Jumaat, 9 Mei 2008

PAHLAWAN ISLAM YANG AGUNG SIRI 4

ABDUL RAHMAN BIN AUF

Sabda Rasulullah s.a.w.

"Abdul Rahman Bin Auf adalah saudagar Tuhan."

Kata Saiyidina Ali r.a.:

"Abdul Rahman Bin Auf adalah manusia terpercaya di langit dan terpercaya di bumi."

SIAPA ABDUL RAHMAN BIN AUF

Abdul Rahman Bin Auf adalah seorang sahabat besar Rasulullah serta seorang pejuang Islam yang berani. Beliau termasuk dalam golongan kaum Muslimin yang mula-mula sekali memeluk Islam. Abdul Rahman juga termasuk dalam golongan sepuluh orang sahabat yang telah digembirakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan dijanjikan akan memasuki syurga.

SIFAT PERIBADINYA

Sebagai seorang sahabat besar, Abdul Rahman telah terkenal sebelum memeluk Islam lagi sebagai seorang yang baik lagi terpuji akhlaknya. Satu lagi sifat yang istimewa yang ada pada diri Abdul Rahman Bin Auf ialah kepandaiannya berniaga. Beliau adalah salah seorang dari beberapa orang sahabat yang terkenal kerana kekayaannya. Abdul Rahman adalah seorang pedagang yang bijak sebelum beliau memeluk Islam dan dari usaha dagangnya itulah beliau telah berjaya menjadi seorang yang kaya. Sekalipun beliau mempunyai banyak harta namun Abdul Rahman tidak sedikit pun lupa kepada Allah s.w.t. serta perintah-perintah Agamanya.

Beliau adalah seorang yang sangat taqwa kepada Allah s.w.t. dan terkenal kerana sifatnya yang lemah lembut dan merendah diri. Sebagaimana Saiyidina Uthman Bin Affan, Abdul Rahman telah berjuang untuk menegakkan Agama Islam bukan sahaja dengan pedangnya bahkan juga dengan harta kekayaannya. Banyak sekali harta benda dan kekayaannya itu digunakan untuk membela Agama Islam dan perjuangan RasulNya.

BAGAIMANA ABDUL RAHMAN MEMELUK ISLAM

Sebagai seorang tokoh yang mula-mula sekali memeluk Islam, Abdul Rahman juga telah mengalami berbagai cubaan dan seksaan setelah beliau memeluk Islam. Salah seorang yang paling kuat menentang sikapnya memeluk Islam itu adalah ibunya sendiri. Setelah mengetahui puteranya itu menjadi pengikut Muhammad, ibu Abdul Rahman telah berusaha keras supaya beliau kembali semula kepada Agama nenek moyangnya. Ibunya pernah berkata kepadanya, "Hai anakku, jika engkau enggan kembali kepada agama nenek moyang-mu, aku akan berjemur di panas matahari di sepanjang hari dan membiarkan diriku kesejukan di sepanjang malam hari-nya hinggalah engkau meninggalkan agarna Muhammad itu."

Demikianlah beratnya ancaman ibu Abdul Rahman terhadap dirinya. Walaupun demikian sekelian para sahabat Rasulullah itu bukanlah bernama sahabat kalau tidak teguh imannya. Dan Abdul Rahman Bin Auf adalah salah seorang dari mereka. Beliau tetap berpegang teguh kepada Agama barunya tanpa memikirkan apa yang akan terjadi. Apabila pihak musyrikin Quraisy semakin hebat melakukan berbagai cubaan dan seksaan terhadap kaum Muslimin yang amat sedikit jumlahnya itu Rasulullah akhirnya telah menasihatkan para sahabat dan pengikutnya agar berhijrah ke negeri Abyssinia (Habsyah).

Dengan demikian dapatlah mereka itu menjalani Agama barunya dengan aman serta selamat dari ancaman puak musyrikin. Lagi pula Raja yang memerintah di negeri Abyssinia itu adalah seorang raja yang adil dan takwa walaupun dia beragama Nasrani. Abdul Rahman Bin Auf adalah seorang antara beberapa orang sahabat yang menyertai rombongan kaum Muslimin yang berhijrah itu.

ABDUL RAHMAN BERHIJRAH KE MADINAH

Setelah beberapa lamanya berada di Abyssinia, Abdul Rahman Bin Auf telah kembali semula ke tanah Makkah setelah beliau mengetahui semakin ramai orang-orang Quraisy telah memeluk Islam. Apa lagi setelah Islamnya Saiyidina Hamzah dan Saiyidina Umar Al Khattab, kaum Muslimin berasa semakin aman dan tenteram. Setelah Rasulullah s.a.w. melakukan hijrah ke Madinah Abdul Rahman Bin Auf telah mengikuti Baginda dalam rombongan yang berhijrah kemu-diannya.

Tatkala sampai di Madinah, Rasulullah s.a.w. telah mem-persaudarakan Abdul Rahman Bin Auf dengan Saad Bin Rabi’. Demikianlah bijaknya Rasulullah s.a.w. memimpin umatnya dengan menganjurkan persaudaraan antara dua golongan umat Islam ketika itu, iaitu golongan Muhajirin dan Ansar. Pada satu waktu Saad Bin Rabi’ dengan ikhlas berkata kepada Abdul Rahman, "Saudara, saya ada harta yang banyak dan saya ingin beri setengah dari harta saya itu kepada saudara jika saudara menghendakinya. Saya juga ada dua orang isteri dan sedia menceraikan salah seorang daripadanya sekiranya saudara inginkan salah seorang antaranya."

Demikianlah gambaran kasih sayang seorang Muslim terhadap saudaranya yang lain, meskipun antara mereka ha-nya terdapat persamaan keyakinan tidak persamaan darah keturunan. Mendengar kata-kata saudaranya yang penuh ikhlas itu Abdul Rahman menjawab, "Semoga Allah memberkati keluarga dan harta saudara. Sungguh saya tidak berhajatkan kepada semuanya. Apa yang saya harapkan dari saudara hanya satu perkara sahaja." "Katakanlah!" sahut Saad Bin Rabi’ itu. Maka kata Abdul Rahman, "Tunjukkanlah saya jalan menuju ke pasar."

Setelah itu Abdul Rahman pun pergilah ke pasar dengan membawa sedikit wang dan barang dagangannya. Setibanya di pasar beliau pun berjual-beli. Dalam sekejap masa sahaja beliau telah peroleh keuntungan yang banyak. Demikian satu peristiwa yang menunjukkan bagaimana bijaknya Abdul Rahman dalam hal berjual beli.

ABDUL RAHMAN SEORANG YANG PEMURAH

Abdul Rahman Bin Auf adalah tergolong salah seorang sahabat besar Rasulullah s.a.w. yang amat pemurah sekali. Banyak sekali harta dan kekayaannya itu dipergunakan untuk membela Agama Islam. Beliau telah menggunakan harta dan kekayaannya untuk membantu saudara-saudaranya, para sahabat serta menanggung perbelanjaan angkatan Islam yang akan pergi berperang. Pernah pada suatu hari beliau mendengar Rasulullah bersabda kepadanya, "Wahai Abdul Rahman, engkau termasuk seorang kaya yang akan masuk ke syurga dengan cara merangkak. Maka itu hutangkanlah harta kekayaanmu kepada Allah supaya engkau akan memasuki syurga dengan dua kakimu."

Setelah peristiwa itu Abdul Rahman semakin banyak mengorbankan harta bendanya di jalan Allah sekalipun dengan demikian hartanya tidak berkurang. Allah s.w.t. telah menambahkan lagi rezeki dan harta kekayaannya itu hingga melimpah-limpah banyaknya. Abdul Rahman pernah menjual tanah kepunyaannya dengan harga 40,000 dinar lalu wang itu semuanya dibahagi-bahagikan kepada kaum keluarganya dari Bani Zuhrah, para isteri Rasulullah serta kaum fakir dan miskin di kalangan kaum Muslimin. Beliau juga pernah mendermakan 500 ekor kuda dan pada satu waktu lain pula mendermakan 1500 kenderaan bagi tujuan membela Agama Allah.

Sungguhpun beliau seorang kaya dan dermawan, Abdul Rahman adalah seorang yang sangat takut kepada Allah dan sangat warak sifatnya. Beliau tidak mahu menjual akhiratnya untuk mendapatkan kesenangan dunia yang buat sementara. Beliau lebih rela mengorbankan seluruh kekayaannya asalkan mendapat keredaan Allah daripada memperoleh kesenangan tetapi dimurkai Allah s.w.t. Beliau biasa makan bersama-sama dengan pelayannya dan selalu memberikan makanan yang lazat-lazat kepada fakir miskin untuk menggembirakan mereka. Pernah suatu ketika Abdul Rahman telah menjamu para sahabatnya sambil menangis, lalu mereka pun bertanyakan-nya, "Mengapa engkau menangis wahai Ibnu Auf?" Beliau menjawab, "Aku sebenarnya rasa sedih mengingatkan hidup Rasul. Baginda dan keluarganya tidak pernah berasa kenyang bila makan.

Dalam satu lagi peristiwa yang diriwayatkan orang bahawa Abdul Rahman Bin Auf telah menangis tersedu-sedu lalu beliau ditanyai orang, apa yang menyebabkan beliau menangis itu. Maka jawabnya, "Sesungguhnya Mus'ab Bin Umair adalah lebih beruntung dariku kerana beliau wafat di zaman Rasul, dan sewaktu wafatnya beliau tidak mempunyai sepotong kain yang dapat dijadikan kafan untuk membungkus jenazahnya. Hamzah Bin Abdul Muttalib juga lebih utama dariku padalah beliau tidak mempunyai kain yang dapat dijadikan kafan untuk memakamkannya. Aku khuatir aku ini termasuk dalam golongan kaum yang dipercepat untuk me-nikmati kesenangan dunia yang fana ini. Aku khuatir kerana itu nanti aku akan tersisih dari golongan para sahabat Rasu-lullah di Hari Akhirat kelak semata-mata kerana aku punya wang yang banyak."

Pernah juga pada suatu hari Abdul Rahman Bin Auf datang kepada ibunya lalu berkata, "Wahai ibu yang tercinta, aku sangat berasa takut sekali kalau-kalau aku akan terseksa nanti disebabkan kekayaanku yang melimpah-limpah ini. Aku termasuk seorang Quraisy yang terkaya." Ibunya lalu menja-wab, "Wahai puteraku, belanjakanlah kekayaanmu di jalan Allah kerana ibu pernah mendengar Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya sebahagian dari sahabatku ada yang tidak akan melihat ku lagi setelah aku berpisah dengannya."

Demikian takwanya sifat Abdul Rahman Bin Auf terhadap s.w.t. Sekalipun beliau telah banyak mengorbankan harta kekayaannya itu beliau tidak dapat memasuki syurga dengan mudah. Semenjak pertemuannya dengan ibunya itu Abdul Rahman semakin banyak lagi mengorbankan harta kekayaannya untuk menegakkan kemuliaan Agama Islam. Sungguh beliau adalah seorang hartawan yang luarbiasa pemurah serta benar-benar bertakwa kepada Allah.

RASULULLAH SANGAT MENCINTAI ABDUL RAHMAN

Sebagai seorang tokoh sahabat besar, Abdul Rahman sangat dihormati dan dicintai oleh Rasulullah s.a.w Beliau juga amat dihormati oleh para sahabat serta kaum Muslimin zamannya disebabkan berbagai sifat terpuji yang ada pada dirinya seperti rendah diri, lemah lembut, dermawan dan takwanya kepada Allah s.w.t Abdul Rahman Bin Auf juga tergo-long salah seorang antara sepuluh orang sahabat yang telah dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w. akan masuk syurga. Ini menunjukkan betapa tingginya darjat keimanan yang dimiliki oleh Abdul Rahman Bin Auf.

Riwayat banyak sekali mengisahkan bahawa Rasulullah s.a.w. sangat percaya sekali terhadap diri beliau. Pernah suatu ketika Rasulullah s.a.w. telah bersembahyang di belakang Abdul Rahman Bin Auf satu rakaat sembahyang subuh dalam salah satu perjalanan Baginda. Pada suatu ketika Rasulullah s.a.w. pula telah bersabda, "Sesungguhnya mereka yang memelihara keluarga saya setelah saya meninggal dunia adalah manusia yang benar dan berakhlak baik."

Abdul Rahman Bin Auf termasuk dalam salah seorang para sahabat yang sangat ambil berat tentang kesejahteraan hidup keluarga Rasulullah setelah Baginda wafat. Abdul Rahman pernah memimpin satu rombongan haji di mana di dalam rombongan itu terdapat Ummul Mukminin ‘Aisyah sendiri.

ABDUL RAHMAN BIN AUF SEBAGAIPAHLAWAN

Walaupun dari segi kehandalan dan kegagahan berperang, Abdul Rahman tidak semasyhur Saiyidina Ali atau Khalid Bin Walid. Namun beliau telah menunjukkan sifatnya sebagai seorang pahlawan Islam yang tidak takut mati dalam berperang di jalan Allah. Seperti kebanyakan para sahabat yang lain beliau tidak pernah ketinggalan menyertai peperangan-peperangan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Pemah dalam suatu peperangan yang disertainya itu Abdul Rahman telah mendapat sebanyak 21 luka di merata tubuh badannya. Ini tidak pula termasuk luka parah di bahagian kakinya. Demikianlah antara lain jasa-jasa mulia yang telah dilakukannya untuk menegakkan Agama Allah.

ABDUL RAHMAN BIN AUF DISAYANGI UMAR AL KHATTAB

Salah seorang para sahabat Rasulullah s.a.w. yang sangat menghormati dan menyayangi Abdul Rahman Bin Auf ialah Saiyidina Umar Al Khattab. Tatkala beliau menjadi Khalifah Islam yang kedua Saiyidina Umar kerap meminta pendapat dan bantuan dari Abdul Rahman bila menghadapi sesuatu masalah.

Bahkan sebelum wafatnya, Khalifah Umar Al-Khattab juga telah melantik Abdul Rahman Bin Auf sebagai salah seorang dari enam orang ahli mesyuarat yang diamanahkan untuk memilih bakal pengganti khalifah. Bahkan kepadanya juga Khalifah Umar telah menyerahkan tugas supaya meng-uruskan pemilihan Khalifah untuk menggantikan Baginda kelak. Setelah kewafatan Saiyidina Umar Al-Khattab, Abdul Rahman Bin Auf telah melaksanakan amanat itu dengan penuh rasa tanggungjawab hingga terpilihnya Saiyidina Uthman Bin Affan sebagai Khalifah yang ketiga bagi umat Islam.

ABDUL RAHMAN BIN AUF WAFAT

Tokoh sahabat yang agung ini telah wafat pada tahun 31 Hijrah tatkala berusia 74 tahun dan dikebumikan diperkuburan Baqi’. Sebelum wafatnya Ummul Mukminin ‘Aisyah telah menawarkannya agar kuburannya ditempatkan di sisi kuburan Rasulullah, Abu Bakar dan Umar. Jika beliau meng-inginkannya. Tetapi dengan suara yang merendah Abdul Rahman menjawab bahawa beliau malu jika diberi kedudukan yang sedemikian tinggi untuk dikuburkan di samping Rasulullah s.a.w. Dan beliau juga menyatakan bahawa dirinya telah terikat janji dengan Uthman Bin Mazy'un bahawa jika salah seorang di antara keduanya telah meninggal lebih dahulu maka beliau akan berkubur di samping kuburan sahabatnya yang lain.

Demikianlah hebatnya akhir kehidupan tokoh Islam yang agung dan mulia ini.

(Petikan daripada buku SIRI PAHLAWAN-PAHLAWAN ISLAM oleh H. LUQMAN HAKIM)

MUHAMAD NAIM BIN HASHIM
9 MEI 2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan