Isnin, 16 Februari 2009

FAHAMI UJIAN SAKIT...

FAHAMI UJIAN SAKIT (KENAPA MANUSIA DIUJI)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

MUKADDIMAH

Nikmat kesihatan dan kelapangan adalah dua perkara yang seringkali dilupakan dan diabaikan, kecuali apabila telah datang waktu sakit dan waktu sibuk. Perkara ini telah disebut oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadis riwayat Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: Ada dua (jenis) nikmat yang kebanyakkan orang terlalai olehnya, iaitu kesihatan dan waktu lapang (senggang).
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Sepatutnya manusia apabila memperolehi nikmat kesihatan dan kesenangan duniawi (kelapangan) akan merasa syukur dan puas, kerana merasakan sebahagian daripada keperluannya sudah mencukupi. Ini dikuatkan oleh hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu ad-Darda’:

Maksudnya: Sesiapa (di antara kamu) pada waktu pagi (berada) dalam keadaan sihat tubuh badannya dan aman jiwanya, mempunyai makanan pada hari itu, maka seolah-olah bagaikan dunia telah menjadi milik baginya.(Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Namun apabila terjadi sebaliknya, seperti ditimpa penyakit atau disempitkan rezeki, apakah cara dan langkah terbaik untuk memahami ujian ini sekaligus menghadapinya? Maka dalam ruangan kali ini penjelasan akan ditumpukan kepada ujian yang berbentuk ditimpa kesakitan dan penyakit jasmani.

Sakit Dan Jenisnya

Sesiapa jua, tanpa pengecualian, pernah sakit dan pasti suatu waktu akan menghadapi sakit. Samada seseorang itu menderita sesuatu penyakit akibat sebab-sebab tertentu ataupun ditimpa sakit secara mengejut atau tiba-tiba sahaja tanpa sebab yang jelas. Manakala orang-orang yang tidak pernah menghadapi sakit adalah suatu perkara luar biasa.

Tahap atau jenis penyakit itu juga berperingkat, sebahagiannya menghidap penyakit yang ringan saja dan sebahagiannya pula menghidap penyakit yang serius. Manakala proses sembuh juga berbeza, sesetengah pesakit ada kalanya sembuh dengan cepat, ada pula yang lambat atau tiada sembuh langsung.

Terdapat ayat-ayat dalam al-Qur’an yang menyebutkan mengenai sakit dan penyakit, antaranya firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Maka sesiapa di antara kamu sakit, atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam.
(Surah al-Baqarah: ayat 196)

Tafsirnya: Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayyub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya dan semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit).”

(Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): “Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu”, (setelah dia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): “Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin).”
(Surah Shaad: ayat 41-42)

Tafsirnya: Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka.
(Surah al-Baqarah: ayat 10)

Maka berdasarkan ayat-ayat di atas, antara jenis penyakit itu adalah penyakit jasmani dan rohani. Adapun penyakit jasmani (zahir) ialah penyakit yang dihidapi oleh manusia pada tubuh badannya seperti demam, sakit kepala, sakit perut dan sebagainya. Manakala penyakit rohani (batin) ialah penyakit dalaman yang berkaitan dengan roh atau jiwa seperti penyakit hati yang membawa kepada maksiat seperti hasad dengki, cemburu, tamak dan lain-lain.

Di samping itu, seseorang itu juga tidak terkecuali daripada mengalami perasaan duka nestapa, dukacita, gundah gulana, kesedihan, was-was dan lain-lain yang berkaitan dengan perasaan.

Sakit Merupakan Salah Satu Bentuk Ujian

Sesetengah individu mungkin menyempitkan skop ujian dan dugaan itu sebagai perkara-perkara yang negatif dan yang menyedihkan sahaja. Lalu dia hanya mengkategorikan ujian itu seperti ditimpa penyakit, kesusahan, kesedihan, kemiskinan, kematian, kemalangan, kesempitan, kegagalan dan seumpamanya. Sebenarnya tidak demikian. Ujian itu meliputi semua aspek kehidupan sama ada sesuatu yang baik atau sebaliknya seperti kesihatan atau kesakitan, kebaikan atau keburukan, kegembiraan atau kesedihan, kejayaan atau kegagalan, kemiskinan atau kekayaan.
Allah Ta‘ala dalam firmanNya telah menyatakan bahawa ujian, cubaan dan dugaan itu datang dalam pelbagai bentuk:

Tafsirnya: Dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Surah al-Anbiya’: ayat 35)

Firman Nya lagi:

Tafsirnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.(Surah al-Baqarah: ayat 155)

Ujian Itu Mengikut Tahap Keimanan Seseorang

Semakin kuat iman seseorang itu, maka semakin hebatlah ujian ke atasnya. Ini jelas sebagaimana yang dinyatakan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri tidak terlepas dari menerima ujian yang sangat berat jika dibandingkan dengan orang lain:

Maksudnya: Sesungguhnya aku belum pernah menyaksikan seseorang (menderita) kesakitan yang lebih parah dari apa yang dideritai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Abu Sa‘id al-Khudri pula menceritakan bahawa pada suatu hari dia telah pergi menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ketika itu Baginda sedang demam. Lalu Abu Sa‘id al-Khudri meletakkan tangannya ke atas tubuh Baginda dan mendapati pada tangannya rasa panas, padahal tangannya berada di atas selimut yang menyelimuti tubuh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu dia pun berkata:

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Alangkah beratnya cubaan (demam) itu kepada Tuan.”
Baginda bersabda: “Sesungguhnya kami memang seperti demikian itu. Dilipat gandakan cubaan itu kepada kami serta dilipat gandakan pula pahalanya kepada kami.”

Aku (Abu Sa‘id) berkata: “Wahai Rasulullah! Siapakah manusia yang paling berat menerima dugaan?”
Baginda menjawab: “Para nabi.”
Aku (Abu Sa‘id) berkata: “Wahai Rasulullah! Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Kemudian orang-orang shalih. Bahkan ada antara mereka yang diuji dengan kefakiran, sehinggakan dia tidak menemukan sesuatu kecuali selembar kain (pakaian) untuk dipakai berselimut. Hinggakan ada antara mereka yang merasa gembira menerima bala (musibah) sebagaimana ada antara kamu yang merasa gembira memperoleh kesenangan.”(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Hikmah Sebalik Sakit

Apabila diuji dengan sesuatu penyakit, maka selaku seorang muslim yang beriman, perkara yang utama yang perlu dilakukan ialah muhasabah diri, mengingati dan menghitung kembali betapa banyak kesalahan atau dosa yang telah dilakukannya. Maka apabila ditimpa dengan sedikit ujian itu, wajarlah bersabar dan menerimanya dengan redha tanpa sebarang keluhan atau rintihan. Jauh sekali menyalahkan qadha dan qadar Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Setentunya Allah Ta‘ala Maha Mengetahui akan rahsia dan hikmah di sebalik ujian tersebut.

Ada pula segolongan manusia yang ditimpakan musibah itu adalah dengan maksud agar mereka mendapat kebaikan dan ganjaran, membuatkan mereka lebih muhasabah diri dalam semua hal keadaan, redha dengan Allah dan berserah dengan qadha dan qadarNya. Golongan ini akan merasa redha dan sabar serta taat dengan ujian Allah tanpa keluh kesah dan rungutan, apa lagi untuk merasa kecewa dan berputus asa. Untuk lebih jelas renungkan hadis-hadis berikut yang menyatakan perbezaan antara dua golongan manusia, yang satu ditimpa musibah dan yang satu lagi tidak pernah ditimpa musibah.

Hadis shahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘ahnu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang Allah inginkan padanya sesuatu kebaikan, (Allah) akan mengujinya.(Hadis riwayat al-Bukhari)

Manakala hadis lain membawakan mesej yang lain pula, iaitu riwayat Anas bin Malik Radhiallahu ‘ahnu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Besarnya pahala (balasan) adalah seimbang (setara) dengan besarnya cubaan (bala). Dan sesungguhnya Allah, bila menyukai suatu kaum, Dia akan memberi cubaan kepada mereka. Maka sesiapa yang redha, baginya keredhaan Allah. Dan sesiapa yang marah (tidak dapat menerima cubaan), maka baginya kemurkaan Allah.(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Berbeza pula bagi individu yang tidak pernah ditimpa ujian dan dugaan. Abu Hurairah Radhiallahu ‘ahnu meriwayatkan perbualan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan seorang Arab badawi:

Maksudnya: “Adakah engkau (pernah) mengalami ‘Ummu Mildam’?”
Dia berkata: “Apakah dia ‘Ummu Mildam’ itu?”
Baginda bersabda: “Rasa panas yang dirasai di antara kulit dan daging (demam).”
Dia menjawab: “Aku tidak pernah merasakan perkara itu.”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya (lagi): “Adakah engkau pernah merasai pening?”
Dia berkata: “Apakah dia pening itu?”
Baginda bersabda: “Rasa sakit berdenyut yang dirasakan oleh seseorang pada kepalanya.”
Dia menjawab: “Aku tidak pernah merasakan perkara itu.”
Maka apabila lelaki itu berpaling (berlalu pergi), Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa mahu melihat (contoh) lelaki daripada ahli neraka, maka lihatlah orang ini.”(Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Dalam kitab Shahih Ibnu Hibban bi Tartib Ibnu Balban, Abu Hatim seterusnya menerangkan bahawa ini tidak bermakna orang yang sentiasa sihat di dunia ini bakal menjadi ahli neraka kelak. Apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah Baginda menerangkan kepada umatnya bahawa seseorang itu tidak lepas dari melakukan kesalahan dan dosa. Perbuatan salah dan dosa itu pasti akan menerima balasannya di akhirat kelak, melainkan jika telah diampunkan. Ini termasuklah menerima sebahagian balasan perbuatan itu semasa di dunia samada berupa penyakit, perasaan duka cita dan perkara-perkara yang menyedihkan.

Lain-Lain Hikmah: Sakit Sebagai Balasan, Penebus Dosa Dan Mengangkat Martabat Seseorang.

Sakit adalah satu bentuk balasan terhadap dosa yang telah dilakukan di dunia. Dalam masa yang sama pula, ia menjadi penebus dosa serta mengangkat martabat seseorang hamba. Ini dapat dibuktikan melalui ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti berikut:

1. Sebagai Balasan Di Dunia (‘Uqubah wal Jaza’)
Dalam kitab Tafsir al-Fakhr ar-Razi, sakit itu sebagai salah satu bentuk balasan iaitu akibat dari kesalahan atau dosa yang telah dilakukan di dunia. Perkara ini disebut dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu.
(Surah an-Nisa’: ayat 123)

Disebutkan dalam kitab tersebut, apabila diturunkan ayat di atas kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka telah timbul pertanyaan serta perasaan takut dari para sahabat dan pengikut Baginda. Antaranya ialah:

Pertanyaan Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah (bentuk) kebaikan itu setelah diturunkan ayat ini “Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu”? Apakah setiap kejahatan yang telah kami lakukan kami akan diberi balasan?”
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Semoga Allah mengampunkanmu wahai Abu Bakar, (Baginda berkata demikian) sebanyak tiga kali. Bukankan engkau jatuh sakit? Bukankah engkau merasa sedih? Bukankah engkau dilanda keletihan? Bukankah engkau ditimpa bala (musibah)?”
(Abu Bakar) berkata: “Aku berkata (kepada Rasulullah): “Ya!”
Baginda bersabda: “Maka (dengan) itulah kamu diberi balasan semasa di dunia.”
(Hadis riwayat al-Baihaqi)

‘Aisyah Radhiallahu ‘anha meriwayatkan bahawa seorang lelaki demi membaca ayat di atas, dia lantas bertanya: “Apakah kami akan dibalas dengan setiap apa yang kami lakukan. Jika demikian, maka kami akan binasa.” Maka kata-katanya itu telah sampai kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu Baginda bersabda:

Maksudnya: Ya, (seseorang itu) akan diberi balasan dengan setiap perbuatan semasa berada di dunia berupa musibah pada tubuh badannya daripada perkara yang menyakitinya. (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

2. Sebagai Kaffarah (Penebus Dosa)
Allah Ta‘ala menjadikan cubaan dan ujian di dunia ini, samada dalam bentuk sakit, dukacita, kesedihan atau selainnya adalah salah satu cara untuk menghapuskan dosa seseorang itu. Adapun setelah menerima pembalasan di dunia, maka pembalasan itu adalah kaffarah, iaitu penebus bagi dosa tersebut. Terdapat banyak hadis yang menyatakan perkara ini dan antaranya ialah:

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu mengatakan apabila diturunkan ayat 123 dari Surah an-Nisaa’ di atas, kami (orang-orang Islam) merasa sangat sedih. Lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda:

Maksudnya: Bersederhanalah (jangan terlalu berlebih-lebihan atau terlalu lalai) dan berusahalah melakukan (perkara) yang benar. Maka pada setiap musibah yang menimpa seorang muslim merupakan suatu kaffarah. Sekalipun (musibah itu berupa) bencana yang menimpanya atau duri yang menyucuknya.(Hadis riwayat Muslim)

Antara bentuk musibah yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah seperti seseorang terjatuh atau terhantuk kakinya yang menyebabkan jari-jari kakinya sakit atau cedera.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Seorang muslim itu tidak ditimpa sesesuatu dari keletihan, penyakit, masalah (kebingungan), kesedihan (kerana kehilangan sesuatu), kesengsaraan dan duka cita sehinggakan (kepada) duri yang menusuknya (menyakitinya), kecuali Allah menghapuskan (mengampunkan) dengan semua itu daripada dosa-dosanya.”(Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain pula:

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang mukmin itu jika ditimpa penyakit, kemudian disembuhkan oleh Allah daripadanya (penyakit tersebut), maka ia (penyakit itu) menjadi kaffarah bagi dosa-dosanya yang telah lalu dan menjadi peringatan baginya untuk masa depannya. Sedang seorang munafik, apabila dia sakit lalu disembuhkan, maka dia seperti unta yang ditambat oleh pemiliknya, lalu mereka melepaskannya. Dia (orang munafik itu) tidak tahu mengapa dia ditambat dan dia tidak tahu mengapa dia dilepaskan.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Maka seorang mukmin apabila sembuh dari sakitnya, akan menjadikan sakitnya itu sebagai peringatan dan dia mengetahui bahawa penyakitnya itu adalah akibat atau balasan dari dosa-dosanya yang telah lalu. Kemudian dia menjadikannya sebagai iktibar dan pengajaran. Dia tidak akan mengulangi perbuatan dosa yang telah dilakukannya. Maka ujian sakit itu seterusnya menghapuskan dosanya sebagai kaffarah.

Berlainan orang munafik, apabila ditimpa penyakit dia tidak menjadikannya sebagai peringatan dan dia tidak pula bertaubat. Bahkan sakitnya itu tidak memberi faedah pada dirinya samada di masa yang lalu atau masa yang akan datang.

3. Diberikan Ganjaran
Para Rasul dan Nabi adalah ma‘shum (terpelihara daripada melakukan segala jenis dosa). Maka antara sebab mereka ditimpa dengan ujian sakit bukanlah sebagai balasan dari dosa yang dilakukan, akan tetapi untuk meninggikan lagi martabat dan kedudukan mereka.

Imam an-Nawawi Rahimahullah seterusnya menerangkan bahawa ulama berkata: “Hikmah para nabi lebih berat ditimpa dugaan, kemudian mereka yang di bawah taraf para nabi dan seterusnya mereka yang di bawahnya lagi, adalah kerana mereka telah dikhususkan dengan kesabaran yang sempurna, ketelusan penyerahan diri kepada Allah dan dengan pengetahuan bahawa semua itu adalah nikmat daripada Allah Ta‘ala untuk disempurnakan bagi mereka kebaikan yang selayaknya, menggandakan bagi mereka ganjaran pahala dan (bagi mereka) menzahirkan kesabaran dan keredhaan mereka.”

Adapun bagi seorang mukmin, perkara yang sama juga boleh dicapai. Ini berdasarkan beberapa hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam antaranya ialah:
Hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tiadalah seseorang mukmin yang tertusuk duri atau lebih dari itu melainkan Allah mengangkat satu darjat (dengan tertusuk duri itu) atau menghapuskan daripadanya satu kesalahan.”(Hadis riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadis qudsi daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘ahnu yang dimarfu‘kan kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Allah Azza wajalla berfirman: “Sesiapa yang Aku hilangkan kedua matanya lalu dia sabar dan mengharapkan pahala, nescaya Aku tidak suka baginya pahala selain syurga.(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dalam satu riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa seorang perempuan telah mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai penyakit yang dideritainya. Menurut hadis tersebut, perempuan itu akhirnya memilih untuk bersabar sahaja dengan keadaanya agar dia memperolehi ganjaran yang lebih besar dengan bersabar. Perempuan itu berkata:

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar menyembuhkanku.”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika engkau mahu, aku akan berdoa kepada Allah bagimu, maka Allah akan menyembuhkanmu. Dan jika engkau mahu, maka bersabarlah dan (semoga) tiada hisab ke atasmu.”

Perempuan itu pun berkata: “Pasti aku akan (memilih untuk) bersabar dan (semoga) tiada hisab ke atasku.”(Hadis riwayat Ibnu Hibban)

PENUTUP

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat disimpulkan bahawa sakit atau penyakit, termasuk musibah yang lain, bagi para nabi merupakan ujian-ujian yang akan menambah atau mengangkat martabat mereka. Namun bagi yang selain mereka itu, ia merupakan salah satu bentuk ujian atau sebagai balasan terhadap dosa yang dilakukan di dunia. Maka jika ia dihadapi dengan sabar dan redha, pahala dan ganjaran yang lebih baik daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan mereka terima. Kesalahan atau dosa-dosa yang dilakukannya itu akan terhapus, malahan akan mengangkat martabat mereka. Di samping itu juga, ujian dan cubaan yang dihadapi itu adalah sebagai iktibar dan peringatan.

Adapun penyakit rohani yang membawa kepada maksiat dan dosa seperti syak wasangka, hasad dengki, tamak haloba, cemburu dan selainnya, ianya tidak akan membawa apa-apa kelebihan dan ganjaran melainkan kerugian dan dosa jua.

WALLAHUAQLAM...SELAMAT BERAMAL

Tiada ulasan:

Catat Ulasan