Jumaat, 27 Mac 2009

KHUTBAH JUMAAT AL-IKHLAS

KHUTBAH JUMAAT AL-IKHLAS (27 MAC 2009)

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 50 surah al-Maidah :

Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ?

Matlamat utama kepada kejadian jin dan manusia adalah untuk tunduk patuh kepada segala suruhan Allah disamping menjauhi segala laranganNya dalam setiap aspek kehidupan sehingga lahir sebagai hamba yang taat. Kemakmuran sebuah negara tidak mampu dicapai tanpa sikap taat dan patuh bermula daripada pemimpin sehingga rakyat jelata kepada Allah dengan mematuhi segala sistem hidup yang telah diterangkan melalui al-Quran dan Sunnah nabi s.a.w. Oleh itu sebarang dakwaan samada seseorang itu boleh digelar sebagai perderhaka atau pun pejuang sebaiknya dilihat dari sudut agama yang benar bukannya nafsu yang tersasar. Kita tidak mahu masyarakat/rakyat terus dimomokkan dengan laungan penderhaka akibat penafsiran terhadap perundangan manusia yang lemah dan samar-samar sehingga lupa kepada penderhakaan terhadap Allah yang jauh lebih bahaya kepada keamanan negara. Islam mengajar kita tentang keadilan perundangan tanpa mengira harta dan takhta sehingga Rasulullah s.a.w sendiri dengan tegas menyatakan sekiranya anak perempuan kesayangannya mencuri sekali pun maka hukuman potong tangan tetap dilaksanakan.

Begitu juga ketegasan Sayyidina Abu Bakar yang meminta supaya rakyat jelata bangun menegur kesilapannya dalam memimpin negara. Malah Sayyidina Umar berasa gembira apabila ada di kalangan rakyatnya yang bangun menyatakan bahawa dia akan menegur khalifah dengan mata pedangnya jika beliau bersalah. Malah Sayyidina Ali berlapang dada bila mahkamah memutuskan bahawa baju besi yang asal miliknya bertukar menjadi milik yahudi setelah beliau gagal membawa bukti kukuh dalam mendakwa yahudi tersebut sebagai pencuri. Ini semua jelas menunjukkan bagaimana dalam usaha melahirkan pemimpin yang adil dan rakyat yang baik maka Islam mengajar kita supaya tidak mentaati perkara yang derhaka kepada Allah sebaliknya kita perlu bangun di dalam memperbetulkan kesilapan yang berlaku atas nama nasihat dan teguran membina.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 79 surah Ali ‘Imran :

Maksudnya : Tidak sepatutnya seseorang yang Allah anugerahkan kepadanya Kitab, hikmah dan sifat kenabian lalu dia menyeru kepada manusia : “ Kamu hendaklah menjadi penyembahku bukan penyembah Allah”. Sebaliknya dia mesti menyeru : “ Kamu hendaklah menjadi ulama’ rabbani yang benar-benar faham agama serta mengamalkan apa yang kamu sentiasa ajarkan tentang isi Kitab dan dengan apa yang kamu sentiasa mempelajarinya”.

Muslimin Yang Berbahagia,

Rosaknya rakyat kerana rosaknya pemimpin dan rosaknya pemimpin kerana rosaknya ulama’. Penderhakaan terhadap Allah yang berlaku dalam masyarakat biasanya bermula daripada 2 golongan utama iaitu pemimpin dan ulama’ samada disebabkan pemimpin yang tidak mendengar malah menghalang ulama’ daripada menegurnya atau pun golongan agama sendiri tidak berani menegur pemimpin kerana turut terpalit dengan cinta dunia sebagaimana teguran seorang ulama’ sufi Sufian as-Thauri, katanya: Orang alim itu merupakan doktor agama dan wang itu merupakan penyakit agama. Apabila doktor sendiri dijangkiti penyakit maka bilakah dia mampu merawat orang lain?.

Keberanian ulama’ dalam menegur pemimpin mampu menyelamatlkan pemimpin dan rakyat daripada kerosakan. Kita pernah mendengar kisah bagaimana keberanian Imam Abu Hanifah, Imam Syafie, Imam Nawawi, dan Imam Ahmad Hanbal, yang sanggup digari dan dipenjara kerana bangun menegur pemimpin. Ini keranan mereka berpegang atas dasar dan prinsip agama iaitu yang salah tetap salah, dosa tetap dosa, haram tetap haram, larangan tetap larangan samada perkara itu dilakukan oleh pemimpin atau ulamak atau rakyat. Akhirnya pengorbanan besar mereka mampu menyelamatkan rakyat jelata daripada menjadi manusia yang derhaka kepada Allah.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah ,

Kita dapat lihat dalam agama lain terutama yahudi turut mengambil kira pandangan paderi mereka termasuk apa yang berlaku dalam serangan di Gaza yang mengharuskan pembunuhan syahid terhadap orang tua, wanita, kanak-kanak dengan alasan golongan lemah ini tidak melarang pejuang Islam daripada menyerang Israel di mana Pendeta Sholomo Elyaho menggariskan: “Jika yahudi membunuh 100 daripada umat Islam tetapi mereka enggan menghentikan serangan roket, yahudi perlu membunuh 1,000; dan jika membunuh 1,000 pun pejuang Islam masih tidak berhenti, yahudi perlu membunuh 10,000 dan terus membunuh walaupun sudah mencecah sejuta orang tanpa mengira masa yang diambil untuk membunuh umat Islam.”

Walaupun Yahudi ini jahat dan kejam namun mereka masih meminta pandangan paderi mereka untuk berfatwa bagi menghalalkan keganasan, kezaliman dan pembunuhan. Adakah pemimpin kita hari ini meminta pandangan para alim ulama dalam melakukan sesuatu tindakan sama ada menepati syariat al_quran dan sunnah ataupun menyalahi al-quran dan sunnah. Begitu juga, dimanakah peranan ulamak hari ini apabila melihat kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin dan golongan yang memerintah? Adakah ulama dan orang2 alim di Malaysia hanya berperanan seperti paderi Yahudi iaitu menjadi pengampu dan pembodek walaupun jelas fatwa itu bertentangan dengan syarak demi menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal.

Malah keganasan yahudi turut dibantu oleh pengkhianatan pemimpin negara arab sendiri seperti Mesir yang sanggup menutup sempadan daripada dimasuki bekalan makanan dan ubatan kepada saudara seagama di Gaza sedangkan dalam masa yang sama lebih rela menghantar berlori-lori makanan untuk askar Israel yang sedang membunuh umat Islam. Rakyat Palestin yang mendapat rawatan di hospital Mesir turut diugut agar tidak lagi membantu HAMAS jika mahu kepada rawatan. Malah adanya ketua tentera negara arab yang menghubungi pihak yahudi Israel supaya menghancur terus pejuang Islam di Gaza.

Inilah bahayanya bila amanah kepimpinan diserahkan kepada golongan yang bukan ahlinya sehingga mereka sanggup bersekongkol dengan musuh dalam meratah dan membaham saudara seagama. Jahatnya pemimpin kerana jahatnya majoriti rakyat yang memilihnya. Pemimpin yang akan menggantikan pemimpin zalim biasanya jauh lebih zalim sekiranya dipilih tidak berlandaskan ajaran Islam yang berteraskan al-Quran dan Sunnah s.a.w.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sudah menjadi sunnah perjuangan dalam meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini iaitu terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan dan cabaran. Sejarah membuktikan bagaimana gerakan Islam tidak pernah mencabul demokrasi sebaliknya golongan sekular sentiasa menjadi pengkhianat kepada demokrasi demi memenuhi nafsu serakah yang tidak boleh menerima kekalahan seperti penafian terhadap kemenangan FIS di Algeria dan Refah di Turki sehingga pemimpin Islam yang menang dipenjara manakala parti sekular yang kalah menjadi pemerintah. Begitu juga di Palestin apabila kemenangan HAMAS dicabuli sehingga wujudnya 2 Perdana Menteri yang diikuti dengan serangan kejam terhadap pemimpin dan rakyat yang menyokong gerakan Islam.

Sebab itu tidak pelik bila berlakunya pengkhianatan terhadap demokrasi, terhadap keadilan, terhadap undang2, terhadap amanah yang telah dipertanggungjawabkan di negara kita dengan penafsiran undang-undang berdasarkan kepentingan diri bagi menghalalkan tindakan yang tidak bertamadun. Yakinlah kita bahawa tiada janji kemenangan mudah untuk pejuang Islam dalam menegakkan kalimah, syariat, sistem dan manhaj Allah di muka bumi ini sebaliknya kita wajib meredah segala kesusahan dan penentangan. Tiada janji pangkat dan kemewahan sebaliknya janji kemenangan ataupun gugur syahid yang membahagiakan. Tiada kuasa yang lebih kuat selain kuasa Allah, Tiada kerajaan yang kekal melainkan kerajaan Allah, Tiada janji yang lebih benar melainkan janji kemenangan daripada Allah. Carilah kemuliaan dengan Islam. Jangan pilih jalan jahiliah, jalan thoghut, jalan sekular yang penuh kehinaan dan kemurkaan di dunia dan diakhirat.

Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soff :

Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

DISEDIAKAN DAN DISAMPAIKAN OLEH IBNU MUSLIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan