Jumaat, 3 April 2009

KHUTBAH JUMAAT AL-IKHLAS

KHUTBAH JUMAAT AL-IKHLAS
(DI BACA PADA 3 APRIL 2009)

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan menyerah diri kepada Allah swt .

Muslimin yang Dirahmati Allah.

Al-Quran sudah pun menegaskan betapa ramai manusia yang menyangka dirinya berada pada jalan al-haq, padahal adalah sebaliknya. Cuba renungi hakikat itu menerusi firman Allah swt:

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang Yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang Yang telah sia-sia amal usahanya Dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka Bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja Yang mereka lakukan". (al-Kahfi 103-104)

Dengan membaca ayat itu seorang mukmin berusaha mencari kesilapan atas segala niat dan perbuatannya. Dia menilai dirinya dengan neraca ilmu. Ilmu yang menjadi pegangan umat Rasulullah SAW yang tidak akan sesat selama-lamanya selagi mereka berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah. Barang siapa yang mengambil selain daripada kedua-duanya maka amal, jihad dan perjuangan yang dilakukan adalah sia-sia belaka. Tetapi ramai yang mengaku golongan mereka berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah, hatta kumpulan yang nyata kesesatannya, mereka akan berasa sangat marah apabila dituduh tidak mengikut al-Quran dan al-Sunnah.

Pengganas yang mencemar bendera Islam pun pasti mengaku hanya golongan mereka yang menyeru ke jalan al-Quran dan al-Sunnah. Jadi, bagaimanakah penilaian yang sahih mengenai kebenaran perjuangan kita? Bagaimana pula keyakinan kita, adakah kita tidak tersesat selama ini? Sudahkah kita membuat penilaian secara ilmiah dan bukan emosi, apakah amal ibadat kita bersih daripada unsur penyelewengan terhadap dalil al-Quran dan hadis?

Begitu pula bagi sesiapa yang mengaku berada pada jalan perjuangan menegakkan agama Allah, sama ada dia melakukannya dengan wadah politik, perniagaan, penyebaran ilmu, teknologi maklumat, seni dan budaya serta bidang penting lainnya hendaklah menilai jihadnya itu apakah menepati sunnah Rasulullah SAW dan Khulafaurrasyidin serta salafus salih? Atau ada niat lain di sebalik matlamat sebenar perjuangannya?

Sabda Rasulullah saw yg bermaksud:
"Yang pertama kali menjadi bahan bakar neraka adalah orang yang berilmu, mereka yang suka bersedekah dan mereka yang terbunuh ketika berjihad apabila matlamatnya untuk mendapat pujian manusia (bukan kerana Allah)." (Hadis riwayat Imam Muslim dan al-Tirmizi)

Selain pengiktirafan manusia menerusi pujian yang menjejaskan keikhlasan, matlamat harta rampasan duniawi juga diakui menjadi perosak perjuangan. Sejarah kebangkitan dan kehancuran tamadun dunia tidak pernah terlepas daripada peperangan kerana perebutan kekuasaan dan harta benda.

Muslimin yang Dirahmati Allah.

Hanya dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW dan Salafussalih diabadikan semangat jihad demi Allah, untuk agama Allah dan kerana mahukan keredaan Allah. Bagi memastikan perjuangan pada bidang yang kita ceburi saat ini mengikut jalan selamat, tidak tersesat dan bersih daripada hawa nafsu duniawi, seelok-eloknya kita menilai kembali persembahan yang diabdikan untuk Islam, kerja kebajikan yang menjadi bakti kita kepada agama ini adakah murni mengikut sunnah Nabi SAW?

Apakah penanda aras bagi kebenaran jihad, pengorbanan, perjuangan seorang pejuang yang ikhlas di jalan Allah seperti diterangkan dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW? Terdapat 3 syarat penting sebagaimana yang telah dinukilkan oleh ulamak2 Islam:

1.Berjuang menegakkan kedaulatan Allah

Ketika berada di medan jihad, seseorang berusaha melakukan yang terbaik dan berkualiti untuk meningkatkan prestasi kerja pada mata manusia, sedangkan kebesaran Allah seolah-olah tidak nampak ketika dia melakukan rasuah, lari daripada tugas dan tanggungjawab, pecah amanah dan lain-lain jenayah dilakukan atas nama Islam.

Berniaga menggunakan nama Islam, tetapi penipuan menjadi amalan biasa. Berpolitik dengan jenama Islam, tetapi tidak banyak menolong untuk kemajuan Islam bahkan mengetepikan nilai Islam apabila bertentangan dengan kepentingan politik. Semua itu berpunca daripada tidak telus niat kerana Allah akibat bercampur kepentingan peribadi yang diidamkan hawa nafsu.

Daripada Abu Musa: Seorang Badwi datang kepada Nabi SAW lalu berkata: "Wahai Rasulullah, ada seorang lelaki berperang demi harta rampasan, ada yang berperang supaya dirinya disebut-sebut orang sebagai pahlawan dan ada pula berperang supaya dilihat kedudukannya, dalam riwayat lain; Ada yang berperang kerana keberanian; ada yang berperang kerana membela keluarga dan suku kaumnya. Dalam riwayat lain; Ada yang berperang kerana kemarahan, maka siapakah di antara mereka yang dikatakan berjuang di jalan Allah. Rasulullah saw bersabda:
" Barang siapa yang berperang demi tertegaknya kalimah Allah yang tinggi maka dia sudah berjuang di jalan Allah." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2.Kemuliaan akhlak

Mujahid yang sebenar mendapatkan kekuatan menerusi satu rahsia agung iaitu ketinggian akhlak. Kandungan surat Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab kepada panglima tertinggi mujahidin pada zamannya, Saad bin Abi Waqqash wajar kita teliti. Surat itu bermaksud: "Aku perintahkan kamu dan pasukanmu untuk lebih berwaspada dan khuatir terhadap perbuatan dosa yang kalian lakukan melebihi kekhuatiran kamu terhadap musuh."

Kelemahan jiwa berpunca daripada dosa, maksiat dan hawa nafsu yang diikuti. Kekuatannya pula bergantung pada kesungguhan mentaati Allah. Akhlak seorang mujahid ialah berpegang teguh kepada tauhid dan menolak perbuatan menyekutukan Allah, membela sunnah Rasul-Nya, jujur dan setia dalam pergaulannya, bersikap adil dan menjauhi kezaliman terhadap saudaranya dengan memberikan haknya.

Berbuat baik kepada orang tua dan suka menyambungkan silaturahim. Bersifat pemaaf dan lemah lembut penuh rahmat kepada sesama manusia. Tamakkan ilmu dan bermujahadah dalam melakukan ketaatan, duduk bersama orang dikasihi Allah dan bekerjasama dengan mereka kerana Allah. Sesungguhnya tiada kekuatan paling hebat dalam keperibadian seseorang melainkan akhlaknya.

Muslimin yang Dirahmati Allah.

3.Tidak menghalalkan yang haram demi kemenangan

Tanda aras penting bagi setiap mukmin yang menggunakan tangan, hati, lidah, harta dan jiwanya untuk berjihad ialah jangan sesekali mengharapkan kemenangan secara cepat dan mudah dengan menggunakan taktik kotor yang melanggar batas agama.

Suatu ketika dulu, Nabi SAW pernah ditawarkan rasuah dalam bentuk harta, kuasa dan wanita oleh pembesar Quraisy supaya berkongsi tuhan dengan mereka. Jika yang dipelawa itu manusia biasa pasti lelaki itu dengan senang hati menerima rasuah dan memilih untuk menjadi penguasa Quraisy tertinggi sedangkan pelan dakwah dan jihad boleh diuruskan kemudian.

Bukankah selepas berkuasa akan senang menggunakan kuasanya itu untuk berjihad? Tetapi Allah menjaga Rasul-Nya daripada kejahatan dan membimbingnya untuk memilih jalan yang hak tanpa kompromi. Sesungguhnya memberi kemenangan itu adalah hak Allah, tidaklah susah bagi Allah membuka seluruh negeri untuk Islam, tetapi inilah sunnah dakwah yang mesti dijalani setiap pejuang di jalan-Nya. Firman Allah swt:

"Demikianlah apabila Allah menghendaki nescaya Allah akan membinasakan mereka tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain. Dan orang yang syahid pada jalan Allah, Allah tidak akan mensia-siakan amal mereka." (Surah Muhammad, ayat 4)

Bagi seorang mujahid kemenangan tidaklah menjadi matlamat yang mematikan keyakinan kepada Allah sehingga menggunakan cara dimurkai-Nya. Peperangan, perjuangan, pengorbanan hanyalah suatu putaran kehidupan setiap mukmin untuk menyatakan kebenaran cintanya kepada Allah.

Firman Allah swt yg bermaksud:
"Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu supaya Kami mengetahui orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan supaya Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu." (Surah Muhammad, ayat 31)

Setiap kali kita mendengar jatuhnya korban perang di Palestin, Iraq dan negara Islam terjajah, selalunya hati nurani bertanya: "Apakah mereka mendapat pahala syahid di jalan Allah?" Mengapa tidak bertanya pada diri sendiri: "Layakkah aku mendapat pahala syahid jika hari ini adalah hari kematianku?"

Rasulullah saw bersabda:
"Sesiapa yang memohon dengan bersungguh-sungguh mendapat mati syahid, maka Allah akan mengangkatnya seperti kedudukan syuhada, walaupun dia mati di atas katilnya." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Firman Allah swt:
Maksudnya : Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). [surah al-Qosas: 56]

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

PESANAN:
SELAMAT MEMBACA KHUTBAH...ANDA HEBAT, MAMPU MEMBACA KHUTBAH, KALO DAH LANCAR HUBUNGI UST NAIM 017-3112753 UNTUK DAPATKAN TARIKH UNTUK GILIRAN ANDA MENJADI KHATIB DI MIMBAR SURAU AL-IKHLAS..SEMANGAT DAN KEMAHUAN ANDA AMATLAH DIALU-ALUKAN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan