Written by al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Wednesday, 23 August 2006
Agama dalam Islam disebut sebagai ad-Din. Kalimah ad-Din bermaksud tunduk dan patuh. Ketundukan dan kepatuhan ini merangkumi seluruh aktiviti kehidupan manusia. Justeru, kefahaman beragama dalam Islam tidak sama dengan kefahaman beragama bagi orang lain. Bagi agama lain, agama hanyalah amalan ritual seperti upacara beragama tertentu yang dilakukan pada waktu tertentu.
Tetapi maksud beragama dalam Islam bermaksud berpegang dengan himpunan kepercayaan dan kumpulan peraturan kehidupan yang akan membentuk perilaku dan tatacara kehidupan seseorang.
Kumpulan kepercayaan ini dikenali sebagai aqidah. Ia akan membentuk cara berfikir seorang muslim. Seterusnya menentukan hala tuju hidupnya.
Kumpulan peraturan pula dikenali sebagai Syariat. Ia akan menjadi landasan dan panduan seorang muslim dalam menjalani hidupnya. Dia akan hidup dalam lingkusan dan batasan peraturan yang telah digariskan oleh Allah. Hatta di kala tiada manusia memantau segala perlakuannya, dia tetap mengikat dirinya denganh peraturan kehidupan tersebut.
Justeru, agama Islam yang mengandungi aqidah dan syariat berperanan dalam kehidupan seorang yang menerima Islam sebagai agama untuk menjadikan dirinya seorang yang baik bagi dirinya, baik bagi ahli keluarganya, baik bagi masyarakatnya yang Islam atau tidak, baik bagi negaranya bahkan baik kepada seluruh makhluk Allah yang lain termasuklah binatang dan alam persekitaran.
Ad-Din yang diterima di sisi Allah pula hanyalah Islam sebagaimana
firman Allah:Maksudnya:
Sesungguhnya ad-Din (agama) yang (diterima) di sisi Allah ialah Islam.
Inilah aqidah yang diyakini oleh setiap muslim. Setiap muslim meyakini hanya Islam agama yang benar. Seorang muslim tidak menganggap semua agama sama. Seruan untuk menganggap semua agama sama adalah seruan kekufuran kerana ia bermaksud kita boleh memilih apa sahaja agama kerana semuanya nanti akan membawa ke syurga. Semua agama munghkin berusaha untuk mencari jalan ke syurga. Namun, hanya Islam yang membawa manusia ke syurga. Inilah aqidah muslim. Ia ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya
: قل يا أيها الكافرون لا أعبد ما تعبدون ولا أنتم عابدون ما أعبد ولا أنا عابد ما عبدتم ولا أنتم عابدون ما أعبد لكم دينكم ولي دين
Maksudnya:
Katakanlah wahai Muhammad! Wahai orang yang kafir. Saya tidak menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukannya penyembah apa yang saya sembah. Dan saya sama sekali bukan penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu juga bukan penyembah apa yang saya sembah. Bagi kamu agama kamu .Bagi saya agama saya.
Seorang muslim mesti merasa megah dengan agama Islam. Kemegahan inilah yang menjadikan dirinya tanpa segan silu untuk mempraktikkan segala amalan beragama. Malah tanpa segan silu mempromosinya kepada seluruh umat manusia atas kesedaran untuk berkongsi kebaikan dengan seluruh manusia. Namun, rasa megah ini tidak pula membawa kepada sikap tidak menghormati agama lain.
Ini kerana Islam menegaskan bahawa tiada paksaan dalam beragama sebagaimana firman Allah:لا إكراه في الدين
Maksudnya:Tiada paksaan dalam beragama.
Seorang muslim ialah seorang yang menerima Islam sebagai agama. Islam bermaksud menyerah dan tunduk. Iaitu menyerah diri serta tunduk kepada segala kehendak Allah. Justeru, seorang muslim ialah seorang yang bersedia menyerahkan dirinya kepada Allah serta tunduk kepada segala kehendak Allah yang berupa perintah dan larangan.
Syiar hidup seorang muslim ialah :إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين
Maksudnya:
Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan yang mencipta, memiliki dan menguruskan seluruh alam.
Penyerahan diri ini menjadikan seseorang manusia sentiasa tenang menghadapi segala pancaroba hidup. Dia menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Allah. Dia tidak akan terkeluar dari landasan peraturan yang digariskan oleh Allah. Dia hanya melakukan apa yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang. Perintah dan larangan Allah pasti membawa kepada kebahagian dan kebaikan. Dengan itu hidupnya sentiasa dalam keadaan bahagia, aman dan tenteram.
Inilah janji Allah: فمن اتبع هداي فلا يضل ولا يشقى ومن أعرض عن ذكري فإن له معيشة ضنكا
Maksudnya:
Sesiapa yang mengikut petunjukKu dia tidak akan sesat dan mendapat kecelakaan.Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatanKu, baginya kehidupan yang amat sukar.
Segala nikmat diterima dengan syukur. Segala musibah diterima dengan sabar. Kekayaan diterima dengan syukur dengan cara menggunakannnya untuk jalan kebaikan. Dia tidak akan menjadi pemboros, sombong dan rakus dengan kekayaan sehingga menindas golongan miskin. Malah dia menjadi seorang dermawan. Sebahagian hartanya dibelanjakan untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan. Ini dilakukan dengan keyakinan bahawa itulah yang disuruh oleh Allah. Hartanya adalah milik Allah. Justeru, dia terikat untuk membelanjakannnya menurut kehendak Allah. Antara kehendak Allah ialah membelanjakannnya untuk faqir miskin. Inilah hidup seorang muslim yang kaya.
Kemiskinan pula di terima dengan dada lapang sebagai ujian. Seorang muslim tidak akan menjadi penjenayah untuk mengatasi kemiskinannya. Baginya kemiskinan di dunia tidak bererti miskin di akhirat. Dia boleh memperolehi keakyaan di hari Akhirat sekiranya bersedia terikat dengan peraturan Tuhan. Justeru seorang muslim yang miskin akan sentiasa redha dengan keadaan dirinya. Dia tidak menyalahkan orang lain. Dan tidak akan menyusahkan orang lain.
Apabila seseorang menyerah dirinya kepada Allah, segala perlakuannya tidak akan menurut hawa nafsu. Masalah yang dihadapi oleh manusia hari ini ialah sikap ngin memuas hati dan kehendak sendiri? Sikap sebegini menjadikan manusia tidak mengambil kira kepentingan orang lain.
Nafsu selalu mendorong manusia ke arah kejahatan. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya: إن النفس لأمارة بالسوء
Maksudnya:
Sesungguhnya nafsu sentiasa menyuruh melakukan kejahatan.
Apabila manusia menurut nafsu, dirinya akan menjadi sarang segala kerosakan dan kejahatan. Inilah penyebab kepada berleluasanya pembunuhan, jenayah rompakan dan kecurian.
Justeru itu Allah menempelak golongan yang bertuhankan nafsu dengan firmanNya
:أفرأيت من اتخذ ألاهه هواه
Maksudnya
Tidakkah kamu melihat kepada orang yang menjadikan nafsunya sebagai tuhan?
Manusia yang hidup bertuhankan nafsu akan membunuh untuk memuaskan nafsunya. Manusia yang bertuhankan nafsu bersedia merompak dan mencuri untuk mendapatkan harta dengan jalan mudah bagi memuaskan nafsu keinginannya.
Dia akan melakukan apa sahaja demi kepuasan diri. Akibatnya berlakulah vandalisma iaitu merosakkan harta awam semata-mata untuk kepuasan diri.
Islam menjadikan seseorang itu menjadi manusia yang seimbang. Dia kan menjadi warganegara yang baik untuk negaranya. Ia menjadi penyumbang kepada ketamadunan negaranya. Ia akan bekerja keras demi menyebarkan kebaikan dalam masyarakatnya. Moto hidupnya ialah enyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Seorang muslim juga mempunyai akhlak yang baik. Sentiasa menghormati ahli masyarakat baik yang tua atau yang muda. Ini kerana dia berpegang dengan sabda baginda:اتق الله حيثما كنت وأَتْبِعِ السَّيِّئَةََ الحسنةَ تَمْحُها وخَالِقِ الناسَ بخُلُقٍ حَسَنٍ
Maksudnya:
Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, ikutilah kejahatan yang kamu lakukan dengan kebaikan nescaya kebaikan itu menghapuskan kebaikan dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik.
Penulis ialah:al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Last Updated ( Saturday, 09 December 2006 )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan