ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH!!
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
Berbagai cara dan bentuk usaha manusia dalam mencari hiburan. Ada antara mereka yang mencari hiburan itu dengan melancung, makan angin, bersiar-siar, bersukan, memancing ikan, menari, mendengar nyanyian dan sebagainya.
Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan kemewahan, harta benda, anak pinak, makan minum, pakai dan lain-lain. Bahkan kehidupan dunia juga merupakan pentas permainan dan hiburan bagi manusia. Hal ini telah difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: "Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan"(Surah Al-An‘am: 32)
JAUHI PERKARA SYUBHAH
Islam menggariskan ketetapan mengenai perkara halal dan haram dengan jelas dan terang melalui Al-Qur‘an, hadith, ijma‘ dan qiyas. Para ulama juga telah meletakkan kaedah-kaedah umum mengenai halal haram apa yang disebut sebagai qawaid fiqhhiyyah.
Jika kedudukan suatu perkara itu telah jelas, tidak ada kesamaran, hatta dalam kesamarannya pun (syubhah) maka kewajipan kita ialah mengikut dan taat menurut perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: "Daripada Abu Abdullah bin An-Nu‘man bin Basyir Radhiallahu ‘anhuma, katanya: "Aku dengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram (juga) jelas dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (belum diketahui halal atau haramnya) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya daripada perkara-perkara yang syubhah itu, samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya (daripada kata nista orang lain). Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubhah akan tergelincir ke dalam perkara haram pula, laksana seorang pengembala yang sedang mengembala di sekitar tempat larangan, akhirnya lalai, lalu memasuki tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja itu, ada tempat larangannya dan tempat larangan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Dan ketahuilah bahawa pada setiap jasad itu ada seketul daging. Sekiranya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak, rosaklah seluruh jasad itu. Ia itulah hati".(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis di atas adalah selamat bagi setiap orang Islam menurut petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang samar-samar atau syubhah agar tidak terjebak kepada haram.
Begitulah juga apabila bercakap mengenai perkara halal atau haram hendaklah merujukkan perkara tersebut kepada orang yang ahli mengenainya. Ditakuti perkara yang halal disangkakan haram dan begitulah sebaliknya. Jika perkara sedemikian berlaku dikhuatiri akan menjejaskan aqidahnya. Yang paling mendukacitakan dan merasa kesal jika perkara haram itu dipromosikan maka jadilah perkara haram (mungkar) itu suatu yang dibanggakan dan perkara yang halal (ma‘ruf) dipandang mungkar. Inilah peringatan sebagaimana yang disebut oleh kitab Mau‘izah Al-Mukminin min Ihya Ulum Al-din:
Maksudnya: "Cubalah anda perhatikan (lihat) bagaimana yang mungkar itu menjadi perkara ma‘ruf dan yang ma‘ruf itu pula menjadi mungkar".
Maka dalam ruangan irsyad hukum kali ini akan menjelaskan mengenai konsert nyanyian dari sudut Islam, sama ada ia perkara halal atau sebaliknya yang banyak dipetik dari Fatwa Mufti Kerajaan mengenai Islam dan Muzik.
SEJARAH KONSERT
Konsert ialah satu persembahan muzik di hadapan penonton. Istilah ini pada kebiasaannya dikhaskan untuk persembahan yang dipertunjukkan oleh suatu kumpulan ahli muzik. Manakala persembahan yang dilakukan oleh seorang atau lebih pemuzik biasanya dipanggil retical. Perkataan konsert pada asalnya bermakna gabungan ahli persembahan suatu kensert viol bukan persembahan itu sendiri dan istilah itu tidak mempunyai makna seperti sekarang sehingga abad ke 17. (Ensiklopedia Malaysiana Jilid 7/215)
Menurut Ensiklopedia Malaysiana, sebelum abad ke 17, muzik hanya diperdengarkan di gereja, di dewan persendirian orang bangsawan atau di perjumpaan akademi yang tertutup atau kumpulan lain. Walau bagaimanapun dengan perkembangan opera pada abad ke 17 seni muzik buat pertama kalinya menjadi satu institusi orang ramai. Konsert orang ramai yang terawal pernah direkodkan dan mengenakan bayaran masuk adalah konsert yang diadakan di London oleh pemain biola John Bawister pada tahun 1672. Pada abad ke 18 pula konsert orang ramai mula terbentuk kukuh di seluruh Eropah dan Amerika. (Ensiklopedia Malaysiana Jilid 7/215)
Berdasarkan penjelasan di atas konsert adalah suatu persembahan oleh ahli gabungan muzik. Muzik pula ialah gubahan bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama. Muzik tidak boleh lari daripada alat-alatnya kerana daripada alat-alat inilah timbul alunan bunyi dan irama, sama ada ia berbentuk:
(1) Dipukul atau dipalu seperti gendang atau rebana.
(2) Ditiup seperti seruling, serunai atau trompet.
(3) Dipetik seperti kecapi, gambus, gitar atau biola.
Apabila disebut alat-alat muzik terbayang kepada kita tentang alat-alat hiburan yang dibuat oleh manusia untuk menghasilkan alunan bunyi-bunyian. Alat-alat muzik itu pada kebiasaannya dimainkan untuk mengiringi lagu-lagu, sama ada untuk majlis-majlis keagamaan ataupun semata-mata hiburan.
Dalam masyarakat moden sekarang ini, pelbagai irama muzik yang dimainkan sama ada melalui radio, televisyen ataupun mengadakan konsert secara langsung. Persoalan yang hendak dihuraikan ialah adakah bermain muzik itu harus atau bertentangan dengan hukum syara‘?
HUKUM MUZIK
Kedudukan hukum muzik itu akan tergantung kepada apa jenis alat yang digunakan kerana ada di antara alat muzik itu yang diharamkan oleh syara‘ dan ada pula tidak. Jadinya kedudukan hukum muzik itu sendiri akan tertakluk kepada perkara-perkara berikut:
(1) Menggunakan alat-alat muzik yang dilarang oleh syara‘, maka kedudukan muzik itu adalah haram.
(2) Menggunakan alat muzik yang diharuskan oleh syara‘, maka kedudukannya adalah harus.
(3) Bermain atau menggunakan alat muzik yang harus, tetapi dicampur dengan perkara-perkara yang haram, maka hukumnya adalah haram.
ALAT-ALAT MUZIK YANG DITEGAH
Dalam beberapa buah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan jenis-jenis alat muzik yang diharamkan. Adapun alat-alat muzik yang ditegah oleh syara‘ itu ialah:
i. Al-Ma‘azif iaitu sejenis alat muzik yang bersenar (bertali) banyak.
ii. Al-Mazamir iaitu alat muzik yang ditiup seperti seruling.
iii. Al-Awtar atau Al-‘ud iaitu alat muzik yang bertali sejenis kecapi.
iv. Al-Thabl atau Al-Kubah iaitu gendang kecil yang ramping di tengah.
v. Al-Kamanjah iaitu Biola.
vi. Al-Rabab iaitu alat bunyian (seperti biola) yang bertali dua atau tiga.
vii. Al-Shanj iaitu canang, berupa dua piring kekuningan yang diadu.
viii. Al-Junk atau Al-Thunbur iaitu alat muzik yang dipetik yang mempunyai leher panjang dan mempunyai tali daripada tembaga (berasal dari Parsi).
Pengharaman alat-alat muzik yang dinyatakan di atas berdasarkan hadis-hadis berikut;
i. Diriwayatkan daripada Abu Umamah Radhiallahu ‘anhu telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam :
Maksudnya: "Bahawa Allah Azza wa Jalla telah membangkitkan saya menjadi Nabi dengan membawa hidayat dan rahmat kepada orang-orang mukminin dan Allah telah memerintahkan saya menghapuskan alat ma‘azif (alat bunyi-bunyian) dan alat-alat mazamir (seperti seruling) dan alat-alat awtar (bunyi-bunyian bertali), salib (cross) dan perkara-perkara jahiliah dan Tuhan saya telah bersumpah dengan kebesaranNya dan kekuasaanNya dan dengan kemuliaanNya: "Tiada minum seorang hamba daripada hamba-hambaKu itu akan seteguk daripada arak dengan sengaja ketika berada di dunia melainkan Aku akan meminumkan dia ganti arak itu daripada darah nanah pada Hari Kiamat, sama ada diampunkan dia atau sama ada diazabkan dia dan tiada siapa hambaKu yang meninggalkan arak di dunia kerana takutkan Aku, melainkan Aku beri dia minum akan arak di syurga. Tiadalah halal dijual benda-benda itu dan tiada halal dibeli akannya dan tiada halal diperniagakan dan harganya adalah haram.(Hadis riwayat Abu Daud dan At-Thayalisy)
2. Ahmad bin Mani‘ Al-Harits Ibnu Abu Usamah pula meriwayatkan dengan lafaz:
Maksudnya: "Bahawa Allah ‘Azza wa Jalla telah membangkitkan saya (menjadi Nabi) dengan membawa rahmat dan hidayat kepada sekalian alam dan Allah telah memerintahkan saya menghapuskan mazamir, ma‘azif, arak dan berhala-berhala yang disembah pada zaman jahiliah (dan sekarang) dan Tuhan saya telah bersumpah dengan kebesaranNya dan kekuasaanNya. "Tiada seorang hamba yang minum arak di dunia melainkan Aku minumkan dia dari air panas neraka sama ada dia kena azab atau diampunkan dia dan tiada meninggalkan oleh seorang hamba daripada hamba-hambaKu itu akan arak (di dunia kerana takutkan dosanya) melainkan Aku beri dia minum akan arak syurga".
