Bolehkah Wang Zakat Dilabur Sebelum Agihan?
Tulisan : Ustaz Zaharuddin Abd Rahman (UZAR)
Seseorang telah menghantar petikan akhbar berikut dan kemudiannya meminta saya mengulas, bukan dari sudut politik tetapi dari sudut pandangan Islam melalui perbahasan para ulamanya.
SHAH ALAM 17 Mac - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib memohon maaf dan menarik kenyataannya yang berbau fitnah terhadap kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Kenyataan Saari yang disiarkan oleh sebuah akhbar tabloid hari ini menyebut berjuta-juta ringgit wang kutipan LZS yang tidak diagih dan sebelum ini disimpan dalam deposit tetap, dipindahkan kepada akaun Takaful Structured Invest di bawah MAA Takaful pada 11 Disember lalu.
Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pihaknya terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap Saari.
Beliau menegaskan, kenyataan tersebut berbau fitnah serta menjatuhkan imej dan integriti MAIS secara keseluruhannya yang dinaungi oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"MAIS menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak bertanggungjawab yang dilemparkan oleh beliau (Saari) mengenai LZS dan perlu membuktikan ia berlaku.
"Ini kerana MAIS mahupun LZS tidak pernah memindahkan atau merancang untuk melakukan sedemikian terhadap wang zakat yang belum diagih," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Adzib menjelaskan, wang zakat yang belum diagihkan disimpan di dalam akaun simpanan tetap sama ada di Bank Islam mahupun Bank Rakyat yang dijamin dari segi keselamatan dan mematuhi syariah.
Katanya, wang itu perlu disimpan di bank melalui sistem Mudharabah sebelum ia disalur dan diagihkan kepada golongan yang berhak melalui program dan aktiviti yang telah dirancang.
"Malah sebarang pindahan wang zakat mahupun Baitulmal perlu mendapat kelulusan jawatankuasa yang berkaitan sama ada di MAIS mahupun LZS," ujarnya.
sumber : UTUSAN MALAYSIA
Berpandukan kepada petikan berita terbabit, persoalan yang relevan untuk kajian hukum adalah :
1)Kenyataan : Ini kerana MAIS mahupun LZS tidak pernah memindahkan atau merancang untuk melakukan sedemikian terhadap wang zakat yang belum diagih
Persoalannya di sini adalah, apakah hukum Islam pemerintah (institusi zakat) melaburkan wang zakat terkumpul sebelum agihan kepada asnaf zakat ? Kenyataan di atas memberikan indikasi bahawa tiada pelaburan dibuat sebelum agihan. Namun, jika dilabur juga sebelum agihan, adakah ianya dibenarkan?
2)Kenyataan "..menjelaskan, wang zakat yang belum diagihkan disimpan di dalam akaun simpanan tetap sama ada di Bank Islam mahupun Bank Rakyat yang dijamin dari segi keselamatan dan mematuhi syariah. Katanya, wang itu perlu disimpan di bank melalui sistem Mudharabah sebelum ia disalur dan diagihkan kepada golongan yang berhak melalui program dan aktiviti yang telah dirancang."
Hakikatnya, perlu difahami bahawa akaun tetap mudarabah di Bank Rakyat atau BIMB bukanlah sebuah akaun simpanan tetapi ia adalah akaun pelaburan.
Benar, ia adalah sebuah akaun pelaburan berasaskan Mudarabah, yang mana apabila pelabur (institusi zakat dalam konteks ini) meletakkan wang terkumpul zakat di dalam akaun ini, wang tersebut TIDAK BOLEH terjamin dari rugi dan ia juga TIDAK BOLEH DIKELUARKAN sehinggalah tempoh matang akaun tetap itu tiba, iaitu sama ada tiga bulan, enam bulan atau setahun.
Justeru, berdasarkan petikan kenyataan akhbar itu, dapat difahami bahawa wang terkumpul zakat telah diLABURKAN melalui akaun pelaburan tetap, sebelum ianya diagihkan kepada faqir miskin dan lain-lain asnaf penerima yang layak.
HUKUM LABUR WANG ZAKAT SEBELUM AGIHAN
Setelah mengetahui kedudukan dan kekliruan kenyataan di atas, kini ada baiknya kita sama-sama melihat ringkasan pendapat ulama Islam berkenaan isu melabur wang terkumpul zakat sebelum agihan.
Setelah menyelurusi nas-nas Al-Quran dan Al-Hadis, pemahaman para ulama Islam kelihatan berbeza-beza berdasarkan ijtihad masing-masing. Mereka terbahagi kepada dua kumpulan iaitu :-
Kumpulan Yang Mengharamkan
Antara ulama yang memfatwakan haram adalah Syeikh Prof. Dr Wahbah Az-Zuhaliy, Dr Abdullah ‘Ulwan, Syeikh Taqi Uthmani dan lain-lain.
Ringkasan hujjah kumpulan ini adalah :-
1- Pelaburan itu menyebabkan kelewatan sampainya wang zakat kepada asnaf zakat yang memerlukan, ini bercanggah dengan pandangan majoriti ulama yang mewajibkan zakat diserahkan secara segera.
2- Pelaburan tersebut mendedahkannya kepada potensi kerugian, jika ini berlaku asnaf zakat tidak akan dapat memiliki hak mereka dan objektif Shariah di sebalik kewajiban zakat pula akan terhalang.
3- Pelaburan ini pastinya mempunyai kos-kos pengurusan di sana sini, ini mengakibatkan menyusutnya wang zakat sebelum sampai kepada mereka yang berhak.
4- Insititusi atau kerajaan bukan pemilik wang zakat, mereka hanya pemegang amanah (yad amanah), justeru, mereka tidak boleh menggunakan wang yang bukan milik mereka untuk tujuan pelaburan.
Kumpulan Yang Mengharuskan Dengan Syarat.
Antara mereka adalah keputusan Kesatuan Fiqh Antarabangsa, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi, Syeikh Prof. Mustafa Az-Zarqa, Syeikh Abd Fatah Abu Ghuddah, Dr Abd Aziz Al-Khiyyat, Dr Abd Salam Al-Abbadi dan majoriti ulama.
1- Terdapat sandaran bahawa Nabi dan para sahabat melaburkan harta sedeqah seperti lembu, unta dan kambing di mana harta ini dipelihara dan hasil seperti susu, anak dan lainnya boleh disalurkan sebagai sedeqah dengan lebih terancang dan berterusan.
2- Melaburkannya dengan hujjah ia digunakan unuk asnaf zakat juga, iaitu ‘fi sabilillah' atau pada jalan Allah sebagai manfaat awam atas nama Islam. Maka melaburkan sebahagian wang zakat dikira sedang menggunakan pada jalan Allah swt agar wang tersebut boleh menghasilkan lebih manfaat, justeru boleh dimanfaatkan oleh lebih ramai asnaf zakat untuk tempoh yang lebih panjang.
3- Qiyas ke atas keharusan melaburkan harta anak yatim (yang masih kecil) agar tidak static dan surut akibat zakat, inflasi atau lainnya. Nabi s.a.w menyebut :
ابتغوا في أموال اليتامى لا تأكلها الصدقة
Ertinya : Berniaga, labur atau usahakanlah harta-harta anak yatim, semoga ia tidak surut dengan zakat (iaitu zakat harta tahunan) ( Riwayat Al-Baihaqi, Hadis Hasan dengan Syawahid)
4- Beramal dengan ‘istihsan', iaitu keputusan terbaik untuk menampung jumlah pertambahan pemohon dan yang berhak.
KESIMPULAN
Setiap satu dalil dan kedua-dua kumpulan mempunyai perbahasan dan bantahan yang panjang lebar namun menarik, namun saya tidak merasakan kesesuaian untuk memasukkannya dalam artikel ringkas ini.
Hukum asalnya adalah HARAM dilaburkan, cuma hukum ini berubah kepada harus dalam keadaan tertentu. Hasil analisa oleh Prof Dr Md Uthman Syabir (Profesor Shariah Univ. Qatar), dan keputusan majoriti ulama semasa termasuk persidangan para ulama di pelbagai peringkat, kecenderungan adalah HARUS bagi pihak kerajaan (Institusi Zakat), untuk melaburnya namun dengan syarat tentunya.
Syarat kepada keharusan ini adalah :-
1- Tidak terdapat asnaf yang memerlukannya dalam kadar segera khususnya untuk kepelruan asas mereka seperti makan, minum, pakaian dan penginapan. Justeru, jika teradapt yang memerlukannya segera, institusi TIDAK BOLEH menangguhnya kerana ingin melaburkannya terlebih dahulu pula.
Namun demikian, boleh sesbuah negeri atau Negara mendakwa negeri atau negaranya sudah tiada individui berhak yang memerlukan dalam kadar segera ? sehingga institusi zakatnya boleh melaburkannya terlebih dahulu dan dibiarkan yang menderita terus menderita.? Imam Al-Juwaini pernah menggambarkan luar biasa dan kurang masuk aqal untuk mendakwa tiada lagi asnaf yang memerlukannya segera, namun jika sesuatu zakat itu ada lebihan, ia boleh digunakan untuk kepentingan awam. (Ghiathul Umam, hlm 183)
2- Wajiblah pelaburan itu dari jenis yang diyakini membawa kebaikan dan untuk kepentingan asnaf zakat juga, sepeprti melabur dengan membina bangunan tertentu untuk kegunaan penginapan faqir miskin
3- Wajiblah di laburkan melalui cara yang halal dan di sektor yang halal.
4- Wajiblah dipastikan semua keuntungan yang terhasil dari pelaburan itu disalurkan kepada kumpulan berhak zakat dan bukan masuk ke poket mana-mana individu tidak amanah atau pihak bekepentingan yang mengambil kesempatan.
5- Wajiblah kajian due diligence dilakukan terhadap sektor dan pelaburan yang ingin dilakukan dengan telus dan diawasi oleh badan atau individu bebas kepentingan.
6- Meminimakan kos pegurusan untuk pelaburan tersebut agar wang zakat tidak hangus di situ.
7- Pelaburan tidak harus dipengaruhi oleh individu tertentu atau syarikat berkepentingan yang cuba mendapatkan manfaat dari wang zakat untuk kepentingan peribadi dan syarikat mereka semata-mata. Justeru, pelaburan mesti dibuat atas asas merit dan bukan kroni.
Apapun, pengurusan wang zakat memerlukan ketelusan dan amanah yang tiada berbelah bagi, ia adalah pengurusan wang amanah yang sangat penting untuk mendapat keyakinan ramai sama ada golongan pembayar zakat mahupun penerima zakat. Sebarang insiden yang menjatuhkan integriti institusi ini wajib diselesaikan dengan hikmah dan betul. Tanpa kepercayaan, orang ramai akan beralih sama ada membayar zakat di institusi lain ataupun tidak membayar zakat langsung.
Kejayaan institusi zakat juga adalah kejayaannya mencari asnaf zakat dan mengagih selain kejayaan mereka dalam mengutip dengan jumlah besar. Lagi sedikit jumlah yang berbaki setiap tahun, beerti lagi beperanan institusi tersebut dalam pengagihan kepada yang berhak.
Saya merasa sesuatu tidak kena apabila diberitahu oleh rakan-rakan yang bertugas di institusi zakat di sebuah negeri bahawa terdapat institusi zakat yang mengamalkan konsep
"setiap pemohon zakat adalah penipu sehingga berjaya membuktikan ia tidak berbohong"
Keadaan ini menyebabkan sesebuah institusi zakat itu amat liat dan sukar untuk meluluskan sebarang permohonan asnaf yang layak. Berpada-padalah dalam tapisan tetapi jangan langsung tidak menapis kerana sememangnya pembohong adalah ramai di luar sana.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan