Rabu, 6 Mei 2009

HUKUM MENGUCAP SELAMAT KEPADA PERAYAAN AGAMA LAIN

Soalan:
Assalamualaikum Ustaz,

Saya pernah terbaca bahawa haram bagi orang Muslim mengucapkan 'selamat menyambut' hari perayaan kepada orang kafir sempena perayaan mereka seperti 'Selamat Menyambut Hari Depavali' atau ' Selamat Menyambut Hari Krismas' kerana seolah-olah kita mendoakan mereka selamat dengan kekufuran mereka. Bagaimana jika hanya menyebut 'Happy Deepavali' atau 'Merry Christmas' kerana pada saya ianya bukan doa untuk mereka tetapi hanyalah ucapan.

Jawapan :
Waalaikumussalam

Kita tidak diharuskan bersama-sama mereka menyambut perayaan mereka sebagaimana kita menyambut hari raya kita. Adapun sekadar memberi ucapan selamat atau menziarahi mereka di rumah -bukan di kuil atau dalam majlis khusus yang diadakan sempena perayaan mereka- insya Allah harus. Memberi ucapan selamat tidak semestinya kita mendoakan selamat untuk agama mereka atau untuk kekufuran mereka. Kita boleh niatkan doa untuk mereka "agar mereka diselamatkan Allah dari kesesatan mereka dan masuk Islam".

Ada riwayat menceritakan; seorang Majusi memberi salam kepada Ibnu Abbas r.a. (seorang sahabat Nabi); "Assalamu 'alaikum". Lalu Ibnu 'Abbas menjawab; "Wa alaikumussalam Wa Rahmatullah". Maka sahabat-sahabatnya (yang ada bersamanya) berkata kepadanya; adakah kamu mendoakan rahmat Allah untuknya. Ibnu 'Abbas menjawab; "Tidakkah dia hidup sekarang ini dengan rahmat Allah". Maksud Ibnu 'Abbas; rahmat Allah tidak semestinya bermaksud rahmat di akhirat (yang khusus untuk orang beriman), ia juga bermaksud rahmat di dunia yang dianugerah Allah bukan sahaja untuk orang Islam, tetapi juga untuk orang kafir.

Di dalam al-Quran, Allah hanya melarang kita untuk berbaik-baik dengan orang kafir yang memusuhi Islam dan umat Islam. Adapun orang kafir yang menghormati Islam dan umat Islam, Allah tidak menegah kita untuk berbaik-baik dengan mereka. Dari kebaikan kita itulah akan menjadi contoh kepada mereka dan menjadi pendorong kepada mereka untuk menerima Islam, Insya Allah.

Perhatikan firman Allah (bermaksud);

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang (kafir) yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengusir kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” (al-Mumtahanah, ayat 8-9)
Wallahu a'lam.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Tiada ulasan:

Catat Ulasan