Hadis ini disokong oleh hadis riwayat Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma yang telah berkata:
Maksudnya: "Kubah itu haram, dannu itu haram, ma‘azif (alat muzik bertali) itu haram dan alat muzik jenis bertiup itu haram".(Hadis riwayat Ahmad)
3. Di riwayatkan oleh Al-Bazzar daripada riwayat Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengharamkan bangkai, judi dan kubah yakni thanbur (bukan thunbur perang)".
4. Dalam hadis yang lain Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Ditukarkan keadaan satu golongan daripada umatku kepada keadaan yang lebih buruk dengan sebab mereka meminum arak dan bermain kubah (sejenis gendang) dan ma‘azif (alat muzik bertali)".
5. Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasululah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: "Aku diperintahkan untuk membinasakan alat gendang dan alat hiburan yang ditiup"(Hadis riwayat Ad-Dailami)
Demikian beberapa hadis yang menjadi dalil tentang haramnya alat-alat hiburan (muzik). Para ulama mazhab Al-Syafi‘e juga telah menghukumkan bahawa alat-alat muzik itu adalah haram, sebagaimana yang disebutkan oleh hadis di atas.
Dalam kitab Al-Muhadzdzab karangan Imam Abu Ishak Al-Syirazi menjelaskan bahawa haram menggunakan alat-alat (muzik) yang dibunyikan (dipanting atau digendang) tanpa ada lagu seperti ‘ud, thaunbur, ma‘azifah, thabl (gendang) dan mizmar. Adapun dalil haramnya bermain muzik itu sekalipun tidak diiringi dengan lagu berdasarkan firman Allah:
Tafsirnya: "Dan ada di antara manusia; orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) daripada agama Allah".(Surah Luqman : 6)
Menurut Ibnu ‘Abbas maksud tafsir "perkara hiburan yang melalaikan" itu adalah alat-alat hiburan. (Al-Muhadzdzab: 2/457)
Begitu juga dalam kitab Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah, Imam An-Nawawi menyebutkan bahawa makruh menyanyi dengan tidak disertai alat (muzik) dan mendengarnya, dan adalah haram menggunakan alat (muzik) yang menjadi syiar peminum-peminum (arak) seperti thunbur, ‘ud, shanj dan mizmar Iraqi dan (haram) mendengarnya. (Hasyiah Qalyubi wa Umairah: 4/321)
Imam Ibnu Hajar pula menyebutkan dalam kitabnya Al-Zawajir bahawa Abu Al-Abbas Al-Qurtubi telah berkata: "Adapun alat-alat muzik yang ditiup (al-mazamir), alat-alat muzik yang bertali (al-awtar), alat-alat muzik yang digendang (kubah), maka tiada perselisihan ulama pada mengharamkan mendengarnya dan aku tidak mendengar seorang pun daripada ulama yang muktabar sama ada daripada ulama salaf dan juga khalaf yang berpendapat mengharuskannya. Dengan hal yang demikian tidak syak lagi pada mengharamkannya dan tentang fasik dan berdosanya orang yang melakukannya, kerana ia adalah syiar (tanda dan lambang) bagi penggemar-penggemar arak dan penyokong-penyokong perbuatan fasik".
Sesungguhnya ulama-ulama dalam mazhab Syafi‘e bukanlah satu-satunya mazhab yang mengharamkan hampir kesemua alat-alat muzik, bahkan kita dapati juga ulama-ulama mazhab lain seperti ulama mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat demikian.
ALAT MUZIK YANG DIHARUSKAN
Para ulama mazhab As-Syafi‘e telah menghukumkan bahawa alat-alat muzik itu pada umumnya haram sekalipun tidak diiringi dengan lagu, melainkan ada nash yang mengharuskannya.
Duff (kompang) diharuskan memukulnya ketika meraikan hari raya atau majlis-majlis perkahwinan. Adapun memukul rebana dalam majlis-majlis tersebut berdasarkan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: "Iklankanlah pernikahan dan kamu pukullah rebana di atas pernikahan itu".
Harus juga menyanyikan lagu-lagu yang senikata atau liriknya tidak terkeluar daripada kaedah dan adab-adab Islam dengan iringan duff itu. Namun tidak harus memukulnya selain daripada majlis pernikahan menurut pendapat yang masyhur, tetapi lawan pendapat yang masyhur, harus memukul (alat rebana) dalam semua upacara majlis kegembiraan orang Islam. (Al-Majmuk : 23/58 & Majmuk Fatawa wa Rasail : 181-182)
NYANYIAN MENURUT HUKUM
Pada kebiasaannya nyanyian itu diiringi dengan pelbagai irama dan muzik. Di zaman ini sahaja, nyanyian itu menjadi alat penghibur hampir seluruh masyarakat kerana ramai orang meminatinya, lalu dihukumkan harus, adakah begitu?
Al-Syeikh Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya "Halal dan Haram" menyebutkan bahawa di antara hiburan yang dapat menghibur jiwa dan menenangkan hati serta menyedapkan telinga ialah nyanyian. Hiburan nyanyian ini telah diharuskan oleh Islam selama ianya tidak dicampuri kata-kata kotor atau cabul atau yang boleh memberangsangkan kepada dosa. Dan tidak mengapa nyanyian itu disertai muzik yang tidak membangkitkan nafsu. (H.291) Adapun hadis-hadis Nabi yang melarang nyanyian, semuanya cacat, tidak ada satupun yang selamat daripada celaan di sisi ulama hadis. (H.293)
Sebelum kita menghuraikan pendapat dan ulasan ulama mengenai perkataan Al-Syeikh Al-Qardhwi di atas, elok juga diberikan ulasan mengenai perkataan beliau iaitu "hadis-hadis Nabi yang melarang nyanyian semuanya cacat, tidak satupun yang selamat daripada celaan di sisi ulama hadis".
Oleh yang demikian adalah wajar dibawakan salah satu hadis yang berkenaan serta pemahaman ulama mengenainya iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari dalam Shahihnya membawakan hadis Abu Malik Al-Asy‘ari (dirajihkan oleh Ibnu Hajar dalam Fath Al-Bari, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Pasti akan ada golongan daripada umatku yang menghalalkan zina, sutera, arak dan al-ma‘azif (alat bunyi-bunyian)".(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Hadis ini juga disebut oleh Al-Syeikh Al-Albani dalam Al-Shahih. Beliau telah menjelaskan bahawa hadis ini hadis maushul, shahih al-isnad dan tidak seperti yang didakwakan oleh Ibnu Hazm. Ulama telahpun menolak pendapat-pendapat yang melemahkan hadis ini, seperti Imam Ibnu Al-Qayyim, al-Hafiz dan lain-lain.
Manakala perkataan yastahillun (يستحلون) bermakna "mereka menghalalkan" dalam hadis ini memberi makna bahawa zina, sutera, arak dan ma‘azif (alat bunyi-bunyian dan nyanyian itu) adalah tidak halal (haram) tetapi mereka menghalalkannya juga.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah pun menyebutkan zina, sutera dan arak dalam hadis ini, sedang sedia dimaklumi bahawa zina dan arak itu telah sabit haramnya dalam Al-Qur‘an dan sunnah dengan tidak boleh dibantah-bantah lagi. Kemudian Baginda menyambung pula dengan menyebutkan ma‘azif (sebagai penegasan) bahawa ma‘azif itu juga sama hukumnya iaitu haram seperti zina, sutera dan arak.
Mengapa Baginda menyebut dan menghimpunkannya bersama dengan zina dan arak pada hal keduanya itu telahpun sabit dan dimaklumi akan haramnya? Kemudian datang lagi perkataan yastahillun (mereka menghalalkan). Mafhum daripada perkataan ini, bahawa walaupun benda-benda itu sudah jelas hukum haramnya namun akan terdapat daripada kalangan umat Baginda yang mahu menghalalkannya (bahkan ia sudah pun berlaku sekarang ini).
Berdasarkan hadis dan pemahaman ulama mengenainya, apakah beliau (Al-Qardhawi) masih mempertikaikan bahawa semua hadis-hadis yang berkaitan dengan nyanyian itu adalah hadis-hadis yang cacat sedangkan Imam Al-Bukhari terkenal dan ahli dalam bidang hadis shahih dan tidak seorang pun ulama yang mempertikaikannya.
Pengarang risalah Nushh Al-‘Uqala’ bima Ja’a fi Tahrim Alat Al-Lahw wa Al-Ghina, Fadhilah Al-Syeikh Umar Sulaiman Al-Asyqar pula telah mengemukakan satu ulasan yang bernas lagi menarik, katanya: "Al-Syeikh Yusuf Al-Qardhawi dengan keluasan ilmu, penyelidikan dan dakwahnya, namun beliau telah tersilap daripada kebenaran dalam perkara ini. Kata-katanya (pendapatnya) itu adalah taqlid jua, terikut-ikut dengan pendapat orang-orang sebelumnya, seperti Al-Imam Ibnu Hazm dan lain-lain. Ia sudah dibantah dengan keterangan-keterangan berdasarkan hadis-hadis Nabi yang warid oleh ulama-ulama".
Al-Syeikh Al-Albani seorang pakar hadis dari Syria pada abad ini juga telah memberikan jawapan yang bernilai terhadap apa yang disebutkan oleh pengarang buku "Halal dan Haram". Mula-mula beliau mengulas hadis ‘Aisyah seperti berikut: "Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Abu Bakar pernah masuk menemuinya, sedang di sampingnya dua anak perempuan sedang menyanyi dan memukul gendang pada Hari Mina (‘Idul Adha), ketika itu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menutup wajah Baginda dengan pakaiannya. Abu Bakar menengking kedua anak perempuan itu. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membuka wajahnya dan bersabda: "Biarkan mereka, wahai Abu Bakar kerana hari ini adalah Hari Raya."
(Hadis Shahih Muttafaq ‘Alaih, dikeluarkan oleh Al-Bukhari (1: 242,252), Muslim(3:22), Al-Nasa’I(1:236) dan Ahmad (6:33,84, 99,127, 134)
Al-Albani memberikan kesimpulan mengenai hadis di atas bahawa kesilapan Ibnu Hazm berpunca daripada kewahamannya, sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang Abu Bakar menegah dua budak perempuan itu secara mutlak bukannya daripada pengakuan (ikrar) Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap dua anak perempuan tersebut. Kerana yang demikian itu menunjukkan dalil keharusan yang berkaitan dengan menyanyi pada hari raya dan memukul duff, adapun selain daripada itu, semuanya ditegah (sebagaimana pertunjuk daripada hadis-hadis yang tsabit yang mengharamkan ma‘azif dan alat-alat yang ditiup), dan harus menyanyi itu bagi anak-anak kecil perempuan sebagaimana yang diperjelaskan oleh para ulama. (Tahrim Alat At-Tharb: 113)
Ibnu Al-Jauzi berkata: "Dan kenyataannya bahawa dua anak perempuan itu adalah anak-anak kecil dan ketika itu Aisyah masih kecil dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membenarkan dua orang anak perempuan itu bermain dengannya". (Talbis Iblis : 1/239)
Dalam hal ini Al-Albani juga berkata: "Pada saya ada satu juz yang mengandungi bantahan terhadap risalah Ibnu Hazm yang mengharuskan alat-alat muzik, di mana dalam juz ini saya sertakan sama semua hadis yang warid (yang benar-benar datangnya daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) yang mengharamkan ma‘azif, dan saya juga memberikan kritikan ilmiyah dan penjelasan, bahawa Ibnu Hazm telah tersilap dari kebenaran ketika melemahkan sebahagian besar dari hadis-hadis itu".
Beliau juga menjelaskan bahawa kata-kata Al-Ghazali mengenai hadis Aisyah sebagai nash yang menunjukkan nyanyian itu tidak haram, adalah kata-kata ini batal dalam pandangan ulama, kerana hadis berkenaan itu khas pada nyanyian dua kanak-kanak perempuan kecil memalu duff pada Hari Raya. Inilah perkara yang diakui oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ada pun orang yang menjadikannya sebagai dalil bagi mengharuskan nyanyian secara mutlak daripada wanita-wanita ajnabi (bukan mahram) yang sudah dewasa dan mengharuskan memetik apa jua alat muzik seperti gambus dan sebagainya, maka adalah perkara ini tidak syak lagi terkeluar daripada kebenaran dan dari jalan orang-orang yang insaf serta membawa hadis ini kepada makna yang tidak tepat".
Dengan ini memberi pengertian bahawa perkara tersebut memang ianya tidak harus selain pada Hari Raya, kecuali yang dikecualikan oleh syara‘ melalui nash yang lain, seperti duff di majlis perkahwainan menurut qaul yang masyhur dalam mazhab Syafi‘e. (Al-Majmuk : 23/58 & Majmuk Fatawa wa Rasail : 181-182)
NYANYIAN BERSERTA MUZIK
Dari penjelasan di atas, maka nyanyian yang disertai dengan muzik daripada alat-alat muzik yang ditegah adalah haram, begitu juga menyewa penyanyi atau menguruskan bagi nyanyian itu.
Walau bagaimanapun nyanyian itu adalah harus hukumnya jika disertai dengan alat muzik yang ada nash pada mengharuskannya seperti duff (kompang) pada hari-hari perkahwinan dan hari raya, dengan syarat nyanyian itu tidak terkeluar daripada kaedah-kaedah dan dasar-dasar Islam.
NYANYIAN TANPA MUZIK
Adapun nyanyian tanpa disertai dengan alat-alat muzik yang haram adalah diharuskan. Selagi senikata atau liriknya tidak terkeluar daripada kaedah dan adab-adab Islam. Sebagai contoh, Al-Hida’ iaitu nyanyian penggerak semangat yang dilakukan oleh pengendali kenderaan supaya berjalan cergas. Ini berdasarkan riwayat, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam perjalanan jauh, seorang budak lelaki bernama Anjasyah menyanyikan nyanyian penggerak semangat supaya unta yang dikenderai berjalan cergas, lalu Baginda bersabda: "Perlahankan sedikit wahai Anjasyah. Yang engkau bawa ini terdapat kaum perempuan." Menurut riwayat Al-Bukhari, yang bernama Anjasyah ini memiliki suara yang merdu.
Berdasarkan nash-nash yang terang lagi shahih dan pendapat-pendapat a‘immah al-salaf (ulama-ulama salaf) daripada kalangan sahabat, tabi‘in, imam-imam yang empat dan lain-lain daripada kalangan ulama pada segala zaman dan tempat, maka hukum mengenai alat-alat nyanyian serta lain-lain yang berkaitan dengannya itu telahpun jelas, tiada lagi boleh diputar-belitkan. Jika ianya sudah jelas, tiada lagi kesamaran pada larangan ke atasnya, kecualilah yang ada disebut oleh nash tentang hukum sebaliknya.
Oleh yang demikian adalah wajar dibawakan ringkasan nash-nash yang berkenaan serta pemahaman mengenainya dan beberapa aqwal ulama;
1. Al-Imam Al-Bukhari dalam Shahihnya membawakan hadis Abu Malik Al-Asy‘ari (dirajihkan oleh Ibnu Hajar dalam Fath Al-Bari, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Pasti akan ada golongan daripada umatku yang menghalalkan zina, sutera, arak dan al-ma‘azif (alat bunyi-bunyian)".(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Hadis ini juga disebut oleh Al-Syeikh Al-Albani dalam Al-Shahih. Beliau telah menjelaskan bahawa hadis ini hadis maushul, shahih al-isnad dan tidak seperti yang didakwakan oleh Ibnu Hazm. Ulama telahpun menolak pendapat-pendapat yang melemahkan hadis ini, seperti Imam Ibnu Al-Qayyim, al-Hafiz dan lain-lain.
Perkataan yastahillun bermakna "mereka menghalalkan" dalam hadis ini memberi makna bahawa zina, sutera, arak dan ma‘azif (alat bunyi-bunyian dan nyanyian itu) adalah tidak halal (haram) tetapi mereka menghalalkannya juga.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah pun menyebutkan zian, sutera dan arak dalam hadis ini, sedang sedia dimaklumi bahawa zina dan arak itu telah sabit haramnya dalam Al-Qur‘an dan sunnah dengan tidak boleh dibantah-bantah lagi. Kemudian Baginda menyambung pula dengan menyebutkan ma‘azif (sebagai penegasan) bahawa ma‘azif itu juga sama hukumnya iaitu haram seperti zina, sutera dan arak.
Mengapa Baginda menyebut dan menghimpunkannya bersama dengan zina dan arak pada hal keduanya itu telahpun sabit dan dimaklumi akan haramnya? Kemudian datang lagi perkataan yastahillun (mereka menghalalkan). Mafhum daripada perkataan ini, bahawa walaupun benda-benda itu sudah jelas hukum haramnya namun akan terdapat daripada kalangan umat Baginda yang mahu menghalalkannya (bahkan ia sudah pun berlaku sekarang ini).
2. Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksunya: "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atasku atau Allah mengharamkan arak, judi, al-kubah dan setiap yang memabukkan adalah haram. Berkata Sufyan: "Saya telah tanyakan kepada Ali bin Bazimah: "Apakah al-kubah itu? Jawabnya: "Gendang".(Hadis riwayat Ahmad)
Dalam hadis ini didapati dengan jelas bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memulai sabda Baginda dengan "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atasku ….."
Baginda kemudian menyebutkan pula apa-apa yang telah diharamkan itu, di antaranya al-kubah. Ulama telah menafsirkan al-kubah itu sebagai al-thabl, iaitu gendang sebagaimana tersebut dalam Musnad Ahmad dan gendang itu adalah antara alat-alat muzik dan nyanyian.
3. Daripada Abu Hurairah, katanya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: "Suatu kaum daripada umat ini pada akhir zaman akan ditukar rupanya menjadi kera dan babi." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah tidak mereka itu (dari golongan yang dipersaksikan tiada Tuhan (yang sebenar-benarnya disembah) melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah?" Baginda menjawab: "Bahkan (mereka sesungguhnya orang Islam) dan mereka itu berpuasa, sembahyang dan naik haji." Sahabat bertanya lagi: "Jadi mengapakah mereka begitu?" Baginda menjawab: "(Kerana) mereka mengambil (menggunakan) alat-alat hiburan yang ditiup, dufuf dan penyanyi-penyanyi perempuan. Lalu mereka itu tidur dalam keadaan mabuk kerana minum arak dan (tenggelam dalam) hiburan. Maka pada pagi harinya mereka ditukar menjadi kera dan babi".
(Hadis riwayat Ibnu Abi Al-Dunia Dalam kitab Celaan Bagi Alat-Alat Hiburan)
4. Daripada ‘Imran bin Hasin, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Di dalam umat ini akan terjadi peristiwa ditelan bumi, berubah rupa bentuk dan dilempar dengan batu." Seorang lelaki daripada kalangan kaum muslimin bertanya: "Wahai Rasululah, bilakah terjadi peristiwa itu?" Baginda bersabda menjawab: "Apabila telah muncul penyanyi-penyanyi perempuan dan alat-alat muzik yang ditiup dan berbagai jenis arak diminum."(Hadis dikeluarkan oleh Al-Tirmizi)
Dalam hadis 3 dan 4 di atas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan bahawa "ditelan bumi, berubah rupa dan dilontari dengan batu" akan terjadi dalam umat ini. Baginda memberitahu bahawa peristiwa tersebut akan terjadi apabila nyata dan berleluasa penyanyi-penyanyi perempuan, muzik dan arak. Allah Ta‘ala tiadalah akan menyiksa satu-satu umat itu dengan ditelan bumi, diubah rupa bentuk atau dilempari dengan batu, kecualilah bilamana mereka itu melakukan apa-apa yang diharamkan ke atas mereka dan melakukan kerosakan di muka bumi.
Memakai dan menggunakan alat-alat muzik, melakukan tari menari dan nyanyian itu adalah di antara perkara-perkara mungkar yang menyeret kepada kerosakan. Lihatlah gejala sosial hari ini berkembang dan subur, ianya turut tercetus daripada budaya dan cara hidup baru yang dibawakan oleh penari dan penyanyi-penyanyi di seluruh dunia. Budaya dan cara hidup tersebut menular dan sampai kepada masyarakat Islam tanpa mengira bangsa mereka. Budaya ini dikembangkan lagi melalui kumpulan konsert yang diimport dan dipromosikan begitu rupa. Sehingga sebahagian masyarakat menjadikan mereka sebagai idola dan sebahagiannya pula tidak bersetuju apabila ada usaha-usaha pihak tertentu yang hendak mencegah pertunjukkan seumpama itu.
5. Dalam atsar Ibnu Masud, beliau berkata:
Maksudnya: "Nyanyian itu menumbuhkan sifat nifaq dalam hati, sebagaimana air menumbuhkan tanam-tanaman".(Hadis dikeluarkan oleh Ibnu Abi Al-Dunia)
Daripada penegasan Al-Qur‘an dan sunnah serta atsar sahabat di atas, kiranya dapatlah ia menundukkan nafsu dan sentimen tidak sihat yang mempertahankan alat-alat muzik dan nyanyian itu. Apabila pintu hidayah terbuka dan datang rasa insaf kerana Allah, maka sudah barang tentu tidaklah akan wujud keberanian untuk mengatakan perkara-perkara yang ditegah itu sebagai tidak ada apa-apa atau ia diharuskan, sedangkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengharamkannya. Dalam hal ini Allah Ta‘ala telah berfirman dengan jelas dan nyata:
Tafsirnya: "Katakanlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu".
(Surah Ali Imran: 31)
Inilah petunjuk daripada Allah bahawa patuh mengikut apa-apa yang diperintahkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam , ganjarannya adalah besar iaitu mendapat kasih sayang Allah serta diampunkan segala dosa.
i. Nyanyian Pada Hari Raya:
Harus hanya dengan memukul atau dengan iringan duff (kompang), iaitu bagi menunjukkan kegembiraan dan kesukaan. Senikata atau liriknya juga tidak terkeluar daripada kaedah dan adab-adab Islam, berdasarkan dalil syara‘ dan hadis Aisyah yang telah disebutkan sebelum ini.
ii. Nyanyian Dalam Majlis Perkahwinan:
Harus juga dengan hanya memukul atau iringan duff (kompang) berdasarkan hadis Aisyah yang dikeluarkan oleh Al-Bukhari bahawa Aisyah Radhiallahu ‘anha pernah menyiapkan pengantin perempuan untuk seorang lelaki Anshar, lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Wahai Aisyah, permainan apakah yang ada bersama kamu? Kerana orang-orang Anshar itu suka kepada permainan".
Dalam satu riwayat lain oleh Al-Thabarani, disebutkan: "Adakah kamu kirim bersamanya seorang budak yang memukul duff (kompang) dan menyanyi?" Aku (Aisyah) bertanya: "Apakah yang dinyanyikannya?" Baginda menjawab: "Dia menyanyi:
"Kami mendatangi kamu
Kami mendatangi tuan,
Maka sambutlah kami
Kami akan memberi sanjungan.
Jika bukan kerana emas merah
Lembah kamu ini tidak akan terbuka,
Jika bukan kerana gandum kemerahan
Anak Dara kamu tidak akan gemuk"
iii. Al-Hida’: Nyanyian penggerak semangat yang dilakukan oleh pengendali kenderaan supaya berjalan cergas. Hukumnya harus berdasarkan riwayat bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mempunyai seorang budak yang diberi nama Anjasyah. Melalui hadis Anas disebutkan bahawa sewaktu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam perjalanan jauh, seorang budak lelaki bernama Anjasyah menyanyikan nyanyian penggerak semangat supaya unta yang dikenderai berjalan cergas, lalu Baginda bersabda: "Perlahankan sedikit wahai Anjasyah. Yang engkau bawa ini terdapat kaum perempuan".
Menurut riwayat Al-Bukhari yang bernama Anjasyah ini memiliki suara yang merdu.
Al-Bukhari juga mengeluarkan dari hadis Salamah bin Al-Akwa’, katanya: "Kami keluar bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ke Khaibar. Kami pun berjalan malam maka berkata seorang lelaki daripada ahli rombongan kepada Amir bin Al-Akwa’: "Wahai Amir, tidakkah engkau sudi untuk memperdengarkan dendangan lagumu kepada kami?"
(Kata rawi): "Amir adalah seorang penyair".
Maka Amir pun mulalah memandu sambil menyanyi. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: "Siapakah pemandu ini?" Mereka menjawab: "Amir bin Al-Akwa’." Lalu Baginda bersabda: "Semoga Allah memberi rahmat kepadanya".
iv. Nyanyian Semasa Bekerja:
Harus menyanyi berupa nyanyian atau sya‘ir atau seumpamanya dengan senikata yang tidak terkeluar daripada kaedah dan adab-adab Islam, berdasarkan riwayat Al-Bukhari melalui hadis Anas Radhiallahu ‘anhu, bahawa orang-orang Muhajirin dan Anshar menggali parit di sekitar Madinah dan mengangkat tanah di bahu mereka sambil menyanyi:
"Kami adalah orang-orang yang berjanji setia kepada Muhammad.
Untuk berada dalam Islam selama mana kami masih hidup".
Dalam satu riwayat, rangkap ini dibawakan semasa berjihad dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab mereka, sabdanya:
"Ya Allah tiada ada kebaikan melainkan kebaikan di Akhirat,
Maka Mohon berkati orang-orang Anshar dan Muhajirin".
Oleh yang demikian, orang-orang Islam janganlah mudah mengikut dan terpengaruh dengan orang-orang yang mengharuskan alat-alat muzik sekalipun mereka itu orang-orang terkenal lagi bijak.
Umat Islam hendaklah waspada, sedikit tergelincir dari jalan agama, bermakna kita menentang ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menerusi petunjuk-petunjuk yang digariskan oleh Al-Qur‘an, hadis-hadis serta didukung oleh imam-imam al-salaf al-shalih dan lain-lain ulama pengikut mereka.
Orang-orang yang menentang ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan yang mendustakan hadis-hadis yang warid daripada Baginda dengan jelas telah diberikan amaran oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dalam firmanNya:
Tafsirnya: "Dan sesiapa jua yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawa oleh Baginda) dan (tetap) dia mengikut juga jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami (Allah) akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya itu, dan (pada Hari Akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahannam dan neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali". (Surah Al-Nisa’: 115)
WALLAHUAQLAM
SUMBER: IRSYAD HUKUM- FATWA KERAJAAN NEGERI BRUNEI DARUSSALAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan