AQIDAH ISLAM DASAR KEHIDUPAN
Firman Allah s.w.t:
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya" .( Surah al-Isra' 36)
Kaum Muslimin Yg Berbahagia.
Marilah sama2 kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah semoga kita memperolehi rahmat dan kebaikan didunia dan diakhirat.
Semenjak kewujudan Adam dan Hawa di muka bumi ini, sudah ternyata bahawa manusia memerlukan peraturan hidup yang sesuai dengan fitrah mereka. Manusia memerlukan peraturan hidup yang boleh memberikan keadilan sejajar dengan sifatnya sebagai insan, boleh mendisiplinkan tingkah laku serta memandu mereka mencapai keredhaan Allah di dunia dan akhirat.Sudah tentu peraturan yang diperlukan itu bukanlah sebarang peraturan. Sebaliknya manusia memerlukan peraturan yang boleh meninggalkan kesan kepada jiwanya lalu menyuburkannya sehingga mampu mengawal segala tingkah laku serta cetusan perasaan dan pemikirannya.
Peraturan itu ialah peraturan rabbani (tasyri’ samawi). Hanya peraturan rabbani sahaja yang mempunyai kemampuan demikian dan tidak mungkin dapat dicapai menerusi peraturan yang dihasilkan oleh tangan manusia. Manusia tidak mungkin mencapai darjat kesempurnaan menjadi insan kamil selagi mereka sendiri yang menentukan peraturan, ideologi dan jalan hidup mereka. Mereka tidak akan menikmati kesejahteraan sejagat yang sebenarnya walaupun di sekeliling mereka penuh dengan kebaikan dan beraneka rupa kenikmatan.
Saudaraku SeIslam,
Sebenarnya manusia tidak boleh menolak hakikat bahawa mereka memerlukan sistem yang unggul iaitu Islam. Bahkan akal yang bersih juga akan mengakui bahawa tiada syariat yang layak dijunjung selain syariat Allah SWT.Islam adalah din yang menjamin keunggulan fitrah manusia. Oleh itu, Islam tidak menentang pembangunan selagi pembangunan itu berpaksikan kepada aqidah Islam. Malah itulah kekuatan yang sebenarnya. Dengan perkataan lain, keimanan kepada Allah SWT adalah pasak kekuatan bagi sebarang bentuk pembangunan. Sejarah sendiri membuktikan kedatangan Islam membawa pembangunan kepada umat manusia dan dunia. Sebaliknya keruntuhan tamadun yang berlaku kemudiannya kerana keimanan kepada Allah tidak lagi menjadi dasar kepada pembangunan manusia dan dunia. Akibatnya, sewaktu pemikiran manusia dibangun dan dikembangkan, pada masa yang sama keruntuhan akhlak terus bermahara-jalela. Krisis nilai terus berlaku dan manusia diperhambakan di mana-mana. Inilah natijah yang berlaku apabila manusia tidak mengambil din Allah SWT sepenuhnya sebagai sistem hidup. Begitu juga dengan potensi semula jadi serta ilmu yang dimiliki manusia sama sekali tidak bertentangan dengan Islam jika diasas, dikembang serta digunakan berdasarkan aqidah kepada Allah SWT. Potensi semula jadi manusia sangat berguna untuk mempelajari ilmu bagi meningkatkan keimanan, ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Begitu juga dengan ilmu yang diasaskan di atas dasar yang betul akan berkembang membawa manusia mengenal penciptanya dan menggerakkannya menenuhi tuntutan perhambaan kepada Allah SWT.
Manusia wajar menyedari hakikat fitrah kejadiannya yang sangat berhajat kepada taufik dan hidayah Allah SWT. Oleh itu, manusia dituntut untuk mengenal penciptanya, Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud:
“Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah....”(Muhammad:19) Ada dakwaan yang mengatakan manusia boleh bergantung kepada akal semata-mata untuk menempa kesejahteraan global. Sebenarnya dakwaan itu hanyalah satu andaian yang mempunyai muslihat.
Pembaca Yang Dihormati Allah sekalian,
Sejarah menunjukkan tamadun manusia yang tidak dihubungkan dengan wahyu Ilahi atau aqidah Islam membangunkan satu bahagian dan pada masa yang sama meruntuhkan banyak bahagian lain. Yang lebih buruk ialah keruntuhan kemanusiaan insan serta mewarisi kesesatan dalam kepercayaan. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami telah meneguhkan kedudukan mereka dalam hal-hal yang Kami belum pernah teguhkan kedudukanmu dalam hal itu dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati tetapi pendengaran, penglihatan dan hati mereka itu tidak berguna sedikit jua pun bagi mereka kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka telah diliputi oleh seksa yang dahulu selalu mereka perolok-olokkan.”(Al-Ahqaf:26) Kekuatan akal sahaja tidak akan membolehkan manusia mengenal pasti semua perkara yang bermanfaat dan mudarat kepada kehidupan mereka kecuali orang yang diselamatkan dengan panduan dan suluhan aqidah.Daya penerokaan akal sebenarnya terhad kepada kekuatan dan ruang lingkup yang dapat dicapai menerusi penglihatan. Mata semata-mata sebenarnya tidak akan berfungsi tanpa bantuan cahaya sekalipun mata itu berada dalam keadaan sihat dan selamat.Begitulah juga dengan akal manusia. Sekalipun waras, akal akan menjadi lemah dan tergelincir dari landasannya jika tiada bantuan syara’ serta bimbingan para nabi dan rasul. Kelurusan akal fikiran dan kesuburannya yang berterusan hanya terjamin apabila pemikiran itu sentiasa berada di atas hidayah dan petunjuk Allah SWT.
Saudaraku yang Mulia,
Disebabkan pada hari ini manusia lebih percayakan akal daripada wahyu maka ramai umat Islam yang sudah tergadai akidahnya, syariatnya, akhlaknya, ilmunya, kemuliannya dan umat Islam semakin lalai dan leka dengan dunia. Umt Islam sanggup menjual akidah mereka kerana terlalu asyik dengan kebendaan, terlalu tertambat dengan kemewahan hidup, memperkayakan diri dengan mencari kedudukan dan pangkat, dlm ertikata lain dunia menjadi matlamat mereka. Dalam masa yg sama, semakin surut semangat juang umat Islam utk membela kepentingan Islam dan umatnya, tidak ada keberanian, takut menghadapi risiko dalam sgla hal sehingga umat Islam semakin hilang harga diri. Umat Islam tertarik kepada apa shja yang aneh-aneh dan pelik2 yang datang dari luar tanpa menghiraukan sama ada perkara itu dapat memusnahkan pegangan umat Islam ataupun tidak.
Dengan tidak menjadikan aqidah Islam sebagai pegangan hidup menyebabkan pada hari ini umat Islamlah juara dalam segala hal kejahatan dan kemungkaran.
1.ramai umat Islam yang menghisap dadah
2.ramai umat Islam ditangkap berkhalwat dan berzina,
3.ramai umat Islam yang bersekedudukan sehingga lahir anak luar nikah
4.ramai umat Islam yang mengikut ajaran sesat
5.ramai umat Islam yang tidak menutup aurat
6.ramai umat Islam yang minum arak dan menjadi pelacur
7.ramai umat Islam yang menjadi ketua penjenayah
8.ramai umat Islam yang terlibat dengan rasuah
9.ramai remaja Islam yang rosak akhlak dan
1.ramai umat Islam yang terlibat dalam kegiatan maksiat. Maksiat dalam erti kata yang sebenar ialah melakukan segala perbuatan yang haram dan meninggalkan segala perkara yang wajib, itu adalah maksiat. Dan maksiat yang terbesar ialah apabila Islam tidak diterapkan dalam kehidupan seharian.
Hal-hal ini terjadi disebabkan umat Islam hari ini sudah tidak lagi mengenal penciptanya, buta mengenai al-Quran, jahil berkaitan hokum hakam agama dan malas untuk mempelajari ilmu agama terutama berkaitan persoalan aqidah, syariah dan akhlak. Selain itu, umat Islam pada hari ini terlalu sibuk membangunkan akal dan fizikal sehingga terabai pembangunan jiwa dan menjadi seperti orang-orang Barat. Kemajuannya tinggi melangit tetapi akhlak dan aqidahnya runtuh menyapu bumi. Kaya dengan harta tetapi diiringi oleh penyakit jiwa, frust dan membunuh diri. Jenayah menjadi-jadi, AIDS, gila seks dan berbagai-bagai penyakit social mengancam semua orang termasuk bayi dalam kandungan. Otaknya bijak tetapi tidak dapat menahan diri dari perbuatan curang dan menipu.
Dengan ini, umat islam harus berhati2 dalam mencorak kehidupan di era kemajuan dan kecanggihan ini. Jika umat Islam gagal membina kekuatan jiwa dan roh, umat Islam akan sanggup menukar agama kerana kekosongan jiwa. Pintu kearah itu memang telah terbuka sekarang ini, malah ada yang telah terjerumus. Nauzubillahiminzalik…berhati-hatilah.
Oleh itu, tidak ada jalan lagi untuk membina semula kekuatan, kemuliaan, kehebatan dan keagungan umat Islam kecuali dengan jalan menguatkan jiwa, akal dan fizikal dengan berteraskan aqidah Islam, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan melaksanakan seluruh perintah Allah dan perintah rasulullah sebagaimana yang telah termaktub didalam al-Quran dan al-Sunnah.
USTAZ NAIM HASHIM
12 SEPTEMBER 2007
30 SYAABAN 1428H
Tiada ulasan:
Catat Ulasan