Rabu, 21 Mei 2008

BAB IBADAH - SIRI 1

SOAL JAWAB AGAMA

Soalan 1:
Hukum Orang Perempuan Mencukur bulu misai, betis dan tangan.

Apakah yang dimaksudkan dengan al-Namsu (النمص- mencabut bulu), bolehkah seorang perempuan membuang bulu misai, janggut, bulu peha dan bulu tangan? Memandangkan bulu tersebut jelas dan suaminya tidak menyukai bulu tersebut, apakah hukum perbuatannya.

Jawapan 1:
Majlis Fatwa Arab Saudi

Al-Namsu (mencabut bulu) ialah mencabut bulu kening, perbuatan ini tidak dibenarkan (oleh Syara’) kerana Nabi S.A.W. telah melaknat al-Namisah (النامصة), pencabut bulu kening dan al-Mutanammisah (والمُتَنَمِّصةُ) iaitu orang yang meminta dicabut bulu kening. Orang perempuan harus mencabut/menghilangkan bulu misai, janggut, bulu kaki dan bulu tangan.

Fatwa Lujnah Daimah (5/195)

Soalan 2:
Apakah Orang Yang Murtad Perlu Qadha Puasa dan Solatnya Selepas Bertaubat ?

Jika seseorang muslim murtad dari agamanya dalam tempoh beberapa tahun, kemudian dia kembali kepada Islam. Apakah dia perlu qadha puasa, sembahyang yang ditinggalkannya?

Jawapan 2:
Oleh: al-Syeikh Abdul Aziz Abdillah bin Baz
Jika seorang muslim murtad daripada Islam - na'uzubillahi min zalik - kemudian dia bertaubat, maka dia tidak perlu qadha sembahyang dan puasa yang ditinggalkannya berdasarkan firman ALlah S.W.T.
Maksudnya: "Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu, jika kamu semua berhenti (daripada kekafiran), akan diampunkan untuk kamu apa yang telah lalu."

Sabda Nabi S.A.W.
Maksudnya: "Islam itu menghapuskan (kesalahan-kesalahan) sebelumnya (sebelum memeluk Islam), dan taubat itu menghapuskan (dosa-dosa) yang lalu."
Inilah pandangan ulama yang benar terhadap ayat dan hadith di atas. Selain itu juga para sahabat Nabi S.A.W. tidak menyuruh mereka yang kembali kepada Islam setelah murtad di zaman Abu Bakr R.A. untuk mengqadha solat dan puasa sedangkan mereka (yakni para sahabat) adalah orang yang paling mengetahui tentang agama selepas Nabi S.A.W.


Soalan 3:
Hukum berdiri mendengar lagu kebangsaan

Jawapan 3:
Bismillah, walhamsulillah wassolatu wassalam 'ala rasulillah

Berdiri kerana lagu kebangsaan di dalam negara Islam tidak mengapa, kerana ia merupakan ungkapan dari rasa cinta kepada tanah air tersebut. Demikian juga di negara yang bukan islam, tidak mungkin dihukumkan sebagai haram, kerana ia tidak menunjukkan al-wala' atau persetujuan dengan hukum-hakam negara tersebut, bahkan ia merupakan tanggungjawab rakyat (mana-mana negara) hari ini, ia tidak menunjukkan persetujuan dengan peraturan negara tersebut.

Al-Syeikh Faisol Maulawi yang berupa timbalan pengerusi majlis fatwa dan kajian eropah berkata:

"Jika seorang muslim tinggal di negara yang berhukum dengan hukum bukan Islam, maka dia sudah tentu perlu menghormati syiar-syiar negara tersebut seperti lagu kebangsaan, bendera dan seumpama yang lain. Ini merupakan perkara biasa dan termasuk tanggungjawab rakyat berdasarkan norma-norma hari ini. Ia berbeza dengan al-Muwalah yang diharamkan yang membawa maksud memberi kesetiaan kepada peraturan-peraturannya, atau membawa maksud bersama orang kafir memerangi kaum muslimin. Dalil dalam perkara ini bahawa Rasulullah saw hidup di Makkah sebelum hijrah selama 13 tahun, dengan terdedah kepada berhala-berhala yang merupakan syiar bagi orang-orang kafir. Baginda berpada dengan tidak menyertai ibadah mereka dan mengingkari perbuatan mereka. Maka berdiri kerana lagu kebangsaan tidak membawa maksud mewalah kepada peraturan-peraturannya, sebaliknya yang wajib ke atas orang muslim ialah berusaha untuk mengubah peraturan-peraturan tersebut (yang bukan islami) dengan cara dakwah, dan tidak boleh bagi seorang muslim taat kepada mana-mana peraturan jika ia berupa maksiat.

Syeikh 'Atiah Saqr (Salah seorang pembesar ulama Mesir)berkata:

Menghormati bendera dengan bernasyid atau memberi isyarat dengan tangan di tempat tertentu, sebagai menyatakan kesetiaan kepada tanah air, dan mematuhi kepimpinannya dan memberi perhatian untuk memeliharanya, tidak termasuk di dalam ertikata ibadah kepadanya, tidak ada padanya solah dan zikir sehingga boleh dikatakan perbuatan itu sebagai bid'ah atau mendekatkan diri kepada selain Allah.

Soalan 4:
Siapakah orang/golongan yang memulakan sambutan mauled nabi?

Jawapan 4:
Oleh:Dr. Abdullah bin Umar al-Damijiy (Universiti Umm al-Qura Makkah)

Yang mula-mula sekali memulakan sambutan Maulid al-Nabawi ialah al-‘Ubaidiyyuh dari keturunan ‘Ubaid al-Qaddah yang digelar sebagai al-Fatimiyyun,[1] pada awal kurun ke-4 Hijrah. Perkara ini dinyatakan oleh al-Maqriziy di dalam al-Khattat (1/490) dan Abu al-‘Abbas al-Qalqasyandi di dalam Subhu al-A’sya fi Syina’ah al-Insya’ (3/498-499) dan dari kalangan ulama kemudian yang menyatakan perkara yang sama ialah mufti Mesir al-‘Allamah Muhammad Bakhit al-Muti’iy demikian juga al-Syeikh ‘Ali Mahfuz dan al-Sayyid ‘Aliy Fikriy dan selain mereka dari kalangan ulama Islam. Terdapat 6 sambutan maulid yang direka cipta oleh al-Fatimiyyin ini, Maulid Nabi saw, Maulid ‘Ali bin Abi Tolib, Maulid Fatimah binti Rasulullah, Maulid dua orang cucu Nabi saw al-Hasan dan al-Husain, dan Maulid al-Khalifah al-Hadir. Semua maulid-maulid ini adalah hasil pengaruh Tasyayyu’ (pengaruh Syiah). Kemudian perayaan ini telah dihapuskan oleh al-Afdhal bin Amir al-Juyush kemudian dihidupkan semula ketika khilafah al-Hakim bi Amrillah pada tahun 524 H, setelah umat islam hampir melupakannya. Mula-mula yang menzahirkannya ialah di Arbel, oleh al-Muzaffar Abu Sa’ied pada kurun ke-7, kemudian perayaan ini berterusan hingga ke hari ini di kebanyakan tempat. (http://www.islamtoday.net)


[1] Mereka ialah Syiah Rafidhah dari penganut mazhab al-Isma’iliy al-‘Ubaidiy. Pengasas mazhab ini ialah Abdullah bin Maimun bin Di’aan al-Qaddah


Soalan 5:
Hukum Puasa pada hari Maulid Nabi?

Apakah hukum kebiasaan manusia yang berpuasa pada hari 12 Rabi’ulawwal kerana beranggapan hari tersebut ialah hari kelahiran Nabi saw?

Jawapan 5:
Fatwa al-Qaradhawi:

Termasuk puasa yang diharamkan, ialah apa yang dicipta oleh manusia berdasarkan hawa nafsu mereka yang tidak pernah disyariatkan oleh Allah dan dan rasulNya, dan tidak juga diamalkan oleh para khulafa’ Nabi saw, tidak ada juga seorangpun dari para imam yang menyeru untuk menunggalkan puasa pada hari ke-12 dalam bulan Rabi’ulawwal dengan dakwaan ianya adalah hari kelahiran Nabi saw yang sepatutnya kita terjemahkan cinta kita kepada baginda dengan berpuasa.

Kita mencintai Rasulullah saw, dan kita berkeyakinan bahawasanya mencintai Nabi saw adalah satu juzuk daripada iman, dimana seseorang tidak akan dapat merasai kemanisan iman yang sebenar selamamana dia tidak menjadikan Allah dan Rasul lebih dicintainya daripada yang lain. Bahkan mesti seseorang mencintai baginda berbanding bapa dan anaknya dan manusia keseluruhannya.

