oleh Ustaz Zaharuddin ( www.zaharuddin.net )
Berikut adalah salah satu cabang dosa harta yang dimakan oleh sebahagian pekerja. Semuanya pasti merosakkan jiwa dan hati serta menjauhkan daripada keinginan solat, apatah lagi untuk mendapat khusyuk.
Contoh dosa harta seorang pekerja.
1.Menggunakan peralatan syarikat untuk tujuan peribadi seperti kertas, pen, faks, fotostat, menelefon anak dirumah, rakan-rakan dan lain-lain, yang mana tiada hubungan dengan kerjanya. Maka penggunaan tidak sah ini mestilah dibayar oleh pekerja sama ada secara langsung atau tidak langsung.
2.Menipu syarikat ketika membuat tuntutan wang yang digunakan seperti tuntutan kos minyak petrol, pembelian alatan untuk syarikat di luar dan lain-lain dengan membuat kos tambahan sendiri.
3.Mengambil rehat tidak sah ketika waktu bekerja. Ia akan menyebabkan pendapatan gaji seseorang tidak sepenuh miliknya.
4.Membuat tuntutan kerja lebih masa dengan perancangan. Ia pada asalnya adalah harus, tetapi menjadi haram apabila pekerja sengaja melambatkan kerjanya pada waktu biasa, dengan niat untuk melakukan kerja lebih masa atau overtime. Ini ialah salah satu bentuk penipuan.
5.Rasuah dalam membuat pemilihan. Pegawai yang bertanggungjawab memilih kontraktor untuk iklan, pembersihan, latihan dan lain-lain untuk syarikat atau organisasinya. Sebagai contohnya, pihak pegawai memilih syarikat Z daripada empat syarikat lain yang menghantar quotation kerana syarikat Z itu berjanji memberikannya sedikit imbuhan ikhlas.
Hukumnya adalah HARAM dan RASUAH dalam islam.
6.Mencipta quotation sendiri oleh pegawai atau kumpulan pegawai yang diberikan kuasa membuat pemilihan kontraktor untuk syarikat. Dia atau mereka sepakat untuk memberi kepada 1 syarikat yang mereka kenali bukan kerana kualiti dan harganya tetapi kerana sebab-sebab lain. Disebabkan oleh prosedur syarikat yang memerlukan agar quotation daripada 4 buah syarikat yang lain, pegawai ini telah mencipta beberapa quotation daripada syarikat yang tidak wujud bagi menunjukkan quotationnya adalah yang terbaik.
Hukum adalah HARAM kerana MENIPU.
7.Menaikkan harga. Seorang kakitangan diminta oleh majikan untuk mencari pembekal bahan mentah dan berjaya mencari dengan harga RM1500 tetapi menaikkannya kepada RM 2000, lalu baki RM 500 diambilnya.
Hukumnya adalah HARAM oleh sepakat ulama.
8.Menang Tender Bersyarat. Pegawai diminta oleh majikan mencari kontraktor untuk mengubah suai pejabat atau apa jua aset syarikat. Pegawai itu telah melobi syarikat B kepada majikan disebabkan dia telah mempunyai perjanjian di sebalik tabir dengan pihak syarikat B yang memberikannya izin untuk melabur wang peribadinya dalam syarikat B dengan kadar keuntungan mengikut islam kononnya. Padahal, jika tiada peluang melabur itu, sudah pasti pegawai itu tidak akan mengempen syarikat B.
Hukum tindakan sebegini adalah HARAM dalam islam dan ia termasuk dalam RASUAH BENTUK BARU dan berselindung di sebalik aktiviti pelaburan islam.
9.Tuntutan Palsu. Kakitangan membeli barang keperluan syarikat atau mengisi minyak dengan harga tertentu tetapi berpakat dan memohon pembekal atau stesen minyak mengeluarkan resit dengan jumlah berbeza daripada jumlah pembeliannya. Berbekalkan resit itu, pegawai membuat tuntutan kepada syarikat dengan harga berlipat kali ganda. Ini yang berlaku dalam kes-kes di atas.
Hukumnya adalah HARAM menurut islam kerana membuat penipuan kepada syarikat. Pihak pembekal juga berdosa kerana dikira bersubahat mengeluarkan resit berjumlah palsu itu.
10.Resit Harga Ciptaan. Kakitangan membeli barang untuk kegunaan syarikat dari satu kedai, dan kedai tersebut enggan bekerjasama untuk menaikkan harga dalam resit. Bagi meraih keuntungan, pihak pegawai telah mencipta resit sendiri berserta cop palsu.
Hukumnya adalah HARAM dalam islam kerana PENIPUAN.
11.Ambil Untung Sendiri. Pegawai diberi oleh syarikat bajet maksimum sebanyak RM 5000 untuk membeli satu barangan keperluan syarikat. Pegawai berjaya mencari di pasaran terbuka barang yang diperlukan dengan harga RM4000 sahaja. Bagi mendapat manfaat, si pegawai telah berpakat dengan penjual agar dituliskan harga RM5000 dalam invoice dan baki RM1000 hendaklah diberi kepadanya.
Hukumnya adalah HARAM kerana penipuan dan wang khianat sebagaimana yang di sebut oleh Nabi Muhammad S.A.W. Bagaimanapun, jika ia berterus terang dengan majikan sambil memohon sebarang insentif atas kejayaannya mengurangkan kos syarikat kerana kecekapannya mencari barang yang lebih murah, tatkala itu, majikan harus memberikannya jika ia tidak menyalahi mana-mana undang-undang syarikat. Jika tidak, majikan akan mengambil kira kejayaan itu dan membayarnya dalam bonus dan kenaikan gaji apabila sampai waktunya sahaja.
Wang yang diperolehi daripada kerja yang telah diberi gaji. Ramai individu yang cuba mendapat side income daripada cara-cara yang disebut tadi, sambil melakukan tugasannya yang wajib. Ingatlah hadis berikut,
Nabi bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)" (Riwayat Abu Daud)
MAKA JAUHILAH...REZEKI DUNIA YANG HARAM PENYEBAB KEPADA PENYESALAN DI AKHIRAT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan