KHUTBAH HARI RAYA AIDIL FITRI 1429H/2009M
KHUTBAH PERTAMA
ALLAHUAKBAR, ALLAHUAKBAR, ALLAHUAKBAR (9X) WALILLAHILHAM
Firman Allah dalam ayat 112 surah al-Nahlu :
Maksudnya : Dan Allah memberikan suatu perbandingan sebuah negeri yang aman damai dan tenteram yang dilimpahkan rezeki yang mewah dari setiap tempat lalu penduduknya itu mengkufuri nikmat Allah itu. Maka Allah menimpakan mereka dengan kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang telah mereka lakukan.
Muslimin/Muslimat yang dirahmati Allah,
Selamat hari raya Aidilfitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Semoga ketibaan hari kemenangan ini dapat disambut dengan sebaiknya mengikut apa yang telah diajar oleh Islam dengan sama-sama menghiasi kemuliaan hari raya dengan ibadat dan menjauhi maksiat. Sebulan penuh Ramadhan kita sama-sama mendidik nafsu agar tunduk patuh kepada Allah sehingga kita pada hari ini insya Allah dibersihkan oleh Allah daripada kotoran dan najis dosa. Adakah bijak jika kita kembali mengotori diri kita dengan dosa maksiat yang merugikan dengan berlalunya Ramadhan. Tindakan ini seumpama orang yang sudah cuci bersih tetapi bertindak bodoh terjun semula ke dalam lubang najis yang kotor. Adakah cerdik jika sebulan Ramadhan lalu, kita berjaya mengawal nafsu sebaliknya bila datangnya hari raya maka nafsu pula yang mengawal kita ke arah kejahatan. Sikap ini seperti seorang yang telah berjaya menangkap binatang buas tetapi bertindak bahaya dengan kembali melepaskannya untuk menerkam diri sendiri. Adakah hebat setelah berjaya melatih diri dengan memperbanyakkan amal ibadat sepanjang Ramadhan sehingga hati berjaya dijauhkan daripada sifat tercela tetapi bila datangnya hari raya maka amal ibadat semakin kurang sedangkan dosa maksiat semakin bertambah. Perbuatan ini tidak lebih daripada seorang yang baru sembuh daripada penyakit tetapi melakukan suatu perbuatan yang kurang waras dengan bertindak memakan racun untuk kembali sakit. Akhirnya Aidil Fitri dijadikan hari memuja nafsu syahwat sehingga laungan tahmid, tasbih dan takbir dianggap sebagai lagu hari raya bukannya suatu perkara yang mesti dihayati bersama dalam mendekatkan diri kepada Allah.
اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ
Sempena menyambut Eidil Fitri ini, marilah kita sama-sama muhasabah menghitung diri bagaimana hasil tarbiah Ramadhan yang baru lalu samada berjaya melahirkan kita sebagai umat bertaqwa atau sebaliknya. Berjayakah kita memilki 4 ciri utama taqwa sebagaimana yang pernah disebut oleh Sayyidina Ali Karramallahu wajhah :
التَّقْوَى هُوَ الخَوْفُ مِنَ الجَلِيْلِ وَالرِّضَا بِالقَلِيْلِ وَالعَمَلُ بِالتَّنْزِيْلِ وَالاسْتِعْدَادِ لِيَوْمِ الرَّحِيْلِ
Maksudnya : Taqwa ialah : [1] takut kepada Allah dalam setiap perkara, [2] sentiasa redha dengan pemberian Allah walau pun sedikit, [3] sentiasa melaksanakan sistem Islam sebagaimana yang diturunkan dalam al-Quran [4] dan sentiasa bersedia dengan bekalan terbaik bagi menghadapi kehidupan akhirat yang kekal abadi.
Sekiranya ramai umat Islam bukan sahaja berjaya puasa perut malah kaki, tangan, mata, mulut, telinga, kemaluan dan hati dengan melakukan suruhan Allah disamping menjauhi tegahanNya nescaya masalah kerosakan aqidah dan akhlak di kalangan umat Islam sendiri dapat dibendung. Jika musuh Islam cuba sedaya mungkin dalam merosakkan umat Islam terutama generasi muda selaku pelapis kepimpinan negara maka kita wajib menyelamatkan generasi muda ini dengan agama. Kita wajib kembali memperkasakan tugas ibubapa dalam mendidik anak-anak agar tunduk pada ajaran Islam sehingga dapat diselamatkan daripada tarikan yahudi, Kristian, Majusi dan ajaran sesat yang lain. Jika ibubapa hanya setakat beri makan minum sahaja kepada anak-anak maka seganas-ganas harimau di hutan pun tahu memberi makan kepada anaknya. Kita mahu anak-anak kita lulus dalam peperiksaan di dunia, lulus peperiksaan di alam kubur dan seterusnya lulus peperiksaan di padang mahsyar nanti.
Suatu kajian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperakui peranan agama dalam menangani masalah sosial apabila statistik menunjukkan pelajar agama dan keluarga yang faham serta amal agama lebih rendah terlibat dengan masalah sosial berbanding pelajar yang tidak belajar agama dan keluarga yang jahil agama. Oleh itu marilah kita sama-sama meningkatkan kefahaman agama dan mengamalkannya dalam kehidupan barulah kita selamat di dunia dan akhirat. Ingatlah suatu amaran Allah dalam ayat 59 surah Maryam :
Maksudnya : Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang jelek) yang menyia-nyiakan shalat dan memperturutkan hawa nafsunya, Maka mereka kelak akan menemui kesesatan,
Muslimin Muslimat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 6 surah Luqman :
Maksudnya : Dan ada di antara manusia, orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan yang menyesatkan dirinya dan orang ramai daripada agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang ilmu pengetahuan. Dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai bahan ejekan. Merekalah merupakan orang-orang yang akan menerima azab yang menghinakan.
Didikan Ramadhan juga mengasuh diri kita untuk rapat dengan al-Quran serta menyemarakkan lagi jihad dalam melaksanakan seluruh sistem al-Quran. Kita begitu bimbang akibat ada pemimpin negara, pemimpin negeri dan masyarakat, menteri-menteri dan mereka yang mempermainkan agama memperlekeh-lekeh hukum Allah sehingga menyebabkan turunnya bala daripada Allah dengan semakin dahsyat sehingga rakyat semakin tertekan akibat kos hidup semakin tinggi dan suasana sekitar semakin tidak selamat. Kenyataan seperti hukum Islam supaya potong tangan terhadap pencuri tidak menjamin kurangnya kecurian sebaliknya ia boleh diselesaikan dengan usaha kerajaan menyediakan banyak pekerjaan terhadap rakyat di mana rakyat yang mempunyai pekerjaan tidak lagi mencuri, tidak salah membuka aurat semasa bersukan kerana penonton tidak melihat kepada badan atlit sebaliknya melihat kepada permainan mereka, tidak perlu campur adukkan antara agama dan budaya atas alasan di Mesir pun tidak difatwa tentang haramnya tarian gelek dan sebagainya. Ini menunjukkan penghinaan melampau terhadap al-Quran, mempertikaikan Allah sebagai pembuat hukum serta memperlekehkan kerasulan Nabi Muhammad saw.
Muslimin Muslimat yang berbahagia,
Didikan Ramadhan juga mengasuh diri kita untuk rapat dengan al-Quran serta menyemarakkan lagi jihad dalam melaksanakan seluruh perintah al-Quran. Ketika ada pihak yang bergerak secara terancang untuk menguburkan Mahkamah Syariah , ada usaha dalam memurtadkan kakitangan terutama pramugari MAS disamping penjelasan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berpendapat bahawa proses perundangan perlu berjalan terlebih dahulu sebelum dibuat lafaz sumpah laknat (muhabalah) seperti yang berlaku baru-baru ini dalam tuduhan liwat turut menambah keyakinan kepada kita semua bahawa sudah tiba masanya untuk kita kembali melaksanakan perundangan Islam agar maruah Islam dan umatnya terjaga.
Hari ini semua pihak termasuk orang bukan Islam mengakui bahawa sekiranya seseorang itu kuat beribadat dan menjalankan kewajipan agama serta bergerak suburnya amar makruf dan nahi mungkar dalam masyarakat maka kes jenayah dapat disekat dan suasana kembali aman tidak sebagaimana hari ini di mana pelbagai jenayah seperti pembunuhan, rompakan, culik, rogol, dadah, rasuah, pecah amanah terus meningkat. Rasuah misalnya menyebabkan negara kita mengalami kerugian sebanyak RM 100 billion sejak tahun 80-an disamping menggugat keamanan negara. Malangnya ketika rakyat perlu kepada agama tiba-tiba pemimpin terus bertindak jahat dalam memerangi pengajian agama termasuk membatalkan kerjasama antara kolej dalam negara dengan Universiti Al-Azhar yang berjalan baik sebelum ini sehingga mengorbankan nasib ribuan pelajar Islam. Mengapa takut kepada pelajar agama sedangkan pemimpin sentiasa melaungkan modal insan. Mahu hasil tetapi tidak mahu benihnya disemai, hendak buah tetapi melarang pokoknya daripada tumbuh subur.
Sebuah syair arab ada menyebut: Demi umur kamu, dunia atau negeri tidak akan sempit dengan ramai penduduknya tetapi dunia atau negeri menjadi sempit akibat perangai buruk penduduknya.
اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ
Setiap penyakit biasanya ada puncanya. Antara punca penyakit kerosakan aqidan dan penyakit sosial ini adalah sikap jahil dan jauh daripada ajaran Islam ditambah lagi dengan pintu-pintu ke arah kerosakan ini dibuka luas oleh pemerintah/kerajaan hasil pendedahan konsert hiburan melampau, pergaulan bebas, arak, disko serta program yang merosakkan daripada media cetak dan elektronik. Rancangan tv sendiri disifatkan ‘sampah’ di mana sampah inilah yang sedang meracuni pemikiran dan kelakuan ganas anak-anak sehingga mengenepikan agama.
Setelah 51 tahun merdeka, rakyat bukan semakin bebas daripada budaya barat malah terus dijajah oleh pemikiran dan cara kehidupan penjajah. Malah undang-undang warisan British yang disifatkan sebagai ketinggalan zaman turut menjadi antara punca kepada kegagalan dalam membina insan yang mulia. Jika para ulama’ dan pejuang kemerdekaan berjaya menghalau keluar tubuh penjajah maka kita pada hari ini sebagai umat yang cintakan keamanan dan kebahagian wajib menghalau keluar sistem penjajah dengan kembali melaksanakan seluruh sistem Islam dalam negara. Berpeganglah dengan Islam nescaya kita selamat di dunia dan akhirat.
Saudaraku SeIslam Yang Dimuliakan,
Semuanya ini tidak mampu dilaksanakan oleh pemimpin yang jahil dan tidak berminat kepada sistem Islam. Ingatlah bahawa pemimpin yang wajib kita pilih ialah orang yang mampu bukan setakat membina jambatan di dunia tetapi yang paling penting mampu membawa kita untuk selamat ketika meniti titian siratal mustaqim di akhirat nanti. Imam al-Ghazali ada berpesan bahawa sebodoh-bodoh manusia ialah sesiapa yang menjual akhiratnya dengan dunia orang lain iaitu dia sendiri tidaklah kalut dengan dunia tetapi sentiasa mempertahankan orang yang gila dunia.
Kita sentiasa berdoa kepada Allah agar negara kita dipimpin oleh orang yang bertaqwa yang sentiasa bersungguh dalam meruntuhkan sistem jahiliah dan mendirikan sistem Islam atas keruntuhan itu, berusaha menegakkan keadilan dengan Islam, menjaga maruah Islam dan umatnya tanpa menafikan hak orang bukan Islam. Sempena berada pada hari yang mulia ini juga kita buat sekian kalinya mengutuk tindakan kejam menahan rakyat di bawah ISA dengan apa jua alasan sekali pun. Takutlah pada amaran Allah melalui ayat 58 surah Al-Ahzab :
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (menyeksa) mukiminin atau mukminat dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan perbuatan atau kesalahan yang dilakukan, maka sesungguhnya mereka itu menanggung pembohongan dan dosa besar yang nyata,”
KHUTBAH KEDUA
ALLAHUAKBAR, ALLAHUAKBAR, ALLAHUAKBAR (6X) WALILLAHILHAM
Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Ankabut :
Maksudnya: “Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. dan Sesungguhnya rumah yang paling lemah adalah rumah labah-labah kalau mereka Mengetahui.”
Muslimin/Muslimat yang dirahmati Allah
Laungan kalimah وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ) ) yang bermaksud : Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab di mana kalimah ini menyemarakkan semangat jihad dan keyakinan bahawa Islam pasti menang walau pun diserang dan dimusuhi.
Sempena menyambut hari raya sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh umat Islam untuk kembali bersatu atas dasar Islam dalam masalah politik, sosial, ekonomi dan sebagainya. Selain usaha membantu saudara seagama yang terlibat dengan peperangan seperti di Iraq, Afghanistan, Palestin, Mindanao Filiphina, Selatan Thailand dan sebagainya maka tidak lupa untuk kita kembali membina kekuatan umat Islam termasuk dalam ekonomi. Kita melihat ekonomi dunia semakin hancur dan negara Islam turut menerima tempiasnya kerana kita menerima pakai sistem Yahudi.
Kita pernah menyaksikan bagaimana pertukaran penggunaan wang dinar emas kepada wang kertas antara penyebab kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki 1924. Sudah tiba masa dan saatnya, sudah sampai detik dan waktunya untuk seluruh negara umat Islam bersatu dalam setiap aspek termasuk ekonomi berlandaskan sistem Islam.
Jangan biarkan kita terus menjadi hamba kepada sistem Yahudi yang menyebabkan kita terus mundur dan terjajah di negara sendiri. Sistem riba tidak akan memajukan kita malah terus meranap dan menghancurkan kita dunia akhirat. Cukuplah seluruh negara Islam dan pelabur Islam bersatu membina kekuatan berasaskan sistem Islam maka yahudi dan para kapitalis penghisap darah akan jatuh tersungkur menyembah bumi. Kita mampu mengubahnya bila kita benar-benar takut kepada Allah lebih daripada takut kepada musuh. Yakin dan berusahalah dalam memartabatkan sistem Islam untuk kebaikan dunia akhirat.
اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ
Selamat hari raya Aidil fitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Banyakkan bersedekah agar mereka yang memerlukan bantuan turut bergembira dan ziarahilah sanak saudara pada hari yang mulia ini bagi merapatkan lagi tali persaudaraan. Rebutlah peluang untuk menambahkan saham akhirat dengan berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w :
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثٌمَّ أَتْبَعَهٌ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ ( رواه مسلم
Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.
WALLAHUA'LAM...
اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ
USTAZ MUHAMAD NAIM BIN HASHIM
25 RAMADHAN 1429/25 SEPTEMBER 2009
#TIADA HAK CIPTA DALAM ISLAM#
Tiada ulasan:
Catat Ulasan