MENGAGIH SENDIRI ZAKAT
Soalan: Adakah harus pemilik harta zakat mengagih sendiri zakatnya?
Jawapan;
Menentukan ke pihak mana hendak disalurkan zakat adalah menjadi hak pemilik harta yang wajib atasnya zakat menurut pendapat jumhur ulama’. Ulama-ulama’ mazhab Hanbali mengharuskan kesemua jenis zakat untuk diagihkan sendiri oleh pemilik harta. Berkata Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni; “Digalakkan bagi seorang itu menangani sendiri pembahagian zakat hartanya supaya ia sendiri dapat memastikan dengan yakin bahawa zakatnya sampai kepada orang-orang yang berhak, sama ada zakatnya itu dari harta zahir (yakni pertanian, ternakan..) atau harta batin (yakni mata-wang, perniagaan dan zakat fitrah)”. (al-Mughni, Ibnu Qudamah, jil. 4, hlm. 69)
Ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie dan Hanafi juga berpandangan demikian, cuma mereka mengkhususkannya bagi zakat mata-wang, perniagaan, rikaz dan zakat fitrah sahaja iaitu harta-harta yang diistilahkan sebagai al-Amwal al-Bathinah. Adapun zakat bagi pertanian, galian dan penternakan yang diistilahkan sebagai al-Amwal az-Dzahirah, maka mesti diserahkan kepada pemerintah Islam untuk mengagihkannya. Dari Imam Syafi’ie terdapat dua pandangan dalam masalah ini. Menurut pendapat lamanya (qaul qadim), zakat al-Amwal az-Dzahirah wajib diberikan kepada pemerintah jika ia adil. Namun dalam pendapat barunya (qaul jadid), Imam Syafi’ie mengharuskan untuk diagihkan sendiri oleh pemilik harta. (al-Muhazzab, Imam asy-Syirazi, jil. 2, hlm. 552-554, al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 6, hlm. 107, al-Bada’I, Imam al-Kasani, jil. 2, hlm. 35).
Ulama’-ulama’ mazhab Maliki mewajibkan keseluruhan zakat diserahkan kepada pemerintah. Hak untuk memungut dan mengagihkan harta zakat adalah bagi pemerintah. Ini jika sekiranya pemerintah itu adil dan diyakini akan mengagihkannya kepada yang berhak, yakni tidak menyelewengkan harta zakat. Berkata Imam al-Qurthubi; “Jika sekiranya Imam atau pemerintah berlaku adil (yakni tidak menyeleweng) dalam pungutan dan pengagihan zakat, maka tidak harus bagi pemilik harta untuk menangani sendiri pengagihan zakatnya sama ada bagi zakat mata-wang atau zakat harta-harta yang lainnya”. (Fiqhu az-Zakah, jil. 2, hlm. 807)
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh Zakatnya dengan terang menegaskan bahawa kerajaan yang berhak memungut zakat atau umat Islam wajib memberikan zakat mereka kepadanya ialah Kerajaan Islam iaitu kerajaan yang beriltizam dengan Islam sebagai asas pemerintahannya, sebagai perlembagaan Negara dan sebagai manhaj bagi segenap urusan negara merangkumi pendidikan dan kebudayaan, social, ekonomi dan politiknya…. Beliau menegaskan lagi; adapun kerajaan yang menolak Islam sebagai asas Negara dan sebagai perlembagaan bagi pemerintahannya dan berhukum dengan hokum-hakam yang lain dari yang diturunkan Allah yang dibawa masuk dari ideology-ideologi (asing sama ada dari) timur atau barat, maka kerajaan sebegini tidak harus baginya mengambil zakat….(Fiqhu az- Zakah, jil. 2, hlm. 824)
Wallahu A’lam.
Rujukan;
1. Fiqhu az-Zakah (فقه الزكاة), Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, cet. Maktabah Wahbah/Kaherah, Mesir (1994).
2. Al-Muhazzab (المهذب), Imam asy-Syirazi, cet. Dar al-Qalam/Damsyik, Syria (1992).
4. Al-Mughni (المغني), Imam Ibnu Qudamah, cet. Dar al-Hadith/Kaherah, Mesir (1995).
5. Al-Majmu’ (المجموع), Imam an-Nawawi, cet. Matba’ah al-Madani/Kaherah, Mesir (1973).
6. Bada’I as-Shana’I (بدائع الصنائع), Imam al-Kasani, cet. Maktabah al-‘Ilmiyyah/Beirut, Lubnan (tanpa tahun).
SUMBER: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan