Khamis, 6 Disember 2007

BALA ALLAH - ANTARA PERSOALAN DAN PUNCA BERLAKU

BALA ALLAH - ANTARA PERSOALAN DAN PUNCA BERLAKU

Ustaz Zainudin Hashim (Thu | Nov 22, 07 | 3:00:45 pm)

Kenapa Allah SWT menurunkan bala ke atas hamba-Nya? Mengapa ia tidak ditimpakan ke atas generasi akan datang? Adakah bala yang ditimpakan itu membuktikan kemarahan Allah ke atas diri kita yang terpaksa menanggung risiko akibat perbuatan orang lain?

Apabila dilihat telatah, gelagat dan perwatakan umat Islam hari ini memperlihatkan benar-benar mereka mengundang bala daripada Allah SWT.

Kita amat berharap agar cukuplah bala yang ditimpakan sejak peristiwa tsunami agar ia tidak berulang dengan yang lebih besar daripada itu. Bermacam-macam persoalan timbul mengenai bala yang merisaukan banyak pihak.

Tapi apakah sebenarnya bala itu? Bala yang diambil daripada perkataan Arab iaitu 'bala' bermakna hukuman daripada Allah akibat salah laku manusia kerana mengingkari sepenuhnya atau sebahagian daripada perintah Allah SWT.

Bala ini pernah terjadi di zaman para Anbiya' sebelum Nabi Muhammad s.a.w., seperti yang diceritakan oleh Allah dalam al-Quran menerusi ayat 133 surah al-'Araf~ yang bermaksud: Telah Kami kirimkan ke atas mereka (umat Nabi Musa) ribut taufan, belalang, kutu, katak dan darah, sebagai tanda yang cukup jelas keingkaran mereka terhadap ajaran Nabi Ibrahim, mereka menyombong diri dan sesungguhnya mereka adalah golongan penjenayah (yang melakukan kerosakan di muka bumi).

Begitu juga Allah menceritakan mengenai kaum Nabi Lut yang melakukan perbuatan terkutuk yang disifatkan oleh Nabi Lut sendiri sebagai perbuatan yang tidak pernah berlaku di dunia sebelum itu, maka Allah musnahkan mereka tanpa memberi peluang untuk mereka bertaubat ke jalan kebenaran, sila rujuk ayat 81 surah al-'Araf~.

Kesalahan yang patut terima hukuman

Sesungguhnya bala tidak akan diturunkan oleh Allah ke atas manusia, melainkan kerana didahului dengan kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Bezanya umat nabi-nabi terdahulu dikirimkan bala tanpa memberitahu isyarat kehadirannya, namun bagi umat Nabi Muhammad s.a.w., isyarat atau tanda-tanda kehadiran bala itu dapat dikesan oleh mereka yang kuat berpegang kepada agama dengan pelbagai kaedah, pendekatan dan bentuk tertentu.

Ini menandakan bahawa Allah SWT amat sayang kepada kita hingga menzahirkan isyarat atau tanda agar kita segera mengingati-Nya, boleh juga disifatkan diri kita sebagai hamba emas yang amat disayangi di sisi Allah, cuma umat ini sahaja yang tidak mengenal erti kasih sayang Allah.

Jelas di sini bahawa kesalahan umat terdahulu hingga ditimpakan pelbagai bentuk bala daripada Allah, kerana melakukan perkara-perkara yang becanggah dengan ajaran nabi-nabi mereka, tetapi kita perlu ingat, bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh mengirim bala kepada kita serupa dengan apa yang pernah berlaku pada zaman lampau dan juga mampu mengirim bala yang tidak pernah ketika itu.

Ini dapat kita lihat pada hari ini seperti penyakit HIV, selesema burung yang menggerunkan banyak pihak, penyakit kaki, tangan dan mulut dan macam-macam lagi, ia dikirimkan agar manusia kembali ke pangkal jalan.

Sepatutnya sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. kita berjaya meloloskan diri daripada bala-bala yang disebutkan di atas, tetapi kenapa berlaku juga? Ia merupakan satu persoalan yang patut segera mencari jawapannya.

Ini tidak lain kalau tidak kita melakukan perkara yang menyanggah tuntutan agama, terdapat selain kita yang sanggup menggadai maruah agama.

Mari kita selidik secara halus tindakan manusia hari ini yang mengundang bala daripada Allah, program hiburan keterlaluan walaupun telah disanggah dan diingatkan oleh golongan ulama khususnya para mufti seperti JomHeboh, Mentor musim kedua, Akademi Fantasia musim keempat, kelima dan banyak lagi.

Cuba kita perhatikan reaksi manusia selepas tamat program-program seumpama itu, laporan akhbar arus perdana menyebut, 70 pasangan Melayu daripada peringkat usia 15-40 tahun disaman atas pelbagai kesalahan hingga ibu bapa mereka turut dipanggil ke pejabat agama.

Kesalahan mereka yang dikenal pasti kerana meminum arak, berkhalwat dan bermacam-macam jenis maksiat yang canggih-canggih, ini tidak termasuk laporan yang menyebut 21 kes anak luar nikah berlaku dalam tempoh sebulan baru-baru ini.

Kita dikejutkan dengan berita seorang ibu muda yang sanggup menjerut leher kedua anak lelakinya dengan wayar seterika hingga membawa kepada kematian.

Laporan akhbar arus perdana juga ada menyebut menyebut mengenai gejala samseng pelajar-pelajar perempuan yang memukul, menerajang rakan mereka di alat sulitnya hingga menyukarkannya untuk menduduki peperiksaan SPM, terdapat juga gejala samseng ini menular di sekolah-sekolah menengah hingga ada pelajar perempuan yang mengugut rakan mereka untuk menyebarkan gambar bogelnya setelah dia dipaksa berbuat demikian atas kesalahan yang kecil dan bermacam-macam lagi.

