Khutbah pada hari Jumaat adalah cara terbaik untuk menyampaikan maklumat,peringatan serta mesej-mesej ukhrawi dan duniawi kepada masyarakat Islam kerana pada hari Jumaat inilah kaum muslimin tidak kira bangsa, pangkat ataupun rupa duduk berhimpun dan sembahyang bergandingan di antara satu dengan yang lain.
Khutbah merupakan salah satu daripada lima syarat sah sembahyang Jumaat. Sungguhpun demikian besarnya peranan khutbah Jumaat itu, terdapat sebilangan orang yang tidak begitu memandang endah akan kepentingannya sehinggakan ada di antara
mereka ini yang masih mahu berbual ketika khutbah Jumaat disampaikan. Sebilangannya pula sibuk melakukan amalan-amalan ibadat lain seperti membaca al-Qur‘an, berzikir dan sebagainya.
Apakah hukum melakukan perbuatan-perbuatan seumpama ini ketika khutbah Jumaat sedang disampaikan? Adakah ianya dibolehkan oleh syara‘ ataupun sebaliknya? Tulisan pada kali ini akan membincangkan mengenai permasalahan yang bersangkut-paut dengan perkara-perkara yang dibolehkan dan perkara-perkara yang dilarang ketika khatib menyampaikan khutbah.
1. Membaca al-Qur’an, Bersalawat dan Berzikir Ketika Khutbah
Sunat bagi orang yang menghadiri sembahyang Jumaat menghadapkan muka ke arah imam (ke arah qiblat) kerana menurut Imam Khatib Asy-Syarbini Rahimahullah, ini adalah adab dan selain itu ianya sekaligus membolehkan mereka tetap menghadap qiblat.
Disunatkan juga kepada jemaah untuk diam dan mendengar khutbah dan makruh bagi mereka berkata-kata. Ini sepertimana hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu “dengarkanlah (khutbah)” padahal imam pada waktu itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar telah berkata sia-sia.” (Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Maksud “sia-sia” di sini ialah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang Jumaat itu walaupun sembahyangnya masih dikira sah. Akan tetapi tidak makruh ke atas orang yang mendengar khutbah itu berkata-kata jika terdapat darurat, misalnya kerana ingin menyelamatkan orang buta yang hampir terjatuh ke dalam parit atau ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri seseorang. Maka dalam hal seperti ini tidaklah dilarang orang yang mendengar khutbah itu berkata-kata, bahkan wajib baginya melakukan demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk menggunakan isyarat sahaja jika dia mampu mengelakkan daripada berkata-kata.
Menurut Imam An-Nawawi Rahimahullah, bagi mereka yang dapat mendengar khutbah, diam mendengarkan khutbah itu adalah lebih utama daripada membaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya.
Ini kerana terdapat qaul yang mengatakan diam mendengarkan khutbah itu adalah wajib. Bagi orang yang tidak dapat mendengar khutbah pula, misalnya kerana duduk jauh daripada imam atau suara imam tidak dapat didengar, maka adalah lebih utama baginya pada ketika itu membaca al-Qur‘an terutamanya surah Al-Kahfi, bersalawat, bertasbih, berzikir dan sebagainya dengan suara yang perlahan supaya tidak mengganggu jemaah-jemaah yang lain.
2. Hukum Orang Yang Baru Masuk Masjid Memberi Salam
Ulama-ulama mazhab Imam Asy-Syafi‘e Rahimahumullah bersependapat bahawa orang yang baru masuk ke masjid, tidak makruh baginya berkata-kata walaupun pada ketika itu khutbah sedang disampaikan selagimana dia belum mengambil tempatnya. Apabila dia telah mengambil tempatnya, maka barulah makruh baginya berkata-kata walaupun pada ketika itu dia belum lagi duduk.
Bagaimanapun, makruh ke atas orang yang baru masuk ke masjid itu memberi salam kepada jemaah yang sedang mendengarkan khutbah dan makruh juga memberi salam kepada khatib yang sedang menyampaikan khutbah walaupun orang tersebut belum lagi mendapatkan tempatnya. Ini kerana perbuatannya memberi salam itu boleh mengganggu orang yang diberi salam sama ada pendengar mahupun pembaca khutbah. Bagaimanapun, jika diberi salam juga ke atas mereka ketika khutbah, maka menurut pendapat yang paling shahih wajiblah juga dijawab salam tersebut.
3. Mentasymit Orang Yang Bersin
Sunat mentasymit iaitu mengucapkan ( yarhamkallah ) kepada orang yang bersin setelah dia mengucapkan tahmid ( alhamdulillah ), walaupun ketika khutbah sedang disampaikan. Bagaimanapun, ulama mensyaratkan supaya tasymit tersebut mestilah dilakukan jika orang yang bersin itu mengucapkan tahmid. Jika orang yang bersin itu tidak mengucapkannya maka tidak sunat mentasymitkannya. Daripada Abu Musa Al-Asy‘aari Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu bersin lalu dia bertahmid (mengucapkan “ alhamdulillah ”), maka kamu ucapkanlah tasymit (yarhamkallah) kepadanya. Jika dia tidak bertahmid (mengucapkan“ alhamdulillah”) maka jangan kamu ucapkan tasymit) ) kepadanya.” (Hadits riwayat Muslim)
Disunatkan juga bagi orang yang bersin ketika khutbah disampaikan itu membalas tasymit tersebut dengan ucapan:
“yahdikumullah wa yuslih ba lakum”
Ertinya: “Semoga Allah memberi hidayat dan mensejahterakan keadaan kamu.”
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah dia mengucapkan “alhamdulillah” (segala puji bagi Allah). Dan hendaklah saudaranya ataupun sahabatnya mengucapkan kepadanya “ Yarhamkallah ” (semoga Allah memberi rahmat kepadamu).Dan apabila dia (sahabatnya) mengucapkan “Yarhamkallah” maka hendaklah (orang yang bersin itu) mengucapkan “yahdikumullah wa yuslih ba lakum” (semoga Allah memberi hidayat dan mensejahterakan keadaan kamu).” (Hadits riwayat Al-Bukhari)
Bagaimanapun, jika orang yang ditasymit itu bersin lebih daripada tiga kali, maka dalam hal ini tidak lagi disunatkan mentasymitkannya. Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Mengucapkan tasymit kepada orang yang bersin itu setakat tiga kali (dia bersin). Adapun jika lebih daripada itu maka dia diserang selesema.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
4. Mengucapkan Salawat Ketika Nama Nabi Disebut Dan Menta’minkan Doa Khatib
Sunat mengucapkan salawat apabila khatib menyebut nama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam hal ini, menurut ulama, sunat mengangkat suara ketika bersalawat itu secara tidak berlebihan walaupun ketika mendengar khatib membaca ayat berikut:
Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya bersalawat(memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam).” (Surah Al-Ahzaab: 56)
Jika nama-nama para sahabat Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pula disebutkan, maka menurut ulama, sunat juga mengucapkan (Radiallahu anhum) akan tetapi tidak disunatkan untuk mengangkat suara.
Sunat juga menta’minkan (mengaminkan) doa khatib dengan tidak mengangkat suara sepertimana yang disebutkan dalam kitab I‘anah At-Thalibin. Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullah, adapun sebab tidak digalakkan mengangkat suara ketika ta’min ini adalah kerana ianya mengganggu pendengaran dan mengganggu jemaahjemaah yang lain.
5. Mendirikan Sembahyang Ketika Khutbah Disampaikan Bagi Orang Yang Sudah Duduk
Sebahagian ulama berpendapat bahawa orang yang sudah duduk dalam masjid, lalu dia bangun mengerjakan sembahyang sunat atau qadha sembahyang fardhu, walaupun qadha sembahyang fardhu yang wajib disegerakan misalnya jika ditinggalkan tanpa keuzuran, padahal khatib sudahpun duduk di atas mimbar, maka hukumnya adalah makruh tahrim (makruh yang hampir kepada peringkat haram), walaupun orang itu tidak wajib Jumaat ke atasnya misalnya orang yang sedang musafir dan kaum perempuan.
Sementara sebahagian ulama lagi, antaranya Imam Al-Mawardi, Imam Ibnu Hajar Al-Haitami dan Imam Khatib Asy-Syarbini Rahimahumullah berpendapat ianya bukan hanya makruh tahrim, bahkan hukumnya adalah haram.
Menurut Syeikh Zainuddin Al-Malibari Rahimahullah, larangan ini termasuk juga ke atas mereka yang tidak mendengar khutbah.
Jika dikerjakan juga, maka menurut pendapat yang paling awjah, tidak sah sembahyangnya itu. Menurut As-Sayyid Bakri Rahimahullah, orang yang sudah duduk dalam masjid, lalu dia mengerjakan sembahyang ketika imam sudahpun duduk di atas mimbar, ini jelas menunjukkan keengganannya secara menyeluruh daripada mendengarkan khutbah. Ini kerana orang yang sedang bersembahyang, pada kebiasaannya tidak akan menumpukan perhatian terhadap perkara-perkara lain selain daripada sembahyangnya itu.
6. Mengerjakan Sembahyang Ketika Khutbah Disampaikan Bagi Orang Yang Baru Masuk Masjid
Bagi orang yang baru masuk masjid pula, sedangkan pada waktu tersebut khatib sudahpun mula menyampaikan khutbah, sunat baginya mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat Al-Masjid dan makruh baginya meninggalkannya sepertimana yang disebutkan di dalam kitab Al-Majmu‘.
Perlu juga diingat bahawa sembahyang sunat Tahiyyat Al-Masjid itu wajib dikerjakan secara takhfif iaitu ringkas ataupun ringan.
Menurut satu pendapat, takhfif ini bukanlah bermaksud mempercepatkan sembahyang, akan tetapi ianya bermaksud membataskan dalam menunaikan sembahyang itu kepada perkara-perkara yang wajib sahaja sepertimana yang dinukilkan oleh Imam Khatib Asy-Syarbini Rahimahullah daripada Imam Az-Zarkasyi Rahimahullah dalam kitab Mughni Al-Muhtaj.
Menurut pendapat yang paling awjah pula, sepertimana yang disebutkan dalam kitab Nihayah Al-Muhtaj, maksud takhfif itu ialah tidak memanjangkan sembahyang. Maka menurut pendapat ini, Imam Asy-Syibramalisi Rahimahullah berkata bolehlah dibaca surah-surah pendek selepas membaca surah Al-Fatihah. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Telah datang Sulaik Al-Ghathafaani pada suatu hari Jumaat dan pada ketika itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang berkhutbah lalu dia (terus) duduk. Maka Baginda pun bersabda kepadanya: Wahai Sulaik! Bangunlah dan dirikanlah sembahyang dua rakaat dan kerjakanlah ia secara ringan (ringkas). Kemudian Baginda bersabda lagi: Apabila seorang daripada kamu mendatangi (sembahyang) Jumaat padahal imam sedang berkhutbah, maka hendaklah ia mengerjakan sembahyang dua rakaat dan hendaklah ia mengerjakannya secara ringan (ringkas).” (Hadits riwayat Muslim)
Menurut As-Sayyid Bakri Rahimahullah, selain daripada sembahyang sunat Tahiyyat Al-Masjid, boleh juga dikerjakan sembahyang sunat Qabliyyah Jumaat jika ianya belum dikerjakan, dan dalam hal ini adalah lebih utama ianya disatukan niat bersama sembahyang sunat Tahiyyat Al-Masjid (dalam satu sembahyang) dan dikerjakan sebanyak dua rakaat. Jika orang itu ingin mengerjakannya dengan satu niat sahaja maka adalah lebih awla diniatkannya sembahyang sunat Tahiyyat Al-Masjid sahaja kerana ianya akan luput jika tidak dikerjakan (sebelum duduk). Adapun sembahyang sunat Qabliyyah Jumaat pula, ianya masih dapat dikerjakan sekalipun selepas sembahyang Jumaat dan boleh juga diqadha jika dikerjakan di luar waktu.
Imam Asy-Syibramalisi Rahimahullah pula menambah, selain kedua sembahyang sunat itu, boleh juga dikerjakan sembahyang qadha yang jumlahnya dua rakaat, misalnya sembahyang qadha Subuh. Adapun sembahyang qadha yang jumlahnya melebihi daripada kadar dua rakaat tidak boleh dikerjakan pada waktu ini, jika dikerjakan juga maka ianya tidak sah. Begitu juga tidak sah jika dikerjakan lagi sembahyang-sembahyang yang lain selepas itu. Manakala bagi orang yang datang ke masjid pada penghujung khutbah pula, jika dia takut apabila dia mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat Al-Masjid itu dia tidak akan sempat bertakbiratul ihram bersama imam, maka dalam hal ini adalah lebih baik (sunat) baginya berdiri sahaja sehingga imam menunaikan sembahyang.
Adapun bagi mereka yang sedang bersembahyang, lalu ketika mereka sedang bersembahyang itu khatib pun naik dan duduk di atas mimbar, menurut ulama-ulama mazhab Asy-Syafi‘e Rahimahumullah, wajib ke atas mereka ini mengerjakan sembahyang mereka itu secara takhfif walaupun sembahyang yang mereka kerjakan itu adalah sembahyang fardhu.
Kesimpulan
Daripada penjelasan di atas, menunjukkan para ulama sangat menitik-beratkan penerimaan hati serta seluruh anggota tubuh badan terhadap khutbah yang disampaikan. Sehinggakan perbuatan ibadat seperti membaca al-Qur’an, berzikir dan seumpamanya pun dimakruhkan bagi orang yang dapat mendengar khutbah, apatah lagi berbual-bual mengenai perkara yang sia-sia. Bahkan, sekecil-kecil perbuatan yang boleh mengganggu tumpuan terhadap khutbah itu pun sudah dikira melakukan suatu perbuatan yang sia-sia yang akan mengakibatkan kerugian pahala dan kelebihankelebihan sembahyang Jumaat.
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan sembahyang Jum‘at, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jum‘at itu dan hari Jum‘at berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak
batu (ketika khutbah) telah berbuat sia-sia”.(Hadis riwayat Muslim)
Maka sewajarnyalah seorang muslim itu menumpukan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang disampaikan kerana selain daripada mengambil manfaat dan iktibar daripadanya, khutbah juga sangat berkait rapat dengan kesempurnaan sembahyangJumaat seseorang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan