1AQIDAH: ALLAH DIDAHULUKAN, RASULULLAH DIUTAMAKAN..... "Terimalah sedikit kesusahan dunia yang sementara,dalam menegakkan kebenaran untuk terlepas daripada kesusahan Akhirat yang berkekalan"
Jumaat, 21 September 2007
ARTIKEL ILMIAH 1
PERLAKSANAAN KONSEP TAUHID DALAM ETIKA KERJA ISLAM
PENGENALAN
Islam merupakan satu cara hidup yang sempurna yang dapat menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat kepada setiap penganutnya. Oleh yang demikian jika sesiapa yang tidak menjadikan Islam sebagai cara hidup merupakan orang yang rugi di akhirat kelak sebagaimana firman Allah s.w.t yang berbunyi:
ومن يبتغ غير الاسلم دينا فلن يقبل منه وهو فى الأخرة من الخسرين
Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan di terima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi”.[1]
Apabila membicarakan mengenai Islam sebagai “The Way of Life” atau sebagai cara hidup, maka dengan itu kita tidak dapat tidak untuk memisahkannya dengan paksi Islam itu sendiri iaitu Tauhid. Berbekalkan kefahaman yang jitu mengenai konsep tauhid ini manusia akan sentiasa melakukan sesuatu berdasarkan apa yang telah diwahyukan Allah serta sentiasa bergerak di atas landasan yang telah ditetapkan. Melalui roh tauhid ini juga masyarakat jahiliyah pada suatu ketika dulu bangun daripada satu bangsa atau tamadun yang penuh dengan kemunduran, kesesatan, kegelapan dan kedurjanaan menjadi satu bangsa atau tamadun yang maju, hebat, agung dan perkasa.
Konsep tauhid ini juga dapat membawa manusia menuju al-Falah iaitu kejayaan dan kegemilangan di dunia dan di akhirat. Ini kerana konsep tersebut dapat mencorak manusia mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Islam serta dapat mengawal tingkahlaku manusia dalam melakukan sesuatu kerja mengikut peraturan yang telah diperintahkan.
DEFINISI ETIKA
1. Etika berasal daripada perkataan Yunani ‘Ethos’ yang bermaksud adat resam, kebiasaan dan cara hidup. Etika juga bermaksud disiplin dan peraturan yang menetukan sesuatu perbuatan itu baik atau buruk. Nilai ialah perkara yang terkandung di dalam etika. Jika seseorang itu beretika bermaksud dia mengamalkan nilai-nilai tertentu di dalam perbuatannya.[2]
2. Etika atau ethics di definisikan sebagai sains moral (science of morals) dan prinsip-prinsip moral (moral principles). Ia bertanggungjawab menentukan sesuatu tindakan seseorang itu baik atau tidak baik. Etika dalam erti kata lain mematuhi nilai moral. [3]
3. Firman Allah s.w.t di dalam al-Quran berkaitan dengan etika:
لقد كان لكم فى رسول الله أ سوة حسنة
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat model (teladan) yang baik”.[4]
KONSEP TAUHID
Di dalam memperkatakan mengenai perlaksanaan konsep tauhid di dalam etika kerja maka amat wajar sekali dilakukan kerana tauhid merupakan paksi kepada Islam. Setiap amalan, peraturan, peribadatan, tingkahlaku, cara hidup dan undang-undang dalam Islam adalah berteraskan kepada pancaran cahaya tauhid ini. Tauhid merupakan intipati kepada ajaran Islam. Dalam erti kata lain tanpa tauhid, tidak wujudlah Islam. Ini kerana tauhid dihubungkan dengan Allah s.w.t sebagai Tuhan sekalian alam dan Maha Berkuasa ke atas sekalian makhluknya.
Konsep tauhid ini perlu dilaksanakan di dalam etika kerja dengan apa jua cara sekalipun. Walaupun terdapat banyak halangan dan rintangan namun perlaksanaan mestilah diteruskan. Konsep tauhid yang dibincangkan ini memberi maksud dan huraian yang besar di dalam semua perkara terutamanya di dalam etika kerja. Ini adalah kerana konsep tauhid sentiasa menaungi dan mengawali setiap tingkahlaku seseorang. Konsep tauhid bermaksud:
· Nilai ketuhanan dalam amalan kerja.
· Konsep ibadah
· Kekhalifahan
· Keakhiran manusia
Bagi memahami 4 konsep tauhid ini, maka terdapat huraian dan pembahasan mengenai perkara-perkara tersebut.
1. Nilai ketuhanan dalam amalan kerja.
Ini bermakna seseorang itu bekerja bukan semata-mata sebagai suatu amalan harian kerana dengan mengambil kira nilai ketuhanan di dalam kerja sehariannya maka kerjanya memperolehi ganjaran. Ini kerana kerja tersebut dilakukan dengan niat untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Di samping disokong oleh sikap memahami konsep kerja Islam yang sebenar iaitu:
· Bekerja adalah fardhu ain
· Bekerja membuktikan keimanan
· Bekerja meningkatkan martabat seseorang
· Bekerja sama taraf dengan berjihad
· Ganjaran umumnya berdasarkan kepada kerja
· Pekerjaan haram mencelakakan seseorang di dunia dan di akhirat
Selain itu, nilai ketuhanan dalam amalan kerja juga ialah seseorang itu bekerja dengan menjadikan etika kerja Islam sebagai peraturan pekerjaan. Terdapat beberapa etika kerja Islam, antaranya ialah:
· Tatatertib bekerja dengan mengamalkan nilai-nilai murni di dalam kelakuan bekerja
· Menjaga batasan Syariah termasuk halal dan haram, najis dan lain-lain di dalam kelakuan bekerja
· Menerapkan konsep-konsep Islam di dalam pekerjaan
· Konsep niat di dalam melakukan sesuatu pekerjaan
· Tidak melakukan sesuatu yang tidak bermoral pada tanggapan agama dan masyarakat
Inilah maksud tauhid yang menjadi asas di dalam kecemerlangan bekerja jika perlaksanaan di praktikkan di dalam etika kerja. Menjadikan nilai ketuhanan sebagai peraturan di dalam melakukan amalan kerja seharian. Firman Allah s.w.t:
رجال لا تلهيهم تجرة ولا بيع عن ذكر الله
"Orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan perdagangan daripada mengingati Allah".[5]
2. Konsep ibadah
Maksud tauhid yang kedua ialah menganggap kerja sebagai ibadah. Ini kerana di dalam Islam konsep ibadah di bahagikan kepada dua katogeri iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus yang melibatkan ibadah yang telah di tetapkan oleh Allah s.w.t seperti solat, puasa, zakat, haji, dan sebagainya. Manakala ibadah umum pula yang melibatkan pekerjaan yang dilakukan setiap hari yang dilakukan beserta niat serta mengikut etika kerja Islam yang ditetapkan. Firman Allah s.w.t:
الذي خلق الموت والحيوة ليبلوكم أيكم أحسن عملا وهو العزيز الغفور
" (Allah) yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun".[6]
3. Kekhalifahan
Faktor kekhalifahan ini merupakan asas yang sangat penting di mana jika seseorang manusia itu tidak memahami akan tugas dan peranannya menurut pandangan Islam, kehidupannya (kerja) akan menyimpang dari landasan yang sebenar iaitu berdasarkan fitrah. Ini kerana menurut Islam tujuan penciptaan manusia adalah sebagai khalifah di atas muka bumi ini seperti mana firman Allah s.w.t:
واذ قال ربك للملئكة انى جاعل فى الا رض خليفه
"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada sekalian malaikat, sesungguhnya Aku akan jadikan atas muka bumi ini khalifah…".[7]
Oleh yang demikian konsep kekhalifahan ini adalah satu sistem yang telah ditetapkan oleh Allah kepada manusia untuk memikulnya dengan berpandukan konsep tauhid. Pengertian khalifah di dalam etika kerja ialah seseorang itu di amanahkan untuk melaksanakan segala sistem, peraturan dan hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai hamba Allah di dalam pekerjaan. Setiap manusia itu tidak boleh melakukan sesuka hatinya kerana segala perlakuannya di dunia akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Sebagai khalifah, dua perkara yang perlu diberi perhatian oleh manusia iaitu keperibadian (sakhsiah) dan tindakannya sebagai pemimpin di alam ini. Kedua-dua ini sepatutnya di bentuk di dalam acuan aqidah (tauhid), syariah dan akhlak Islam. Ketiga-tiga asas ini sepatutnya dihayati dalam hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia, dengan mengutamakan hubungan dengan Allah daripada yang lainnya.[8]
4. Keakhiran manusia
Apa yang dimaksudkan dengan keakhiran manusia ialah setiap manusia yang hidup di atas muka bumi ini bukannya akan hidup kekal untuk selama-lamanya tetapi setiap manusia ini akan menemui hari keakhirannya iaitu hari kematiannya.
Oleh itu apabila manusia akan mati maka perlulah baginya melakukan segala kerja dunianya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t (konsep tauhid) sebagai bekalannya ketika matinya dan ketika dihadapkan dihadapan Allah s.w.t di padang mahsyar yang telah dijanjikan bahawa segala kelakuannya akan persoalkan dan akan dijawab oleh setiap anggotanya. Firman Allah s.w.t di dalam surah Yasin ayat 65 iaitu:
اليوم نختم على أفواههم و تكلمناآيديهم وتشهد أرجلهم بما كانوا يكسبون
"Pada hari ini (kiamat) Kami meteraikan atas mulut-mulut mereka itu dan bercakap dengan kami tangan-tangan mereka dan bersaksi oleh kaki-kaki mereka dengan segala apa yang telah mereka usahakan".[9]
Dengan ini manusia perlu mengikut landasan dan melakukan yang terbaik di dalam kerja hariannya kerana kehidupannya mempunyai keakhiran dan akan diadili tingkahlakunya.
TUJUAN KONSEP TAUHID
Apabila setiap individu memahami serta menghayati konsep tauhid ini maka secara tidak langsung ia akan menjadi satu etika atau peraturan di dalam melakukan sesuatu perkara. Konsep tauhid juga bertujuan untuk menjalinkan ikatan diantara:
1. Manusia dengan penciptanya (Habl Min al-Allah)
2. Manusia sesama manusia (Habl Min al-Nas)
Ini menunjukkan kesepaduan di dalam konsep tauhid tersebut. Perhubungan manusia dengan Allah merupakan hubungan pencipta dengan hamba atau khalifahnya. Pengabdian manusia kepada Allah s.w.t adalah pengabdian yang bersifat total dan tiada yang dapat dipertikaikan lagi seperti di dalam firmannya:
وما خلقت الجن والا نس الا ليعبدون
"Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah aku (Allah)".[10]
Ayat di atas menunjukkan bahawa setiap apa yang dilakukan oleh manusia sama ada di dalam kerja seharian merupakan ibadah. Dengan inilah ia berkait rapat dengan konsep tauhid. Konsep ini sentiasa mengawal manusia di dalam apa jua keadaan sekalipun.
Manakala hubungan antara manusia sesama manusia pula adalah merujuk di dalam melakukan kerja seharian. Apabila konsep tauhid ini menjadi tonggak di dalam etika kerja maka tidaklah berlaku masalah-masalah buruk di dalam perhubungan seharian. Contohnya, dapatlah dihindari sifat penyelewengan, penipuan, tamak kuasa, rasuah, penekanan dan sebagainya.
Selain itu, dapat mengeratkan ukhuwwah di antara sesama manusia dan dapat memenuhi matlamat kerja iaitu mencapai keredhaan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t:
يحلفون باالله لكم ليرضوكم والله ورسوله أحق أن يرضوه ان كانوامؤمنون
"Yang sepatutnya mereka cari ialah keredhaan Allah dan RasulNya, sekiranya mereka adalah daripada orang yang beriman".[11]
Semua ini perlu menjadi suatu objek perjuangan kepada setiap individu yang mengaku sebagai hamba Allah di dalam melakukan pekerjaan seharian. Inilah kehebatan dan keagungan konsep tauhid yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang perlu dilaksanakan tanpa ada noktah hinggalah tiba titik akhir iaitu hingga datangnya hari kiamat.
PERLAKSANAAN KONSEP TAUHID DALAM ETIKA KERJA
Konsep tauhid ini perlu dilaksanakan di dalam etika kerja walau dengan apa jua cara sekalipun. Dengan ini setiap individu yang bekerja akan tahu bahawa kerja yang dilakukan merupakan satu ibadah yang perlu dilakukan hanya kerana Allah s.w.t dan bukannya semata-mata untuk mendapat ganjaran dan keseronokan sahaja. Ganjaran berbentuk upah dan keseronokan adalah perkara sampingan hasil daripada kerja yang dilakukan selain beroleh ganjaran pahala daripada Allah s.w.t. Setiap pekerja akan berfikir terlebih dahulu sama ada sesuatu yang ingin dilakukan itu di benarkan oleh Islam atau bertentangan dengan kehendak Allah s.w.t.
Oleh yang demikian secara tidak langsung wujudlah satu keharmonian di dalam bekerja. Dengan menjadikan Allah sebagai rujukan utama, maka ini merupakan etika yang paling besar berbanding peraturan-peraturan lain. Dengan perlaksanaan konsep ini juga dapat melahirkan beberapa nilai-nilai yang baik di dalam etika kerja, antaranya ialah:
a) Amanah
Setiap orang akan memandang bahawa jawatan atau tanggungjawab yang dipegang atau yang diberikan kepadanya sebagai suatu amanah dan beban tugas yang besar yang perlu dilaksanakan serta ditunaikan walau dengan apa cara sekalipun. Dengan ini, setiap kerja yang diberikan akan dilakukan dengan sebaiknya dan tiadalah masalah curi tulang, ponteng kerja, malas dan seumpamanya. Setiap amanah tidak di seleweng malah ditunaikan mengikut apa yang telah ditetapkan atau diarahkan. Sabda Rasulullah s.a.w berkaitan hal ini yang bermaksud:
“ Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya”.[12]
Sabda Baginda lagi:
كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته…
Maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin dan mestilah bertanggungjawab diatas kepimpinan kamu…”.[13]
b) Keadilan
Adil membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya berdasarkan kepada ketentuan akidah, syariah dan akhlak bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Setiap individu itu perlu adil kepada dirinya sendiri dan serta adil kepada orang lain didalam setiap hal. Dengan ini tiada yang tertindas dan teraniaya. Selain itu, yang dikatakan adil di dalam kerja iaitu tidak memilih sesuatu itu mengikut gerak hati tetapi mestilah melihat kepada garis-garis kebenaran dan ketelusan contohnya agihan kerja dan jawatan mestilah mengikut kebolehan dan kemahiran masing-masing. Sehubungan dengan ini Allah s.w.t telah berfirman:
ان الله يأمركم أن تؤدواالأمنت الى اهلها واذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum diantara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil…".[14]
c) Ihsan
Bermaksud melakukan sesuatu kerja dengan memperakui bahawa Allah melihat segala perbuatan manusia sama ada secara terang atau sulit. Dari segi lain membawa maksud belas kasihan, baik hati dan bertimbang rasa di dalam bekerja. Allah s.w.t telah menawarkan syurga kepada mereka yang mempunyai sifat ini didalam janjinya yang tekmaktub di dalam surah Yunus ayat 26 iaitu:
للذين أحسنواالحسنى وزيادة ولايرهق وجوههم قتر ولاذلة أولئك أصحب الجنة هم فيها خلدون
"Bagi orang yang berbuat baik (ihsan), ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya".[15]
d) Berdisiplin
Islam menjadikan berdisiplin sebagai nilai dan etika yang penting di dalam pekerjaan. Berdisiplin yang dimaksudkan ialah berusaha dengan tekun, gigih, bersungguh-sungguh, dan berdedikasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Kemudian barulah bertawakkal kepada Allah s.w.t. Semestinya kesungguhan bekerja itu memberi implikasi kepada kepatuhan jadual kerja, peraturan, menghormati masa dan sebagainya yang termasuk di dalam bidang berdisiplin. Sabda Rasulullah s.a.w di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:
“Bahawa Allah s.w.t suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya”.[16]
e) Al-Falah
Al-Falah didalam bahasa Melayu diterjemahkan sebagai kejayaan. Pengertian lain ialah mencapai keharmonian dan kedamaian dalam kehidupan manusia di dunia dan di akhirat serta mencegah berlakunya kemungkaran dan kemusnahan kepada kehidupan manusia. Jika setiap pekerja bekerja mengikut konsep tauhid yang sebenar maka ganjaran yang akan dinikmati ialah kejayaan di dunia dengan kehidupan yang diberkati serta kejayaan diakhirat dengan janji syurga yang abadi.
Inilah beberapa nilai-nilai baik yang terhasil daripada perlaksanaan konsep tauhid yang menyeluruh di dalam etika kerja. Dengan ini, terbukti bahawa tiada sebarang keraguan yang perlu diragui lagi dalam melaksanakannya di dalam etika kerja seharian. Apa yang menjadi masalahnya ialah konsep tauhid ini diragui sebelum ia dilaksanakan. Inilah satu daripada kepelikan yang berlaku di dalam kehidupan manusia di abad 21 ini. Firman Allah s.w.t:
وربك يخلق ما يشآء ويختار ماكان لهم الخيرة سبحن الله وتعالى عما يشركون
“Dan tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan), tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah)”.[17]
IMPLIKASI PERLAKSANAAN TAUHID DALAM ETIKA KERJA
Jika semangat tauhid ini difahami serta dijiwai oleh setiap individu dengan sepenuhnya, maka ini akan mendatangkan suatu kesan yang mendalam dan terpahat di dalam kehidupan dan pekerjaan seharian. Di antara kesan-kesan perlaksanaan konsep tauhid ialah:
Individu muslim akan bersikap terbuka, tidak jumud dan sempit fikirannya. Setiap makhluk atau benda di dunia ini merupakan satu kesatuan bersumberkan kepada hasil daya cipta Allah s.w.t. Visi dan harapannya luas tidak terikat kepada pegangan sempit terhadap satu-satu ideologi, kepentingan tertentu dan kekuasaan puak. Menjadikan seseorang itu lebih amanah, cekap dan berdisiplin serta bekerja dengan tujuan untuk mendapat rahmat dan keredhaan Ilahi.
Konsep tauhid ini melahirkan insan yang mempunyai harga diri (self respect) dan keyakinan diri (self esteem) yang paling tinggi. Berani memperkatakan sesuatu yang benar walaupun perkara itu di lakukan dihadapan ketua tetapi hendaklah dengan cara yang hikmah.
Semangat tauhid juga menjana insan yang mempunyai rasa rendah diri (modesty) dan tawadhuk. Ia tidak bersikap sombong , angkuh dan bongkak walaupun mempunyai kuasa dan autoriti dalam organisasi. Lebih suka bersyukur dengan apa yang dikurniakan Tuhan kepadanya. Sikap seperti ini akan melahirkan semangat hormat-menghormati, prihatin, toleransi dan tolong menolong di antara satu sama lain.
Pegangan terhadap konsep tauhid akan menjadikan manusia itu orang yang salih, berani dan berdiri tegak dalam kebenaran. Dia berkeyakinan bahawa tidak ada lain punca kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat melainkan melalui kejernihan jiwa, kesucian hati dan kemurnian budi pekerti atau akhlak. Dengan ini setiap pekerja akan melaksanakan tugas dengan penuh amanah, bertanggungjawab, rajin serta cekap.
Orang yang beriman tidak akan mudah putus asa apabila berlaku sesuatu musibah ataupun kegagalan. Semuanya diserahkan kepada Tuhan. Hal ini dapat mengurangkan konflik, perbalahan atau pertelingkahan apabila berlaku masalah sama ada remeh atau serius namun diselesaikan dengan sabar dengan perbincangan.
Semangat tauhid membina insan yang mempunyai tahap kesabaran, keazaman dan kesungguhan yang tinggi. Apabila ia melakukan sesuatu berdasarkan lunas-lunas Islam, maka ia pasti akan mendapat petunjuk dan pertolongan daripada Allah s.w.t.
Semangat tauhid mewujudkan sikap aman, redha dan menghakiskan sifat dengki, tamak haloba dan iri hati. Ia juga menghalang manusia daripada melakukan sesuatu melalui cara-cara buruk dan zalim di dalam etika kerja seharian. Maka amalan-amalan yang melanggar etika, pecah amanah dan penyelewengan dapatlah dihapuskan dengan sepenuhnya.
Konsep tauhid juga membuatkan manusia patuh kepada peraturan-peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Keengkaran mematuhi ajaran Islam akan mengakibatkan kemurkaan Allah. Oleh itu setiap individu akan bekerja dengan sebaiknya demi mengelakkan diri dari dosa serta berlumba-lumba untuk mencapai fastabiq al-khairat iaitu berlumba-lumba membuat kebajikan. Ia akan mengawal dirinya dari godaan syaitan dan godaan hawa nafsu syahwatnya dari berbuat kejahatan.[18]
Inilah antara kesan-kesan hasil daripada perlaksanaan konsep tauhid di dalam etika kerja seharian. Ini kerana konsep kerja tersebut telah digabungkan dengan konsep tauhid mejadikan kerja sebagai jalan memperolehi rahmat dan jalan mencapai keredhaan Allah s.w.t. Inilah kehebatan dan keagungan Islam dalam meletakkan konsep kerja bukan hanya sesuatu yang berupa aktiviti harian malah menjadikan ibadah yang berterusan selagi mana mengikuti segala peraturan atau etika kerja Islam yang telah ditetapkan. Dengan ini konsep tauhid amat wajar dilaksanakan demi kejayaan manusia di dunia dan di akhirat.
KESAN PENGABAIAN KONSEP TAUHID
Jika konsep tauhid ditinggalkan dan tiada di dalam etika kerja, maka setiap pekerjaan yang dilakukan adalah sia-sia malah hanya beroleh penat selama mana ia bekerja. Ini kerana individu tersebut melakukan kerja hanya kerana untuk kehidupannya semata-malah tanpa untuk mencari keredhaan Allah. Jika konsep tauhid tiada atau diabaikan maka jadilah pekerjaan itu sebagai:
a) Memenuhi tuntutan dunia
Seseorang itu beranggapan bahawa segala kerja yang dilakukan seharian adalah untuk memenuhi tuntutan dunia iaitu kerana semua manusia yang hidup bekerja. Setiap individu itu tidak dapat hidup di dalam dunia tanpa bekerja kerana dunia menuntutnya bekerja untuk hidup iaitu untuk mencari sesuap nasi.
Oleh itu, kerja yang dilakukan bukannya kerana Allah s.w.t tetapi kerana memenuhi tuntutan dunia. Maka hidupnya hanya untuk dunia, kerjanya hanya untuk dunia dan matinya hanya untuk dunia tetapi setiap individu itu perlu tahu bahawa setiap apa yang dilakukan ada hubungan dengan waktu matinya.Firman Allah di dalam surah al-Zalzalah ayat 7&8 yang berbunyi:
فمن يعمل مثقال ذرة خيرا يره ومن يعمل مثال ذرة شرا يره
Maksud: "Barangsiapa yg mengerjakan kebaikan meskipun sebesar zarrah akan dilihatnya (balasan) kebaikan itu, Barangsiapa yg mengerjakan kejahatan meskipun sebesar zarrah akan dilihatnya (balasan) kejahatan itu".[19]
b) Kerja kerana maksud dunia
Ini bermaksud bahawa kerja yang dilakukan hanya semata-mata untuk memenuhi maksud dunia. Ini menjadikan kerja sebagai suatu aktiviti harian yang hanya dilakukan setiap hari tanpa memperolehi ganjaran pahala kerana tidak disertakan niat serta konsep-konsep lain yang telah ditetapkan oleh Islam.
Kerja yang dilaksanakan untuk keseronokan dunia serta inginkan upah untuk perbelanjaan hidup dan mencari kepuasan dunia. Inginkan kemewahan dan kenikmatan dunia seperti mahukan pangkat, kedudukan, nama, gelaran, kemegahan dan seumpamanya. Inilah satu kerugian yang amat besar kerana kerjanya untuk dunia dan tidak mempunyai apa-apa bekalan untuk di bawa ke akhirat. Ingatlah peringatan daripada Allah s.w.t mengenai kehidupan di dunia. FirmanNya:
كل نفس ذآئقة الموت ونبلو كم با لشر والخير فتنة والينا ترجعون
Maksudnya: "Setiap diri akan merasai mati dan Kami ujikan sekalian kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai satu percubaan dan kepada Kamilah kamu sekalian akan kembali".[20]
c) Tidak mempunyai ganjaran
Ini kerana kerja yang dilakukan tidak menjadi ibadah kerana daripada pagi keluar mencari rezeki hingga ke petang tetapi kerjanya tidak disertai dengan niat malah lebih teruk lagi menjalankan kerja tanpa mengira sama ada halal, haram, menyalahi syarak, bertentangan dengan perintah Allah dan mengikut kepuasan nafsu dan syaitan semata-mata.
Ganjaran yang di maksudkan di sini ialah pahala dan rahmat daripada Allah s.w.t. Tetapi jika kerja yang dilakukan seperti yang diperkatakan maka apa yang diperolehi hanyalah ganjaran buruk iaitu memperolehi dosa dan kemurkaan Allah s.w.t. Ini amat bertentangan dengan kerja di dalam Islam yang menjanjikan ganjaran pahala malah lebih besar dari itu iaitu keredhaan Allah berupa kebenaran untuk memasuki syurga yang tiada penghujungnya.
Inilah impak kepada sesiapa yang mengabaikan konsep tauhid di dalam etika kerjanya. Bukan sahaja memperolehi penat, letih, lelah bekerja malah bakal mengundang neraka apabila datang bertemu Allah di hari kiamat kelak.
7.1 Penutup
Jelaslah disini bahawa konsep tauhid membawa maksud yang luas di dalam kehidupan manusia di setiap aspek meliputi aspek yang di perbincangkan iaitu di dalam etika kerja. Ini menunjukkan bahwa perlaksanaan konsep tauhid di dalam etika kerja memberi impak positif bukan sahaja kepada pekerjaan malah kepada setiap pekerja itu sendiri.
Terdapat pelbagai kesan positif dengan perlaksanaan konsep tersebut. Daripada penjelasan diatas dapat dibahagikan kepada beberapa kesan, antaranya:
§ Bekerja dengan azam untuk mengabdikan diri kepada Allah
§ Bekerja dengan ikhlas dan amanah
§ Bekerja dengan penuh tekun dan cekap
§ Bekerja melalui semangat gotong-royong
§ Bekerja dengan matlamat untuk mencapai kebahagian manusia sejagat
Perlaksanaan konsep tauhid dapat menjadikan setiap kerja yang dilakukan seharian sebagai ibadah yang bukan sahaja memperolehi ganjaran dunia malah dapat mengaut ganjaran pahala sebagai bekalan untuk dibawa ke akhirat. Ini kerana segala peraturan yang diperintahkan oleh Allah hanyalah untuk dunia kerana apabila matinya anak Adam tiada lagi taklif yang dikenakan dan tiada lagi hukum Syariah yang perlu diikuti. Oleh itu, segala apa yang di perintahkan seperti perlaksanaan konsep tauhid di dalam etika kerja maka perlulah dilaksanakan segera tanpa perlu ditangguh atau diragui kerana kehidupan manusia mempunyai keakhirannya yang tidak diberitahu masa dan waktu keakhiran itu.
Rujukan
Al-Quran al-Karim.
Mustafa Haji Daud. 1994. Pengurusan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Razaleigh Muhamat@Kawangit. 2003. Etika kerja dan perkhidmatan Islam. Nota Kuliah. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sulaiman Noordin. 2001. Islam al-Quran dan ideologi masa kini. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Wan Liz Ozman Wan Omar. 1996. Pengurusan Islam abad ke 21. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
NOTA KAKI:
[1] Ali-Imran 3: 85
[2] Razaleigh Muhamat@Kawangit. 2003. Etika kerja dan perkhidmatan Islam.
[3]Mustafa Haji Daud. 1994. Pengurusan Islam. (m/s 128)
[4]Al-Ahzab 33: 21
[5]Al-Nur 24:37
[6] Al-Mulk 67: 2
[7] Al-Baqarah 2: 30
[8]Sulaiman Noordin. 2001. Islam al-Quran dan ideologi masa kini.
[9]Yasin 36:65
[10] Al-Zariyat 51:56
[11]Al-Taubah 9: 62
[12]Riwayat Muslim
[13] Riwayat Bukhari dan Muslim
[14] Al-Nisa' 4:58
[15] Yunus 10:26
[16] Riwayat Muslim
[17]Al-Qasas 28:68
[18]Wan Liz Ozman Wan Omar. 1996. Pengurusan Islam abad ke 21. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.(m/s 50-54)
[19] Surah al-Zalzalah 99: 7&8.
[20] Surah al-Anbiya' 21:35
USTAZ NAIM HASHIM
9 RAMADHAN 1428H
Tiada ulasan:
Catat Ulasan