Khamis, 15 Januari 2009

KHUTBAH JUMAAT GHAZA

Khutbah Jumaat Ghaza

Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 154: “Janganlah kamu menganggap (berkata) mereka yang berjuang di jalan Allah (jihad) mati, bahkan mereka sebenarnya hidup tetapi kamu tidak mengetahui”

Sidang Jumaat sekalian,

Dendam kesumat dan kezaliman orang-orang Yahudi terhadap Islam dan umat Islam tidak akan padam bermula dengan peristiwa hijrahnya Rasulullah saw dari Mekah ke Madinah. Semenjak peristiwa hijrah yang memberi impak besar terhadap perkembangan Islam, Yahudi sentiasa merencanakan programnya bagi memastikan Islam akan lemah dan tidak diterima oleh manusia. Bermulalah perancangan-perancangan licik mereka dengan menggunakan pelbagai pendekatan, sama ada yang sulit mahupun yang terang bagi memastikan cita-cita mereka untuk menguasai dunia tercapai.

Sebagai contohnya, Perang Ahzab tercetus adalah disebabkan persengkokolan kabilah-kabilah Arab untuk menyerang Madinah hasil adu-domba dan hasutan yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi setelah mereka mengkhianati perjanjian dengan Rasulullah saw. Contoh lain pula, apabila Kota Konstinople berjaya dibebaskan oleh Sultan Muhammad al-Fateh yang boleh menatijahkan Islam akan berkembang dengan pesat di benua Eropah, Yaaqub Basha (Miyastro Jacob) seorang doktor yang beragama Yahudi telah membunuh Sultan serta Panglima Perang ini, dengan meracunnya pada tahun 1487M. Sejarah moden juga tidak ketinggalan mencatatkan, bagaimana pelbagai perancangan jahat mereka melalui pertubuhan zionis, telah menghasilkan negara haram Israel pada 14 Mei 1948 melalui perampasan tanah-tanah milik umat Islam hasil perjanjian Balfour pada tahun 1917. Persengkokolan zionis dengan negara-negara Eropah terutamanya Britain pada masa tersebut, telah menyebabkan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin sehingga menjangkau 60 tahun lamanya sehinggalah kepada serangan besar-besaran melalui udara yang dilakukan oleh rejim zionis kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sekarang ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Demokrasi pilihanraya yang telah diperkenalkan oleh Barat dan didokong oleh mereka telah menyebabkan HAMAS memenangi pilihanraya pada tahun 2006. Mantan Presidan Amerika Syarikat sendiri, iaitu Jimmy Carter yang menjadi pemerhati pilihanraya tersebut, telah menyatakan bahawa pilihanraya yang dijalankan adalah telus dan adil. Rakyat Palestin telah memilih HAMAS melalui demokrasi yang didokong oleh Amerika Syarikat tetapi negara kuasa besar ini jugalah, yang menafikan kemenangan tersebut hasil daripada pengaruh zionis yang menguasai Rumah Putih. Rakyat Palestin telah memilih kerajaan yang sah menurut perlembagaan tetapi telah dinafikan kerana memilih HAMAS yang menjadi musuh kepada negara Israel. Amerika dan Israel lebih minat untuk membuat hubungan dengan FATAH yang dipimpin oleh Mahmoud Abbas kerana mudah bagi mereka mempengaruhinya berbanding Ismael Haniyya yang lebih tegas dengan Israel. Hakikatnya pelbagai perjanjian yang dimeterai termasuklah perjanjian Oslo pada tahun 1993, namun kesemua perjanjian tersebut tidak memihak kepada rakyat Palestin sehingga kezaliman dan penindasan berterusan. Kemenangan HAMAS telah menyebabkan sekatan dilakukan oleh rejim zionis sehingga menyebabkan penderitaan yang tidak dapat digambarkan dialami oleh rakyat Palestin di Semenanjung Gaza. Bekalan makanan disekat, bekalan ubat-ubatan dinafikan, minyak dan gas dihalang, permit kerja dibekukan sehingga memberi kesan penderitaan yang amat perit untuk digambarkan. Tanpa peri kemanusiaan, rejim zionis melakukan apa sahaja yang dikehendaki oleh mereka tanpa menghiraukan bantahan masyarakat dunia, undang-undang antarabangsa dan protokol-protokol Geneva yang diluluskan oleh masyarakat antarabangsa. Rakyat Semenanjung Gaza yang berjumlah 1.5 juta mengalami kelaparan, kesakitan berpanjangan, pengangguran dan kesusahan yang tidak boleh digambarkan oleh masyarakat dunia khususnya di Malaysia. Setelah pelbagai sekatan dijalankan tanpa ada reaksi daripada kerajaan negara-negara Arab yang berada di sekitarnya, rejim zionis menggerakkan ketumbukan tentera daratnya dengan kereta-kereta kebal buatan Amerika Syarikat untuk menjajah Semenanjung Gaza dengan didahului serangan udara yang amat dahsyat sehingga mengorbankan lebih daripada 300 rakyat Palestin. Apa yang lebih malang, sebuah keluarga yang mencari perlindungan daripada serangan tentera udara rejim zionis telah ditembak oleh pengawal sempadan negara Mesir di sempadan Rafah sehingga menyebabkan kematian seorang ibu dan anaknya yang masih kecil. Inilah yang berlaku kepada rakyat Palestin yang bukan sahaja dizalimi oleh rejim zionis tetapi juga kerajaan negara Arab yang berada di sekitarnya.

Sidang Jumaat rahimahullah

Masjid al-Aqsa yang terletak di Palestin merupakan kiblat pertama umat Islam, masjid kedua dibina setelah Masjid al-Haram dan merupakan tempat di mana Rasulullah saw di Isra’kan sebelum dimikrajkan ke Sidratul Muntaha. Negara Palestin merupakan negara yang diberkati kerana ramainya para nabi diutuskan oleh Allah swt di situ, Palestin juga merupakan bumi yang subur dan merupakan negara yang dahuluinya dimiliki oleh umat Islam keseluruhannya. Pembebasannya telah dilaksanakan oleh Sayyidina Umar al-Khattab daripada cengkaman Rom Byzantine tetapi kemudiannya dijajah selama 88 tahun oleh tentera-tentera salib Eropah. Walaubagaimanapun, Solahuddin al-Ayyubi atau nama sebenarnya Yusuf bin Ayyub berjaya membebaskan semula daripada kezaliman tentera salib pada tahun 1187M. Kata-kata yang pernah dinukilkan daripada Solahuddin yang berbangsa Kurdi ini mengenai Palestin ialah:
“Barangsiapa yang dapat menguasai Palestin (Masjid al-Aqsa), maka akan dapat menguasai dunia keseluruhannya”

Sesungguhnya bumi yang terdapat Masjid al-Aqsa sekarang ini telah dikuasai oleh rejim zionis melalui perancangan-perancangan licik mereka melalui kerjasama dengan negara-negara Eropah terutamanya Amerika Syarikat. Dengan kekuatan ketenteraan yang dimiliki, persepakatan yang jitu dan perancangan yang teliti, bumi ini telah dikuasai oleh bangsa yang pernah membunuh nabi-nabi yang diutuskan kepada mereka. Bangsa ini jugalah yang pernah membakar Masjid al-Aqsa pada tahun 1967 dan bangsa ini jugalah yang sekarang ini sedang melakukan holocoust kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza. Kekejaman dan kezaliman yang mereka lakukan memang telah didoktrinkan di dalam kitab suci mereka iaitu kitab Talmud dan terbaru Khakam mereka (ulama Yahudi) telah mengeluarkan fatwa supaya bangsa Arab sama ada Islam dan Kristian, dihapuskan melalui penubuhan semula organisai 101 yang dipimpin Ariel Sharon. Pertubuhan inilah yang telah mengganas dan membunuh ribuan pelarian Palestin di Kem Shabra dan Shatila pada tahun 1982. Zionis sebenarnya tidak mengerti apa ertinya perjanjian perdamaian, zionis buta dengan resolusi-resolusi amaran, zionis adalah bangsa yang pekak dengan arahan menghentikan serangan dan zionis jugalah bangsa yang menganggap mereka bangsa pilihan tuhan. Untuk melawan mereka, bukanlah dengan kata-kata damai, perjanjian persefahaman dan persetujuan yang didokumenkan, tetapi ia memerlukan kekuatan jihad yang berpanjangan dari seluruh umat Islam.

Sidang Jumaat sekalian,

Rakyat Palestin di Gaza sedang menghadapi pertarungan berseorangan tanpa bantuan daripada kerajaan negara-negara Arab dan Islam. Walaupun mereka bersendirian, mereka tetap melawan dengan kekuatan yang ada melalui pelancaran roket buatan sendiri yang mampu sampai ke sasaran 12 sehingga 40 km jauhnya. Inilah kekuatan pejuang Palestin yang amat ditakuti dan digeruni oleh Israel sehingga rejim ini mengarahkan serangan melalui udara dan darat kepada rakyat Palestin di Gaza. Mereka bertindak kerana mereka terancam dan takut dengan serangan yang dilakukan oleh para pejuang dan inilah sikap mereka sebenarnya yang membina tembok-tembok untuk melindungi mereka.

Kita semua mengetahui penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin tetapi apakah tindakan yang perlu kita lakukan bagi membantu saudara seakidah kita di Palestin serta menyelamatkan Masjid al-Aqsa daripada runtuh untuk digantikan dengan Haikal Sulaiman atau Temple Solomon. Adakah kita hanya menunggu keajaiban berlaku tanpa melakukan apa-apa dengan hanya melihat kezaliman terus berleluasa.? Adakah kita hanya mendiamkan diri dengan harapan orang lain yang membantu? Adakah kita semua terus menyepikan diri dengan membenarkan pembunuhan terhadap rakyat Palestin?

Kita semuanya WAJIB membantu rakyat Palestin tidak kira siapa dan di mana kita berada. Rakyat Palestin mewakili umat Islam seluruh dunia berjihad menentang musuh Islam. Apabila para pejuang berjihad menentang musuh Islam, maka wajib kepada seluruh umat Islam membantu mereka. Kita akan dipersoalkan di akhirat, nanti apakah bantuan dan sumbangan yang telah kita berikan kepada perjuangan Jihad di Palestin. Kita semua akan disoal oleh ALLAH SWT.

Kita wajib membantu mereka dengan keupayaan kita. Di antara bantuan yang boleh kita berikan ialah:
1. Membaca qunut nazilah setiap hari dan memohon kepada Allah swt agar kemenangan kepada Islam dan kehancuran kepada musuh Islam.
2. Memberi bantuan kewangan dan sokongan yang berterusan kepada rakyat Palestin melalui infaq dan sedekah tanpa mengira kedudukan kita sama ada miskin atau kaya kerana rakyat Palestin sedang mewakili kita untuk berjihad melawan musuh Allah swt.
3. Memboikot barangan yang dikeluarkan oleh Israel dan sekutu kuatnya Amerika Syarikat dengan tidak membeli barangan tersebut.
4. Menggesa kerajaan negara-negara Islam menggunakan kemampuan mereka menghentikan kezaliman berleluasa di bumi Palestin. Sebagai rakyat dalam sebuah negara, kita perlu bersatu dalam isu yang melibatkan solidirati Islam melalui gesaan berterusan akan kerajaan negara-negara Islam bertanggungjawab terhadap Palestin.
5. Menulis di akhbar, majalah, buletin dan menyebarkan isu Palestin sebenarnya adalah isu umat Islam dan pembebasannya adalah tanggungjawab seluruh umat Islam.
6. Mendidik anak-anak supaya peka dengan isu Palestin dan mewujudkan tabung-tabung khas di rumah untuk diberikan kepada rakyat Palestin yang ditindas dan dizalimi.
7. Umat perlu kembali kepada al-Quran dan Sunnah dan mewujudkan kesatuan yang jitu berasaskan kepada agama Islam dan seterusnya menggandakan usaha melalu perancangan tersusun untuk membebaskan Palestin.

Ingatlah, barangsiapa yang tidak mengambil berat ke atas urusan umat Islam maka sesungguhnya mereka bukan tergolong daripada mereka. (Maksud Hadith)

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah

Dahulunya penjajah telah melabelkan Tok Janggut, Tok Ku Paloh, Mat Kilau, Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman dan para pejuang Melayu yang lainnya sebagai pemberontak dan akhirnya mereka diburu oleh penjajah British sehingga mereka syahid di medan pertempuran. Mereka dianggap oleh British sebagai pemberontak kerana mereka bangun menentang penjajahan dan mempertahankan Tanah Melayu dari terus dijajah oleh British. Persoalannya sekarang, adakah HAMAS yang berjuang menentang keganasan dan kezaliman di bumi Palestin dianggap sebagai pengganas sedangkan mereka berjuang mempertahankan tanah air dan rakyat yang memilih mereka? Adakah mereka pengganas kerana merekalah yang mempertaruhkan jiwa dan raga mereka membebaskan Palestin? Sesungguhnya tertipulah kepada mereka yang menganggap HAMAS sebagai pengganas kerana label ini diberikan oleh negara haram Israel dan Amerika Syarikat. Oleh yang demikian, persengkokolan dengan mengiktiraf HAMAS sebagai pengganas merupakan satu kesilapan yang perlu diperbetulkan. Mereka adalah pejuang mempertahankan tanah air dengan menggadaikan nyawa mereka dengan kelengkapan peperangan yang amat terhad.

Sidang Jumaat sekalian,

Rakyat Palestin memerlukan doa kita, Palestin mengharapkan bantuan berterusan daripada kita semua, Masjid al-Aqsa mengharapkan munculnya Solahuddin al-Ayyubi bagi menyelamatkanya daripada diruntuhkan dan harapan ini tersandar kepada bahu-bahu kita semua. Bangunlah membantu Palestin! Takbir!

1 ulasan:

  1. Terima kasih kerana meninggalkan khutbah berkenaan dengan Isu Palestin.

    BalasPadam