Akan tetapi yang terbesar penzahiran kita kepada baginda (sepatutnya) ialah dengan mengikut sunnah baginda dan kita membesarkan syariat yang baginda bawa, kita mematuhi baginda dalam setiap arahan dan tegahan baginda, dan kita tidak mengadakan syariat baru di dalam agama kita yang merupakan perkara yang tidak diizinkan oleh Allah ta’ala.

Puasa pada hari kelahiran Nabi saw tidak disyariatkan kepada kita, tidak ada dari satu hadith yang sahih mahupun dhoief, tidak ada seorangpun dari generasi salaf yang mendakwa perkara tersebut, mereka juga tidak pernah melakukannya. Semoga Allah merahmati orang yang mengungkapkan kalimah:
Maksudnya: “Setiap kebaikan itu ada pada mengikut salaf dan setiap keburukan itu ada pada rekaan orang kemudian.”

Disamping itu penetapan hari 12 Rabi’ulawwal sebagai hari kelahiran Nabi saw tidak berdasarkan bukti yang sebenarnya walaupun ia tersebar dikalangan umat Islam. Disana adanya pendapat yang mengatakan kelahiran Nabi saw pada hari ke-9 (Rabi’ulawwal), ada pula yang berpendapa pada tarikh yang lain. Kalaulah perkara ini (hari kelahiran Nabi saw) suatu yang sangat penting yang mempengaruhi hukum syarak, pastilah umat Islam (dahulu) akan memastikannya, dan mereka akan menyebarkannya sepertimana mereka memastikan perkara lain yang terdiri daripada amalan-amalan dan hukum-hakam. (sumber:islamonline.net)

Soalan 6:
Hukum Puasa Pada 12 Rabi’ al-Awwal

Apakah hari yang kita (disunatkan) puasa bersempena dengan maulid Nabi saw, jika hari itu bersamaan dengan hari Jumaat, apakah kita boleh berpuasa?

Jawapan 6:
Oleh: al-Syeikh ‘Atiyyah Saqr, (Bekas) Ketua Lembaga Fatwa al-Azhar.

Puasa sunat digalakkan dan tidak dikhususkan pada masa atau di tempat tertentu, selamamana tidak dilakukan pada hari yang diharamkan berpuasa seperti pada 2 hari raya, hari-hari Tasri’, hari Syak (berdasarkan perbezaan pendapat ulama tentangnya), dan yang dimakruhkan berpuasa seperti menunggalkan puasa pada hari jumaat dan sabtu.

Manakala hari yang digalakkan puasa ialah seperti hari-hari dalam bulan al-Muharram, dan dalam bulan-bulan yang haram, hari ‘Arafah, ‘Asyura, hari Isnin dan Khamis, tiga hari putih dalam setiap bulan iaitu 13, 14 dan 15 haribulan, 6 hari dalam bulan Syawal, kebanyakan hari dalam bulan Syaban seperti yang dilakukan oleh Nabi saw.

Akan tetapi tidak ada pada hari-hari yang disunatkan puasa ini, hari (yang dianggap) kelahiran Nabi saw yang telah menjadi kebiasaan manusia menyambutnya pada 12 Rabiulawwal, padanya tidak disunatkan puasa, ini disebabkan dua perkara:

1. Hari 12 Rabiulawwal itu tidak disepakati yang ianya adalah hari kelahiran Nabi saw. Kerana ada juga yang berpendapat baginda dilahirkan pada hari ke-9 bulan Rabiulawwal, ada juga yang berpendapat selainnya.

2. (Jika ia pada hari jumaat) Ia jatuh pada hari yang dimakruhkan menunggalkannya dengan berpuasa iaitulah hari Jumaat. Sahih di dalam al-Bukhari dan Muslim, adanya larangan melakukannya berdasarkan sabda Nabi saw: “Jangan seseorang kamu berpuasa pada hari Jumaat melainkan dia berpuasa sehari sebelum atau selepasnya juga.”

Kesimpulan: Hari 12 Rabiulawwal tidak ada padanya satu ibadah khusus bersempena dengan kelahiran Nabi saw, puasa pada hari ini tidak sebarang kelebihan yang lain berbanding puasa pada hari yang lain. Asas ibadah adalah mengikut Nabi saw, mencintai Nabi saw adalah dengan mengikut apa yang baginda datangkan seperti hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim: “Sesiapa yang membenci sunnah ku, maka dia bukan daripada ku.” Juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Ya’la dengan sanad yang Hasan: “Sesiapa yang mencintaiku, maka hendaklah dia bersunnah dengan sunnahku.”

Wallahu a’lam.
(sumber fatwa: http://www.islamonline.net/)

Soalan 7:
Hukum Berdemonstrasi

Kami mengharapkan dari tuan penjelasan tentang hukum demonstrasi yang bertujuan memberi sokongan kepada saudara kita yang lemah sama ada di Palestin atau di tempat lain.

Jawapan 7:
Oleh:al-Syeikh Salman al-'Audah (Musyrif al-'Am Laman islamtoday.net)

Kami melihat tidak mengapa umat Islam berhimpun untuk menyatakan protes mereka terhadap penderitaan saudara mereka di Palestin, dalam bentuk domentrasi itu aman dan jauh daripada menimbulkan gangguan dan menyusahkan penduduk atau merencatkan kerja-kerja mereka. Tidak ada di dalamnya perbuatan mungkar yang diharamkan oleh ALlah semampu mungkin. Ini adalah satu bentuk membantu saudara-saudara kamu, ia dapat memberi impak kepada Yahudi, dan kepada sekutu-sekutunya di setiap tempat. Impaknya juga dapat menyampaikan massage Islam ke masyarakat barat yang akal mereka sentiasa didominasi oleh Yahudi yang menyampaikan massage yang tidak benar kepada mereka. Asal dalam perkara-perkara seumpama ini (demonstrasi) adalah harus, dan tidak memerlukan dalil yang khusus (untuk membenarkannya). Sesungguhnya terdapat di dalam sirah, yang mana umat Islam keluar dengan dua barisan apabila islamnya Hamzah dan Umar, akan tetapi ianya lemah, akan tetapi memadailah tidak ada dalil yang melarang perkara seumpama ini (demostrasi) atau mengharamkannya, sebaliknya (domenstrasi itu) dilarang jika ianya akan membawa kepada kemudharatan, kerosakan dan kefasadan.

Soalan 8:
Hukum Melewatkan Haji bagi yang berkemampuan

Jawapan 8:
Saringan dari: Majmu' Fatawa wa Maqalaat Mutanawwi'ah oleh Samahah al-Syeikh Abdul 'Azizi Abdullah bin Baz

Sesiapa yang mampu menunaikan haji tetapi tidak melaksanakan haji yang fardhu dan melewatkannya tanpa sebarang keuzuran, maka sesungguhnya dia telah melakukan kemungkaran yang besar dan maksiat yang besar, maka wajib ke atasnya bertaubat kepada Allah swt dari perbuatannya itu dan bersegera melaksanakan haji, kerana Allah swt berfirman:
Maksudnya: "Dan mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang-orang yang sanggup mengadakan perjalannya ke baitullah, barang siapa yang mengingkarinya, maka sesungguhnya ALlah maha kaya dari sekelian alam." (Ali Imran : 97)

Sabda Nabi saw pula:
Maksudnya: "Dibina Islam itu di atas lima perkara: Syahadah tidak ada ilah melainkan Allah dan Muhammad itu rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan dan menunaikan Haji di baitullah." (al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Nabi saw juga ketikamana ditanya oleh Jibril tentang Islam, baginda menjawab:
Maksudnya: "(Islam itu ialah) kamu menyaksikan tidak ada ilah (tuhan yang disembah) melainkan Allah dan Muhammad itu rasulullah, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan dan menunaikan haji di baitullah apabila kamu mampu melakukannya." (Muslim, hadith dari 'Umar ibn al-Khattab).
wallahu a'lam.

Soalan 9:
Tiada Larangan bagi Wanita Haid Menziarahi Orang Yang Sedang Nazak
Apakah hukum wanita yang berhaid hadir menziarahi orang yang sedang nazak. Ini kerana terdapat orang yang mendakwa wanita berhaid tidak boleh menziarahi orang yang sedang nazak?

Jawapan 9:
Berkata al-Ustaz Dr. Husamuddin 'Ifanah:

"Sesungguhnya haid tidak menjadi sebab terlarangnya seorang wanita dari berada di sisi orang yang nazak, dan tidak saya ketahui adanya satu dalil yang melarang, Wanita yang berhaid di sisi ulama hanya terlarang dari solat, puasa, menyentuh dan membaca al-Quran. Tidak juga saya ketahui adanya seorang ulama yang mensyaratkan suci daripada haid untuk menziarahi orang yang nazak. Bagaimana kita boleh melarang wanita dari menziarahi orang yang sedang nazak, dimana kadang-kadang orang yang sedang nazak itu merupakan salah seorang orang tuanya ataupun suaminya atau salah seorang anaknya atau salah seorang saudaranya. Perkataan ini (yang mengatakan wanita haid tidak boleh ziarah orang nazak) tidak benar."

Al-Syeikh 'Atiyah Soqr berkata:

"Tidak diharamkan ke atas orang yang junub melainkan perkara-perkara yang ma'ruf seperti solat, tawaf, membaca al-Quran, menyentuh mashaf, membawanya dan menetap di dalam masjid, apa yang selain ini ianya halal, bukan haram, samaada ianya dari urusan dunia seperti makan, minum atau ianya dari urusan akhirat seperti berzikir, selawat ke atas nabi saw dan doa, walaupun dari sudut afdhalnya perkara-perkara ini tidak dilakukan ketika dalam keadaan junub. Dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh al-Bazzar tentang 3 kumpulan yang malaikat tidak menghampiri mereka: (iaitu) orang yang berjunub, orang yang mabuk, dan orang yang memakai wangian yang dicampur Za'faran yang dikhususkan untuk wanita. Kerana itu dimakruhkan tidur dalam keadaan junub melainkan dia bersuci terlebih dahulu walaupun hanya dengan berwudhu.

Dan seperti yang diketahui, bahawasanya malaikat kadang-kala mengiringi juga sebahagian jenazah orang-orang yang soleh, dan kebersamaan malaikat itu menjadi tanda kepada rahmat dan keredhaan Allah kepadanya, dari sini dimakruhkan bagi orang yang berjunub bersama mengiringi jenazah agar malaikat bersama dalam pengiringan itu sehingga mayat tidak terhalang dari rahmat, terutamanya jika ia dari kalangan orang-orang yang salih. Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya:

Maksudnya: "Sesungguhnya malaikat tidak menghadiri janazah orang kafir dan orang yang memakai za'faran dan orang yang berjunub."

Al-Imam al-Nawawi berkata:
"Harus bagi orang yang berjunub dan haid memandikan mayat tanpa dimakruhkan, akan tetapi telah memakruhkannya al-Hasan dan Ibn Sirin, Malik pula memakruhkan bagi orang yang berjunub. Adapun bukti kami bahawasanya mereka berdua (orang yang junub dan Haid) adalah suci sama seperti yang lainnya."
Wallahu a'lam. (Sumber: http://www.islamonline.net/)

Soalan 10:
Hukum Buka Puasa Qadha Yang Wajib

Jawapan 10:
Siapa yang berbuka puasa dalam bulan Ramadhan, wajib ke atasnya mengqadhakan puasanya itu dan dia tidak boleh dengan sengaja membatalkan qadha puasa wajibnya melainkan jika ada keuzuran yang dibenarkan syara'. Ini berdasarkan hadith dari Umm Hani' r.'anha yang berkata:

"Wahai Rasulullah, aku telah berbuka sedangkan aku tadinya berpuasa? sabda Nabi kepada beliau: Apakah engkau tadi puasa qadha? Jawabnya: Tidak, Sabda Nabi saw: Maka tidak mengapa (tidak memudharatkan kamu) jika puasa itu adalah puasa sunat." (HR Abu Daud- Hadis Sohih)
wallahu a'lam.

Soalan 11:
Hukum Puasa 6 Syawal dan Maksud melaksanakannya berturutan dengan Ramadhan

Jawapan 11:
Oleh: Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Nabi saw memberi galakan menyusuli puasa Ramadhan dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, Abu Ayyub al-Ansori meriwayatkan :
Maksudnya : "Siapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikuti dengan (puasa) 6 hari dalam bulan Syawal, maka seoleh-olah dia berpuasa setahun penuh." (HR Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Yang dimaksudkan dengan al-Dahr ialah al-Sanah yakni seolah-olah dia berpuasa setahun penuh, maka jika sentiasa menunaikannya sepanjang tahun, dia seolah-olah berpuasa seumur hidupnya.

Penerangan ini tardapat di dalam hadith yang lain:
Maksudnya : "Puasa sebulan (Ramadhan) menyamai dengan 10 bulan, dan puasa 6 hari (dalam bulan Syawal) menyamai 2 bulan, maka jadilah puasa itu penuh setahun."

(Persoalan) Apakah dituntut puasa 6 itu disambung terus dengan Ramadhan, dalam ertikata dimulakannya pada hari kedua hari raya ? seperti yang dinytakan dalam lafaz (menyusuli Ramadhan), atau apakah memadai dilakukannya pada bila-bila dalam bulan Syawal, kerana hari-hari dalam bulan Syawal itu semuanya menyusuli/menuruti Ramadhan.

Permasaalan ini para ulama berbeza pendapat, akan tetapi aku (al-Qaradhawi) lebih cenderung kepada pandangan yang kedua, sama juga puasa 6 itu tidak semestinya dilaksanakan berturut-turut (harinya), jika ia dipisah-pisahkan tidak mengapa, insyaallah. (Sumber:Islamonline.net)

Soalan 12:
Bab berkaitan Takbir Hari Raya?

Jawapan 12:
Oleh: Dr. Yusuf al-Qaradhawi-Dari Fatwa Mu'asarah al-Qaradhawi(Takbir Hari Raya)

Takbir hari raya al-Adha terbahagi kepada dua:
Pertama: Takbir al-mutlak harus dari awal Zulhijjah hingga ke hari raya (10 Zulhijjah), dengan bertakbir di jalan-jalan dan dipasar-pasar, di Mina, apabila seseorang bertemu dengan seorang yang lain, mereka membesarkan Allah (dengan bertakbir).


Kedua: Takbir al-Muqayyad ialah takbir selepas solat-solat fardhu, terutamanya bagi solat jamaah sepertimana yang disyaratkan oleh kebanyakan para fuqaha. Demikian juga (dilakukan) ditempat solat hari raya, ketika menuju ketempat solat hari raya, ketika duduk di dalamnya, hendaklah setiap orang bertakbir dan jangan dia duduk mendiamkan diri, sama ada 'Ied al-Fitr atau 'Ied al-Adha, kerana pada hari tersebut sepatutnya di zahirkan syiar-syiar Islam. Dan antara yang lebih jelas syiar-syiar itu adalah dengan bertakbir.

Sabda Nabi saw:
Maksudnya: "Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir." (Riwayat al-Tobrani di dalam al-Soghir dan al-Awsath)

Berdasarkan ini, sewajarnya bagi orang muslim menzahirkan syiar ini pada hari raya, apabila mereka menuju ke tempat solat atau duduk di dalamnya menunggu didirikan solat, hendaklah mereka mengangkat suara-suara mereka bertakbir.

Maka bagi setiap muslim sepatutnya benar-benar mengambil berat tentang takbir ini, supaya dia memenuhkan ruang tempat solat dengan bertakbir dan dia bertakbir pada hari-hari haji kesemuanya. Adapun takbir al-Muqayyad dengan selesai solat-solat fardhu, ia dimulakan selepas solat fajar hari 'Arafah dan berterusan hingga 23 waktu solat, yakni hingga hari keempat hari raya haji, dimana takbir itu diakhiri selepas solat asar pada hari tersebut. (Fatwa Muasarah, juzu 1, m.s. 411-412)

Soalan 13:
Buka Kedai Makan Pada Siang Hari Ramadhan!!

Jawapan 13:
Oleh : al-Syeikh 'Atiyyah Soqr (Mantan Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar)

Puasa Ramadhan adalah termasuk dalam rukun Islam yang terpenting yang dibina di atasnya agama Islam. Termasuk dalam rahmat Allah taala memberi keringanan kepada orang-orang yang uzur untuk membolehkan mereka berbuka selama-mana mereka berada dalam keuzuran, dan mereka perlu menggantikan hari-hari tersebut sepertimana firman Allah swt :

Maksudnya : "Maka sesiapa di kalangan kamu yang menyaksikan anak bulan, maka hendaklah mereka berpuasa, dan sesiapa yang sakit atau bermusafir maka gantilah pada hari-hari yang lain, Allah menghendaki memberi kemudahan kepada kamu semua dan tidak mahu menyusahkan kamu, dan untuk disempurnakan bilangan hari-harinya dan untuk dibesarkan Allah atas apa yang dia hidayahkan kepada kamu semua." (al-Baqarah : 185)

Nabi saw telah memberi peringatan kepada orang yang mengambil mudah dalam melaksanakan kefardhuan ini, baginda bersabda berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Abu Daud, al-Nasaie, Ibn Majah dan Ibn Khuzaimah di dalam sahihnya :

Maksudnya : "Sesiapa yang berbuka satu hari dalam bulan Ramadhan tanpa ada (sebab) keringanan ataupun sakit, dia tidak dapat menggantikannya walau dia berpuasa selama setahun penuh."

Terdapat juga ancaman kepada orang yang menyegerakan berbuka sebelum waktunya sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban di dalam sohih mereka berdua yang menceritakan Nabi saw telah melihat di dalam mimpi - dan mimpi para anbiya adalah kebenaran - satu kaum (di dalam neraka) yang digantung betis-betis mereka, terkoyak di sekeliling mulut mereka dan darah mengalir keluar melaluinya, merekalah orang-orang yang berbuka sebelum waktunya.

Maka orang yang membantu orang yang tidak berpuasa tanpa ada keuzuran, mereka berkongsi dosanya, kerana apa yang membawa kepada perkara haram maka ianya adalah haram sepertimana memberi makanan atau minuman kepada orang yang tidak berpuasa dengan sukarelanya sendiri menunjukkan keredhaannya atas perbuatan tersebut. Maka orang yang redho akan maksiat adalah orang yang berdosa sepertimana yang diperakui oleh para ulama, sepertimana yang dinyatakan di dalam hadith tentang kelaknatan kepada orang yang meminum khamar dan orang yang memberinya minum (khamar), pembelinya, penjual, dan orang yang bersamanya dan orang yang membawa arak kepadanya.

Maka orang yang memiliki kedai menjual makanan atau minuman, kadang-kadang menjualnya bukan untuk membantu orang yang tidak berpuasa, atau termasuk menjualnya pada waktu yang dibenarkan menjualnya, maka tidak ada ruang untuk menghalangnya menjual selama mana dia tidak melihat kemungkaran dilakukan di hadapannya oleh pembeli yang membeli darinya pada siang Ramadhan, dan realiti menuntut memudahkan manusia mendapatkan keperluan mereka, dan dosa itu atas orang yang membeli yang menyalah gunakan apa yang ada di tangan mereka. Adapun orang yang memiliki kedai makan yang menerima orang ramai datang (dalam bulan Ramadhan) untuk makan tengahari mereka atau orang yang memiliki gerai minum (kedai kopi) yang menerima kunjungan pelanggan, jika ia dilakukan disiang hari Ramadhan, dan secara pasti pelanggannya tidak berpuasa tanpa keuzuran, maka tuan kedai itu termasuk orang yang membantu perbuatan yang diharamkan.

Jika untuk memastikan orang yang ada keuzuran dan yang tidak ada keuzuran menjadi suatu yang susah dalam kumpulan yang ramai dan berbagai dan menjadi suatu keuzuran, maka yang lebih utama adalah tidak membukanya di siang Ramadhan, dan pada waktu malam ada ruang yang luas untuk dibuka tanpa sebarang kesalahan.

Disamping itu memudahkan mendapat makanan dan minuman di kedai-kedai makanan pada siang Ramadhan adanya unsur dorongan berbuka dan membawa fitnah kepada masyarakat Islam yang sepatutnya meraikan kehormatan bulan Ramadhan yang mulia, Orang-orang yang bertaqwa kepada tuhannya sepatutnya telah bersedia sebelum Ramadhan lagi, mereka sepatutnya menyibukkan diri di dalam Ramadhan dengan beribadah kepada Allah, disampin pada malam harinya adalah tempoh yang luas untuk (urusan) kehidupan, sesunggunya perkara ini memerlukan kawalan nafsu dan kesedaran tanggungjawab bantu-membantu bersama untuk menghalang kemungkaran dan membantu kebaikan terutamanya dalam bulan Ramadhan yang diberkati dan dimuliakan ini. (Sumber: Islamonline.net)

Soalan 14:
Melihat Allah
Assalamu’alaikum, mintak Ustaz dapat jelaskan perkara di bawah.
Ada seorang ustaz memberitahu kepada saya bahawa hanya nabi dan rasul sahaja yang boleh nampak Allah. Tetapi apabila saya membaca shahih Muslim, di dalamnya ada dinyatakan bahawa nabi saw tidak nampak Allah melainkan cahaya yang amat terang. Saya amat keliru dalam persoalan ini. Mohon ustaz perjelaskan.

Jawapan 14:
Apa yang thabit berdasarkan nas-nas yang sahih dan apa yang disepakati oleh generasi salaf al-soleh bahawasanya TIDAK ADA seorangpun yang dapat melihat Allah swt dengan matanya di dunia. Melainkan ada perbahasan tentang apakah Nabi kita Muhammad saw melihat Allah ataupun tidak pada malam Isra' dan Mi'raj.
Yang lebih benar adalah Nabi saw tidak melihat Allah pada malam tersebut melainkan cahaya sahaja. Inilah yang jelas dinyatakan di dalam hadith-hadith yang sahih. Adapun dalil-dalil yang menunjukkan Nabi saw pernah melihat Allah, sama sekali tidak menjelaskan baginda melihat dengan mata.
Sebahagian para ulama mengatakan semua para sahabat sepakat bahawasanya Nabi saw tidak melihat Allah dengan mata baginda. Adapun yang diriwayatkan tentang Nabi saw melihat Allah dari Ibn 'Abbas, Ibn Mas'ud dan Abu Hurairah, boleh membawa kepada beberapa andaian, sama ada hadith-hadith tersebut tidak thabit, atau melihat yang mereka maksudkan ialah melihat dengan hati bukan dengan mata. Pendapat inilah yang dipilih oleh kebanyakan ulama. Inilah yang dianggap benar oleh al-Imam Uthman Bin Sa'id al-Darimi. Pendapat inilah juga yang dipilih oleh al-Imam Ibn Kathir di awal perkataannya tentang surah al-Najm. Wallahu a'lam.
Sumber:

1. http://www.alhawali.com
2. http://www.islam-qa.com

Soalan 15:
Hadith Pokok Menangis

Mintak Ustaz dapat terangkan cerita tentang pokok yang menangis kerana dia tidak digunakan lagi oleh Nabi saw untuk berkhutbah. Benarkah cerita ini?

Jawapan 15:

Cerita yang saudara maksuddkan terdapat di dalam sebuah hadith yang sahih seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam kitab sahihnya. Ia merupakan antara hadith yang menceritakan tentang mukjizat Nabi saw. Hadith tersebut ialah :

Maksudnya : Jabir bin Abdillah r.a. berkata : "Adalah diperingkan awal masjid Nabi saw dibuat daripada potongan-potongan tamar yang dibuat tiang. Adalah Nabi saw apabila berkhutbah baginda berdiri di atas salah satu potongan tamar yang ada. Apabila dibuat mimbar, Nabi saw berdiri di atas mimbar (tidak lagi berdiri di atas potongan pohon tamar tersebut). Lalu kami mendengar dari potongan pohon tamar tadi suara teriakan seperti suara unta betina yang hampir beranak. Lalu Nabi saw datang kepadanya dan meletakkan tangan baginda di atasnya, lalu iapun senyap."

Di dalam riwayat daripada Abdul Wahid bin Aiman dinyatakan : "Maka potongan pokok tamar itu teriak seperti teriakan budak kecil"

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam islam-online menyatakan riwayat ini adalah riwayat yang mutawatir. Iaitu satu riwayat yang datang dari jalan yang banyak yang memustahilkan untuk berlakunya pembohongan.

Al-'Allamah Taaj al-Dien al-Subki berkata : "Hadith tentang Hanin al-Jaz'ie ini adalah mutawatir, kerana ia datang dari sekumpulan sahabat, yang hampir dua puluh orang yang menceritakannya. Ianya dari jalan sahih yang banyak yang menatijahkan kepastian berlakunya."

Demikianlah juga berkataan al-Qadhi 'Iyadh di dalam al-Syifaa': "Sesungguhnya riwayat ini mutawatir."


Sumber : http://www.islamonline.net


Wallahu a'lam

#SELAMAT BERAMAL UNTUK KEBAHAGIAAN DUNIA DAN AKHIRAT#

MUHAMAD NAIM BIN HASHIM
21 Mei 2008 / 15 Jamadil Awal 1429H 1429

Tiada ulasan:

Catat Ulasan