Terbaru seperti yang dilaporkan muka surat depan akhbar Berita Harian bertarikh 21 November 2007 (Rabu) yang memaparkan gambar-gambar model yang kononnya mempamerkan aksesori barangan kemas pada majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007. Persoalannya adakah pihak editorial BH tidak ada sensitiviti mengenai penampilan para gadis yang mendedahkan aurat apatah lagi pada majlis hiburan yang mengundang bala daripada Allah SWT.

Begitu juga dengan kerajaan Malaysia yang mengundang pemain tenis nombor dua dan lapan dunia, Rafeal Nadal dari Sepanyol dan Richard Gasquet dari Perancis, masalahnya dari paparan iklan terdapat penaja arak Heineken di gelanggang permainan tersebut, apatah lagi perlawanan itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dan isteri, Menteri Belia dan Sukan serta orang-orang kenamaan.

Apa untungnya perlawanan itu diadakan di Malaysia, arak menjadi antara penaja, isteri TPM juga sibuk hendak bersalam dengan pemain-pemain tersebut dengan penampilan yang tidak selari dengan ajaran Islam Hadhari, para penonton juga tidak kurang yang berpakaian tidak senonoh dengan memakai pengikat kepala tertulis Nadal.

Tidakkah orang-orang besar negara seperti TPM rasa bahawa dia akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari Kiamat dengan membiarkan banyak perkara yang menyinggung kesucian islan berlaku di hadapan mata?

Sama-samalah kita fikirkan sebelum terlambat, tidakkah kita perasan mengapa Allah sudah mula menurunkan banjir kilat dan hujan lebat di negeri Johor, sama-samalah kita renung dan muhasabah diri akan kesalahan yang telah kita buat.

Faktor atau punca berlaku bala

Dalam kesempatan ini, forum agama cuba menyelongkar pendekatan daripada hadis-hadis sohih Nabi Muhammad s.a.w. sejak 14 abad yang lalu yang menyebut secara jelas faktor, sebab atau punca berlaku bala yang dikirim oleh Allah SWT ke atas umat baginda:

1- Ilmu Islam akan beransur hilang sedikit demi sedikit.

2- Umat Islam sanggup mengikuti jejak langkah Yahudi dan Nasrani dalam tindakan, teladan, pertuturan dan cara hidup mereka.

3- Muncul golong anti hadis (yang tidak dibendung).

4- Umat Islam yang terlalu banyak bergelumang dalam keseronokan.

5- Terlampau mewah.

6- Menghimpun harta sebanyak mungkin (hingga lupa untuk menggarap ilmu agama).

7- Tipu menipu dalam perkara dunia.

8- Saling bertengkar dalam urusan remeh-temeh (yang sepatutnya boleh dimaafkan).

9- Tersebar luas hasad dengki serta hasut menghasut di kalangan mereka.

10- Islam dianggap sebagai agama asing atau berdagang di negara umat Islam sendiri.

11- Berleluasa amalan rasuah dengan pelbagai bentuk dan helah.

12- Orang yang baik terlalu sedikit, malah orang yang jahat semakin ramai.

13- Muncul orang yang tidak peduli sumber harta yang diperolehinya.

14- Riba wujud di mana-mana.

15- Ramai yang minum arak dan menamakannya sebagai bukan arak.

16- Golongan lelaki semakin sedikit dan golongan wanita semakin ramai.

17- Golongan lelaki yang menyerupai wanita dan sebaliknya.

18- Ibu melahirkan tuannya.

19- Bangunan pencakar langit.

20- Muncul ramai ahli ibadat tapi jahil dan ramai golongan ulama tapi fasiq.

21- Orang yang berpegang dengan Islam bagai menggenggam bara api.

22- Berlaku peperangan demi peperangan.

23- Masa akan menjadi singkat.

24- Muncul galian-galian bumi.

25- Ujian yang dahsyat terhadap iman.

26- Peperangan di kawasan sungai Furat kerana menyebut kekayaan.

27- Ketiadaan iman untuk bersolat jamaah.

28- Al-Quran akan hilang dan ilmu akan diangkat menghadap Allah.

29- Bermegah-megah dengah keindahan masjid dan kosong dengan pengisian agama.

30- Menggadai agama kerana dunia.

31- Pelaksanaan haji dan umrah bukan kerana Allah.

32- Harta negara bertukar tangan di kalangan pemimpin.

33- Sesuatu amanah dianggap sebagai batu loncatan untuk mengaut keuntungan.

34- Bayaran zakat dianggap sebagai denda/saman.

35- Suami yang terlalu tunduk kepada isteri.

36- Anak-anak yang menderhaka terhadap ibu mereka.

37- Muncul ramai orang yang patuh dan setia yang tidak berbelah bagi kepada kawan dan rakan.

38- Golongan bapa yang hampa kerana disia-siakan oleh anak-anak mereka sendiri.

39- Berlaku pertengkaran dalam masjid.

40- Apabila orang yang rendah maruahnya dipilih menjadi ketua sesuatu kaum.

41- Apabila orang memuliakan orang lain kerana takutkan kejahatannya.

42- Apabila minuman keras tersebar luas.

43- Ramai golongan lelaki yang memakai sutera.

44- rtis-artis wanita diagung-agungkan.

45- Alat-alat muzik diguna-pakai (sebagai mata pencarian).

46- Kesilapan manusia hari ini mengutuk generasi terdahulu.

Apabila perkara yang disebutkan itu berlaku, maka kata Nabi, tunggulah ketika itu akan datang kepada manusia angin panas, ribut taufan, puting beliung dan bahaya-bahaya yang lain serta hingga berlaku penukaran corak dan rupa. - lanh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan