melayakkan mereka memperolehi bonus -jika bonus tersebut dilakukan mengikut kaedah al-Ji'alah di atas- tindakan tersebut adalah harus asalkan syarat yang ditetapkan tidak bercanggah dengan mana-mana ketetapan Syarak dan tidak bersifat pilih-kasih atau menganiayai mana-mana orang.

Jauhi “Sistem Piramid”

Sistem Piramid yang kita maksudkan ialah satu sistem di mana kumpulan orang di bawah membayar kepada orang-orang yang berada di peringkat atas. Setiap peserta baru membayar supaya berpeluang mara ke tahap paling atas dan mendapat keuntungan daripada bayaran orang lain yang menyertai skim itu kemudian. Penaja atau pemilik skim ini tidak mengambil berat tentang penjualan barang/produk, tetapi mengambil berat tentang keuntungan yang dikaut melalui wang yang diperolehi dari ahli-ahli baru. Di antara ciri-ciri Skim Piramid ini ialah;

1. Produk berkualiti rendah dengan harga mahal dan para pengedar baru perlu membelanjakan wang ke atas inventori barangan yang berlebihan.
2. Yuran keahlian yang tinggi serta komisyen kepada setiap peserta yang dapat menarik ahli baru.
3. Tiada hak pemulangan wang dan tiada kontrak bertulis di antara syarikat dan pengedar.
4. Tidak mengambil berat tentang jualan runcit dan penghasilan wang dengan mengembangkan jumlah keahlian di bawah para pengedar.
5. Kehadiran wajib pada sesi latihan yang mahal.
6. Dakwaan perolehan wang dan kejayaan besar yang sengaja direka-reka serta digembar-gemburkan.
(Amar Said, Persatuan Pengguna Pulau Pinang)

Apa yang jelas di dalam Sistem Piramid ini, yang menjadi fokus bukanlah penjualan barangan/produk, tetapi penaajaan ahli baru di mana keuntungan dikaut dari yuran keahlian yang tinggi bukan melalui kegiatan perniagaan. Bonus diberikan hasil dari kutipan dari orang-orang dibawah, bukan dari keuntungan barangan/produk yang dijual. Melihat kepada konsep dan ciri-ciri di atas, jelas bahawa Sistem Piramid tersebut bertentangan dengan Syari’at Islam kerana terkandung di dalamnya unsur-unsur penipuan, pemerasan, gharar (ketidakjelasan salam dalam akad), ghabn fahiysh dan sebagainya yang diharamkan oleh Syarak dalam urusan perniagaan atau jual-beli.

Harga barangan/produk

Dr. Muhammad Bakr Ismail (salah seorang ulamak dari al-Azhar, Mesir) menjelaskan dalam buku himpunan fatwanya; “Tidak ada di dalam Islam batasan tertentu bagi keuntungan (yang harus diambil dalam perniagaan atau jual-beli) mengikut pandangan yang paling soheh dari para ulamak Islam. Peniaga hendaklah menetapkan harga mengikut kadar yang diredhai olehnya dan juga diredhai oleh pembeli. Ini kerana akad jual-beli terbina di atas saling redha-meredhai antara penjual dan pembeli sebagaimana firman Allah; “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara saling redha-meredhai di antara sesama kamu”. (an-Nisa’: 29) (Lihat; Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, hlm. 108).

Dari fatwa di atas kita dapat simpulkan dua perkara berkenaan penetapan harga barang/produk;
a) Tidak ada batasan tertentu dari Syarak bagi keuntungan yang harus diambil dari produk yang dijual. Jadi, penentuan harga produk/barangan terserah sepenuhnya kepada penjual/pengeluar.
b) Namun begitu, para penjual/pengeluar hendaklah mengambil kira keredhaan pengguna terhadap harga yang ditetapkan. Tidak harus ia melakukan penipuan harga atau ghabn fahisyh (yakni beza harga yang keterlaluan dari harga sebenar di pasaran) yang menyebabkan pembeli hilang perasaan redhanya terhadap jual-beli apabila mereka mengetahui nilai sebenar di pasaran. Contohnya; menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran, seperti; menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.

Demikianlah beberapa panduan penting untuk mengukur sama ada sesuatu MLM itu harus atau tidak di sisi Syarak. Panduan tersebut bukan sahaja berguna untuk orang ramai, tetapi juga untuk pemilik syarikat yang menjalankan MLM untuk melihat sama ada sistem yang mereka guna menepati Syariat atau tidak.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Al-Haram wa al-Haram Fi al-Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi. Hlm. 242.
2. Mu’jam Al-Mustalahat Al-Iqtisadiyyah Fi Lughatil Fuqaha’, Dr. Nazih Hamad, ter. Al-Ma’had al-‘Alami Lil Fikri al-Islami, Herndon, Virginia, U.S.A. (1993).
3. Fiqh Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, ter. Al-Fath Lil ‘ilam al-‘Arabi, Kaherah, Mesir (1411/1412H)
4. Al-Fiqhul Manhaji ‘ala Mazhabil Imam as-Syafi’ie, Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan ‘Ali Syarbaji, ter. Dar al-Qalam, Damsyiq, Syiria (1991)
5. Fiqh Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, ter. Dar al-Fikr, Damsyiq, Syria (1885)
6. Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, ter. Dar al-Manar, Mesir (1992).
7. Sistem Syarikat Jualan Lansung Di Malaysia Dari Perspektif Mualamat Islam, Muhammad Hasan Zaid bin Ramli, UKM Bangi (2002).
8. Al-Majmu, ter. Dar al-Fikr, Beirut, Lubnan (2000)

TULISAN ASAL: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Selasa, 28 Julai 2009

SEWA RUMAH KEPADA NON MUSLIM YANG MEMELIHARA ANJING

SOALAN:

salam! saya mempunyai sebuah rumah yang disewakan kepada orang bukan islam dan saya mengetahui yang orang itu ada membela anjing. apakah hukum saya memberi sewa kepada orang itu dan adakah duit sewa itu halal bagi saya. tq.

Jawapan : Waalaikumussalam,

adalah diharuskan bagi anda memberi sewa kepada orang tersebut, dan duit sewaan tersebut adalah halal untuk anda.

Namun begitu, setelah orang tersebut keluar (tamat sewaan) anda perlu membersihkan rumah tersebut (serta*) sebelum diberi sewa kepada individu yang lain terutamanya jika penyewa tersebut adalah orang Islam.

* membasuh rumah tersebut dengan menggunakan air tanah (sekali) dan dibilas dengan air mutlak biasa sebanyak 6 kali..

Wallahu ‘alam.

HUKUM WANITA MENYERUPAI LELAKI (PENGKID) DAN HUKUM LELAKI MENYERUPAI PEREMPUAN (PONDAN DAN MAK NYAH)

SOALAN:
Assalamualaikum ustaz, apa hukum lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya?

JAWAPAN:
Disini saya menjawab melaui KEPUTUSAN FATWA KERAJAAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN:

Kategori : Akidah
Tajuk : HUKUM WANITA MENYERUPAI LELAKI (PENGKID) DAN HUKUM LELAKI MENYERUPAI PEREMPUAN (PONDAN DAN MAK NYAH)

Isu :
1. Isu golongan wanita membawa imej lelaki dan lelaki membawa imej wanita telah lama diperkatakan. Jika suatu waktu dahulu, wanita yang berperwatakan lelaki ini digelar sebagai tomboy kerana membawa imej lelaki, kini muncul pula golongan yang dinamakan sebagai pengkid dengan imej, penampilan dan perwatakan lelaki begitu juga penampilan golongan mak nyah dan pondan . Fenomena ini semakin menular dan berleluasa malah telah menjadi satu fenomena global di seluruh dunia.

2. Pengkid merujuk kepada gadis yang mempunyai penampilan fizikal mirip lelaki seperti berambut pendek dengan mengenakan jeans dan t-shirt. Daripada sifat pula, nyata terserlah sifat kelakian (kejantanan) pada golongan ini dengan imej macho sehingga ada yang merasakan bahawa diri mereka benar-benar seorang lelaki sejati. Pengkid cenderung untuk menjalinkan hubungan intim dengan wanita kerana daripada segi perasaan, nyata mereka amat berminat terhadap wanita sehingga tidak ada langsung perasaan dan keinginan terhadap lelaki. Yang nyata, golongan ini cuba menonjolkan identiti gender berlawanan daripada norma-norma boilogi dan sosial yang mereka miliki.

3. Pengkid agak berbeza dengan tomboy, kerana tomboy hanya menampilkan imej kelelakian daripada sudut fizikal atau luaran sahaja seperti memakai jeans, t-shirt, bertopi dan berambut pendek sedangkan daripada sudut naluri dan perasaan, mereka tetap sama seperti perempuan normal.

4. Pondan atau Mak Nyah pula merujuk kepada lelaki yang mempunyai penampilan fizikal mirip perempuan seperti berambut panjang dengan mengenakan pakaian seperti seorang wanita . Daripada sifat pula, nyata terserlah sifat keperempuanan pada golongan ini dengan imej lembut sehingga ada yang merasakan bahawa diri mereka benar-benar seorang wanita sejati. Pondan dan Mak Nyah cenderung untuk menjalinkan hubungan intim dengan sesama lelaki yang berperawakan wanita kerana daripada segi perasaan. Yang nyata, golongan ini cuba menonjolkan identiti gender berlawanan daripada norma-norma boilogi dan sosial yang mereka miliki.


Keputusan FATWA KERAJAAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN:

“Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan yang bersidang pada hari ini 18 Disember 2008M bersamaan 20 Zulhijjah 1429 H setelah meneliti keterangan, hujah-hujah pandangan yang dikemukakan bersetuju untuk memutuskan bahawa pengkid,iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki, dan lelaki yang menyerupai wanita (maknyah/ pondan) samada dari segi pakaian ,penampilan dan gerak laku serta naluri seksual seperti wanita adalah HARAM di sisi Islam.

Jawatankuasa Fatwa juga menggesa ibu bapa dan masyarakat Islam supaya memberi perhatian serius terhadap gejala ini serta menekankan pendidikan, tunjuk ajar yang sebaik-baiknya kepada anak-anak mereka khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana ia adalah berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah.

SUMBER:
Oleh : Jawatankuasa Syariah Negeri Perak

WALLAHUA'LAM

Isnin, 27 Julai 2009

HUKUM BERSENTUHAN DALAM ISLAM

SOALAN:
Mengapakah ada yang mengatakan suami isteri tidak batal wuduknya jika bersentuhan?

JAWAPAN:
Ulama keempat-empat mazhab berbeza pendapat mengenai hukum bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita yang ajnabi, samada membatalkan wudu' atau tidak. Mengikut mazhab Hanafi, Hambali dan Maliki, tidak batal wuduk. Manakala mengikut mazhab syafii, batal wuduk.

Yang mengatakan tersebut, mungkin mengikut mazhab selain dari mazhab Syafii. Sebagai orang awam, kita wajib mengikut salah satu dari empat mazhab agar terselamat ibadah kita dari berbagai pendapat yang bertentangan. Oleh itu, jika anda seorang yang bermazhab Syafii, carilah guru dan kelas yang mengajar Fiqh Mazhab Syafii. Agar ia tidak terkeliru dengan pendapat-pendapat mazhab lain.

Begitu juga, jika kita ragu-ragu terhadap apa jua yang disampaikan, wajib kita bertanya guru tersebut atau ahli agama lain tentang pendapat tersebut mengikut mazhab mana.


SOALAN:
Adakah batal wudhu seseorang itu jika lelaki bersentuhan kulit dengan adik perempuan/ kakak kepada datuk/ nenek (nenek saudara)?

JAWAPAN:
Adik perempuan bagi datuk adalah nenek saudara seseorang. Nenek saudara tiada ikatan darah yang langsung kepada seseorang. Oleh itu, batal wuduk jika bersentuhan dengan nenek saudara, tidak kira samada sebelah ibu atau bapa.

SOALAN:
Adakah sentuhan antara sepupu membatalkan wudhu'?

JAWAPAN:
Islam membenarkan perkahwinan antara sepupu kerana mereka bukan mahram. Maka, bersentuhan antara mereka tanpa berlapik adalah membatalkan wuduk.

SOALAN:
Batalkah wudhu' jika tersentuh antara adik beradik tiri?

JAWAPAN:
Adik beradik tiri, samada sebelah bapa atau ibu, adalah seperti adik beradik sendiri. Tidak batal wudhu' antara mereka, dan tidak batal wudhu' dengan anak-anak mereka.


SOALAN:
Batalkah wudhu seorang wanita jika tersentuh dengan wanita bukan Islam? Bagaimana pula lelaki yang tersentuh lelaki bukan Islam?

JAWAPAN:
Tidak batal wudhu' wanita jika ia bersentuhan dengan wanita, tidak kira Islam atau bukan Islam. Begitu juga dengan lelaki. Wudhu wanita hanya batal jika ia bersentuhan dengan lelaki yang bukan mahramnya, termasuk suaminya. Dan sebaliknya untuk lelaki dan wanita yang bukan mahramnya, termasuk isterinya.

SUMBER: MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

Kegemilangan Dan Keruntuhan Andalus

Daripada Berita Harian Online, 20 April 2008. Tajuk: Ulul Albab: Meratapi Andalus Demi Merapatkan Umat, oleh Abdurrahman Haqqi. Permusuhan, kesenangan serta kecintaan terhadap dunia faktor keruntuhan kerajaan Islam di Sepanyol.

MENANGISLAH anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki.” Begitulah ucapan seorang bonda Raja dalam sejarah Islam di Andalus, Sepanyol. Ia diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar, Raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharram 897 Hijrah (H) yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah yang berkuasa selama 800 tahun.

Bani al-Ahmar adalah puak yang menguasai wilayah Islam terakhir di Sepanyol iaitu Granada daripada 620 H hingga 897 H, pada tahun di mana perjanjian di atas dimeterai. Perjanjian yang membabitkan 67 perkara itu termasuk jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol yang pada akhirnya tidak pernah direalisasikan bahkan selepas 300 tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari dan menerajuinya selama 800 tahun. Perjanjian ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian Sepanyol termasuk kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892 H. Pada masa itu ribuan umat Islam yang dijanjikan boleh menyelamatkan diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Dalam kejadian itu, ribuan umat Islam mati bergelimpangan bermandi darah selepas tentera Kristian membunuh mereka. Sebelum itu, ketika mereka bersembunyi di dalam rumah, dengan lantang tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman bagi membolehkan mereka menaiki kapal untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang keperluan masing-masing. Tentera Kristian turut memaklumkan keselamatan orang Islam yang ingin meninggalkan Sepanyol terjamin. Ramai umat Islam yang meragui tawaran tentera Kristian itu. Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal yang akan membawa mereka berlabuh di pelabuhan, mereka kemudian mengambil keputusan menerima tawaran itu.
Keesokan harinya, ribuan penduduk Muslim Granada keluar beramai-ramai membawa seluruh barang keperluan mereka pergi ke pelabuhan itu. Bagaimanapun, ada umat Islam yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu terus bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing. Selepas ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentera Kristian menggeledah rumah yang ditinggalkan mereka sebelum membakarnya. Ribuan umat Islam yang berada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol. Kapal itu kemudian tenggelam dan umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung mereka dengan pedang terhunus.

Selepas menerima arahan pemimpin, ribuan tentera Kristian itu kemudian membunuh umat Islam Sepanyol tanpa perasaan belas kasihan. Jerit tangis dan takbir terdengar tetapi dengan buas tentera Kristian terus membunuh warga awam yang sama sekali tidak berdaya. Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam. Darah bergenang di mana-mana. Laut yang biru berubah menjadi merah kehitam-hitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah umat Islam yang tidak boleh dilupakan. Banyak cerita yang menyayat hati seperti ini dibukukan seperti al-Ihatah fi Akhbar Gharnatah (Berita Menyeluruh Mengenai Granada) dan al-Muqtabas min Akhbar al-Andalus (Sekelumit Sejarah Andalus), malah seorang ulama terkenal seperti Ibn Hazam menceritakannya dalam kitab mashurnya al-Fisal fi al-Milal wa al-Nihal.

Selepas kejadian itu dan memerintah Sepanyol selama 300 tahun, tidak ada tanda atau simbol Islam yang kekal di negara itu. Umat Islam juga diugut dan diseksa oleh tentera Kristian Sepanyol dengan pelbagai ugutan dan seksaan yang sangat kejam, mengerikan dan menakutkan dan tidak ada belas kasihan. Orang Kristian di Sepanyol tidak mahu Islam wujud lagi. Oleh itu kita dapati umat Islam sangat tersepit sehingga ada yang mengaku Kristian padahal mereka seorang Muslim kerana terlalu perit dugaan yang dialami mereka.
Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 H di bawah kepemimpinan panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol beransur-ansur muncul menjadi sebuah negeri yang makmur. Pasukan Islam tidak saja berhenti di Sepanyol, malah terus meluaskan empayar di negeri sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan sebagainya jatuh ke tangan umat Islam. Walaupun pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, mereka masih tetap memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang juga kawasan pergunungan.

Islam sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka ramai orang Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam. Mereka bukan hanya beragama Islam, namun mereka sungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Keadaan tenteram seperti itu berlangsung hampir enam abad lamanya.

Penguasa dan pemimpin Islam pada masa itu sangat berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil, sebagai contoh, adalah orang yang mendirikan Khilafah Bani Umayyah di Andalus. Ketika dijemput pemimpin Kristian yang dibantunya dalam memerangi musuh mereka, beliau dipelawa minum arak, tetapi beliau menolak secara diplomasi dengan katanya: “Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya.”

Bagaimanapun, selama Islam berada di Andalus berabad-abad lamanya itu, mereka tetap di keliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam di negara itu, namun mereka selalu gagal. Beberapa kali dicuba tapi selalu tidak berhasil. Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik itu menemui cara untuk menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman mereka dengan serangan pemikiran dan budaya.
Mereka secara senyap menghantar arak dan rokok secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk kaum mudanya agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran. Mereka juga mengirim sejumlah ulama palsu yang kerjanya meniupkan perpecahan di kalangan umat Islam Sepanyol. Akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila satu persatu daerah di Sepanyol jatuh.
Di samping itu, antara punca lain yang membuat Andalus hilang daripada peta sejarah umat Islam adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri antara mereka sehingga menjadi lebih daripada 20 puak yang mempunyai negeri sendiri. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas, Bani Nun dan lain-lain. Dengan wujudnya ramai puak ini, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah mereka kerana mereka mengetahui kelemahan umat Islam. Apa yang menyedihkan ada umat Islam yang menjual agama dan negara demi kepentingan peribadinya.

Sebagai contoh, Abu Zaid, gabenor daerah Balansiah ketika rakyatnya memberontak dia membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi untuk membantu memadamkan pemberontakan itu. Sebagai habuannya, Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar ‘jizyah’ tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan Abu Zaid yang beragama Islam adalah terbalik apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama Kristian.
Lapan ratus tahun bukan masa yang singkat. Selepas umat Islam ‘menghidupkan’ Sepanyol dan menjadikannya bangsa yang bertamadun, berbanding bangsa lain di Eropah, akhirnya ia seolah-olah tidak pernah wujud di negara itu? Peristiwa ini amat menyedihkan bagi umat Islam sepanjang zaman. Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dahulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu masa dulu. Sepanyol sekarang adalah Sepanyol yang mempunyai seorang menteri pertahanan wanita, Carme Chacon yang boleh memeriksa barisan tentera negaranya walaupun dalam keadaan hamil seperti dilaporkan akhbar pada 14 April lalu.

Sebenarnya musuh Islam dan umatnya tetap satu. Dari dulu hingga sekarang musuh Islam tetap ada, cuma ia berbeza orang dan jenteranya. Mereka tetap ingin melenyapkan Islam sedapat mungkin dengan apa juga cara. Dengan mengambil contoh Andalus yang hilang dan mencari sebab kehilangannya termasuk kelemahan akidah dan terlepas daripada jalur yang lurus, permusuhan sesama sendiri, berpihak kepada bukan Islam, kesenangan yang tidak terkawal dan kecintaan terhadap dunia, tidak mustahil ia juga akan berlaku di mana-mana. Dan ketika itu ucapan bonda Aisyah pada permulaan tulisan ini akan terdengar kembali. Wallahu a’lam.

INTI PATI:

Perubahan hebat berlaku ke atas tamadun di serata dunia tidak terlepas daripada pengaruh Islam dan kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di Sepanyol dan Andalusia. Cahaya Islam pernah meresap masuk menguasai Eropah. Islam sudah berlabuh di Sepanyol hingga ke tembok Vienna. Islam tidak memisahkan agama dari negara dan menolak sekularisme dalam bentuk apapun yang bertujuan memisahkan agama daripada kehidupan yang menjadikan kehidupan lepas bebas daripada neraca agama. Apabila ketiga-tiga ciri dapat direalisasikan generasi Islam kini, konspirasi musuh Islam akan dapat diatasi.

FAKTA:

Islam memerintah Sepanyol dari 711 hingga 1492.
Banyak warisan ditinggalkan tamadun Islam di Sepanyol.
Tariq ibni Ziad mendarat di Gibralta pada 30 April 711 dan menamakan Sepanyol sebagai Al-Andalus.
Pemerintah Islam membina istana yang besar dinamakan Alhambra dan masjid besar dinamakan Qardoba.
Hasil Nukilan :

Dr. Danial Zainal Abidin
dzcsyifa@streamyx.com
http://danialzainalabidin.com

Berhati-hati Memilih Pemimpin

Dalam surah al-Hajj ayat 40-41, Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan”.

Dalam ayat ini Allah menceritakan tentang golongan yang mendapat pertolongan daripada Allah. Mereka ialah golongan yang ‘diteguhkan kedudukan mereka di muka bumi’ berdasarkan kalimat ‘makkannaahum fil ardh’ dalam surah al-Hajj ayat 41. Imam al-Hasan dan Abu al-‘Aliyah mentafsirkan golongan ini sebagai ‘golongan daripada umat ini yang diberikan kemenangan oleh Allah’. Imam Ibn Abu Najih mentafsirkannya sebagai ‘pemimpin-pemimpin’. Imam ad-Dahhak mentafsirkannya sebagai ‘mereka yang kurniakan kerajaan dan kekuasaan oleh Allah’. Kesemua pendapat ini dilaporkan dalam al-Jamik li Ahkamil Quran oleh Imam Qartubi.

Pemimpin yang bagaimanakah yang mendapat pertolongan dan diredai Allah? Secara dasarnya Allah tidak memberi cek kosong kepada para pemimpin, sebaliknya yang diberikan kepada mereka adalah amanah dan tanggungjawab. Antara tanggungjawab itu ialah “mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar”.

Pemimpin Dan Solat

Seseorang pemimpin Muslim memerlukan bantuan dan pertolongan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik, dan penolong yang terbaik baginya ialah Allah. Justeru pemimpin Muslim perlu sentiasa mendekati Allah dengan beribadah kepadanya, dan ibadah yang paling penting ialah solat.

Seorang Muslim yang tidak melaksanakan solat tidak layak menjadi pemimpin. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim nabi bersabda, “Sebaik-baik pemimpinmu ialah mereka yang kamu kasihi dan mereka mengasihimu dan kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat pemimpinmu ialah mereka yang kamu benci dan mereka membencimu dan kamu mengutuk mereka dan mereka mengutukmu.’ Sahabat-sahabat pun berkata, ‘Bolehkah kami menentang mereka?’ Jawab Nabi, ‘Tidak, selama mana mereka tetap menegakkan solat’.”

Hadis ini menunjukkan apabila seseorang pemimpin Muslim memperkecilkan solat, dia perlu turun dari jawatan kepimpinannya.

Pemimpin Dan Zakat

Hubungan yang baik dengan Allah perlu disusuli dengan hubungan yang baik sesama manusia. Dalam erti kata yang lain, seseorang pemimpin Muslim perlu berada di masjid untuk beribadah dan perlu juga berada di rumah rakyat untuk membantu mereka. Kebajikan rakyat tidak boleh diabaikan termasuk dalam aspek material dan kesenangan duniawi. Jika boleh kemiskinan dibasmi sepenuhnya dan semua rakyat hidup dalam keadaan senang lenang.

Antara contoh yang terbaik ialah pemerintahan khalifah Omar bin Abdul Aziz. Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin yang bertakwa lagi adil. Pemerintahannya memakan masa 30 bulan. Dalam masa itu kemiskinan berjaya dibanteras dan rakyat ketika itu hidup dalam kemewahan. Berhubung dengan ini Yahya bin Said meriwayatkan, “Khalifah Omar Abdul Aziz mengutus aku untuk mengutip zakat di Afrika. Aku pun melaksanakan tugas ini dan kemudiannya aku pun mencari golongan fakir miskin untuk di berikan zakat namun golongan ini tidak aku temui. Sesungguhnya khalifah Omar Abdul Aziz telah menjadikan kami manusia yang kaya raya”.

Ibadah zakat yang disebutkan dalam surah al-Hajj ayat 41 menekankan tentang aspek ini. Kebajikan rakyat dalam aspek duniawi tidak boleh dipandang ringan.

Pemimpin Dan Amar Makruf Nahi Mungkar

Terdapat sebahagian pemimpin Muslim yang tidak melupakan solat dan zakat, tetapi mereka melupakan tanggungjawab untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkiran. Mereka juga tidak layak memimpin masyarakat. Berhubung dengan ini Imam Qartubi, dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, melaporkan perkataan Imam Sahl bin Abdullah yang bermaksud, “Mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran adalah wajib ke atas mereka yang berkuasa serta ulama”.

Tidak ada kemuliaan bagi mereka yang mengabaikan amar makruf dan nahi mungkar. “Makruf” bermaksud “sesuatu yang baik mengikut pandangan syarak dan akal,” dan “mungkar” pula bermaksud “sesuatu yang berlawanan dengan makruf sebagai contoh, meninggalkan perkara yang difardukan serta kewajipan, ataupun melakukan perbuatan yang haram sama ada berbentuk dosa kecil ataupun besar”. Tafsiran ini disebutkan oleh Muhammad ibn Illan Al-Makki dalam Dalilul Falihin (Maktabah Al-Halabi, Mesir; jilid 2)

Aspek ini amat dipentingkan oleh Islam sehinggakan, mengikut riwayat Muslim, Nabi mengizinkan penentangan dilakukan jika pemimpin melakukan ‘kufran bawaahan.’ Sahabat Abdullah bin Samit meriwayatkan, “Kami berbaiah (iaitu membuat perjanjian taat setia) agar tidak menentang kepimpinan melainkan jika berlaku ‘kufran bawaahan’ di mana di sisi Allah bukti-buktinya adalah amat jelas.” Imam Nawawi mentafsirkan ‘kufran bawaahan’ sebagai ‘maksiat yang dilakukan oleh seseorang pemimpin yang jelas bercanggah dengan kehendak agama Allah dan kaedah-kaedah Islam’. Hal ini dilaporkan dalam kitab Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).

Justeru seseorang yang tidak menyeru kepada makruf dan pada ketika yang sama membiarkan serta menggalakkan perbuatan mungkar (dan yang lebih teruk lagi ialah dia sendiri terlibat melakukan kemungkaran itu), maka dia tidak layak menjadi pemimpin umat. Qadhi Iyad memfatwakan, “Apabila berlaku ke atas seseorang pemimpin tanda-tanda kekufuran, perbuatan mengubah syariat ataupun amalan bidaah, wajiblah dilucutkan kepimpinannya dan gugurlah ketaatan rakyat kepadanya. Ketika itu beliau hendaklah digantikan dengan seorang yang adil”. Fatwa ini dilaporkan dalam Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).

Usaha untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa ilmu. Justeru seseorang pemimpin Muslim wajib menguasai ilmu apatah lagi ilmu agama. Rata-ratanya kita sudah mengetahui bahawa ilmu yang diperlukan bukanlah semata-mata ilmu tentang tajwid, rukun solat, mandi wajib, wuduk, tayamum dan yang seumpamanya. Ia lebih dari itu.

Di samping itu beliau juga merupakan peribadi yang bersedia untuk terus belajar dan mendengar serta menghormati pandangan golongan ilmuwan terutamanya dalam bidang agama.

Berhati-hati Memilih Pemimpin

Ketika dalam perjalanan kita disuruh berhati-hati di jalan raya. Hadis-hadis pula menyuruh umatnya berhati-hati ketika memilih pasangan hidup serta kawan. Maka dalam konteks memilih pemimpin ia sudah pasti lebih dituntut lagi kerana isunya adalah lebih besar dan kesannya lebih meluas.

Dalam surah Al-Baqarah ayat 124, Allah berfirman, “Berkata Allah (kepada Ibrahim), ‘Sesungguhnya Allah akan menjadikan kamu Imam (pemimpin) untuk manusia’. Berkata Ibrahim, ‘Dan juga dari keturunanku.’ (Berfirman Allah), ‘Janji-Ku tidak akan diberikan kepada mereka yang zalim’.”

Ayat ini menunjukkan pemimpin tidak boleh dilantik secara sembarangan. Sehubungan dengan ini Imam Qartubi dalam Al-Jamik li Ahkamil Quran berkata, “Ayat ini (iaitu al-Baqarah ayat 124) merupakan dalil bagi satu jemaah ulama Islam bahawa pemimpin-pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia…..Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin”.

Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin Untuk mindasuper.com

Hasil Nukilan :

Dr. Danial Zainal Abidin
dzcsyifa@streamyx.com
http://danialzainalabidin.com

BERSETUBUH SEBELUM MANDI HAID??

Soalan :
assalamualaikum.
saya telah kering darah haid tetapi sebelum sempat mandi wajib, suami telah mengauli saya. Adakah saya perlu mandi wajib sebanyak dua kali contohnya untuk haid terlebih dahulu kemudian mandi junub? bagaimanakah cara mandi wajib yang harus saya lakukan?.

Jawapan : Wa'alaikumussalam wrt. wbt.,
Antara perkara yang diharamkan ke atas perempuan perempuan yang sedang dalam ialah melakukan persetubuhan, ini adalah berdasarkan maksud firman Allah SWT : Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katankanlah : "Darah haid itu satu benda yang menjijikkan ( dan mendatangkan mudarat)". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu menghampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa bersucikan diri.
(Al- Baqarah 222)

Berdasarkan kepada maksud ayat di atas bersetubuh setelah kering haid tetapi belum mandi hadas besar hukumnya haram kerana suci dikira selepas mandi hadas besar. Maksud bersuci dalam ayat di atas adalah mandi wajib.

Ada pendapat mengatakan perempuan yang belum mandi hadas dia masih dalam najis kerana darah haid itu najis. Sayyidina Umar r.a mengatakan bersetubuh dengan perempuan yang di dalam haid itu berkemungkinan boleh membawa anaknya menjadi cacat pada tubuh badan atau tercedera matanya seperti buta dan sebagainya. Hal ini berlaku apabila seorang bertanya Sayyidina Umar r.a kenapa anaknya menjadi hitam macam Habsyi, lantas Sayyidina Umar r.a bertanya adakah kamu melakukan persetubuhan semasa isteri kamu sedang haid : Jawabnya "bahkan". Sayyidina Umar r.a berkata itulah sebabnya. Bersetubuh ketika dalam keadaan haid adalah haram dan berdosa.

Dalam situasi yang dihadapi puan, memadai hanya mandi wajib atau mengangkat hadas besar sekali sahaja. .

WALLAHUA'LAM

Jumaat, 24 Julai 2009

KHUTBAH JUMAAT 24 JULAI 2009

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah S.W.T,

Khutbah Jumaat kali ini, saya ingin mengajak para jama'ah sekalian kepada satu muhasabah dan renungan terhadap masa, waktu, kelapangan, usia yang allah kurniakan kepada kita selama kini adakah digunakan untuk ketaatan atau kemaksiatan

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Setiap manusia yang mengakui beriman kepada Allah, sedar bahawa tempoh hidup dibumi ini, akan berakhir pada bila-bila masa sahaja. Maut tidak kenal kecil atau besar, tua atau muda. Usia kita berlari bersama detik waktu siang dan malam, dari hari ke minggu, bulan ke tahun. Kita melangkah maju kehadapan. Kanak-kanak mengejar masa remajanya, yang remaja memburu masa tuanya, dan yang tua menuju ke titik akhir hayatnya.

Hidup kita diikat dengan masa. Masa berjalan dalam bentuk dan stailnya yang unik dan tersendiri. Masa itu tidak menunggu kita, ia lebih pantas daripada kilat. namun ramai manusia terpesona sehingga mengabaikan masa, membiarkan masa yang berharga itu berlalu, tanpa dimanfaatkan dengan sawajarnya. Kerana itu Allah mengingatkan dengan firmannya dalam Al-Quran yang bermaksud:

„Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang berpesan kepada kebenaran dan berpesan kepada kesabaran“.
Menurut As-Sayhid Syed Qutub dan tafsir Fizililquran dalam mentafsirkan surah Al-Asr" manusia tidak mungkin tidak akan mencapai suatu peradaban yang baik dan tinggi, kecuali jika melalui bimbingan agama.

Rasullullah S.A.W berpesan yang bermaksud ;"Rebutlah (pergunakanlah) lima waktu, sebelum datang lima waktu yang lain, iaitu masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sibuk, masa kaya sebelum papa, dan masa hidup sebelum tiba masa mati.

Sebelum pakar Management Moden berbicara dan membuat pelbagai analisa mengenai masa, Islam telah memperkatakan beribu tahun lebih awal. Umat Islam yang rugi ialah mereka yang membuang masa tanpa membuat kebajikan. Mengikut Sains Pengurusan Moden, :"masa adalah sumber daya yang paling berharga" Kita tidak dapat menyimpan masa di Bank, sebagaimana kita menyimpan wang dan barang yang berharga. Kita mesti menggunakan masa yang ada dengan segera.

Amal Ibadat seseorang juga bermula dan berakhir dengan ukuran waktu dan masa tertentu. Contohnya, waktu solat Zuhur tidak sama dengan waktu solat Asar. masa bulan Ramadhan tidak sama bulan Zulhijjah.

Saudara-saudara,

Mengikut para pengkaji dan penganalisa, masa boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu masa lalu, masa kini dan masa akan datang. tetapi yang pasti bagi kita ialah masa kini. Dalam konteks Agama Islam, persoalan masa amat dititikberatkan dan dianjurkan supaya menjaganya. Diperhitungkan hidup adalah bermula dari masa. dunia dan penghidupannya bermula dalam waktu dan masa.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : "jika pun berlaku kiamat, sedangkan ditangan kamu ketika itu ada sebiji buah kurma, jika kamu masih lagi berkesempatan untuk menanamnya, maka hendaklah kamu menanamnya"

Jika diteliti dari hadis tersebut, jelas membayangkan, betapa berharga dan bernilainya setiap detik perjalanan masa, yang semestinya diurus dengan baik dan bermanfaat. Umur manusia dan umur dunia adalah istilah dalam permainan masa. Apabila tamat jangkamasa waktu 24 jam, habislah masa sehari. Maka kita bergerak selangkah lagi menuju hari berikutnya sehingga usia tua. Bila sampai usia lanjut biasanya, kelemahan manusia menguasai tubuh manusia, dan seterusnya kepada semua pancaindera dan anggotanya, sehingga ada kalanya ia tidak ada daya upaya atau kekuatan lagi. Satu peristiwa, seorang tua Ma’an bin Zaidah datang mengadap khalifah Al-Ma’mun, khalifah bertanya kepada, bagaimana keadaanmu apabila menjadi tua seumpama ini?. Jawabnya: Aku mudah tersembam lantaran terlanggar batu kecil. Bila aku lapar aku marah, bila aku makan aku bosan, bila dalam majlis aku mengantuk, bila aku diatas tempat penginapan mataku celik.

Tujuan khalifah menyoal Ma’an adalah untuk mengingatkan kepada mereka yang lebih tua, bahawa masa muda adalah masa beramal dan jangan menangguhkan ibadat ketika tua, kerana usia tua tenaga amat terhad. Pada usia muda inilah kita perlu banyak kemasjid untuk mengumpul pahala solat berjamaah, pahala mendengar kuliah dan ceramah agama, masa untuk berzikir, membaca al-quran, masa untuk bangun solat dimalam hari, masa untuk memperbanyakkan sedekah, masa untuk menambahkan ilmu pengetahuan agama dan seumpamanya.

Cuma persoalan yang timbul dan juga ramai yang tertanya-tanya dimanakan para remaja kita berada? Adakah mereka sedang berjuang dipentas-pentas dakwah dan jihad? Adakah mereka sedang bertungkus lumus meneroka berbagai bidang ilmu yang bersifat global atau sebaliknya sedang leka dipentas-pentas maksiat? Diatas dataran, tasik, tepi pantai, kelab-kelab malam? menari dan menyanyi dalam keadaan separuh bogel.

Ini tidak ubah hanya meniru dan menciplak budaya barat yang begitu miskin dan tandus dengan adab sopan, sedangkan ulama' menyatakan bahawa 2/3 Islam itu adalah adab. Disinilah lahirnya budaya 'Hippies' dan budaya keseronokan yang mana hidup bebas adalah teras perjuangan, kita juga dihujani dengan pelbagai berita sedih tentang remaja kita yang lepak, bohsia, ekstesi, bersekedudukan tanpa nikah dan pelbagai lagi seribu satu masalah. Adakah remaja kita seperti ini yang diharapkan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara?

Junjungan mulia S.A.W pernah bersabda :

Bermaksud : "Usia muda itu adalah cabang daripada gila"

Memang diusia remaja, sikap suka mencuba sesuatu yang baru dan mencabar minda. Ini juga turut diperakui oleh seseorang ahli sufi, dimana beliau bimbang akan anak-anak yang sedang meningkat umur muda iaitu kecenderungan kepada nafsu dan syahwat keduniaan dan sangat gemar akan gejala-gejala yang menarik kepada mencintai dunia dan tidak gemar untuk membuat ketaatan.

Para hadirin yang dirahmati Allah,

Setiap tahun ramai yang mengambil peperiksaan SPM dan STPM. Setelah tamat peperiksaan, mereka akan menikmati masa lapang yang panjang lebih dari 3 bulan, semata-mata untuk menunggu keputusan peperiksaan. Begitu juga anak-anak yang sedang bersekolah rendah atau menengah pula, menikmati cuti penggal lebih daripada 70 hari setahun atau lebih 350 hari dalam 5 tahun. Ini bermakna anak-anak yang dikatakan bersekolah selama 5 tahun, sebenarnya ia bersekolah hanya 4 tahun. 1 tahun lagi adalah jumlah cuti penggal persekolahannya.

Detik masa muda itu, ialah detik yang sepatutnya dihabiskan untuk mencapai sifat-sifat mulia, menambah khazanah ilmu pengetahuan, serta merebut kedudukan yang tertinggi dalam urusan agama. Setiap manusia didunia ini mempunyai masa yang sama. Manusia boleh menjalankan segala urusan berkaitan dengan hal-hal keduniaan seperti mencari rezeki, menjalin silaturrahim, menuntut ilmu dan sebagainya. Kehidupan diakhirat pula ialah dengan menunaikan kewajipannya- beribadat kepada Allah S.W.T untuk mendapat seberapa banyak pahala yang akan dijadikan bekalan diakhirat nanti.

Firman allah S.W.T,

Maksudnya: Bukanlah kami telah melanjutkan usia kamu dengan memberikan masa yang cukup berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh rasul yang memberi amaran.

Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekalian,

Disaat ini dunia Islam merindui remaja-remaja yang gagah perkasa yang disaluti dengan iman dan jati diri yang kental. Dunia Islam merindui remaja seperti Abdullah Bin Ma'sud, Musab bin Amir, Ammar Bin Yasir dan Usamah Bin Zaid yang merupakan remaja yang dihantar oleh khalifah Abu Bakar bagi menentang 'Byzantin' yang ketika itu berumur 18 tahun. Usamah Bin Zaid pernah berdoa :

Bermaksud : " Demi Allah, sekiranya bukan kerana lautan luas yang menjadi penghalang, nescaya aku akan takluk seluruh dunia ini dalam meninggikan Kalimahmu, wahai tuhan, saksikanlah."

Oleh itu, para remaja kita hari ini diseru dan ingatkan agar bersedia untuk menghadapi perjalanan hidup mukmin yang hakiki, demi agama, bangsa dan umat seluruhnya.

Firman Allah S.W.T dalam surah A-Qasis ayat : 50

Bermaksud : " Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah".

Tuan-tuan sidang hadirin sekalian,

Kita hendaklah bersyukur di atas nikmat masa yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada kita dengan menggunakan masa sebaik-baiknya, yang ada kaitan dengan iman dan amal soleh, tetap istiqamah mengerjakan kebajikan dan ketatan, pada jalan Allah. Marilah sama-sama menasihati anak-anak kita untuk memelihara masa mudanya agar tidak terjebak di dalam perangkap yang tidak diredhai Allah kerana mereka adalah warisan kita dibarisan hadapan.

Sabda Rasulullah S.A.W:

Sebaik-baiknya kamu ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula amalannya.

DISEDIAKAN DAN DISAMPAIKAN OLEH:
USTAZ MUHAMAD NAIM BIN HASHIM
DI SURAU (JUMAAT)AL-IKHLAS BDR SG BUAYA RAWANG

DOA KETIKA KHUTBAH JUMAAT

Soalan:
Sewaktu khutbah jumaat ke-2 terdapat doa yang dibaca untuk orang-orang islam
1. Adakah disyaratkan untuk pendengar menadah tangan dan mengamin doa tersebut ?
2. Adakah perkara ini perkara baru (Bidaah) ?
3. Kenapakan sewaktu doa untuk orang-orang muslim dalam khutbah pertama tidak pula makmun menadah tangan ?

Jawapan:
Alhamdulillah. Salawat dan salam ke atas Rasulullah SAW.

1. Menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibacakan oleh khatib ketika khutbah bukanlah satu syarat atau kemestian. Tetapi adalah lebih baik mengaminkannya. Dan mengaminkan doa tersebut tidak semestinya dengan menadah tangan.

2. Perkara ini bukanlah satu bid'ah kerana para sahabat juga mengaminkan doa yang di baca oleh Rasulullah SAW.

3. Mereka tidak mengangkat tangan mungkin kerana tidak memahami Bahasa Arab dan mengetahui bahawa imam sedang membaca doa. Namun begitu, hal tersebut tidak merosakkan jumaat kerana perkara ini termasuk dalam perkara sunat sahaja.
(sila rujuk terjemahan Sahih Bukhari jld.3 terbitan BAHEIS,m.s 40)

sekian, wassalam
Tarikh kemaskini 22-12-1999

SUMBER:
Jabatan Mufti Negeri Melaka