Jumaat, 21 September 2007

ARTIKEL ILMIAH 3

DAKWAH BIL LISAN

1.0 PENDAHULUAN

Antara metod utama penyampaian dakwah adalah melalui lisan. Metod ini merupakan antara cara yang paling berkesan di dalam penyampaian dakwah. Ini kerana, melalui lisan da’ie dapat menerangkan, memberitahu, mengingatkan dan berinteraksi dengan mad’u dengan secara langsung. Dengan itu, setiap da’ie perlu menguasai metod ini untuk memantap dan memudahkan lagi usaha dakwah mereka.

Di dalam kertas kerja ini, saya akan mengupas mengenai metod dakwah melaui lisan ini dengan lebih terperinci lagi. Antara topik yang akan diperjelaskan di dalam kertas kerja ini adalah definisi lisan, beberapa bentuk dakwah melalui lisan dan kepentingan penyampaian dakwah melalui lisan ini.

2.0 TAKRIF DAKWAH BI AL-LISAN

Menurut bahasa: Al-Quran telah menyebut perkataan al-lisan pada 15 tempat yang merujuk kepada 3 makna utama:

Pertama: Lisan memberi erti bahasa yang diguna pakai atau diucapkan oleh manusia. Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 4 :

وما أرسلنا من رسول إلا بلسان قومه ليبين لهم فيضل الله من يشاء ويهدي من يشاء وهو العزيز الحكيم
Maksudnya :
“Dan kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), dan Dialah juga Yang Maha Kuasa dan Maha Bijaksana.”

Kedua: Menyifatkan Lisan itu sendiri. Firman Alah di dalam surah Maryam ayat 50 :

ووهبنا لهم من رحمتنا وجعلنا لهم لسان صدق عليا

Maksudnya :

“Dan kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dikalangan umat manusia”.

Ketiga: Bentuk fizikal lidah yang dijadikan Allah SWT kepada semua manusia di mana ia bertanggungjawab menjalankan tanggungjawabnya samada dalam bidang keagamaan atau duniawi. Firman Allah SWT di dalam surah al-Balad ayat 8 :

ألم نجعل له عينين ولسانا وشفتين
Maksudnya ;
“Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah? Tidakkah Kami telah menjadikan baginya, dua mata (untuk memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)?”

Istilah : lisan ialah suatu anugerah Allah kepada manusia melalui perantaraan kata-kata yang dapat didengar dan difahami serta menjadikannya bahasa perantaraan kepada komunikasi antara manusia.

Lisan mempunyai peranan dan tanggungjawab dan faedahnya yang tersendiri. Oleh yang demikian seseorang akan dikutuk dan dihina apabila mereka menyalahgunakan lidah didunia dan akan dihisab serta dihitung di akhirat nanti. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nur ayat 24 : ( Sulaiman Ibrahim, Ahmad Asnawi Hj. Hassan, Berhanundin Abdullah, Fariza Md. Sham : 2001 : 277 ).

يوم تشهد عليهم ألسنتهم وأيديهم وأرجلهم بما كانوا يعملوون


Maksudnya :

“Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan”.


3.0 TANGGUNGJAWAB SERTA PERANAN LISAN

Lisan mempunyai dua fungsi atau peranan utama iaitu :-

3.1 Peranan Buruk
Antara perkara buruk yang selalu di lakukan secara lisan atau dengan lidah adalah seperti menghina, mengumpat, memfitnah, berbohong, memburuk-burukkan orang lain, menipu,bertengkar, jidal yang tidak baik, mendedahkan rahsia dan sebagainya. Rasulullah s.a.w bersabda :

قال رسول الله لمعاذ : ثكلتك امك يا معاذ وهل يكب الناس على وجوههم فى النار الا حصائد ألسنتكم
Maksudnya :
“ Bersabda Rasulullah kepada Muaz : Malang sungguh ibumu wahai Muaz! Tidaaklah manusia dihumbankan muka atau tengkuk mereka dalam api neraka kecuali kerana hasil tuaian lidah-lidah mereka”.

3.2 Peranan Baik
Lidah serta lisan juga memainkan peranan yang baik atau bertanggungjawab untuk berzikir, bersyukur, membaca al-Quran, mengajak manusia menunaikan solat ( azan ), menyuruh kepada amar makruf nahi mungkar yang mana semua ini termasuk dalam kosa kata “berdakwah kepada Allah”. Sebagai contoh, firman Allah s.w.t dalam surah Fussilat : 33 ( Sulaiman Ibrahim, Ahmad Asnawi Hj.Hassan, Berhanundin Abdullah, Fariza Md. Sham : 2001 : 279 )

ومن أحسن قولا ممن دعا إالى وعمل صالحا وقال إني من المسلمين

Maksudnya :
“ Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada ( mengesakan daan mematuhi perintah ) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata : “ Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam ( yang berserah bulat-bulat kepada Allah ).”

4.0 BENTUK-BENTUK DAKWAH MELALUI LISAN

Terdapat beberapa bentuk penyampaian dakwah melalui lisan. Antaranya adalah khutbah, kuliah, ceramah, diskusi dan tazkirah atau nasihat.

4.1 Khutbah

Menurut kamus dewan, khutbah bermaksud pidato atau syarahan yang mana ia biasanya mengandungi ajaran atau nasihat berkaitan keagamaan. Khutbah atau pidato ini merupakan salah satu media yang terbaik dalam menyampaikan dakwah. Khutbah atau pidato kebiasaannya disampaikan di hadapan khalayak ramai terutama dihari kebesaran Islam seperti hari Jumaat dan dua hari raya.

Tajuk pidato atau khutbah hendaklah berhubung langsung dengan ajaran Islam dan masyarakat. Dalam sesebuah pidato atau khutbah, seseorang pendakwah perlu memelihara perkara-perkara berikut :

a) Membawa ayat-ayat Al-Quran, hadith-hadith dan perbuatan Rasulullah SAW dan sahabatnya dan setiap peristiwa yang dipidatokan hendaklah diselitkan ayat dan hadith sebagai dalilnya
b) Mencantumkan cerita-cerita dalam al-Quran dan hadith atau mengitkannya dalam bentuk cerita dan perumpamaan
c) Pidato hendaklah tidak terlalu panjang, biarlah ia pendek tetapi bernas dan penuh makna
d) Penghuraian isi hendaklah sederhana dan jelas berdasarkan latar belakang dan keupayaan menerima bagi orang yang mendengarnya
e) Memulakan khutbah (muqaddimah) dengan sesuatu yang menarik perhatian pendengar untuk mendengar khutbah yang seterusnya
f) Berbicara dengan nada suara yang menarik, tidak terlalu cepat dan elakkan daripada meninggikan suara pada tempat yang tidak sesuai
g) Merancang pidato terlebih dahulu dengan menulis dan mengingatinya sebelum berpidato

4.2 Ceramah

Menurut kamus dewan, ceramah bermaksud ucapan yang membicarakan mengenai sesuatu perkara seperti berkenaan bahasa, berpolitik dan lain-lain. Ceramah dalam Islam merupakan satu kegiatan yang membolehkan agama meresap kedalam hati, bergerak sesuatu daripada suatu fikiran kepada fikiran yang lain dan mengubah corak hidup dari yang buruk kepada yang lebih baik. Penceramah yang bijak hendaklah mahir dengan masalah dan penyakit masyarakat yang mana ia akan berdepan dan mengenalpasti cara terbaik untuk mengatasinya. Beliau hendaklah mengetahui segala hal berkenaan agama, supaya apabila masyarakat mengemukakan masalah ia dapat menghilangkan keraguan mereka dengan memuaskan kerana di dalam majlis ceramah, kebiasaannya masyarakat Islam akan menyuarakan kemusykilan mereka.

4.3 Kuliah

Kuliah hampir sama sahaja caranya dengan ceramah, Cuma kuliah agak mendalam, meluas dan lengkap dengan perkara yang menyentuh tajuk bicara dan boleh memberi pemahaman yang baik kepada para pendengar. Kuliah biasanya diadakan didalam kelas atau bilik dan keadaannya agak formal. Yang mana pendengar diajak memahami, memikirkan dan menghayati apa apa yang disampaikan oleh pendakwah. Dengan cara begini pendakwah dapat mendekati mad’u dengan lebih dekat.

4.4 Perdebatan

Debat bermaksud berbahas. Konsep perdebatan di dalam dakwah ialah berdebat dengan sasaran secara baik. Berdebat dalam dakwah bertujuan untuk menghapuskan sifat sombong kepada ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh seseorang dan ianya juga bertujuan untuk menegakkan keadilan. Ia juga bertujuan untuk menegakkan kebenaran. Menurut Imam Al-Razi, perbahasaan yang dicela ialah perbahasan untuk menegakkan keadilan dan mendapatkan kekayaan dan kemegahan, sementara perbahasan yang dipuji ialah bertujuan untuk menegakkan kebenaran dan mendakwah manusia kepada Allah SWT dan mempertahankan agama. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud,
“Katakanlah yang benar biarpun perkara tersebut terlalu pahit untuk diucapkan”.

Dengan itu, seseorang da’ie ditegah sama sekali menyembunyikan kebenaran kerana kebenaran itu datang daripada Allah SWT yang perlu diketengahkan. Debat yang sebaik-baiknya dalam uslub dakwah ialah yang memberi kesan kepada pihak lawan. Al-Quran menilai orang kafir sebagai manusia yang sama dengan orang Islam dari segi fizikal, akal dan perasaan. Oleh itu berdebat dengan mereka amat perlu untuk mencari kebenaran. Dakwah yang positif ialah menentang segala pegangan (akidah) yang batil.

Tujuan berdebat dalam dakwah bukanlah untuk bergaduh, bertengkar dan menyakitkan hati lawan tetapi untuk memperbetulkan akidah yang batil. Berdebat dengan prinsip persaudaraan sejagat, perdebatan akan dikira menang apabila pihak lawan tidak dapat menjawab segala persolaan dan permasalahan yang diajukan kepadanya. Seseorang itu biasanya akan marah apabila akidahnya dikritik. Oleh itu da’ie mestilah meluaskan perbincangan supaya tidak menjatuhkan imej lawannya.

Puncak perdebatan ialah untuk membawa penentang sampai kepada suatu kesedaran bahawa akidah yang dipegang selama ini adalah salah. Prinsip asa dalam perdebatan ialah carilah jalan yang sebaik-baiknya. Kemenangan bermujadalah tidak akan dicapai pada masa itu juga, ia memerlukan masa untuk difikirkan pada suasana yang berlainan ( Ghazali Darusalam : 1996 : 30 ).

4.5 Tazkirah atau nasihat

Menurut kamus dewan, nasihat atau tazkirah bermaksud ajaran, petunjuk yang baik dan peringatan. Maksud nasihat atau tazkirah di sini ialah nasihat yang baik atau memberi peringatan, kata-kata, ucapan dan teguran yang baik dengan cara yang baik. Ahli tafsir menjelaskan nasihat yang baik ialah memalingkan seseorang daripada sifat cela kepada sifat yang mulia. Memberi nasihat adalah cara untuk mendekatkan diri kepada orang ramai sehingga orang ramai sedar akan kejahilan akhlak buruk dirinya. Cara nasihat yang berkesan ialah :
a) Bercakap dengan lemah lembut
b) Bersahabat atau berhubung rapat
c) Bersifat fleksibel
d) Bertolak ansur dengan diri sendiri dan orang lain

Seandainya empat cara ini digunakan dengan sebaiknya maka kesannya berlanjutan dalam jangka masa yang panjang dan terjalin ikatan silratulrahim. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 64 yang bermaksud :

“Berpalinglah engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta katakan kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka”.

Merujuk kepada dakwah pada masa kini, metod ini perlu dijalankan kepada mereka yang lupa dan tidak mempelajari tuntutan sebenar ajaran Islam. Dengan memberi nasihat yang baik sambil mengingatkan dan memberitahu mereka perihal tuntutan Islam yang wajib diikuti dan dilaksanakan supaya masyarakat Islam lebih mudah menerimanya. Ini kerana, cara ini agak memberi kesan yang mendalam dalam jiwa mereka kerana mereka didekati dengan secara baik dan lembut. Ini juga bersesuaian dengan fitrah manusia yang sukakan sesuatu yang baik dan berbudi

5.0 KEPENTINGAN DAKWAH MELALUI LISAN

Cara perkataan atau lisan merupakan cara yang paling utama dalam berdakwah ke arah agama Allah SWT semenjak para nabi dan rasul-rasul lagi. Antara kepentingan yang boleh didapati daripada dakwah melaui lisan menurut Rasulullah SAW ialah :

a) Senang difahami dan jelas tanpa banyak membuang masa untuk memberi kefahaman kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda :

عن عائشة رحمها الله قالت كان كلام رسول الله صلى اللهم عليه وسلم كلاما فصلا يفهمه كل من سمعه
Maksudnya :
Daripada Aishah RA beliau berkata: Adalah perbicaraan Rasulullah SAW perbicaraan yang mudah difahami yang boleh difahami oleh semua pendengar.

b) Cara amar makruf dan nahi mungkar yang paling berkesan selepas daripada perbuatan. Rasulullah SAW bersabda :

من رأى منكم منكرا فليغير بيده فان لم يستطع فبلسانه
Maksudnya :
Barangsiapa yang melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika dia tidak mampu (untuk melakukan amar makruf nahi mungkar dengan tangan) maka hendaklah (dia melakukannya) dengan lidah.

c) Mampu dilakukan oleh semua peringkat manusia tanpa sebarang kongkongan atau perbelanjaan. Rasulullah SAW bersabda :

قل الحق ولو كان مرا
Maksudnya :
Berkatalah al-haq (kebenaran) walaupun ianya pahit.

d) Paling berkesan kerana mempunyai pelbagai cara berdasarkan kesesuaian dan keperluan semasa ( Sulaiman Ibrahim, ahmad Asnawi Hj. Hassan, Berhanundin Abdullah, Fariza Md Sham : 2001 : 281 )


6.0 KESIMPULAN

Setelah dikaji dengan mendalam dapatlah disimpulkan bahawa dakwah secara lisan atau dakwab bi al-lisan ini merupakan salah satu cara yang dapat membantu memperkukuhkan dakwah Islamiah. Ia adalah sesuatau yang utama dalam menyampaikan risalah dakwah kepada umat manusia. Ia dapat membantu manusia mengamalkan ajaran Islam yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t.

Justeru itu, menjadi kewajipan bagi setiap pendakwah untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang secukupnya sehingga mampu untuk menarik minat mad’u mereka untuk mengikuti apa yang telah sampaikan nanti.

RUJUKAN

Al-Quran Dan Terjemahan


Dr. Abdul Karim Zaidan. 1980. Dasar-dasar Ilmu Dakwah. Dewan Pustaka Islam. Kuala Lumpur


Ghazali Darusalam. 1996. Dinamika Ilmu Dakwah Islamiah. Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.


Sulaiman Ibrahim, Ahmad Asnawi Hj. Hassan, Berhanundin Abdullah, Fariza Md Sham.
2001. Metodologi Dakwah. Pusat Pengajian Jarak Jauh. Bangi.


MUHD NAIM HASHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan