Isnin, 24 September 2007

ARTIKEL ILMIAH 4

SISTEM PENTADBIRAN DI ZAMAN SAIDINA ABU BAKAR AL-SIDDIQ

Muhamad Naim Bin Hashim
24 September 2007M
12 Ramadhan 1428H

1.1 Pendahuluan

Sejarah telah menggambarkan kepada kita bahawa zaman kekhalifahan Islam muncul atau bermula dengan terlantiknya seorang sahabat yang paling akrab juga merupakan bapa mertua baginda Rasulullah s.a.w iaitu Saidina Abu Bakar al-Siddiq. Era khalifah Islam merupakan era kegemilangan Islam atau disebut juga zaman keemasan Islam serta zaman keagungan Islam. Era ini telah di sinari dengan empat orang tokoh kecemerlangan Islam termasuklah Saidina Abu Bakar, diikuti dengan Saidina Umar al-Khattab, Saidina Usman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib. Pemerintahan khalifah ini bermula dari tahun 11 Hijrah atau 632 Masihi sehingga 40 Hijrah atau 661 Masihi.

Selepas wafatnya baginda Rasulullah s.a.w, Saidina Abu Bakar mengambil alih tampuk pemerintahan dalam menyambung serta meneruskan kembali perjuangan Rasulullah s.a.w dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini serta menyebarkan risalah Rasulullah s.a.w kepada seluruh umat di alam ini. Dengan penuh ketegasan dan kasih sayang beliau menjalankan pemerintahan dan menyambung segala tugas-tugas negara yang ditinggalkan oleh Rasulullah.

Dalam mencorakkan pentadbiran negara Saidina Abu Bakar tidak banyak membuat perubahan. Beliau hanya meneruskan segala apa misi dan visi Rasulullah yang belum dilaksanakan. Jika ada perubahan yang dibuat hanyalah sedikit dan tidak ketara. Ini kerana Saidina Abu Bakar hanya sempat memerintah selama 2 tahun 3 bulan 10 hari sahaja. Dalam jangka masa yang singkat ini, beliau tetap melakukan yang terbaik demi menegakkan amanah yang dipikulnya. Inilah contoh teladan yang perlu diikuti oleh seluruh manusia pada hari ini dalam memakmurkan bumi serta menunaikan tanggungjawab yang di pegang.

2.1 Riwayat Hidup Abu Bakar

Beliau ialah Abdullah bin Abi Quhafah atau nama sebenar bapanya ialah Usman bin Amir. Ibunya bernama Umm al-Khair atau nama sebenarnya Salma Binti Sakhr bin Amir. Beliau berasal dari keturunan Bani Taim Bin Murrah Bin Ka’ab Bin Luai bin Kalb al-Quraisy. Nasabnya bertemu dengan Rasulullah pada Murrah. Saidina Abu Bakar dilahirkan pada tahun kedua di tahun Gajah. Ini menunjukkan bahawa beliau dua tahun lebih tua daripada Rasulullah s.a.w.

Sebelum Islam beliau dipanggil dengan gelaran Abu Ka’bah. Setelah memeluk Islam namanya bertukar kepada Abdullah. Selain itu beliau juga digelar Atiq yang bermaksud “yang dibebaskan”. Nama ini dinisbahkan kepada nama Ka’bah iaitu Bait al-Atiq. Ini kerana ibunya bernazar jika ia melahirkan anak lelaki akan diberi nama Abu Ka’bah serta akan disedekahkan kepada Ka’bah. Tetapi sumber lain mengatakan Atiq itu adalah julukan kepadanya kerana warna kulitnya yang putih. Saidatina ‘Aisyah r.a pernah bertanya Rasulullah s.a.w mengapa Abu Bakar diberi nama Atiq, baginda memberitahu bahawa Atiq adalah orang yang dibebaskan oleh Allah daripada api neraka. Gelaran Abu Bakar pula diberikan kerana beliau merupakan orang yang paling kuat agamanya berbanding dengan yang lain. Bakr bermaksud “Dini”.

Sebelum Rasulullah s.a.w diutuskan menjadi rasul, Saidina Abu Bakar merupakan salah seorang sahabat Nabi yang begitu akrab. Sejak muda lagi, beliau amat masyhur dikalangan penduduk Mekah sebagai seorang yang tinggi budi pekertinya, terpuji perangainya dan berdikari. Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang berjiwa kental, cekal hati, pemaaf, rendah diri, orang kaya yang dermawan serta cerdik didalam sesuatu tindakan. Inilah sahabat yang paling dicintai dan disayangi oleh Rasulullah s.a.w kerana merupakan orang yang setia ketika diwaktu senang dan diwaktu susah.

3.1 Kelayakan Abu Bakar

Jelas terbukti kepada kita bahawa Saidina Abu Bakar merupakan orang yang paling layak dan sesuai untuk menggantikan Rasulullah s.a.w di dalam memimpin umat Islam. Hal ini kerana beliau merupakan muslim pertama yang beriman kepada Allah s.w.t dan kepada Rasulullah s.a.w. Dan demi imannya itu dialah manusia yang paling banyak berkorban.

Selain itu, beliau sentiasa membenarkan segala apa yang diucapkan oleh baginda Rasulullah s.a.w walaupun perkara itu tidak dapat diterima oleh akal manusia-manusia yang tidak beriman kepada Allah ( Isra’ Mikraj) sehingga beliau digelar al-Siddiq. Sejak beliau memeluk Islam, amat besar sekali hasrat dan impiannya untuk membantu Nabi s.a.w dalam berdakwah demi menegakkan agama Allah serta membela kaum muslimin dan impian ini terbukti terlaksana. Perasaan cintanya kepada Rasulullah s.a.w amatlah tinggi melebihi cinta kepada dirinya sendiri.

Di samping itu, beliau merupakan kaum Quraisy yang mempunyai kedudukan yang tinggi dikalangan kaumnya juga ia termasuk seorang bangsawan lagi dermawan. Beliau mempunyai akhlak yang begitu teguh dan sempurna, cintanya terlalu besar kepada orang Islam lain serta sentiasa mendampingi Rasulullah dalam setiap peristiwa. Beliau telah merasai kepahitan dan kesenangan hidup bersama Nabi s.a.w sampai pada hari wafatnya Rasulullah s.a.w. Beliau juga yang dipilih oleh Rasulullah s.a.w untuk menemaninya ketika berlakunya hijrah dari Mekah ke Madinah dan juga pernah diberi penghormatan oleh Rasulullah iaitu menggantikan baginda Rasulullah mengimani solat di akhir hayat baginda.
[1]

Oleh yang demikian, amat wajarlah bagi kaum muslimin mengangkatnya menjadi khalifah menggantikan Rasulullah s.a.w. Ini bersesuaian dengan sikapnya dalam membela umat Islam dan menyebarkan Islam di muka bumi ini. Beliaulah yang memulai sejarah lahirnya kedaulatan Islam, kemudian menyebarkan ke seluruh Timur dan Barat, India, Morocco, Andalusia, Afrika , Eropah dan beberapa negara lagi.

4.1 Pentadbiran Di Zaman Saidina Abu Bakar

Saidina Abu Bakar telah menyambung segala kerja-kerja pentadbiran yang telah tergendala akibat kewafatan baginda Rasulullah s.a.w. Namun ia bukan menjadi satu masalah yang rumit kerana beliau hanya meneruskan kerja-kerja yang belum terlaksana yang ditinggalkan oleh Rasulullah. Namun terdapat juga cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapinya. Saidina Abu Bakar tidak banyak melakukan perubahan di dalam pentadbirannya. Di sini akan dijelaskan pentadbiran yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar selama 2 tahun 3 bulan 10 hari iaitu jangka masa pemerintahannya yang agak pendek.

4.1.1 Pidato Abu Bakar Setelah Dilantik Sebagai Khalifah

Setelah selesainya liku-liku di dalam perdebatan mengenai siapakah yang layak menggantikan Rasulullah di Saqifah Bani Saadah iaitu dengan terlantiknya Saidina Abu Bakar.

Oleh itu, setelah semua kaum muslimin memberi ikrar sebagai baiah umum sesudah selesainya baiah khusus di Saqifah maka Abu Bakar pun menyampaikan pidato yang pertamanya. Setelah mengucapkan puji syukur kepada Allah s.w.t Abu Bakar pun berkata:
“Kemudian, saudara-saudara. Saya sudah terpilih untuk memimpin kamu sekelian, dan saya bukanlah orang yang terbaik diantara kamu sekelian. Kalau saya berlaku baik, bantulah saya. Kebenaran adalah suatu kepercayaan dan dusta adalah pengkhianatan. Orang yang lemah dikalangan kamu adalah kuat dimata saya, sesudah haknya saya berikan kepadanya, insyaallah, dan orang yang kuat buat saya adalah lemah sesudah haknya nanti saya ambil, insyaallah. Apabila ada golongan yang meninggalkan perjuangan dijalan Allah, maka Allah akan menimpakan kehinaan kepada mereka. Apabila kejahatan itu sudah meluas pada suatu golongan, maka Allah akan menyebarkan bencana kepada mereka. Taatilah saya selama saya taat kepada (perintah) Allah dan RasulNya. Tetapi apabila saya melanggar (perintah) Allah dan Rasulullah maka gugurlah kesetiaanmu kepada saya. Laksanakanlah solat kamu, Allah akan merahmati kamu sekelian”.
[2]

Pidato pertama yang disampaikan setelah memegang jawatan khalifah ini penuh dengan intipati yang amat bermakna kepada seluruh kaum muslimin diwaktu itu serta amat berguna kepada umat hari ini sebagai teladan didalam memegang tampuk kepimpinan. Ini menunjukkan kepada kita bahawa jawatan khalifah atau presiden yang dipegang bukanlah satu perkara yang ringan dan menyeronokkan tetapi merupakan satu beban dan amanah yang besar yang akan disoal mengenai apa yang dipimpinnya.

4.1.2 Penyelesaian Isu Fadak

Perkara pertama yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar setelah dilantik menjadi ketua negara ialah menyelesaikan masalah berkaitan fadak. Dalam pengertian umumnya fadak ialah perbincangan mengenai harta peninggalan Nabi selepas kewafatan baginda.

Fadak asalnya merupakan sebuah kampung yang jaraknya beberapa batu dari Madinah yang termasuk dalam daerah Hijaz yang mana terletak berhampiran dengan Khaibar. Penduduknya terdiri daripada petani Yahudi yang kaya dengan hasil tamar dan gandum. Semasa hayat, Nabi telah mengutus Ali untuk memerangi golongan tersebut dan dapat ditawan. Justeru, Ali telah membuat perjanjian damai dengan separuh daripada apa yang mereka miliki diserahkan kepada Nabi. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 7 Hijrah bersamaan 628 Masihi.
[3]

Setelah kewafatan Rasulullah, para isteri baginda telah mengutuskan Saidina Usman untuk bertemu dengan khalifah iaitu Abu Bakar untuk bertanyakan berkaitan harta pusaka peninggalan Rasulullah ini untuk mereka. Tetapi sebelum para isteri Nabi menerima jawapan daripada Abu Bakar, anaknya Saidatina Aisyah terlebih dahulu mengatakan kepada mereka dengan membawa Sabda Rasulullah s.a.w :

“Kami para nabi tidak mempusakai dan apa yang kami tinggalkan menjadi sedekah ”.

Berkaitan isu fadak ini juga, dimana Fatimah dan al-Abbas datang menemui Abu Bakar dan meminta pusaka daripada peninggalan Rasulullah s.a.w iaitu mengenai tanah di fadak. Dengan ini, Abu Bakar menjelaskan kepada mereka berdua mengenai sabda Rasulullah yang mengatakan bahawa para Nabi tidak mempusakai dan segala apa yang mereka tinggalkan menjadi sedekah. Namun begitu, Abu Bakar menjelaskan lagi bahawa ahli keluarga Nabi boleh mengambil dari harta itu untuk nafkah mereka dan menyatakan : Demi Allah, aku tidak akan tinggalkan perkara yang aku lihat Rasulullah melakukannya, dan aku akan lakukan sebagaimana yang Rasulullah telah lakukan. Inilah penyelesaian yang penuh dengan ketegasan dan berprinsip yang telah ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar sebagai khalifah yang patut dijadikan contoh pemimpin masa kini.

4.1.3 Pengiriman Tentera Usamah

Apabila selesai semua masalah mengenai perlantikan imamah, perintah pertama yang dikeluarkan oleh Saidina Abu Bakar selaku khalifah ialah “Teruskan pengiriman tentera Usamah. Jangan seorang pun dari anggota pasukan Usamah yang tinggal di Madinah, harus pergi bergabung ke markasnya di Jurf”. Perintah ini telah mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk sahabat baiknya Saidina Umar.

Hal ini kerana pada waktu itu, terdapat pelbagai kejadian yang berlaku ekoran daripada kewafatan Rasulullah s.a.w. Di antara kejadian buruk yang melanda penduduk Islam di waktu itu ialah timbulnya golongan “Nabi Palsu”, golongan murtad dan golongan yang enggan membayar zakat. Di samping itu, antara faktor lain yang menyebabkan arahan pertama khalifah Abu Bakar diragui kerana Usamah yang dilantik oleh Rasulullah sebagai panglima perang pada ketika itu masih muda iaitu baru berusia 17 tahun. Ini menyebabkan kaum muslimin tidak meyakini kebolehan dan kewibawaan Usamah.

Kemudian, dengan penuh ketegasan Saidina Abu Bakar berdiri di tengah-tengah orang ramai serta mereka yang tidak mahu menuruti perintahnya dan berpidato:
“Saudara-saudara, aku seperti kamu sekalian. Aku tidak tahu, adakah kamu akan menugaskan aku melakukan sesuatu yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Allah telah memilih Muhammad untuk semesta alam dan dibebaskan dari segala cacat. Tetapi aku hanya seorang pengikut, bukan pembaharu. Kalau aku benar, ikutilah aku dan kalau aku sesat luruskanlah. Rasulullah wafat tiada seorang pun merasa dirugikan dan teraniaya. Padaku juga ada syaitan yang akan menjerumuskan aku. Kalau yang demikian terjadi jauhkanlah aku . . .”.

Akhirnya, kaum muslimin akur dengan perintah Saidina Abu Bakar. Maka pemerangkatan tentera Usamah dilangsungkan juga. Inilah ketegasan dan kebijaksanaan seorang pemimpin dalam mengendalikan urusan-urusan negara walaupun terpaksa menerima pelbagai rintangan serta cabaran yang besar dan hebat. Daripada ketegasan Saidina Abu Bakar dalam melaksanakan serta meneruskan agenda yang dirangkakan oleh Rasulullah, maka Allah s.w.t menyaksikan kepada kita bahawa selama 40 hari lamanya pertempuran hebat dengan musuh , maka pasukan tentera Usamah pulang dengan kemenangan yang amat bermakna kepada Saidina Abu Bakar serta seluruh umat Islam.

4.1.4 Membanteras Golongan Yang Enggan Membayar Zakat

Setelah ketiadaan Rasulullah s.a.w terdapat golongan-golongan yang enggan membayar zakat. Keengganan membayar zakat ini sama ada disebabkan kedekut dan merasa rugi untuk mengorbankan harta hasil keletihan sehari-hari didalam mencarinya. Selain itu, terdapat juga yang beranggapan bahawa bayaran itu sudah tidak lagi berlaku setelah kewafatan Rasulullah. Terdapat juga sebahagian yang tidak mahu bayar zakat kerana menyatakan bahawa dalam hal ini mereka tidak tunduk kepada Saidina Abu Bakar.

Dalam menyelesaikan masalah yang besar ini Saidina Abu Bakar telah memanggil semua ahli mesyuarat kerajaan pada masa itu untuk mengadakan persidangan membincangkan mengenai tindakan yang akan dikenakan kepada golongan yang enggan membayar zakat ini. Dalam hal ini sebahagian besar menyetujui pendapat Saidina Umar untuk tidak memerangi umat yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Manakala hanya sebahagian kecil sahaja yang berpendapat menghendaki jalan kekerasan. Maka terjadilah perdebatan sehingga Saidina Abu Bakar melibatkan diri dengan penuh ketegasan dan keras pendiriannya menyatakan:

“Demi Allah, orang yang keberatan menunaikan zakat kepadaku, yang dulu mereka lakukan kepada Rasulullah s.a.w, akan kuperangi”.

Kata-kata dan pendirian Abu Bakar yang tidak ada sebarang tolok ansur dan tawar menawar ini menyebabkan Saidina Umar tidak berpuas hati kerana memikirkan jalan kekerasan ini akan mengakibatkan bahaya kepada kaum Muslimin. Tanpa ragu Saidina Abu Bakar lantas menjawab kekhuatiran Saidina Umar dengan menyatakan dengan tegas:
“Demi Allah, aku akan memerangi sesiapa pun yang memisahkan solat dengan zakat. Zakat adalah hak harta. Dikatakan “kecuali dengan alasan”. Dengan ketegasan ini telah meyakinkan Umar dengan berkata:
“Demi Allah, tiada lain yang harus kukatakan, semoga Allah melapangkan dada Abu Bakar dalam berperang. Aku tahu dia benar.

Dengan persetujuan semua pihak didalam mesyuarat tersebut maka golongan yang enggan membayar zakat akan diperangi kerana mereka bukan lagi termasuk didalam golongan yang beriman malah mereka telah kafir kerana memisahkan perintah zakat dengan perintah-perintah Allah yang lain. Abu Bakar sendiri yang memimpin tenteranya dalam memerangi golongan ini. Inilah kehebatan seorang khalifah yang bernama Abu Bakar. Dengan imannya yang begitu kuat beserta ketabahan dan keteguhan hati dalam menghapuskan kaum yang menentang suruhan Allah ini perlu ditedalani dan dicontohi oleh seluruh umat Islam dan pemimpin Islam masa kini.

Di sini terbukti kepada kita bahawa demi suruhan Allah dan RasulNya, Abu Bakar dengan berbentengkan imannya dan iman para sahabat beserta pertolongan Allah memperolehi kemenangan yang mana kemenangan ini menanamkan pengaruh yang besar dalam hati kaum Muslimin. Iman yang begitu mantap, yang tidak dapat dikalahkan oleh maut dan oleh kesenangan kehidupan dunia itulah yang menjaga Islam dalam kemurnian dan keutuhannya pada saat yang genting diwaktu itu dan amatlah wajar diaplikasikan pada masa sekarang, di zaman yang umatnya sentiasa mempertikaikan segala hak-hak dan suruhan Allah dan RasulNya.

4.1.5 Memerangi Golongan Murtad (Riddah)

Allah s.w.t telah menguji mereka dengan murtadnya di kalangan orang-orang Islam setelah kewafatan Rasulullah. Golongan ini sebenarnya tidak beriman, secara zahir sahaja mereka telah Islam tetapi hati mereka kosong. Mereka cuba menentang pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin Saidina Abu Bakar tetapi keazaman kuat khalifah dan para sahabat tidak tergugat malah berjaya menghapuskan golongan ini. Antara sifat murtad golongan ini termasuklah tidak mahu menunaikan zakat serta golongan nabi palsu.

Semenjak Rasulullah s.a.w hidup lagi, sudah timbul golongan pelampau yang mendakwa diri mereka sebagai nabi. Mereka ialah Tulaihah di kabilah Banu Asad, Aswad di Yaman, Sajah Binti Haris di perbatasan Banu Yarbu’ dan Musailamah di Yamamah. Rasulullah s.a.w telah memerintahkan agar menangani siapa saja yang murtad. Di dalam suasana kaum muslimin yang sudah bersedia menghadapi situasi ini, tiba-tiba tersiar berita mengenai Rasulullah s.a.w telah pulang ke rahmatullah. Dengan golongan yang mengaku nabi palsu ini mulalah giat memainkan peranan di dalam membuktikan bahawa diri mereka adalah nabi. Hal ini kerana mereka mengatakan bahawa Nabi Muhammad telah mati dan mereka tidak mati.

Sebelum Saidina Abu Bakar memerangi golongan murtad ini, beliau telah mengadakan satu gerakan damai agar mereka kembali beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak akan diperangi. Kemudian setelah mengingatkan supaya orang ramai tetap bertakwa kepada Allah dan bertahan dengan agamanya, beliau berkata:
“Saya diberitahu adanya orang-orang yang telah meninggalkan agamanya setelah berikrar memeluk Islam dan menjalankan segala syariatnya kemudian kembali tidak lagi mengendahkan Allah dan perintahnya serta mengikuti kehendak syaitan. Maka saya sudah mengeluarkan perintah kepada pasukan bersenjata agar tidak memerangi dan membunuh sesiapa pun sebelum diajak agar kembali mematuhi ajaran Allah tetapi barangsiapa yang membantah dan menentang maka harus diperangi dan jangan ada yang ditinggalkan”.

Oleh itu, beliau sendiri yang memimpin gerakan di dalam menghapuskan golongan riddah ini. Pentadbiran kota Madinah diserahkan kepada orang lain untuk sementara waktu. Beliau telah mengatur strategi pihak tenteranya dalam mengalahkan kaum-kaum pemberontak itu. Kemudian tentera diarah ke Zul Qissah, kira-kira 10 batu dari Madinah. Disanalah dibahagikan 11 bendera kepada 11 orang panglima perang iaitu:

Ø Khalid bin al-Walid, memerangi Tulaihah bin Khuwailid al-Asadi di negeri Bazaakhah. Kalau selesai di situ maka teruskan memerangi Malik bin Nuwairah di negeri Bat’thaah.
Ø Ikrimah bin Abu Jahal, memerangi Musailamah di Yamamah.
Ø Dibelakang Ikrimah disusuli oleh tentera Syurahbil bin Hasanah.
Ø Al-Muhajir bin Abu Umaiyah ke Yaman, memerangi al-Aswad al-‘Ansi.
Ø Huzaifah bin Mihsan ke negeri Daba di Oman.
Ø ‘Arfajah bin Harsamah ke negeri Muhrah.
Ø Suwaid bin Mukrin ke Tihamah di Yaman
Ø Al-‘Ala bin al-Hadhramiy ke negeri Bahrain.
Ø Thuraifah bin Hajiz ke negeri Bani Sulaim dan Hawazin.
Ø ‘Amru bin al-Ash ke negeri Qudha’ah.
Ø Khalid bin Sa’id ke tanah-tanah tinggi Syam.
[4]

Berbekalkan keimanan yang teguh dan keyakinan kepada Allah semata-mata serta kesetiaan kesemua panglima-panglima tentera ini, di dalam masa yang singkat, seluruh pemberontakan dan huru hara yang ditimbulkan oleh beberapa orang yang mengakui dirinya Nabi, atau yang hendak mencari keuntungan diri, memecahkan persatuan agama telah berjaya dihapuskan sepenuhnya tanpa ada yang ditinggalkan lagi. Itulah salah satu daripada kemuliaan yang tidak dapat dilupakan yang berlaku sewaktu pemerintahan seorang khalifah agung iaitu Saidina Abu Bakar al-Siddiq.

4.1.6 Penaklukan Iraq

Pada ketika itu, negeri Iraq berada dibawah kekuasaan orang Parsi. Pemerintahan Parsi pada waktu itu sangat zalim serta melakukan penindasan terhadap penduduk-penduduk petani di Iraq. Kebanyakan penduduk Iraq bekerja sebagai petani untuk menyara kehidupan seharian. Tetapi hasil pendapatan mereka amat sedikit kerana sebahagian besar dari hasil itu jatuh ketangan pejabat-pejabat Parsi.

Saidina Abu Bakar telah mengeluarkan perintah agar petani-petani Arab di Iraq diperlakukan dengan baik, jangan ada yang dibunuh atau ditawan, tetapi mereka tetap diperlakukan dengan hina dan kejam serta mengalami penindasan dibawah cengkaman Parsi. Dari hal yang demikian maka Saidina Abu Bakar telah mengambil jalan penaklukan dalam menyelamatkan nyawa dan keselamatan penduduk Iraq. Dengan ini, Khalid al-Walid iaitu panglima perang yang sangat terkenal dengan kehebatan dan ketangkasannya telah ditugaskan dalam ekspedisi penaklukan ini.

Tidak lama kemudian, Khalid al-Walid dengan patuh menerima perintah khalifah dengan menyusun pasukannya yang terdiri daripada bala tenteranya seramai lapan ribu orang dari suku Rabi’ah dan Mudar, di samping dua ribu orang yang telah tersedia (tentera yang berperang di Yamamah). Sebelum ini pun telah ada tentera Islam yang sudah ke Iraq iaitu seramai 8000 yang dipimpin oleh Musanna sebagai panglima. Setelah berangkat ke Iraq, berlakulah peperangan di antara tentera Islam menentang tentera kuffar Parsi dengan begitu sengit dan akhirnya kemenangan berpihak kepada kaum muslimin.

Ekspedisi penaklukan yang pertama ini meninggalkan kesan yang besar yang dapat membangkitkan semangat pasukan muslimin dalam operasi-operasi penaklukan yang seterusnya. Dengan ini selesailah operasi pembebasan golongan-golongan petani daripada dizalimi dan ditindas oleh pemerintah Parsi. Orang-orang keturunan Parsi yang ikut berperang membantu Parsi ditangkap dan ditawan. Manakala golongan petani dibiarkan bebas tanpa diganggu. Mereka yang tidak ikut berperang diberi perlindungan sebagai Zimmi. Inilah kebijakan Saidina Abu Bakar di dalam menangani masalah petani Arab di Iraq itu dan secara tidak langsung dapat menakluki Iraq.

4.1.7 Penaklukan Parsi

Setelah selesai sudah peperangan diantara kaum muslimin dengan tentera Parsi di Iraq dan Iraq jatuh dibawah naungan pemerintahan Islam Saidina Abu Bakar beralih pula kepada misi keduanya iaitu menakluki Parsi.

Untuk misi ini diangkatnya Saifullah Khalid al-Walid sebagai panglima perang. Setelah diatur barisan tentera yang lengkap bersenjata berbekalkan strategi-strategi peperangan yang unik serta keyakinan yang jitu kepada Allah maka tentera Islam mula bergerak menuju ke Parsi. Operasi penaklukan bermula, tentera Khalid berjaya masuk ke negeri Parsi, bermula dari Sungai Furat sampai ke Ubullah, melingkungi Syam, Iraq dan Jazirah dan juga sebelah timur Sungai Furat.

Di beberapa tempat yang lain pahlawan hebat ini telah bertempur dengan tentera-tentera Parsi, Rumawi dan Arab. Namanya kian menakutkan pihak musuh. Namanya terlebih dahulu menggemparkan musuh-musuh di tempat yang belum dimasukinya. Setiap tempat yang dimasukinya akan ditawan dan disana diangkat seorang amir yang akan mengatur mengenai kharaj kepada ahli zimmah. Akhirnya satu persatu negeri dan tempat di Negara Parsi yang ditawan dan ditakluki oleh Khalid bersama bala tenteranya.

Dengan ini, akhirnya Parsi berada dibawah naungan pemerintahan Islam. Kehebatan Khalid didalam penaklukan ini memberi satu tamparan hebat kepada Negara Rom iaitu satu kuasa besar yang setanding Parsi pada waktu itu. Ini kerana puak Rom telah mengetahui akan kehebatan Khalid. Mereka melihat bagaimana orang-orang Parsi dan Arab disembelih dan dibunuh dengan ngerinya dalam menghadapi pukulan Khalid bersama tenteranya. Inilah satu lagi kejayaan umat Islam pada ketika itu yang berada dibawah pentadbiran khalifah agung Saidina Abu Bakar al-Siddiq.

4.1.8 Penaklukan Syam

Kini tibalah pula masa bagi menakluki sebuah lagi kuasa besar di Semenanjung Arab iaitu Negeri Syam. Untuk menakluki Syam, Saidina Abu Bakar telah mengutuskan surat kepada penduduk Mekah, Thaif, Yaman dan seluruh negeri Arab, hingga ke Najd serta seluruh Hijaz diarahkan bersiap sedia untuk mengatur sala bala tentera yang besar, yang akan melakukan satu peperangan yang besar iaitu menakluki negeri Syam, pusat kerajaan Rom pada masa itu.


Setiap panglima perang telah ditentukan tempat tinggal mereka masing-masing sebelum negeri itu dimasuki. Panglima-panglima dibahagikan tempat mereka iaitu:

Ø Abu ‘Ubaidah di Hems
Ø Yazid bin Abu Sufyan di Damsyik
Ø Syurahbil bin Hasanah di negeri Jordan
Ø Amru bin al-Ash dan Alqamah bin al-Munzir di negeri Palestin.
Ø Jika selesai di Palestin maka Alqamah akan meneruskan perjalanan ke Mesir

Ketika penaklukan Syam ini satu peperangan yang hebat dan besar yang berlaku dan ia dikenali sebagai “Peperangan Yarmuk” iaitu suatu sungai besar. Sudah berhari-hari peperangan berlaku tetapi tiada tanda-tanda kemenangan dan belum juga berakhir dengan baik. Hal ini kerana komander-komander bergerak dengan sendiri-sendiri kerana panglima perang yang utama untuk menyatukan komander tidak ada. Dalam suasana yang genting ini muncullah Saifullah Khalid al-Walid pahlawan yang digeruni mengumpulkan semua panglima perang kemudian beliau berpidato yang berapi-api untuk menaikkan semangat mereka.

Dengan kedatangan Khalid, tentera-tentera Islam yang berada di bawah pimpinannya mula menunjukkan tanda-tanda kemenangan. Akhirnya tentera Islam memperolehi kemenangan yang besar di bawah pimpinan Khalid. Lebih daripada 100,000 tentera Rom yang terbunuh di dalam peperangan ini. Ketika kemenangan ini dicapai Saidina Abu Bakar telah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir dan telah digantikan dengan pentadbiran dibawah kekuasaan Saidina Umar al-Khattab.

4.1.9 Pengumpulan al-Quran

Selain daripada ekspedisi penaklukan terdapat juga perkara yang mulia yang dilakukan semasa pentadbiran Saidina Abu Bakar iaitu pengumpulan al-Quran. Perkara ini diutamakan kerana setelah berlakunya gerakan riddah, ramai para sahabat (penghafal) al-Quran telah meninggal dunia.

Perkara ini telah dicadangkan oleh Saidina Umar al-Khattab kepada Saidina Abu Bakar kerana Umar memikirkan bahawa ketika peperangan di Yamamah ramai penghafal al-Quran terbunuhdan terdapat banyak lagi peperangan, jika ada lagi penghafal yang syahid maka Quran akan hilang dan lenyap maka lebih baik ia dihimpunkan. Oleh kerana perkara ini belum difikirkan oleh Abu Bakar maka beliau pun lantas bertanyakan Umar:
“Bagaimana aku akan melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ?”.
dengan ini, maka berlakulah dialog panjang diantara dua tokoh terkemuka ini dan akhirnya terbuka hati Abu Bakar dan beliau bersetuju dengan cadangan Umar itu.

Oleh itu, satu badan telah ditubuhkan untuk tujuan tersebut dimana ia terdiri daripada penghafal-penghafal al-Quran. Di antara langkah-langkah yang diambil ialah:
Badan ini telah mengiklankan di Madinah tentang sesiapa yang ada menyimpan tulisan ayat-ayat al-Quran hendaklah mengemukakan kepada badan ini. Di antara mereka yang bertugas dalam badan ini ialah Zaid bi Thabit dan Ubai bin Kaab.
Apabila mengemukakan ayat tersebut hendaklah disahkan oleh dua orang saksi bahawa tulisan tersebut ditulis pada zaman Rasulullah s.a.w dan diimlak dihadapan baginda. Apabila syarat tersebut dipenuhi barulah ia diterima.
Mashaf ini telah ditulis dan disalin daripada apa yang ditulis pada zaman Rasulullah s.a.w. Baris dan titik tidak diletakkan supaya mereka yang ingin membacanya perlu ada orang (guru) yang pandai membacanya.
[5]

Mashaf yang ditulis pada waktu itu telah dijaga dengan baik. Hal ini kerana ditakuti akan berlakunya penyelewengan oleh musuh-musuh Islam pada ketika itu. Amat bernasib baiklah umat Islam kerana Abu Bakar telah menerima saranan Umar untuk mengumpulkan ayat-ayat al-Quran. Ini kerana pada zaman Saidina Usman telah berlaku perselisihan didalam pembacaan. Daripada masalah inilah Saidina Usman telah membukukan al-Quran menjadikan mashaf yang sempurna. Usman menggunakan mashaf Abu Bakar sebagai pedoman untuk menyatukan bacaan.

Jika Saidina Abu Bakar tidak mahu mengumpulkan al-Quran, nescaya perselisihan itu akan berlarutan dan bencana akan menimpa kaum muslimin. Usaha Abu Bakar telah menyelamatkan mereka (umat Islam) di waktu itu (pentadbiran Usman). Berkata Saidina Ali bin Abi Talib di dalam masalah ini:
“Semoga Allah memberi rahmat kepada Abu Bakar. Orang yang paling besar jasanya dalam mengumpulkan al-Quran ialah Abu Bakar. Semoga Allah memberi rahmat kepada Abu Bakar. Dialah yang pertama kali menghimpunkan al-Quran”.

Inilah diantara perkara penting yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar diwaktu pemerintahannya. Perkara ini bukan sahaja berguna kepada umat terdahulu malah ia amat penting dan berguna juga untuk kita pada masa sekarang. Oleh itu, jadikanlah al-Quran sebagai satu panduan dan petunjuk di dalam menjalani kehidupan seharian tidak kira didalam apa jua perkara sekalipun kerana ia mengandungi segala apa yang diperlukan oleh manusia.

5.1 Keperibadian Tinggi Dalam Pentadbiran

Selain terkenal kerana ketakwaannya Saidina Abu Bakar juga dengan keadilan dan kezuhudannya. Beliau selalu mengambil berat tentang rakyatnya juga dirinya sendiri agar bersih dari sebarang yang diharamkan. Disini akan dipaparkan dua contoh keperibadiannya yang tinggi yang diaplikasikan olehnya didalam menjalankan pentadbirannya.

5.1.1 Menguruskan Bait al-Mal

Sejak Abu Bakar memegang tampuk pemerintahan, banyak perluasan kuasa keatas dunia luar berlaku bagi menyebarkan ajaran Islam. Oleh itu, banyak peperangan yang berlaku. Hasil daripada peperangan itu banyak kemenangan yang dicapai, maka disinilah timbulnya idea Abu Bakar untuk menentukan satu tempat untuk menyimpan dan mengumpulkan harta-harta rampasan perang dan harta-harta negara. Tempat ini dinamakan Bait al-Mal.

Di dalam penubuhan Bait al-Mal ini Abu Ubaidah dilantik sebagai bendahari yang pertama. Beliau ditugaskan menjaga pembendaharaan negara yang terletak di Sunh, iaitu tempat penginapan Abu Bakar sendiri. Hal ini adalah untuk memastikan semuanya dapat berjalan dengan lancar. Harta dari Bait al-Mal dibahagikan sama rata kepada rakyat tanpa mengira perbezaan umur dan jantina sepertimana yang pernah diucapkan oleh beliau:
“Jangan kamu memandang rendah sesama kamu, mungkin mereka disisi Allah merupakan yang paling baik sekali”.

Enam bulan pertama semasa pemerintahan Abu Bakar, beliau menggunakan hartanya sendiri untuk perbelanjaannya dan keluarganya. Selepas itu apabila Umar mendapati Abu Bakar berbuat demikian maka Umar menegurnya memandangkan beliau sebagai seorang khalifah, maka diadakan perbincangan. Hasil daripada perbincangan itu telah diperuntukkan 6 ribu dirham untuknya dan keluarganya.

Abu Bakar merupakan seorang yang berhati-hati didalam membelanjakan harta yang ada padanya. Ini dapat dilihat dari satu riwayat yang menyatakan bahawa pada suatu hari isterinya telah menhidangkan satu hidangan yang lazat, beliau pun bertanya kepada isterinya dari mana ia diperolehinya. Isterinya menerangkan bahawa dia telah mengumpulkan wang perbelanjaannya setiap hari sedikit demi sedikit dan dengan wang itulah hidangan itu tersedia. Setelah mendengar penjelasan isterinya itu, Abu Bakar meminta agar isterinya melakukan apa yang telah dilakukannya selama ini. Setelah wang yang dikumpulkan itu telah banyak, lalu Abu Bakar mengambil wang itu kemudian diserahkan kepada Bait al-Mal. Baginya wang itu adalah lebihan dari perbelanjaannya.

Ketika beliau hampir kepada ajalnya, beliau meminta supaya baki dari harta yang ada padanya dikembalikan semuanya ke Bait al-Mal. Harta yang ada padanya ketika itu lebih kurang 5 dirham dimana beliau menyerahkan kepada Umar untuk diuruskannya. Beliau juga telah mewasiatkan agar tanahnya yang ada supaya dijual dan wangnya diserahkan kepada Bait al-Mal sebagai ganti kepada apa yang diambilnya. Tindakan ini membuktikan bahawa Saidina Abu Bakar sebagai seorang pemimpin yang benar-benar mengambil berat setiap sen yang diambilnya dari harta kerajaan malah ketika kematiannya beliau tidak meninggalkan hartanya walaupun sedirham.

5.1.2 Pengadilan Dan Kehakiman

Walaupun pemerintahan Saidina Abu Bakar tidak lama dari segi masa pemerintahannya, tetapi beliau berjaya membentuk sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang teguh dengan ikatan ukhuwwah Islamiah, masyarakat yang bersatu padu mendokong cita-cita Islam sehingga tertegaknya sebuah negara Islam yang berpuluh-puluh abad lamanya.

Di masa pemerintahannya beliau tidak membezakan antara golongan pemerintah dengan rakyat yang diperintahnya yang mana pada pandangan beliau kerajaan adalah hak rakyat yang diamanahkan kepadanya dimana mereka berpegang pada satu hukum bukan ciptaan mereka sendiri tetapi diturunkan oleh Allah s.w.t. Berdasarkan pandangan inilah menyebabkan wujudnya satu kehidupan yang harmoni dikalangan masyarakat Islam. Sebagai seorang pemerintah, beliau tidak dapat lari dari permasalahan kehakiman. Beliau amat berhati-hati didalam menjalankan dan menjatuhkan sebarang hukuman. Oleh itu beliau sering mengadakan siasatan yang teliti sebelum menjatuhkan sebarang hukuman agar tiada yang teraniaya.

Bagi menyelesaikan sebarang permasalahan, beliau mengambil 5 langkah untuk menyelesaikan sebarang permasalahannya. 5 langkah tersebut ialah:

Beliau akan merujuk kepada al-Quran dan perhatikan adakah kesalahan itu bertepatan dengan larangan Allah disamping melihat kepada hukumannya.
Selepas dirujuk kepada al-Quran kemudian beliau membuat kajian tentang apa yang diputuskan oleh Rasulullah dalam kes-kes yang berlaku. Kajian itu meliputi apa yang dibuat oleh Rasulullah sama ada kata-katanya, perbuatannya dan pengakuannya.
Kemudian beliau mengkaji kejadian tersebut apakah bersamaan dengan apa yang dikehendaki oleh al-Quran dan Hadis serta dari sudut Qias.
Jika tiada keputusan lagi, maka dikumpulkan sahabatnya untuk memberikan pandangan melalui pengetahuan mereka.
Seterusnya jika tiada juga keputusan, beliau akan berijtihad sendiri lalu berkata: “Pandangan saya ini kalau betul dari Allah dan kalau salah ianya dari saya sendiri”.
[6]

Terdapat satu kisah dari keputusan ijtihadnya ini dimana beliau menjatuhkan hukuman keatas seorang wanita yang berzina. Setelah disiasat didapati bahawa wanita itu berzina kerana terpaksa dan bukan dengan kerelaannya. Setelah diadili wanita itu tidak direjam sebagaimana yang sepatutnya. Dari sini jelaslah kepada kita Saidina Abu Bakar merupakan khalifah yang pertama yang berijtihad untuk kemaslahatan orang ramai.

6.1 Abu Bakar Jatuh Sakit

Terdapat sumber yang mengatakan bahawa Saidina Abu Bakar mati diracun. Tetapi sumber ini tidak sahih dan tidak layak untuk dipercayai. Mengenai sakitnya khalifah agung ini, menurut sumber daripada puterinya Aisyah r.a mengatakan bahawa Abu Bakar mulai jatuh sakit iaitu pada hari yang sangat dingin selepas beliau mandi lalu selama 15 hari dia merasa demam iaitu pada 7 haribulan Jamadil Akhir tahun ketiga belas hijrah. Dengan ini selama itulah beliau tidak keluar rumah untuk melaksanakan solat dan dia meminta Saidina Umar untuk menggantikan tempatnya.

Walaupun beliau jatuh sakit, tetapi selama dua minggu sakitnya itu beliau hanya memikirkan mengenai nasib kaum muslimin, selalu membuat perhitungan dengan dirinya apa yang telah dilakukannya sejak ia mula memegang tampuk pemerintahan. Sejak sakit fikirannya amat kuat berpendapat bahawa ajalnya sudah hampir tiba dan dia akan bertemu dengan tuhannya. Hal ini membuatkan ia rasa gembira, puas kerana dia merasa sudah melaksanakan segala kewajipannya kepada Allah s.w.t.

Di dalam waktu sakit itu perkara yang sering menghantui fikirannya ialah kerisauannya terhadap kaum muslimin sesudah ketiadaannya nanti. Teringat olehnya terdapat perbezaan pendapat antara kaum Muhajirin dan Ansar ketika wafatnya Rasulullah. Tetapi jika berlaku perselisihan selepas kematiannya, nescaya perselisihan ini adalah jauh lebih hebat dan lebih besar. Ini kerana kali ini persilisihan bukan sahaja terbatas di Saqifah Banu Sa’idah malah akan menjalar sampai ke Mekah, Thaif dan mungkin melarat hingga ke Yaman. Pada saat itu juga kebanyakan kaum muslimin sedang hebat bertarung menentang dua kuasa besar iaitu singa Parsi dan Rumawi (Rom).

Oleh yang demikian, walaupun sedang sakit dan jiwanya di dalam kekusutan beliau terus memikirkan bagaimana cara yang perlu diambil dalam menyelesaikan masalah yang akan berlaku selepas ketiadaannya. Maka dengan ini Allah s.w.t telah membukakan satu jalan yang terbaik kepadanya iaitu beliau harus mencari orang yang akan menggantikannya. Walaupun cara ini tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w tetapi inilah hikmah yang telah dikurniakan kepadanya.

Dengan ini beliau melantik Saidina Umar menggantikannya didalam meneruskan urusan-urusan pentadbiran negara yang akan ditinggalkannya untuk selama-lamanya. Inilah sifat seorang pemimpin agung yang masih menunaikan tanggungjawabnya walaupun pada saat-saat akhir kehidupannya.

7.1 Wafatnya Pentadbir Yang Agung

Setelah menderita sakit selama 15 hari, maka wafatlah seorang pentadbir agung dengan penuh kerahmatan iaitu pada 21 Jamadil Akhir tahun 13 hijrah di hari Isnin bersamaan 22 Ogos 634 dalam usia 63 tahun.

Beliau wafat pada waktu petang setelah terbenam matahari dan dimakamkan malam itu juga. Jenazahnya dimandikan oleh isterinya Asma’ binti Umais dengan dibantu oleh anaknya Abd al-Rahman. Jenazahnya dimakamkan di masjid iaitu dikamar ‘Aisyah di samping makam sahabatnya yang mulia Rasulullah s.a.w.

Abu Bakar dikuburkan dalam lubang yang digali disamping makam Nabi. Kepalanya dibahu Rasulullah dan lahadnya dengan lahad Nabi berdampingan. Dengan ini tersemadilah jasad agung seorang khalifah yang paling teguh imannya kepada Allah dan RasulNya.

8.1 Penutup

Jelaslah kepada kita bahawa pentadbiran Saidina Abu Bakar al-Siddiq merupakan satu pentadbiran yang patut diteladani pada masa kini. Walaupun pentadbirannya diliputi dengan pelbagai cabaran yang amat getir namun berbekalkan iman yang teguh dan keyakinan yang jitu kepada Allah segala rintangan dan cabaran dapat dilenyapkan.

Zaman kekhalifahan awal ini menggambarkan kepada kita bahawa betapa susahnya untuk menegakkan agama Allah selepas ketiadaan baginda Rasulullah namun berbekalkan panduan yang di tinggalkan baginda, al-Quran dan al-Sunnah maka pentadbiran akan diberkati dan dilindungi oleh Allah.Dengan ini Saidina Abu Bakar menunjukkan panduan terbaik didalam pemerintahannya sebagai satu contoh yang dapat diikuti didalam pemerintahan dimasa kini. Era kegemilangan ini akan berulang kembali jika kita mengikuti sebagaimana yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar dan khulafa’ al-Rasyidin selepasnya.

9.1 Rujukan

1. Ab. Latif B. Muda&Rosmawati Ali@Mat Zin. 1998. Pengantar ilmu tauhid. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.

2. Ahmad Redzuwan Mohd Yunus. 2001. Sejarah dakwah. Kuala Lumpur: Utusan Publications& Distributors Sdn Bhd.

Hamka. 1994. Sejarah Umat Islam. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.

Muhammad Baihaqi.2000. Kisah-kisah lelaki teladan. Selangor:Pustaka Ilmi.

5. Muhammad Husain Haekal. 1996. Abu Bakar al-Siddiq. Terj. Ali Audah. Kuala Lumpur: Victory Agency.

6. Rosnah Harun.1988. Kepimpinan khulafa’ al-Rasyidin: Fokus kepada Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khattab. Latihan Ilmiah.Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.


NOTA KAKI:

[1] Muhammad Baihaqi.2000. Kisah-kisah lelaki teladan. Selangor:Pustaka Ilmi.

[2]Muhammad Husain Haekal. 1996. Abu Bakar al-Siddiq. Terj. Ali Audah. Kuala Lumpur: Victory Agency.
[3]Ab. Latif B. Muda&Rosmawati Ali@Mat Zin. 1998. Pengantar ilmu tauhid. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.

[4] Hamka. 1994. Sejarah Umat Islam. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.

[5] Ahmad Redzuwan Mohd Yunus. 2001. Sejarah dakwah. Kuala Lumpur: Utusan Publications& Distributors Sdn Bhd.

[6] Rosnah Harun.1988. Kepimpinan khulafa’ al-Rasyidin: Fokus kepada Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khattab. Latihan Ilmiah.Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan