SOALAN: Adakah boleh seorang wanita yang belum berkahwin mengambil pil hormon bagi tujuan menyusukan anak angkat supaya menjadi mahram kepadanya?
JAWAPAN: Dari pandangan syarak harus, tidak salah seorang perempuan yang belum berkahwin menyusukan bayi, perkara ini pernah menjadi amalan orang Arab. Malahan mengambil upah menyusukan bayi menjadi sumber pendapatan pada zaman sebelum dan selepas kedatangan Islam.
Namun perkara ini kebiasaannya dilakukan oleh perempuan yang sudah berumah tangga. Adapun matlamat saudari menyusukan anak angkat adalah untuk mengelakkan daripada batasan mahram. Dengan tujuan ini harus mengambil pil hormon bagi menghasilkan susu. Maka demikian anak itu akan menjadi anak susuan. Anak susuan dengan ibu susuan menjadi mahram (batasannya seperti anak kandung) dan begitu juga dengan anak-anak kandung ibu susuan akan menjadi mahram (haram dinikahi atau mengahwininya).
Hanya dua perkara yang tidak boleh dilakukan ke atas anak susuan iaitu mem`bin’kannya dengan bapa susuan serta tidak boleh mewarisi harta pusaka. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan, Saudara-saudara bapamu yang perempuan; Saudara-saudara ibumu yang perempuan; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan; ibu-ibumu yang menyusui kamu; saudara perempuan sepersusuan….(an-Nisa: 23).
Berdasarkan ayat di atas jelas Allah mengharamkan perkahwinan dengan anak susuan. Pengharaman ini adalah ke atas ibu yang menyusukan anak tersebut dan adik-beradik susuan serta suami kepada ibu susuan.
Ayat di atas juga menjelaskan bahawa Allah mengharamkan anak susuan itu dikahwini, begitu juga adik-beradik susuan itu tidak boleh dikahwini. Keharusan menyusukan bayi juga jelas dalam ayat di atas, malahan ayat di atas tidak mengehadkan status ibu susuan sama ada yang berkahwin atau yang belum berkahwin.
WALLAHUA'LAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan