Selasa, 8 April 2008

JANGAN BEREBUT JAWATAN!!!

Assalamu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Wahai Tuhanku, lapangkan lah dada ku ini, dan permudahkanlah urusan ku, dan huraikanlah kekeluan lidahku supaya mereka memahami kata-kata ku ini.

Hari ini kita sedang melihat satu fenomena dahsyat sedang bergelora di bumi Malaysia. Fenomena yang hangat diperkatakan ini adalah berkaitan berlakunya perebutan jawatan dalam pentadbiran, pergolakan politik yang tidak seimbang, hasad menghasad dalam memperolehi kuasa dan bermacam lagi suasana yang menampakkan manusia sudah lupa bahawa kekuasaan yang mutlak hanyalah MILIK ALLAH S.W.T.

Hal ini terjadi kerana kecetekan mereka dalam persoalan pemerintahan. Kebanyakan manusia merasakan bahawa jawatan, pangkat dan kekuasaan adalah satu tiket untuk menempah dan menggandakan kekayaan dalam kehidupan serta menjadi satu kemuliaan. Sebenarnya semua itu disisi syarak sebagai suatu amanah yang akan dipersoalkan dan juga merupakan suatu ujian yang berat di padang mahsyar kelak.

Oleh yang demikian artikel di bawah ini akan memberi pemahaman kepada kita tugas yang sebenar seorang yang bergelar pemimpin atau pemerintah…

“SESUNGGUHNYA KEBENARAN ITU DARI TUHANMU”

Menurut Islam, menjadi pemerintah ialah untuk mencapai matlamat, bukannya menjadi matlamat. Mewujudkan Negara Islam itu ialah memungkinkan kita melaksanakan perintah Allah dan ini tidak boleh dilakukan secara individu. Menegakkan negara Islam ini terkandung di dalam matlamat melaksanakan perintah Allah SWT yang di gariskan kepada tiga perkara,

1.Matlamat Khulafah.
Iaitu tugas yang maha besar yang diisytiharkan oleh Allah kepada para malaikat. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat. Sesungguhnya Aku akan jadikan di muka bumi itu khalifah."

Para ulama mentakrifkan Khulafah itu sebagai “Mengalang-ganti keNabian di dalam perkara memelihara agama dan mentadbir dunia dengannya (iaitu dengan agama).

Dari takrif tersebut, kita dapati dua unsur terpenting di dalam tujuan kejadian manusia.

.Menjaga agama
.Mentadbir dunia

Menjaga agama dilakukan dengan melaksanakan dua perkara pokok.

a) Menegakkan Islam dengan menyatakan kepada manusia seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA dengan menyatakan apakah Islam yang sebenar kepada seluruh manusia dan membuktikan kebaikan ajaran dan hukum-hukumnya di samping mempertahankan dari musuh.

b) Melaksanakan Islam dengan mengamalkan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya dalam semua urusan. Termasuk juga di dalamnya urusan bermasyarakat dan bernegara. Menyeru dan mengajak manusia kepada melaksanakan perintah agama dan bertindak ke atas sesiapa yang tidak melakukannya, di samping mencegah kemungkaran dan kejahatan dengan kuasa pemerintah.

Mentadbir dunia dengan agama ialah menghayati bahawa urusan dunia itu termasuk juga di dalam urusan agama. Ia mestilah patuh kepada perintah agama. Apa yang dimaksudkan ialah segala urusan negara yang membawa kepada kebaikan dan menolak keburukan tidak akan sempurna dan tidak dapat disempurnakan melainkan dengan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT terutamanya perkara-perkara yang berhubung dengannya.

1. Menegakkan keadilan di kalangan manusia

Ciri-ciri utama mentadbir dunia dengan agama ialah beriltizam sepenuhnya dengan keadilan kerana ia menjadi tunggak yang menguatkan negara. Sebenarnya kezaliman itu tidaklah menandakan kekuatan negara tetapi menandakan keruntuhannya.
Di dalam Islam makna adil ialah meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya menurut hukum Islam. Dengan keadilan itu terjamin pemberian hak kepada yang berhak dan tidak berlaku zalim kepada yang berhak. Pemerintah hendaklah bertindak menentang kezaliman daripada diri sendiri. Al-Alamah Ibnu Khaldun menjelaskan makna zalim di dalam kitabnya Al-Muqqadimah:

Janganlah kamu menyangka zalim itu mengambil harta atau merampas milik tanpa alasan dan gantian yang wajar seperti diketahui umum, tetapi zalim itu bermakna lebih luas dari itu. Zalim itu ialah setiap orang yang mengambil milik orang lain atau merampas di dalam kerjanya, atau membuat permintaan yang tidak sebenar, atau mewajibkan kepada seseorang dalam perkara yang tidak diwajibkan oleh hukum syarak. Oleh itu mengambil cukai dengan cara yang tidak benar adalah zalim, bertindak mencari kesempatan daripadanya adalah zalim, menghalang hak orang lain adalah zalim. Kesemua akibat penyakit zalim yang berlaku menjadi bebanan negara ke arah membawa keruntuhan.
Bagi menegakkan keadilan, pemerintah wajib memberi tugas urusan negara kepada orang yang berkelayakan dan mempunyai sifat yang baik. Bukannya berdasarkan kepada orang yang berada di sekeliling pinggang tanpa membezakan di antara pengampu dan penasihat.
Pemerintah juga hendaklah mengawasi jentera kerajaan dan petugas-petugasnya agar mengikuti jalan yang sebenar dan tidak cuai dalam mengendalikan urusan negara untuk umatnya. Di dalam kitab Fiqah Siasi di sebut al-Hasabah atau Nizamul Hasabah perlu di wujudkan. Al Hasabah ialah satu badan yang diberi kuasa penuh bagi menjalankan tugas munasabah terhadap perjalanan pentadbiran dan hal ehwal rakyat di samping menerima pengaduan rakyat.

2. Membentuk pandangan yang mulia dan kebebasan pendapat yang bermaruah.

Dengan menggalakkan amar makruf dan nahi mungkar dan nasihat menasihati maka terbentuklah satu umat yang dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dijadikan untuk manusia, kamu menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.”

Dan Allah SWT melaknat umat yang tidak wujud sifat-sifat tersebut. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dilaknati akan orang-orang Kafir di kalangan Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa bin Maryam, yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas, mereka selalu tidak melarang antara satu sama lain dalam perkara mungkar yang mereka perbuat, sesungguhnya amat buruk apa yang selalu mereka perbuat itu.”

Di antara sifat yang berlaku sekarang ialah tidak memberi kebebasan kepada akhbar untuk mengkritik walaupun yang membina menurut Islam, di samping itu memebebaskan ruang yang menggalakkan kemungkaran, dan di antaranya ialah menutup penyelewengan dan kezaliman yang berlaku.

3. Menghormati taraf kemanusiaan.

Di antara peranan yang dilakukan oleh Negara Islam itu ialah menghormati dan mempertahan taraf kemanusiaan sebagai makhluk yang mulia di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam. Kami menanggung mereka di daratan dan dilautan. Kami berikan mereka rezeki yang baik-baik dan Kami lebihan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.”

4. Menegakkan keamanan dan kestabilan

Negara Islam berkewajipan menjamin keamanan dan kestabilan negara demi memelihar kepentingan agama, nyawa, akal, kehormatan dan perkembangan harta benda. Ini semua dapat dijalankan dengan cara yang sempurna apabila undang-undang negara dan sistem dalam segala aspek dilaksanakan secara menyeluruh menurut undang-undang dan sistem Islam.

5. Menyediakan keperluan rakyat

Di antara perkara yang termasuk di dalam urusan pentadbiran dunia dengan agama ialah menyediakan kemudahan-kemudahan rakyat di dalam semua kehidupan mereka. Dari segi ilmu, pemerintah mestilah menyediakan pusat-pusat pengajian di semua peringkat dan jurusan. Dari segi ekonomi, pemerintah hendaklah memberi kemudahan pekerjaan seperti di dalam sektor industri, pertanian, perdagangan dan lain-lain. Ini termasuk dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan umum ataupun memberi kemudahan dan perlindungan dalam perkara yang dilibatkan oleh rakyat secara langsung.

6. Menggalakkan perkembangan kemajuan negeri dan rakyat

Di dalam urusan dunia yang ditadbir dengan agama, pemerintah juga haruslah menggalakkan perkembangan kemajuan negara dan rakyat seperti menggalakkan pelaburan yang berfaedah sama ada dari dalam atau dari luar negeri. Di samping itu kerajaan juga haruslah menyediakan kemudahan-kemudahan asas bagi membantu kemajuan negeri dan rakyat.

Al-Imam Abu Yusof telah menyebut di dalam kitab al-Kharaj:

Untuk menggalakkan pertambahan hasil negara dan kesenangan rakyat agar bertambah hasil pertanian yang dengannya maka akan bertambahlah zakat yang diambil dari orang Islam dan kharaj dari orang bukan Islam, pemerintah hendaklah menyediakan kemudahan taliair untuk para pertani dengan perbelanjaan pemerintah.
Apa yang disebutkan di atas itu ialah suatu contoh di zaman beliau.

2.Di antara matlamat Negara Islam itu ialah menunaikan amanah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit bumi, bukit bukau dan gunung ganang, semuanya enggan memikul amanah itu dan khuatir mengkhianatinya, lalu dipikul amanah itu oleh manusia, sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil.
Menurut pendapat Mufassirun, amanat itu memberi makna yang luas di antaranya ialah menegakkan undang-undang Allah dan mentadbir urusan manusia. Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya, zalim dan jahil itu dikecualikan orang yang diberi taufiq dan memohon pertolongan Allah. Para Nabi dan Rasul dan orang-orang yang mengikuti jejak langkahnya tidak termasuk di dalam kalangan yang zalim. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul SAW dan juga janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepada kamu sedang kamu mengetahuinya.”

Ayat ini bermaksud semua amanah, termasuk menegakkan hukum Allah SWT di dalam Negara Islam. Terdapat banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang memberi makna tersebut. Al-Imam Muslim meriwayatkan di dalam syahihnya yang bermaksud:

“Dari Abi Zarr RA, katanya: ‘saya telah berkata kepada Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah, mengapa tidak melantik saya (memegang jawatan pemimpin), lalu ia menepuk bahu saya dengan tangannya kemudian ia bersabda, wahai Abu Zarr, awak seorang yang lemah, ia adalah amanah dan di akhirat nanti ia membawa kehinaan dan penyesalan kecuali orang yang mengambilnya dengan sebenar dan menunaikan kewajipan yang diamanahkan kepadanya.”

Di dalam syahih Bukhari di sebut satu hadith berhubung dengan amanah yang bermaksud:
“Dari Abi Hurairah RA, katanya, sedang Rasulullah SAW berada dalam satu majlis, ia berucap kepada orang-orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A’rabi (Badwi), ia terus bertanyakan Rasulullah SAW:

“Bilakah kiamat?”
Rasulullah SAW meneruskan ucapannya. Ada orang yang berpendapat, ia mendengar pertanyaan itu dan ia tidak suka dengan cara pertanyaan seperti itu. Ada yang berpendapat ia tidak mendengarinya. Apabila Rasulullah SAW selesai berucap, tiba-tiba ia bersabda.

“Tadi saya mendengar ada orang yang bertanyakan tentang kiamat.”
Lalu orang Badwi tersebut menjawab.

“Ya, saya ya Rasulullah.”

Rasulullah SAW pun bersabda.

“Apabila dipersia-siakan amanah maka tunggulah kiamat.”
Orang Badwi itu bertanya lagi.

“Bagaimanakah mempersia-siakan amanah itu, ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW menjawab.

“Apabila disandarkan urusan kepada orang yang bukan ahlinya.”

Para ulama’ yang mengulaskan hadith ini mewajibkan pemerintah menyempurnakan matlamat amanah dengan melantik orang yang berkelayakan dan mempunyai sifat keIslaman.

Melaksanakan kerja pemerintahan secara Islam adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada negara, sama ada ia dipilih dengan keredhaan rakyat ataupun tidak. Kewajipan menunaikan amanah tetap dibebankan ke atas bahunya. Oleh itu maka wajiblah ia menunaikan amanah Allah SWT dan meletakkan amanah itu kepada rakyat menurut tempatnya yang betul menurut hukum Islam. Dengan itu ternyatalah sama ada ia berlaku adil atau tidak.

Kita perlu memahami bahawa bukanlah menegakkan Negara Islam itu menjadi kemuncak matlamat walaupun ia menjadi satu kewajipan yang tidak harus dipertikaikan lagi. Yang menjadi kemuncaknya ialah menegakkan masyarakat yang sempurna, yang terselamat dari penyakit kezaliman dan melampaui batas Allah SWT. Oleh itu menjadi kenyataan sejarah Islam, apabila ada golongan yang menerima dasar tersebut, maka wajiblah umat Islam memberikan kesetiaan kepadanya dan tetap mengekalkan pimpinan yang ada tanpa mengira di mana dan bila. Maka kita hendaklah tetap menentang kezaliman walaupun berlaku di Makkah dan oleh seseorang yang sebangsa dengan Rasulullah SAW.

3.Ibadah Allah (Pengabdian kepada Allah)
Menurut ajaran Islam, semua manusia adalah hamba Allah SWT, sama ada rakyat biasa ataupun pemimpin. Mereka tertakluk di bawah tujuan asal mereka diciptakan seperti yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku, Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki mereka memberi Aku makan, sesungguhnya Allah, Dialah Maha Pemberi Rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh, maka sesungguhnya untuk orang-orang yang zalim dibahagikan siksa seperti bahagian teman-teman mereka dahulu, maka janganlah mereka meminta Aku menyegerakannya.”

Setiap orang Islam yang menjadi pemerintah mestilah beriman dengan segala ajaran Islam. Di antaranya ialah berhubung dengan pemerintahan. Mereka diwajibkan tunduk kepada apa yang ditetapkan oleh Allah SWT di atas sifat mereka sebagai hamba Allah. Sebarang langkah tidak percaya atau meminda hukum, mencipta hukum sendiri adalah pelampau batasan Allah SWT dan berlagak menyanggah Tuhan dan membatalkan Iman. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukminat, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka.”

Melaksanakan Hukum Allah SWT bukan hanya menghilangkan atau menyelesaikan masalah di dunia ini sahaja malahan mereka akan dibuat perhitungan di Akhirat. Oleh itu mereka bukan sahaja diwajibkan meletakkan urusan pemerintahan itu mengikut Hukum Allah di dunia sahaja tetapi mereka akan ditimbang pada hari kiamat.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan bagi Allah juga akibah segala urusan.”

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin, dia akan ditanya tentang urusan rakyatnya.”
Al-Imam Malik bin Annas RA telah mengutuskan surat nasihat kepada Khalifah Harun al-Rashid. Di antaranya beliau menulis.

Sesungguhnya tidak terselamat sedikitpun dari urusanmu kalau diserahkan kepada orang yang tidak takutkan Allah.

Al-Imam Abu Yusof RA menulis kepada Khalifah yang sama.

Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah, bagi-Nya segala kepujian, telah mengangkat kamu melaksanakan urusan yang amat besar, pahalanya amat besar dan balasan siksanyapun amat besar……

Apa yang tersebut menunjukkan bahawa masalah Negara Islam termasuk di dalam perkara matlamat ibadah yang menjadi sebahagian daripada hikmah kejadian manusia. Oleh itu ia mempunyai hubungan dengan perkara dosa dan pahala, sah dan batal, benar atau sesat.

Demikianlah secara ringkas, tentang beratnya tanggungjawab dan tugas sebagai pemimpin, semoga menjadi renungan bersama ke arah menegakkan keadilan llahi dan bertindak menentang kezaliman, untuk kebahagian manusia seluruhnya di dunia dan di akhirat.

Wallahu a’lam.

USTAZ MUHD NAIM HASHIM
8 APRIL 2008

SILA RUJUK:
1.AL-QURAN AL-KARIM
2.AL-GHAZALI- KITAB PERIBADI MUSLIM
3.AL-MAWARDI- KITAB AL-AHKAM AL-SULTANIYYAH
4.ABDUL HADI AWANG- Konsep Negara Islam Dan Matlamatnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan