Selasa, 1 Julai 2008

KHATIB DAN KHUTBAH

PENYEDIAAN DAN PENYAMPAIAN KHUTBAH

MUQADDIMAH

Penyediaan dan penyampaian khutbah tidaklah semudah yang difikirkan. Ia bukan sekadar menyampaikan mesej kepada makmum tetapi juga memerlukan mesej tersebut disampaikan dengan cara yang teratur, menarik dan berkesan. Penyampaian yang berkesan ialah penyampaian yang memberi keyakinan kepada pendengar, dapat mempengaruhi pendengar dan menyebabkan pendengar boleh menerima malah sanggup menurut saranan dan gesaan yang diutarakan. Walaubagaimanapun terdapat berbagai kelemahan yang menjejaskan penyampaian mesej tersebut dalam kebanyakan khutbah pada hari ini. Antara kelemahan yang ketara adalah :

1.Bahasa yang tidak dapat difahami.

•Terlalu banyak membuat kesalahan sebutan.
•Menggunakan perkataan yang tidak tepat dan tidak sesuai.
•Menggunakan istilah yang salah dan mengelirukan.
•Menggunakan bahasa yang terlalu tinggi dan berbelit-belit.
•Menggunakan ungkapan yang tidak betul.
•Menyampaikan mesej dalam bentuk ayat-ayat yang janggal dan salah yang boleh mengelirukan pendengar
•Menggunakan bahasa yang longgar, tidak tepat dan tidak sesuai.
•Menggunakan intonasi yang tidak betul.
•Menggunakan intonasi yang mendatar dan tiada tinggi rendah.
•Teragak-agak dan gagap.

2.Suara yang tidak jelas.

Apabila suatu khutbah di sampaikan dengan suara yang perlahan atau tidak jelas, maka makmum tidak dapat mendengar dengan jelas dan ini boleh menjejaskan minat makmum, lalu membuat tafsiran yang salah terhadap isi khutbah.

3.Gerak-geri yang tidak sesuai.

Gerak badan, tangan dan muka yang tidak sesuai dengan isi dan maksud khutbah mengurangkan kesan baik terhadap makmum yang mendengar.

4.Penampilan yang tidak menarik.

Penampilan yang kurang menarik menyebabkan pendengar hilang minat dan keyakinan terhadap isi khutbah yang disampaikan.

5.Kesihatan yang tidak baik.

Keadaan kesihatan khatib dan makmum yang terganggu boleh menyebabkan tumpuan tidak dapat diberikan sepenuhnya.

6.Persekitaran yang tidak menarik.

Persekitaran yang tidak menarik juga seperti cuaca yang panas dan hingar bingar juga boleh mengganggu keberkesanan khutbah yang disampaikan.

7.Perbezaan Taraf.

Perbezaan taraf hidup, taraf pendidikan dan taraf ekonomi boleh menyebabkan beberapa hal tidak dapat difahami oleh sebahagian makmum. Oleh yang demikian khutbah seboleh mungkin hendaklah menggunakan bahasa yang sederhana agar dapat difahami oleh semua lapisan masyarakat.

8.Masalah Peribadi.

Masalah peribadi seperti sifat panas baran, sensitif, perbezaan fahaman politik dan sebagainya menyebabkan sebahagian isi yang disampaikan tidak dapat diterima walaupun perkara tersebut benar dan bernas. Oleh yang demikian khatib seboleh mungkin perlu meletakkan diri dalam keadaan yang tidak menyebelahi mana-mana pihak secara nyata, isu mesti berdasarkan fakta, semasa, terkini dan bertepatan kehendak al-Quran dan al-Sunnah.

9.Kekurangan isi.

Khutbah yang kekurangan isi akan menyebabkan penyampaian menjadi tidak teratur dan menyebabkan terjadinya khutbah yang `merewang-rewang’. Ini akan menyebabkan pendengar terasa seperti diperbodoh-bodohkan dan menghilangkan rasa hormat dan kepercayaan mereka kepada khatib.

10.Isi yang tidak tersusun.

Walaupun setengah khutbah mempunyai isi yang baik tetapi disebabkan penyusunan isi yang tidak kemas menyebabkan kesukaran bagi pendengar untuk memahaminya.

PENYEDIAAN KHUTBAH YANG BERMUTU.

Terdapat 5 bahagian utama dalam menghasilkan sesuatu khutbah yang baik :

1.Penyediaan bahan atau isi khutbah.

•Mengenalpasti tajuk khutbah.
•Mengenalpasti Objektif khutbah.
•Mengetahui siapa pendengarnya (audience)
•Mengumpul bahan – Al-Quran, Hadis, Kitab, Bahan Penyelidikan, perbincangan, petikan, pendapat orang lain, pendapat sendiri, buku, majalah, akhbar dll.

2.Menyusun isi

Segala isi yang dikumpulkan perlu dianalisis dan disesuaikan dengan pendengar dan objektif khutbah. Isi khutbah perlu diteliti dan disusun dengan rapi bagi menyesuaikannya dengan satu-satu isu disamping menyesuaikannya dengan kebolehan khatib serta pendengar dari berbagai peringkat.

3.Gaya Penyampaian

Gaya persembahan ketika menyampaikan khutbah boleh menambahkan keyakinan pendengar terhadap isi khutbah yang disampaikan. Walaubagaimanapun gaya yang keterlaluan boleh menyebabkan pendengar merasa kurang senang dan menjejaskan tumpuan.

4.Ingatan

Ingatan yang baik sangat penting dalam menyampaikan khutbah. Menyampaikan khutbah dengan membaca teks 100% tidak begitu baik. Komunikasi yang baik memerlukan pertembungan mata yang akan melahirkan ungkapan yang datang dari hati. Dengan terlalu membaca teks maka pertembungan mata dengan pendengar tidak dapat dilakukan.

5.Teknik Penyampaian

Teknik penyampaian berhubung rapat dengan :

•Suara – Tinggi rendah suara, suara mengajuk, suara sedih, suara tegas, suara takut dansebagainya.
•Laju atau perlahan
•Gerak-geri badan, mata, muka dan seumpamanya

PENUTUP
Secara umumnya khutbah yang baik hanya akan berhasil melalui gabungan di antara penyediaan yang baik, penyampaian yang baik dan pendengar yang baik. Oleh yang demikian kerjasama semua pihak amat perlu bagi memastikan setiap khutbah dapat dihayati dengan sebaiknya tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur lain yang tidak berkaitan dengan kehendak Syarak.

SELAMAT MEMBACA DAN BERAMAL

Rujukan:

Artikel Tulisan Encik Kamal Izat Bin Ahmed
(Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Perak)

WASSALAM

MUHAMAD NAIM HASHIM
SELASA 1 JULAI 2008 | 26 JAMADIL AKHIR 1429 HIJRAH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan