SEDIKIT PERBINCANGAN MENGENAI BUKU FIQH AULAWIYYAT (FIQH KEUTAMAAN)
Kandungan buku ini telah dibahagikan kepada sebelas bab. Bab pertama memaparkan “Hajat umat Islam terhadap fiqh keutamaan”. Bab kedua, “Keutamaan kualiti ke atas kuantiti”. Bab ketiga, “Keutamaan kefahaman ke atas semata-mata hafalan”. Bab keempat, “Keutamaan dalam bidang fatwa dan dakwah” Bab kelima, “Keutamaan dalam bidang amal perbuatan” Bab keenam, “Keutamaan dalam perkara-perkara yang diperintahkan Allah Taala” Bab ketujuh, “Keutamaan dalam perkara-perkara yang dilarang Allah Taala”. Bab kelapan, “Sifat sangat kedekut”. Bab kesembilan, “Keutamaan dalam bidang pembaharuan masyarakat”. Bab kesepuluh, “Fiqh keutamaan di dalam ilmu warisan Islam”. Bab kesebelas, “Keutamaan mengikut pandangan para pejuang pembaharuan di era moden”.
Menariknya dalam bab pertama lagi Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa salah satu faktor yang mengakibatkan kedaifan umat Islam pada masa kini ialah hilangnya pertimbangan golongan intelektual dan masyarakat awam terhadap Fiqh keutamaan ini. Di kalangan remaja penekanan ke atas sukan dan hiburan menjadi lebih penting daripada mengejar ilmu itu sendiri. Yang sepatutnya disanjung bukan lagi golongan ilmuwan atau penulis walhal ahli sukan dan artis-artis diangkat dan dicontohi sebagai idola. Fenomena tersebut jelas membuktikan kejahilan masyarakat terhadap dimensi prioriti yang sedia ada dalam Islam. Oleh sebab itu, untuk memahami maksud fiqh keutamaan ini beliau telah mendefinisikannya sebagai meletakkan segala suatu pada tangga dan peringkatnya yang sebenar dengan pertimbangan keadilan sama ada mengenai perbuatan, pemikiran hukum-hakam dan nilai-nilai akhlak mulia.
Justeru itu, suatu yang kurang penting tidak wajib dipentingkan. Apa yang wajar didahulukan hendaklah diketengahkan, suatu yang wajar dikemudiankan hendaklah dikemudiankan, perkara yang kecil tidak patut dibesar-besarkan, sementara perkara yang penting tidak wajar dipermudah-mudahkan. Dengan lain perkataan tiap-tiap suatu hendaklah diletakkan pada tempatnya secara berimbangan. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Dan Allah telah meninggikan langit dan meletakkan neraca keadilan, supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu, dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.” (Surah al-Rahman: 7-9)
Sebagai seorang doktor rohani dan pembimbing ummah, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah berusaha keras untuk menyajikan ramuan-ramuan dan resipi yang sesuai untuk dijadikan dispensari kepada setiap penyakit yang dideritai oleh masyarakat Islam kita pada masa kini. Oleh sebab itu beliau menggesa agar aspek-aspek ilmu mesti diberikan keutamaan daripada amalan serta lebih mencerap aspek kualiti isi kandungnya berbanding kuantiti bacaan itu sendiri. Justeru itu, dalam buku ini, aspek mengutamakan ilmu dan kefahaman sangat ditekankan hinggakan dalam bab yang ketiga telah dijelaskan suatu bab khusus tentang keutamaan kefahaman ke atas semata-mata hafalan. Secara literalnya penulis telah membangkitkan kesedaran kepada kita agar memahami ajaran-ajaran agama Islam bukan setakat mempelajarinya untuk dihafal atau bagi tujuan lulus peperiksaan sedangkan memahami inti pati pengertiannya yang sebenar itulah yang lebih utama. Tetapi tidaklah sampai menyatakan ia sesuatu yang sia-sia namun dari sudut kedudukannya ia bukanlah matlamat yang utama tetapi hanya sebagai pengantara untuk mencapai apa jua kefahaman dan pengertian.
Selanjutnya penulis menyusun beberapa panduan atau konteks yang perlu diambil kira ketika meletakkan aspek keutamaan tersebut terutama apabila bertembung dengan beberapa permasalahan yang timbul.
Keutamaan memberikan keringanan dan kemudahan daripada memberatkan.
Dalam hal ini penulis membawa contoh bagaimana Rasulullah s.a.w. menganjurkan umatnya menyegerakan berbuka puasa dan mengakhirkan makan sahur untuk memberikan kemudahan kepada yang berpuasa.
Mengakui keadaan darurat yang datang menimpa kehidupan manusia.
Dalam keadaan tersebut syariat Islam membolehkan perkara-perkara yang sebelumnya terlarang dibenarkan demi memberi kemudahan kepada manusia baik individu mahupun jemaah.
Perubahan fatwa dan ketentuan hukum kerana perubahan masa dan tempat.
Oleh sebab perubahan dan perkembangan yang terjadi di dalam kehidupan manusia seperti permasalahan perubatan atau teknologi moden menyebabkan para ulama membolehkan perubahan fatwa dan ketentuan sesuatu hukum itu.
Memahami sunnah al-Tadarruj (berperingkat-peringkat)
Memahami sunah ini bukanlah bermaksud menangguhkan usaha-usaha ke arah pelaksanaan Islam tetapi lebih kepada mempersiapkan pemikiran, sikap, mentaliti, akhlak dan kefahaman masyarakat akan ajaran Islam yang sebenar seperti kaedah pengharaman arak yang disebut oleh Allah S.W.T. dalam al-Quran. Suatu hal yang menarik yang sering berlaku kekeliruan di kalangan masyarakat Islam ialah bagaimana meletakkan keutamaan dalam gerak kerja dan amal ibadah Muslim. Pertamanya penulis menggesa kepada perlunya nilai istiqamah yang harus dikerjakan secara terus-menerus tidak terputus di tengah jalan seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Amal yang paling disukai oleh Allah Taala ialah amal yang berkesinambungan” Keduanya amal yang lebih bersifat altruisme iaitu yang memberi manfaat kepada orang ramai lebih utama daripada kepentingan untuk dirinya sendiri atau golongan yang lebih sedikit seperti amalan berjihad atau menyokong kepada jihad yang lebih afdal daripada jenis amalan seperti menunaikan fardu haji ke Tanah Suci. Hal ini kerana manfaat amalan haji tersebut hanyalah untuk orang yang menunaikannya sahaja sedangkan kelebihan berjihad adalah untuk seluruh umat Islam. Selain itu mengutamakan suatu amalan yang lebih lama dan panjang kadar manfaatnya daripada amalan yang hanya kesan manfaatnya untuk jangka masa yang lebih singkat sahaja turut menjadi kriteria. Pengertian inilah yang menjadikan amalan sedekah jariah seperti bersedekah membantu mangsa tsunami mempunyai kelebihan dan keutamaan daripada ibadah korban yang bermusim dan oportunis sifatnya. Rasionalnya amalan bersedekah itu pahalanya lebih panjang kerana ia dijanjikan Tuhan akan terus mengalir walaupun orang yang bersedekah itu telah meninggal dunia.
Isu percanggahan pendapat dalam masyarakat hari ini sehingga timbul sikap saling kecam-mengecam dan salah-menyalahkan yang menyebabkan persaudaraan umat Islam goyah kerana didasari oleh perbezaan-perbezaan furuk iaitu cabang-cabangnya sahaja berbanding dasar atau usul syariat turut dihalusi oleh penulis. Dalam hal ini mengutamakan perkara-perkara dasar yang diperintahkan oleh Allah Taala harus didahulukan bukan hal-hal remeh-temeh. Kita masih terleka untuk melaksanakan kewajipan yang lebih utama iaitu memperkasakan asas akidah, iman dan tauhid serta membina keikhlasan terhadap agama Allah S.W.T. Kecenderungan sebahagian masyarakat kita membangkitkan perkara-perkara yang furuk adalah jelas menunjukkan betapa ceteknya kefahaman mereka terhadap fiqh keutamaan ini.
Isu yang sama juga turut disebut iaitu antara amalan fardu dengan amalan sunat. Dalam hal ini umat Islam tidak menempatkan apa yang disebut fardu ain seperti kewajipan amar makruf dan nahi mungkar di mana al-Quran lebih mendahulukannya daripada solat dan zakat. Ini dibuktikan oleh firman Allah S.W.T. dalam surah at-Taubah ayat 18 yang bermaksud: “Hanya sanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” Dalam masyarakat Islam kita hari ini, ada golongan yang mementingkan suatu rukun ke atas suatu rukun yang lain. Mereka lebih mengutamakan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan sedangkan al-Quran menekankan kewajipan solat setiap masa. Terdapat juga sebahagian daripada kita yang menekankan perkara-perkara yang sunat seperti zikir, tasbih dan wirid lebih daripada perkara-perkara yang diwajibkan. Mereka tidak melayani ibu dan bapa, memutuskan silaturahim, tidak berbuat ihsan dengan tetangga atau ramah dengan golongan yang lemah, membantu golongan fakir dan miskin sehingga menentang kemungkaran dan kezaliman.
Dalam hal yang berhubung dengan nilai-nilai kemasyarakatan, aspek fiqh keutamaan ini tidak mendapat tempat di hati masyarakat. Masyarakat kita lebih mementingkan ibadat fardu yang bersifat nafsi-nafsi semata-mata lantas meminggirkan konsep ibadat yang lebih global di luar ruang lingkup diri. Ibadat fardu yang berasaskan prinsip jemaah seperti hak-hak jiran, kemanusiaan dan kenegaraan yang masih terabai. Begitu juga kita masih tertinggal di belakang terutama dalam menguasai segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi. Akhirnya disebabkan kejahilan kita dan kelemahan para ulama dan umarak maka Islam terus-menerus lemah dan ketinggalan sehinggakan ruang yang diberikan Allah Taala dalam bidang fiqh seperti ijtihad dan istinbat hukum terus beku serta hilangnya kedinamikan syariat Islam yang sebenarnya boleh melumpuhkan penyebaran Islam itu sendiri, seperti yang berlaku pada dunia Islam hari ini.
Selanjutnya penulis memberi contoh tentang sekumpulan pemuda-pemuda di dunia Arab yang begitu ikhlas dengan agama. Segelintirnya adalah pelajar-pelajar yang sedang mengikuti kursus-kursus profesional seperti perubatan, kejururawatan, arkitek, perakaunan, pertanian dan sebagainya. Apabila mereka terlibat dalam bidang dakwah menyebabkan mereka berusaha untuk beralih pula ke bidang pengajian Islam akhirnya yang rugi adalah umat Islam itu sendiri. Mereka sewajarnya terus kekal dengan profesion tersebut kerana dari segi hukum syarak, walaupun ilmu-ilmu tersebut adalah bersifat fardu kifayah namun umat Islam yang mempunyai kelayakan profesional seperti amat berkurangan jika dibandingkan dengan yang bukan beragama Islam maka profesion tersebut harus menjadi keutamaan disebabkan maslahatnya kepada kepentingan umat Islam keseluruhannya.
Dedikasi Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sebagai seorang ulama dan cendekiawan yang begitu sibuk sebagai pendidik dan doktor kepada masyarakat yang sentiasa mengkaji, meneliti dan memerhatikan setiap perkembangan, permasalahan, dan kemusykilan yang timbul di tengah-tengah ummah dewasa ini wajar dihargai melalui penelitian hasil karyanya oleh kita sebagai pembaca. Apatah lagi hasil-hasil tulisan beliau sangat mudah didapati dan sudah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Sesungguhnya dalam mengutamakan ilmu pengetahuan daripada amalan beliau mengingatkan pembaca dengan memetik sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Ilmu adalah pemimpin dan amal adalah pengikut.”
Fikir-fikirkanlah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan