GEJALA SOSIAL YANG SEMAKIN MENGGILA…!!
Saudaraku Seislam,
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Gejala sosial atau keruntuhan akhlak khususnya di kalangan remaja adalah antara isu hangat yang dibincangkan oleh pelbagai lapisan masyarakat kebelakangan ini. Sebahagian besar mereka bersetuju bahawa sebarang bentuk gejala sosial samada pergaulan bebas tanpa batasan antara lelaki dan perempuan, mencabul, khalwat, bersekedudukan, persetubuhan luar nikah, pelacuran, sumbang mahram, rogol, liwat, pesta seks, homoseksual, lesbian, buang bayi, pasar pondan, bohsia, bohjan, skinhead, punk, lepak, vandalisme, buli, gengsterisme di sekolah, ponteng sekolah, dadah, pil khayal, ketagihan gam, HIV/AIDS, perjudian, minuman keras, keganasan rumahtangga, kes juvana, merompak, meragut, rasuah dan sebagainya perlu dibendung segera kerana ianya seumpama kanser di dalam badan manusia yang jika tidak dirawat akan mendatangkan mudarat atau bahaya maut kepada tuan empunya badan, kerosakan kepada masyarakat, kehancuran masa depan Negara dan juga mengundang bala Allah swt.
Saudaraku Yang Beriman,
Sebenarnya kedudukan masyarakat kita pada hari ini saling tak tumpah dengan masyarakat JAHILIYYAH di masa Rasulullah s.a.w. Undang2 kufur hasil peninggalan penjajah yang diterapkan hari ini, selain terbukti gagal untuk melahirkan masyarakat yang luhur, sebenarnya adalah punca kepada segala masalah. Saban hari masyarakat Malaysia disajikan dengan pelbagai berita jenayah yang serius dan mengerikan. Indeks Jenayah dari bulan Jan hingga Mac 2006 (suku tahun pertama) mencatatkan 56,116 kes. Statistik ini merupakan pecahan untuk indeks jenayah kekerasan, jenayah harta benda, jenayah komersial dan jenayah narkotik. Ini tidak termasuk lagi indeks2 anak luar nikah, gejala murtad, rasuah, pembunuhan, HIV/AIDS dan pelbagai lagi maksiat2 yang bermaharajalela dalam Negara kita.
Saudaraku Yang Berbahagia,
Statistik PDRM menunjukkan bahawa ada 152 kes bunuh yang berlaku dalam suku tahun pertama 2006. secara purata, pada setiap 14 jam 13 minit berlaku satu kes pembunuhan. Jadi tidak hairanlah kalau setiap hari kita mendengar berita pembunuhan samada di akhbar2 atau dikaca televisyen.
Manakala dalam kes penzinaan yang melahirkan anak luar nikah angkanya amat menggerunkan kita semua. Menurut perangkaan, seramai 70,430 anak luar nikah yang berdaftar bagi tempoh 5 tahun iaitu dari 1999 hingga 2003. daripada jumlah tersebut anak luar nikah orang Islam adalah yang paling ramai didaftarkan iaitu 30,978 orang. Jika data ini diproses secara purata bahawa setiap hari, sejumlah 39 kes pendaftaran anak luar nikah dicatatkan dan 17 kes adalah dari kalangan orang Islam. Ini bermakna setiap 37 minit akan berlaku 1 kes perzinaan dan dalam masa 1 jam 25 minit seorang bayi yang tidak berdosa dilahirkan hasil perzinaan pasangan Muslim. Pada 19 April 2006, Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) memberitahu seluruh warganegara Malaysia yang tercinta ini, sebanyak 68,000 anak luar nikah lahir sepanjang tahun 2005. mimbar ulangi … sebanyak 68 ribu. Menurut Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, kebanyakan bayi ini beribukan anak2 gadis yang melakukan seks haram pada hari-hari istimewa, khususnya Hari Kekasih (14 Feb), Tahun Baru dan Malam Merdeka. Dan kemuncaknya ialah, kebanyakan daripada bayi itu adalah anak haram pasangan Islam! Lebih tepat lagi anak haram ORANG MELAYU!!.
Selain daripada kengerian yang telah disebutkan , sedarkah kita bahawa Malaysia adalah Negara kelima terpantas mengalami penyebaran HIV/AIDS dirantau Asia Pasifik? Hampir 5,000 kes baru dilaporkan setiap tahun dan corak penularan menunjukkan semakin ramai wanita dan kanak2 yang tidak berdosa menjadi mangsa. Jumlah kes HIV/AIDS dan kematian yang dilaporkan di Malaysia dari tahun 1986 hingga tahun 2006 ialah sebanyak 84,840 kes [73,427 (HIV) + 11,413 (AIDS)].
Saudaraku Yang Beriman,
Maksiat dan mungkar yang merosakkan akhlak dan aqidah remaja dan dewasa kini ternyata kian melebar dan parah ekoran penganjuran seperti :
1.Konsert-konsert hiburan liar dalam dan luar negara yang berleluasa
2.Pertandingan-pertandingan nyanyian yang begitu meluas liputannya seperti Malaysian Idol, Akademi Fantasia, Geng Starz, Audition dan sebagainya serta diberikan tempat yang begitu baik di media arus perdana.
3.Kelab- kelab malam dan premis hiburan yang beroperasi sehingga ke awal pagi dengan kebenaran dan kelulusan.
4.Operasi dan aktiviti pelacuran dan Mak Nyah melalui hotel-hotel dan rumah-rumah urut.
5.Terdapat pusat-pusat perjudian yang beroperasi tanpa permit dan mempunyai lesen yang diluluskan tanpa pemantauan.
6.Lambakan majalah dan bahan bacaan berunsur seks dan lucah di pasaran tanpa kawalan serius.
7.Penjualan VCD lucah atau separa lucah tanpa kawalan pihak berkuasa di merata tempat.
8.Artis-artis yang diberikan tempat yang baik baik di media meskipun imej yang ditonjolkan begitu jijik, menjolok mata dan tidak bersih.
Antara faktor-faktor lain yang menyebabkan berlakunya gejala sosial adalah seperti kegagalan sistem pendidikan (kurang menitik berat mengenai ilmu aqidah,ilmu al-quran dan sunnah), kurangnya didikan agama, kurangnya kawalan ibubapa, pengaruh bahan bahan lucah terutamanya VCD lucah, pengaruh rancangan TV yang berunsur seks dan keganasan, pengaruh kawan–kawan, pergaulan bebas, pengaruh pusat–pusat hiburan serta pesta–pesta hiburan yang keterlaluan, penguatkuasaan undang–undang yang lemah dan hukuman yang tidak setimpal.
Wahai kaum muslimin!! Diutusnya Rasulullah saw adalah sebagai rahmat bagi sekelian alam. Cahaya Allah bersinar menerangi dunia apabila hukum Allah diterapkan. Rahmat Allah tersebar ke seluruh penjuru alam setelah Islam memerintah dunia. Firman Allah:
“Dan kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian”. (Surah Israk ayat 82)
Namun hari ini, saat ini, suatu yang pasti hokum-hukum di dalam al-Quran dan Sunnah tidak diterapkan serta tidak diamalkan sepenuhnya oleh umat Islam. Oleh itu, bagaimana mungkin rahmat Allah akan tercurah ke seluruh alam jika hak Allah, hak al-quran, hak Rasulullah,hak syariat tidak mengikut sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Oleh yang demikian rahmat Allah yang dinantikan, tetapi bala dan kemurkaan yang tiba disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh kita sendiri. Masalah dan penyakit social ini juga merupakan azab yang dikenakan kepada manusia disebabkan kejahatan yang dilakukan oleh manusia sendiri.
Sama2lah kita merenung dan bermuhasabah serta mencari jalan penyelesaian sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah dan juga Rasulullah seperti yang telah ditetapkan cara penyelesaiannya di dalam al-Quran dan juga Sunnah.
Firman Allah di dalam Surah Ar-Ruum ayat 41:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia : Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat".
Rujukan:
Statistik PDRM
Berita Harian (29 Januari 2007)
Mastika (Nov 2006)
www.mykhilafah.com
Ustaz Naim Hashim
12 September 2007
30 Syaaban 1428H
Tiada ulasan:
Catat Ulasan