Khamis, 30 September 2010

Pulangkan wang sumbangan kerana hasil judi?

Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya. Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan, nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat. Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan, rumah urut ‘pelacuran' dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.

DARI SUDUT HUKUM

Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, tindakan mereka adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.

Fakta berikut perlu difahami:

1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang ( dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.

Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.

Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.

2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.

Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjankannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi'. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.

3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.

Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam ( Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225 )

PANDANGAN ULAMA MAZHAB

Ulama hanafi menyebut :-

والملك الخبيث سبيله التصدق به, ولو صرف في حاجة نفسه جاز . ثم إن كان غنيا تصدق بمثله

Ertinya : Pemilikan kotor ( haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) ( Al-Ikhtiyar Li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61)

Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. ( rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)

Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata:

وإذا دفعه - أي المال الحرام- إلى الفقير لا يكون حراماً على الفقير , بل يكون حلالا طيبا

Ertinya : sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir ( dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka. ( Al-Majmu' , 9/428)

Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain :-

وقول القائل: لا نرضى لغيرنا ما لا نرضاه لأنفسنا فهو كذلك ولكنه علينا حرام لاستغنائنا عنه وللفقير حلال إذا حلّه دليل الشرع وإذا اقتضت المصلحة التحليل وجب التحليل

Ertinya : Menjawab kata-kata orang yang berkata : "Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita". Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara' yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan. (Ihya Ulumiddin, 2/212)

Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata :

إذن ما دام هو ليس مالكا له, جاز له أخذه والتصدق به على الفقراء والمساكين أو يتبرع به لمشروع خيري

Ertinya : Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa' sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). ( Fatawa Mu'asiroh, 1/606)

RINGKASAN DALIL

Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-

1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda :

هذا سحت فتصدق به
Ertinya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]

3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

KESIMPULAN

Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka (pemberi sumbangan) itu bercampur antara wang halal dan haram. atau dalam kata lainnya, harta mereka masih ada yang neutral dan halal.

Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.

Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini .

Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara'. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.

Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.

Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
30 Sept 2010

Solat Jumaat Pada Hari Raya

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله، وبعد.

Soalan: “Apakah benar jika hari raya jatuh pada Hari Jumaat maka sesiapa yang telah menunaikan Solat Hari Raya tidak wajib lagi untuk menunaikan Solat Jumaat?

Dalam persolan ini terdapat beberapa hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah saw;

Pertama: Hadis Zaid bin Arqam

عَنْ إِيَاسِ بْنِ أَبِي رَمْلَةَ الشَّامِيِّ قَالَ: شَهِدْتُ مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَهُوَ يَسْأَلُ زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ قَالَ: أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَكَيْفَ صَنَعَ؟ قَالَ: صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ. فَقَالَ: ((مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ). رواه أبو داود (1590)،

Muawiah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam r.a: Pernahkah awak meyaksikan hari raya yang terkena pada hari Jumaat pada zaman Rasulullah SAW? Jawabnya: Ya! Kata Muawiah: Bagaimana Rasulullah melakukannya? Kata Zaid: Nabi SAW melaksanakan solat Eid (pada suatu hari Jumaat) kemudian Baginda memberikan rukhshah (kemudahan/keringanan) dalam solat Jumaat dengan bersabda: “Barangsiapa yang mahu solat (Jumaat), hendaklah dia solat.” [HR. Al-Khamsah, kecuali At Tirmizi. Hadis ini ditashih oleh ramai ulama’].

Kedua: Hadis Abu Hurairah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((قَدْ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ)) رواه أبو داود رقم: 1073.

Sabda Nabi saw: “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi SAW) akan menunaikan (juga) solat Jumaat” [Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih].

Ketiga: Hadis Abdullah bin Abbas.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((اجْتَمَعَ عِيدَانِ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ، إِنْ شَاءَ اللَّهُ)). رواه ابن ماجة رقم: 1311.

Sabda Nabi Saw: “Telah berkumpul dua hari raya pada hari kamu ini, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan (juga) solat Jumaat, Insya’Allah”. [HR: Ibnu Majah]

Ketiga: Hadis Abdullah bin Umar.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: اجْتَمَعَ عِيدَانِ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ، ثُمَّ قَالَ: ((مَنْ شَاءَ أَنْ يَأْتِيَ الْجُمُعَةَ فَلْيَأْتِهَا)) وَمَنْ شَاءَ أَنْ يَتَخَلَّفَ فَلْيَتَخَلَّفْ)) رواه ابن ماجه رقم: 1313.

Katanya: “Telah berkumpul pada suatu ketika dua hari raya pada zaman Rasulullah saw, maka Baginda telah menunaikan solat hari raya bersama sahabat, kemudian bersabda: “Sesiapa yang mahu datang solat Jumaat, boleh datang dan sesiapa tak mahu pun boleh” [HR: Ibnu Majah]

Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum solat Jumaat yang jatuh bertepatan dengan hari raya, sama ada ‘Idul Fitri mahupun ‘Idul Adha.

Pertama, solat Jumaat tidak gugur dari penduduk kota (ahlul Balad/ahlul madinah) yang di tempat mereka memang diadakan solat Jumaat. Sedang bagi orang yang datang dari kampung yang jauh atau pendalaman (ahlul Qura / badawi), yang di tempat mereka itu tidak dilaksanakan solat Jumaat, gugur kewajiban solat Jumaatnya. Jadi jika mereka –yakni orang yang datang dari kampung yang jauh- setelah solat hari raya, mereka boleh terus pulang, tanpa menunggu untuk mengikuti solat Jumaat pula.
Inilah pendapat Imam Syafi’i. Ini juga pendapat Usman dan Umar bin Abdul Aziz dan Jumhur Ulama’.

Secara dasarnya, Imam Shafie tetap mewajibkan solat Jumaat yang jatuh pada hari raya. Namun beliau menetapkan kewajipan tersebut terhadap penduduk kota (terdapat kemudahan masjid). Bagi penduduk desa atau kampung pendalaman yang berkunjung ke kota khas untuk solat hari raya (dan solat Jumaat), dan di tempat mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, maka mereka dibenarkan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat. [Majmu’: 4/320]

Kedua, solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, baik oleh penduduk kota yang didirikan solat Jumaat mahupun oleh penduduk yang datang dari kampung.

Ini pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Jadi, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur dengan ditunaikannya solat hari raya.

Ketiga, tidak wajib solat Jumaat baik bagi orang yang datang dari kampung mahupun bagi orang bandar yang dekat dengan tempat solat Jumaat. Tetapi mereka wajib solat Zuhur, kecuali Imam (wajib ke atasnya mendirikan Jumaat). Demikian pendapat Imam Ahmad.

Keempat, Zuhur dan Jumaat sama-sama gugur kewajibannya pada hari itu. Jadi setelah solat hari raya, tak ada lagi solat sesudahnya selain solat Asar. Demikian pendapat ‘Atha` bin Abi Rabah. Dikatakan, ini juga pendapat Ibnu Zubair dan ‘Ali ra.

Dalil Mazhab Jumhur (kebanyakkan ulama’):

1- Umum Ayat Al-Quran: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)” [Al-Jumu’ah:9].

2- Demikian juga hadis-hadis yang menyuruh supaya bersolat Jumaat.

3- Jumaat dan Solat Eid adalah dua solat yang berasingan, maka tidak gugur dengan melakukan salah satu dari keduanya, seperti solat Eid dan Zuhur.

4- Sayyidina Osman ra dalam khutbah hari raya yang jatuh pada hari Jumaat …kepada penduduk ‘Aliyah (pendudut sebelah timur Madinah): “Sesiapa yang mahu tunggu solat Jumaat, boleh tunggu, sesiapa yang ingin balik, boleh balik..) [HR: Bukhari]

قَالَ أَبُو عُبَيْدٍ: ثُمَّ شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ فَكَانَ ذَلِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَصَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ، ثُمَّ خَطَبَ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ هَذَا يَوْمٌ قَدْ اجْتَمَعَ لَكُمْ فِيهِ عِيدَانِ، فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْتَظِرَ الْجُمُعَةَ مِنْ أَهْلِ الْعَوَالِي فَلْيَنْتَظِرْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَرْجِعَ فَقَدْ أَذِنْتُ لَهُ)) [رواه البخاري، بَاب مَا يُؤْكَلُ مِنْ لُحُومِ الأَضَاحِيِّ وَمَا يُتَزَوَّدُ مِنْهَا]

Dalil Mazhab Hanafi: Berpegang dengan kewajipan asal fardhu Solat Jumaat.

Dalil Mazhab Hambali: Hadis-hadis di atas.

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa pendapat jumhur berpegang kepada dalil umum dan pendapat Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah adalah berpegang pada dalil yang khusus.

Perinciannya hukumnya adalah seperti berikut:

Hukum pertama, jika seseorang telah menunaikan solat hari raya - yang jatuh bertepatan dengan hari Jumaat - gugurlah kewajiban atasnya untuk menunaikan solat Jumaat. Dia boleh melaksanakan solat Jumaat dan boleh juga tidak. [Pendapat Mazhab Hambali]

Hukum kedua, bagi mereka yang telah menunaikan solat hari raya tersebut, lebih utama dan disunnahkan tetap melaksanakan solat Jumaat. Dalilnya adalah hadis Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: “Innaa mujammi’uun” (Sesungguhnya kami akan mengerjakan Jumaat). Ini menunjukkan bahawa walaupun Nabi SAW menjadikan solat Jumaat sebagai rukhshah, yakni boleh dikerjakan dan boleh tidak, akan tetapi Nabi Muhammad SAW faktanya tetap mengerjakan solat Jumaat.

Hukum ketiga, jika orang yang telah menunaikan solat hari raya tersebut memilih untuk tidak menunaikan solat Jumaat, wajib melaksanakan solat Zuhur, tidak boleh meninggalkan Zuhur.

Hukum keempat, mereka yang pada pagi harinya tidak melaksanakan solat hari raya, wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Jumaat, tidak dibenarkan baginya untuk meninggalkan solat Jumaat.

Kesimpulannya,

Pendapat jumhur yang membezakan antara warga bandar dengan orang yang jauh dari tempat solat Jumaat didirikan adalah wajar diambil kira, kerana ulama’ telah meletakkan suatu kaedah: “Keluar daripada khilaf (perselisihan pandangan) di kalangan ulama, adalah lebih afdhal” oleh itu bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang kesukaran untuk hadir ke masjid hendaklah tetap menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut, bagi sesiapa yang mempunyai masyaqqah (kesusahan) untuk kembali semula ke tempat Jumaat memadailah dengan melakukan solat Zuhur.
Demikian juga waqi’ atau realiti rakyat Malaysia yang berpegang dengan mazhab al-Syafie (secara resminya) adalah tidak gugur kefarduan Jumaat sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat. Keizinan yang diberi oleh Imam al-Syafie kepada penduduk yang berjauhan dari masjid adalah dengan tujuan tidak membebankan mereka, sedangkan mereka terpaksa keluar dua kali untuk ke masjid. Di negara kita keadaannya sangat berlainan, kita tidak menghadapi kesukaran untuk ke masjid, manakala masjid pun tidak sejauh mana dari rumah.

Satu lagi yang perlu diperhatikan ialah, masyarakat yang tidak mengetahui hukum dan dalil dalam masalah ini akan memandang serong dan pelik jika ada sekumpulan kaum lelaki yang tidak pergi menunaikan solat Jumaat, ini akan menimbulkan kecelaruan dan salah faham.
Pengalaman ana berada di Tanah Haram, yang berpegang secara rasmi dengan mazhab Hambali, dua Masjid Haram tetap melakukan solat Jumaat, adapun masjid-masjid lain disekitarnya, (yang masyarakatnya sudah biasa dengan hukum itu) ada yang melakukan solat Zuhur berjamaah seperti biasa. Wallahu a’lam.
Rujukan:
Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Imam An-Nawawi. 4/319-321, cet, Dar al-Ulum, Mesir.
Al-Mughi, Ibn Qudamah. 3/242. Cet, 5. 1426H. Dar Alam Al-Kutub, Riyadh.

Akhukum.
Abu Anas Madani, Pondok Sg Durian.
29 Ramadhan 1431H – 8 Sep 2010.
www.abuanasmadani.com

Salaf al-sholeh adalah Insan yang Bijak..

Para salaf al-soleh menuju ke kuburan wali-wali Allah untuk ditunaikan hajat2??...

Antaranya :

1. Imam al Harabi- Sahabat Imam Ahmad, berkata "Kubur Ma'ruf al Karkhi al tiryaq yang mujarrab ( makbul bila berdoa disitu). Ibnu al Jawzi telah meriwayatkan cerita ini didalam Shifah al shofwah, al Zahabi juga meriwayatkannya didalam Siyar al A'lam Nubala.

2. Kubur Imam Harabi sendiripun makbul juga - diriwayatkan dalam Shifah al shofwah juga.

3.Manusia berdoa diturunkan hujan dikubur Abu Ayyub al Anshori- al Hilyah, Shifah al Shofwah, Siyar a'lam Nubala.
4. Al Daruquthni- Adalah kami bertabaruk di kubur Abi al fath al Qawsyi.

5.Imam Shafie r.a - Beliau ketika datang ke Baghdad beliau ziarah ke Pusara Imam Abi Hanifah , bertawassul dengannya agar ditunaikan hajat2 .- Khairat al Hissan fi manaqib al Nukman, Ibnu A'sakir juga telah meriwayatkan kisah Imam Shafie ini didalam Tarikh Baghdad dengan sanadnya .

6. Qadhi Al- Syarif Abi Ali al Hasyimi - menceritakan oleh Abu Muhammad al Tamimi-(merupakan guru Qadhi Ibnu Abi Yo'la) = "Daku telah menziarahi Kubur Imam Ahmad , sebab menemankan Al-Qadhi al- Syarif Abi Ali, Maka daku melihat beliau mencium ujung kaki kubur imam Ahmad?. Maka daku bertanya : Ada ke Athar (tentang perbuatan ini)??.. Maka beliau berkata: Imam Ahmad ni seorang yang besar ertinya buat diriku, daku tiada sangkaan bahwa Allah akan menyeksaku dengan sebab buat begini". Kisah ini diriwayatkan oleh al Qodhi Abi Yo'la dalam kitab Thabaqot al Hanabilah - fi tarjamah mufti al Hanabilah fi Baghdad al Qaodhi al Syarif Abi Ali al Hasyimi - salah seorang perawi akidah Imam Ahmad.-

Lihatlah !! dan fikirkanlah...kalau nak dipakai pendapat orang2 yang anti sangat2 pada orang yang taksub bodoh kekubur sampai nak fitnah macam2 , maka adakah boleh dikatakan perawi ilmu akidah Imam Ahmad dan Penghulu2 Hanabilah adalah "Kuburiyuun" penyembah kubur?. Padahal kalau nak dibandingkan dengan para Ashab Mazhab lain2nya yang juga mengambil tabaruk dan tawassul dengan kubur para imam mereka - Tidaklah sehebat para Hanabilah-??..

7.

أنهم قحطوا فجاء رجل الى قبر النبى صلى الله عليه وسلم وقال يا محمد استسق لأمتك فانهم قد هلكوا

"Bahawa mereka ditimpa kemarau, maka datang seorang lelaki kekubur Nabi s.a.w berkata: Ya Muhammad, turunkan hujan kepada umatmu sebab mereka sungguhnya telah binasa"

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dlm Musannaf 12/13-33 , al Bukhari dalam Tarikh 7/304, al Hafiz Abu Yo'la dalam al Irsyad 23, al Baihaqi dalam dalilu an Nubuwwah 7/47, Al Hafiz Ibnu Hajar dalam fathul baari 2/495 berkata: Isnadnya Sahih, Ibnu katsir dalam Al Bidayah wan Nihayah 7/105 dan dalam Tafsir beliau 1/91 berkata: Isnadnya Sahih.

http://pondoktampin.blogspot.com

SOALAN FEQAH

Salam ustaz...

Baru-baru ni kat masjid kg saya imam baca surah sajadah,tapi belum sampai ayat sajadah imam turun sujud sajadah mungkin imam lupa kot.. jadi makmun ada yang keliru...

Ada makmum yang ikut tapi lepas tu dia buat solat semula. Ada yang kata ikut je imam tu.. Saya pulak bila tenguk makmum lain ikut saya pun ikut la..jadi mcm mana tu ust?sah ke sbb sujud bukan pada ayatnya?

JAWAPAN:

..TAK SAH.. sbb tak ikut syarat sujud tilawah. .. nasnya " dlm kitab sabilulmuhtadin m.s. 9 juz 2 : Jika sujud ia dahulu daripada sempurna ayatnya , jikalau dengan satu huruf sekalipun tiadalah sah. sujudnya, kerana belum masuk waktunya.

Reformasi Fatwa Rokok: Dulu Khilaf Kini Ijma’

Kini, Islam Tiada Pilihan Kecuali Mengharamkan Rokok!

SEBELUM saya membentangkan senario reformasi fatwa semasa, setelah ulama dan umat Islam merentasi beberapa dekad yang mengelirukan, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana kesudian anda berdailog dengan tenang di sini, dan memberikan ruang buat saya mengupas konflik rokok yang masih entah bila akan selesai, walaupun hukumnya telah diijmakkan. Namun, sebagai orang-orang beriman janganlah putus asa atau buntu mencari titik-titik persefahaman dan kebaikan sesama kita. Moga-moga kita semua sentiasa mendapat hidayat dan taufiq-Nya.

Saudara/ri ku yang dikasihi,

Kajian saya mendapati bahawa penemuan bahan-bahan racun rokok serta kesan kepada kesihatan manusia merentasi tiga tahap kematangan; tahap pemulaan, pertengahan dan pasca moden. Inilah faktor primer kepada latarbelakang yang secara langsung mempengaruhi reformasi hukum rokok dari kedudukan dulunya khilaf kepada muktamad atau ijmak.

Hasil perkembangan dunia yang canggih, ahli-ahli sains menemui satu demi satu kesan negatif rokok kepada kesihatan manusia secara ilmiah. Jika buku “Ensiklopedia Dunia”, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, jilid 18 halaman 347 boleh diterima sebagai antara dokumentasi berautoriti, maka kita tiada pilihan lain kecuali menerima bahawa kemudaratan rokok secara saintifik mula ditemui oleh ahli sains pada pertengahan abad ke 19.

Catatan buku ini menyebut; “Mesin pembuat rokok yang pertama dicipta 1880-an sebelum itu semua rokok digulung dengan tangan. Pada tahun 1960-an ahli sains melaporkan bahawa bahan yang dikenali sebagai tar dan nikotina yang disedut semasa merokok boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung dan lain-lain. Sejak ini banyak negara meluluskan undang-undang yang menuntut pembuat rokok melabelkan kotak dan karton rokok dengan amaran kesihatan. Iklan rokok di radio dan televisyen juga diharamkan.

Manakala Ustaz Zaharuddin Abd Rahman memindahkan kenyataan dari Mahmud Nazim, “al-Tibbun al-Nabawi Wa al-‘Ilmi al-Jadid” bahawa pada tahun 1962 Fakulti Perubatan Diraja Britain mengesahkan kesan buruk rokok terhadap kesihatan, pada tahun 1964 Fakulti Kedoktoran Amerika mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar yang menyebut “Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti, ia juga menyebut “rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh.

Rentetan itu, beberapa usaha mengurangkan kesan bahaya rokok telah diperkenalkan pada tahun 1970-an, rokok yang dikurangkan kandungan tar dan nikotina menjadi semakin popular. Pembuat rokok mengurangkan tar dan nikotina melalui perubahan bentuk rokok termasuklah penapis, penggunaan tembakau yang dibancuh, dan penggantian tembakau serta proses pengalihan udara yang melarutkan asap rokok.

Hari ini, pakar-pakar kesihatan dunia berjaya membuktikan secara ilmiah dalam rokok terkandung lebih 4000 jenis racun yang mengancam nyawa manusia. Antara racun paling bahaya ialah hydrogen cyanide (racun yang digunakan dalam bilik gas), toluidine, ammonia (pembersih lantai), urethane, toluene (bahan pelarut), arsenic (racun anai-anai), nickel, phenol (pembersih kuman dan jangkitan), butane (cecair pemetik api), polonium (-210), d.d.t. (racun serangga), acetone (pelekang cat), tar (minyak tar jalan), naphthalene (ubat gegat), cadmium (yang digunakan dalam bateri kereta), carbon manoxide (gas beracun dari ekzos kereta), benzopyrene, vinye chloride (bahan untuk membuat pvc).

Paling menyedihkan, sebelum itu pengeluar-pengeluar rokok menyembunyikan dan memalsukan hakikat kesan rokok kepada awam. Di Amerika Syarikat sebuah syarikat rokok terkenal, Liggett Group Incorporated telah membuat pengakuan dan akhirnya bersetuju untuk menyerahkan beberapa dokumen syarikat untuk diteliti oleh peguam-peguam anti-merokok. Dokumen-dokumen ini adalah penting sekali kerana ianya dianggap sulit dan dirahsiakan oleh syarikat tersebut buat hampir 30 tahun lamanya. Dokumen itu bukan sahaja menjelaskan kandungan racun-racun membunuh, malah nikotin yang terkandung di dalam tembakau terdiri daripada sejenis dadah yang boleh menyebabkan ketagihan.

Hakikatnya, setiap sedutan rokok, perokok memasukkan ke dalam tubuhnya sebanyak 4,000 bahan kimia yang dinyatakan di atas secara senyap. Racun itu terbukti melenyapkan manusia secara global dengan evolusi. Menurut Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. H. Nakajima bahawa setiap tahun lebih kurang 10 juta manusia akan mati akibat merokok, dan 70% daripada kematian ini berlaku di negara-negara membangun.
Dalam suasana sedemikian, umat Islam sepatutnya bertanya secara jujur apakah sikap dan pendirian Islam dalam isu rokok. Masyarakat bukan Islam seluruh dunia telah berusaha sungguh-sungguh dan bertegas menyatakan kejelikan rokok kepada diri, keluarga, masyarakat dan kehidupan. Apakah manusia yang tidak mentauhidkan Allah s.w.t itu begitu menonjol menunjukkan sikap anti rokok, sedangkan umat Muhammad s.a.w masih ragu-ragu, berpeluk tubuh dan memandang sepi akan hal-hal kemaslahatan hidup?

Apapun, senario di atas begitu kuat mempengaruhi reformasi fatwa rokok. Para ulama zaman ini tidak dapat menafikan lagi kemudaratan rokok setelah mendapat nasihat langsung dari pakar-pakar perubatan yang dipercayai.

Dalam pada itu, kecenderungan fatwa setelah memasuki pasca moden amat berbeza sekali. Kaedah mengeluarkan hukum, terutama isu kontemporari telah ditangani secara lebih profesional. Kecenderungan berhukum secara jemaah ulama diinstitusikan sehingga tertubuhnya majlis-majlis fatwa di semua peringkat negeri dan nasional. Paling membanggakan ialah tertubuhnya Akademik atau Majlis al-Fiqh al-Islami pada tahun 1981, berpusat di Jeddah yang dianggotai oleh negara-negara umat Islam (OIC). Akademik fatwa ini boleh disifatkan bertaraf internasional yang paling tinggi berasaskan penglibatan multi kepakaran.

Penglibatan multi kepakaran menjadikan intitusi fatwa lebih simple, mantap, matang, komprehensif, sekaligus berjaya menyelesaikan dilema umat Islam semasa. Sehubungan itu Dr. Yusuf al-Qardawi mengatakan fatwa secara berjemaah atau organisasi lebih utama untuk diterima pakai oleh umat Islam zaman ini, terutama berkaitan isu-isu semasa kerana nisbah kemungkinan berlakunya kesilapan itu terlalu rendah. Beliau juga menyeru umat Islam menjadikan institusi fatwa sebagai alternatif kepada sumber hukum yang semasa.
Setakat maklumat di sisi saya, tidak ada lagi negara umat Islam yang tidak mengharamkan rokok. Institusi terbesar dalam organisasi kefatwaan ialah Akademik al-Fiqh al-Islam yang berpangkalan di Jeddah secara rasmi mengharamkan rokok. Fatwa Arab Saudi melalui “al-Lujnah al-Da’imah lil Buhtuh al-‘Ilmiyyah” bernombor 15143 memfatwakan “Semua jenis rokok adalah haram. Maka segala urusniaganya juga adalah haram kerana kemudaratan yang besar keatas agama, badan dan harta. Wajiblah sesiapa yang terlibat dengan perkara ini bertaubat segera”. Di Malaysia, pada 23 Mac 1995 fatwa pengharaman rokok telah dikeluarkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke-37.

Begitu juga Mesir, Kuwait, Syria, Sudan, Qatar, Berunai, Singapura dan lain-lain telah mengharamkan rokok secara rasmi. Resolusi pengharaman dan keadah menangani juga telah diputuskan pada peringkat hukum secara muktamad dan menyakinkan. Sama ada pihak pemerintah mahu menerima dan menguatkuasakan hukum itu atau tidak, hukum rokok tetap haram. Pada asasnya, para ulama melalui institusi fatwa telah menunaikan tanggungjawabnya di sisi Allah s.w.t.

Justeru itu, setakat pengkajian terhadap pendirian ulama kontemporari mengenai rokok, saya berani menegaskan bahawa hukum pengharaman rokok zaman ini adalah bersifat ijmak. Tidak ada lagi keraguan mahupun khilaf. Tidak ada satu negarapun dari negara umat Islam yang mengharuskan rokok waktu ini.

Begitu juga pengharaman rokok secara individu, saya mendapati ulama muktabar zaman ini telah muafakat mengharamkan rokok kecuali syeikh Atiyyah Saqar. Beliau termasuk senarai ulama terbilang dunia yang berasal dari Mesir yang masih berpegang kepada “makruh tahrim” dengan ikatan kepada 3 syarat, iaitu semata-mata menghisap rokok, terutama dalam suasana kawalan, tidak menjejaskan kesihatan secara nyata dan ketiga berkemampuan kewangan yang mencukupi dari perbelanjaan saraan dan tanggungan.

Saudara ku ! kita perlu faham “makruh tahrim” termasuk kumpulan haram juga cuma status dalil pensabitannya secara zann, iaitu tidak putus. Makruh tahrim bukan seperti kedudukan hukum makruh dalam mazhab Syafie yang bermaksud; sewajarnya ditinggalkan, manakala melakukannya tidak berdosa. Bukan dan tidak! Makruh tahrim ialah termasuk kumpulan haram, cuma dalilnya zann bukan qatie. Maka hukum rokok tetap haram dan berdosa. Sebab itu Atiyyah Saqar bertegas sebagai menolak salah faham kenyataannya dengan menyebut; “Makruh tahrim di sisi ku dalam soal ini (rokok) adalah haram tetapi dosa dan hukumannya tidak seberat dan sebesar haram mutlak”

Penegasan Dr.Yusuf al-Qardawi merupakan fakta muktamad yang menjawab segala kekeliruan ijtihad dan mengakhiri perdebatan ini. Beliau menyebut; “kekhilafan yang terjadi di kalangan fuqaha sewaktu kemunculan rokok bukanlah kekhilafan pada dalil-dalil hukum, tetapi khilaf sekitar pensabitan kemudaratan atau tidak. Mengesahkan kemudaratan pada rokok bukan bidang kepakaran fuqaha, tetapi urusan ahli-ahli sains. Kini ahli sains telah mengesahkan kemudaratan rokok. Sehubungan itu, kekhilafan hukum rokok tidak wujud lagi dan sabitlah hukum rokok itu haram”

Sejak mula lagi Islam menggariskan prinsip pemakanan yang khas, umum dan terbuka kerana ia berkaitan duniawi yang sangat asasi. Al-Bujairimi dalam kitabnya “Bujairimi ‘ala al-Khatib” mengemukakan firman Allah s.w.t, bermaksud; “Dihalalkan kepada kamu perkara-perkara yang baik-baik dan diharamkan keatas kamu perkara-perkara yang keji”. Rasulullah s.a.w pula menaskan “Tiada jenis memudaratkan (diri) dan memudaratkan (orang lain)”. Sehubungan itu ulama menetapkan keadah pemakanan; “Setiap yang memudaratkan adalah haram”

Oleh itu tiada syak lagi bidang pemakanan bukan autoriti ulama semata-mata dan dalam semua keadaan. Fungsi ulama hanya dimandatkan dalam skop nas-nas syarak sahaja. Manakala autoriti mengenal pasti zat, racun, toksid dan sebagainya dalam sesuatu makanan adalah bidang kepakaran ahli sains. Malah ulama yang merumuskan hukum tanpa merujuk kepada ahli sains dalam hal pemakanan telah melanggar etika hukum. Hukumnya tidak sah. Ulama wajib bertanya pakar menjunjung arahan Allah s.w.t, bermaksud; “Kamu bertanyalah ahli zikr (pakar) jika kamu tidak mengetahui”.

Akhukum,
Ustaz Mohd Azhar bin Abdullah
Pensyarah KIAS
Nilam Puri, Kelantan

Isnin, 27 September 2010

CARA TERBAIK MELUPUSKAN NASKAH AL QURAN USANG

SOALAN:

Saya menghadapi masalah menyimpan al-Quran usang yang banyak tersimpan di rumah. Al-Quran itu tidak dapat dimanfaatkan lagi kerana sebahagiannya dimakan anai-anai, ada juga yang koyak dan tidak dapat dibaca dengan sempurna. Saya tidak tahu bagaimana menjaganya lagi.

Untuk makluman tuan juga, saya difahamkan pihak jabatan agama Islam ada mengarahkan masjid-masjid supaya menggunakan mushaf resam Uthmani sahaja, lain-lain resam tidak digalakkan penggunaannya lagi.

Soalan saya, bolehkah al-Quran yang usang dan yang memakai resam bukan Uthmani itu dibakar. Jika tidak boleh, bagaimana cara melupuskannya. Terima kasih atas perhatian tuan.

- REDUAN, Sungai Siput, Perak.

JAWAPAN:

Kitab suci al-Quran adalah kalam Allah yang paling suci dan wahyu-Nya yang terakhir. Kata pepatah Arab: Kalam al-muluk, muluk al-kalam. Maksudnya: Ucapan raja-raja, raja segala ucapan.

Justeru tiada bacaan lebih keramat daripada al-Quran, maka kekeramatannya wajib dipelihara, sama ada waktu kitab itu sedang turun ataupun telah berlalu beberapa abad lamanya.

Setiap Muslim hendaklah memelihara kitab al-Quran dengan sebaik-baiknya. Kitab ini tidak boleh dibuang merata-rata, dikoyak atau diletak pada tempat yang menjejaskan kesuciannya. Sebaliknya hendaklah dihormati, disimpan pada tempat-tempat yang suci dan terpelihara, supaya tidak ditiup angin dan membawanya merata-rata atau disentuh kanak-kanak yang tidak tahu menghormatinya.

Sesungguhnya al-Quran tidak boleh disentuh oleh orang yang berhadas. Orang kafir tidak dianggap suci dalam konteks menyentuh dan membawa al-Quran. Paling kotor ialah kejahilannya yang tidak dapat membezakan antara al-Quran dan bahan-bahan cetak yang lain.

Menghormati al-Quran bukan lagi suatu pilihan yang dilakukan atas kehendak peribadi, tetapi kewajipan itu dikuatkuasakan oleh kehendak masyarakat terhadap semua orang Islam. Pada masa yang sama pula, kewajipan ini dianggap sebahagian daripada budaya bangsa Melayu.

Budaya bangsa ini mengajar anak-anak menghormati al-Quran, meletaknya dengan perlahan di atas papan rihal ketika mengaji, membalutnya dengan kain suci, mengucupnya tatkala mengambil dan menyimpan. Budaya ini mengajar bahawa al-Quran tidak boleh diletak pada tempat yang sama parasnya dengan tapak kaki, kaki pula tidak harus dihulur ke arah al-Quran.

Al-Quran tidak boleh dibawa masuk ke negeri-negeri yang bermusuh dengan Islam kerana dibimbangi keselamatannya dicerobohi, tidak boleh dibawa masuk tandas, tidak boleh ditulis pada pakaian harian dan tidak boleh dibaca oleh orang yang masih dalam hadas besar.

Al-Quran biasa ditulis dengan seni khat yang istimewa bagi menghiasi pintu-pintu istana dan rumah-rumah mewah. Bentuk huruf al-Quran tidak biasa ditulis dengan khat biasa, tidak pernah juga ditulis dengan mesin tapi sebaliknya al-Quran ditulis pengkarya khat yang terbaik seperti Uthman Taha penulis Mushaf al-Quran yang dicetak oleh kerajaan Arab Saudi dan kumpulan penulis khas Mushaf al-Quran Malaysia yang diselia Ustaz Muhammad Yusuf Bakar, pengkarya seni khat terkenal di Malaysia.

Menulis al-Quran dengan huruf rumi juga dianggap suatu penghinaan. Majalah-majalah yang memakai ayat al-Quran juga sepatutnya tidak dibenarkan menulis ayat-ayat al-Quran sesuka hati. Sudah tiba masanya, pihak-pihak yang bertanggungjawab menguatkuasakan aturan menulis al-Quran, seperti juga aturan mencetak al-Quran yang dikawal selia oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sepanjang pengetahuan saya, belum ada suatu peraturan di negara ini melarang orang bukan Islam menjamah atau menyentuh kitab suci al-Quran. Mereka boleh menyentuh, membaca, menjual dan membelinya, sekalipun sentiviti umat Islam begitu tersentuh apabila mereka memegang dan menyentuhnya dengan cara yang tidak sopan.

Kedai-kedai fotocopy bukan Islam sepatutnya tidak dibawa al-Quran untuk disalin atau dibuat panduan padanya kerana jika ada helaian yang rosak, nescaya dimasukkan ke dalam bakul sampah atau dikhuatiri diletaknya dalam bakul yang tidak sesuai dengan kesuciannya. Sepatutnya jika ada yang tidak layak digunakan hendaklah ia dimusnahkan dengan cara yang terhormat.

Penyediaan al-Quran di hotel-hotel besar juga perlu dikaji semula baik buruknya, kerana diberitakan ada penginap-penginap hotel yang tidak peka dengan kesucian al-Quran, lalu mengoyak dan membuangnya, sama ada kerana jahil atau buruk hati terhadapnya. Hal ini sepatutnya tidak berlaku. Ini tidak pula menafikan niat suci pihak-pihak yang menyediakan al-Quran itu untuk bacaan penginap-penginap hotel.

Ulama-ulama Islam menyebutkan kaedah melupuskan al-Quran yang tidak mampu lagi disimpan dengan baik berkata: Jika al-Quran tidak mampu lagi disimpan atau dipelihara kesuciannya dengan apa jua cara, misalnya naskhah yang tersalah cetak di kilang-kilang cetak, atau kedai-kedai fotocopy dan sebagainya, hendaklah direndam bahan itu ke dalam air yang bersih. Air basuhannya hendaklah dibuang pada tempat-tempat yang terhormat, seperti di laut atau sungai-sungai besar.

Jika tulisan itu menggunakan cecair dakwat yang bermutu tinggi, kira-kira tidak mudah hilang dengan dibasuh, maka haruslah dibakar dengan niat ikhlas kerana memelihara kehormatannya daripada dihina atau dibiarkan berada pada tempat-tempat kotor, kemudian debunya dibuang atau ditanam pada tempat-tempat yang tidak terdedah kepada tapak-tapak kaki manusia atau haiwan.

Tentang al-Quran yang tidak memakai resam Uthmani, jika benar ada arahan rasmi daripada jabatan agama supaya semua naskhahnya ditukar kepada resam Uthmani, saya fikir jabatan itu mempunyai jawapannya sendiri terhadap naskhah-naskhah al-Quran yang terdahulu, sama ada melupus atau menyimpannya, kerana al-Quran itu memang boleh dipakai. Pemilihan resam Uthmani hanya untuk pelarasan bagi maksud bacaannya sahaja.

Jika tidak ada cadangan untuk menyimpan al-Quran yang resamnya bukan Uthmani, dan tidak ada jalan selain melupuskannya, saya cadangkan sebelum naskhah itu dibakar, berhubung terlebih dahulu dengan arkib atau muzium negara, supaya bahan-bahan berharga itu diserah kepadanya, atau diberi kepada mana-mana pihak yang berminat menyimpannya sebagai bahan koleksi.

Sesungguhnya bahan ini amat berharga dan sepatutnya disayangi. Saya percaya bahan ini tidak mudah diperoleh lagi. Tetapi sayang, ramai orang tidak menghargainya. Mereka lebih menyayangi barang-barang purba seperti mangkuk, pinggan, keris dan lembing untuk disimpan. Saya pernah mengemukakan idea kepada sebuah masjid di sebuah negeri di Malaysia supaya menyimpan naskhah-naskhah al-Quran dalam suatu koleksi yang lengkap. Jika tidak ada al-Quran yang tertua di Malaysia, yang tertua di negeri itu pun sudah memadai.

Cadangan ini diabai begitu sahaja dengan alasan tiada tempat di masjid, tiada pegawai yang bertugas, tiada peralatan dan sebagainya. Padahal jika idea ini disambut dengan baik, ada kemungkinan masjid itu menjadi tumpuan ramai untuk menyaksikan naskhah-naskhah purba al-Quran, sekali gus boleh menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

Bagi memperkukuhkan lagi maklum balas terhadap kemusykilan tuan, saya terjemahkan di sini jawapan Syeikh Nasr Farid Wasil, mufti kerajaan Mesir. Katanya: Sesungguhnya al-Quran diturunkan daripada Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Kitab ini mulia, tidak boleh disentuh, kecuali orang-orang yang disucikan daripada kotoran (al-Waqiah: 77-79).

Umat Islam hendaklah bertanggungjawab memelihara dan menjaganya, tidak boleh dibiar al-Quran terhina, ia hendaklah diletakkan dalam sarung kemudian simpan pada tempat yang sesuai dengan kesuciannya, supaya tidak diterbang angin atau diambil kanak-kanak yang tidak faham kedudukannya.

Umat Islam wajib memelihara kitab ini dengan apa juga cara. Jika tidak dapat dipelihara lagi, hendaklah disimpan dalam peti yang kira-kira tidak perlu dibuka lagi, atau dibasuh dengan air yang bersih, supaya tulisannya hilang dan airnya dibuang pada tempat yang juga bersih. Jika tiada pilihan lain, hantarkan kepada arkib negara untuk disimpan secara profesional.

Menurut Dr. Abdul Halim Mahmud, jika Mushaf al-Quran itu sudah koyak dan tidak boleh dibaca lagi, pilihan terbaik tidak ada selain dibakar, maka haruslah dibakar sebagai jalan pilihan terakhir (Fatawa Abdul Halim Mahmud, 1/245).

Menurut Syeikh Atiyya Saqar, salah seorang ahli Majlis Fatwa al-Azhar: Membakar al-Quran diharuskan, jika tujuannya menyelamatkan dari terhina. Beliau memberi alasan bahawa Saidina Uthman pernah mengeluarkan arahan supaya membakar semua al-Quran yang ada dalam simpanan sesetengah sahabat, setelah al-Quran selesai ditulis dalam satu naskhah. Menurut sesetengah ulama dibakar lebih baik daripada dibasuh.

http://www.drhayei.com

"Makkah "and" Madinah"

Makkah-Al-Mukkarrama after 12 Years
Electric Trains will be started Next Year from
Haram to Mina,
Mina to Muzdalifa,
Muzdalifa to Arafat
.
Electric Trains will be started Next Year from Haram to Mina,
Mina to Muzdalifa,
Muzdalifa to Arafat.

Holy kaaba'a Mataaf
Covered with 4 umbrellas

After Three YearsHaram Mosque will Look Like This
World 2ndTallest building starting in Jeddah KSA
Madena Haram Masque
After four Years

Memurnikan Hubungan Dengan Allah Dan Manusia

عن عَبدِ اللَّهِ بْن سَلاَمٍ ‏ ‏قَالَ

‏لَمَّا قَدِمَ النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏الْمَدِينَةَ ‏ ‏انْجَفَلَ ‏ ‏النَّاسُ قِبَلَهُ وَقِيلَ قَدْ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏قَدْ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ قَدْ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ ثَلاَثًا فَجِئْتُ فِي النَّاسِ ِلأَنْظُرَ فَلَمَّا تَبَيَّنْتُ وَجْهَهُ عَرَفْتُ أَنَّ وَجْهَهُ لَيْسَ بِوَجْهِ كَذَّابٍ فَكَانَ أَوَّلُ شَيْءٍ سَمِعْتُهُ تَكَلَّمَ بِهِ أَنْ قَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ ‏ ‏أَفْشُوا السَّلاَمَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصِلُوا اْلأَرْحَامَ وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلاَمٍلَ

[ابن ماجة، الأطعمة، اطعام الطعام، حديث: 3242 درفد عبد الله بن سلام]

Terjemahan: Riwayat Abdullah ibn Salam, katanya: “:Tatkala Rasulullah SAW tiba di Madinah, orang ramai berlari-lari ke arahnya, sambil mengucapkan: “Rasulullah telah datang! Rasulullah telah datang! Rasulullah telah datang!”. Aku pun ikut serta bersama orang ramai untuk melihat baginda (dari dekat). Setelah aku melihat wajahnya, nyata kepadaku wajah itu bukan wajah pendusta. Ucapan pertama aku dengar daripadanya ialah:

“Wahai orang ramai! Sebar luaskan salam, adakan jamuan makan, hubungikan rahim, sembahyanglah pada waktu malam, ketika orang ramai sedang nyenyak tidur, anda masuk syurga dengan kesejahteraan”.

Abdullah Ibn Salam:
Nama penuhnya ialah Abdullah bin Salam bin al-Harith al-Isra`li, Abu Yusuf. Sahabat Rasulullah saw. Beliau memeluk Islam tatkala Nabi saw tiba di Madinah. Nama asalnya ialah al-Husayn (benteng kecil), lalu diubah oleh Nabi saw kepada Abdullah.

Beliau pernah bersama Umar ibn al-Khattab dalam peperangan menawan Baitul Maqdis dan al-Jabiyah. Setelah berlaku krisis politik di antara Ali dan Mu`awiyah, beliau mengambil sebilah padang yang diperbuat daripada kayu dan memencilkan diri.

Abdullah bin Salam meriwayat 25 hadis daripada Rasulullah saw dan meninggal di Madinah pada tahun 42 Hijrah, radiya’llah ‘anhu wa ardah.

Mukadimah
Tatkala ketibaan Nabi saw dan kaum Muhajirin di Madinah, penduduknya terdiri daripada tiga kumpulan utama:

1: Kaum Ansar yang telah menyahut seruan Islam dan telah menyatakan kesetiaan mereka kepada Nabi saw.
2: Kaum Musyrikin yang terdiri daripada Aws dan Khazraj yang belum memeluk Islam.
3: Kaum Yahudi yang terdiri daripada kabilah-kabilah Bani al-Nadir, Qaynuqa` dan Bani Qurayzah.

Bagi mewujudkan suasana harmoni dan persefahaman antara kabilah, Nabi saw mengadakan perjanjian kerjasama dan tolong menolong antara golongan-golongan ini serta perjanjian mempertahankan Madinah dari serangan musuh. Nabi saw segera mengadakan perjanjian kerana ia merupakan asas bagi perkembangan da`wah Islamiah dan kesejahteraan umat seterusnya. Hadis mengandungi beberapa langkah awal bagi kesejahteraan umat

Pertama:
Menyebarluaskan Salam:

Dalam pertemuan sulung dengan masyarakat Madinah, Nabi saw mengambil daya usaha mengeratkan hubungan dan perpaduan Islam, lalu memperkenalkan tiga prinsip penting, iaitu memperluaskan sebaran salam.

Perktaan ifsha` dalam bahasa Arab membawa erti memasyhur atau menyebarkan sesuatu. Di sini Nabi saw bukan sahaja menyuruh agar salam itu diucap dan dijiwai, tetapi baginda maksudkan lebih dari itu, iaitu hendaklah salam itu disebarluaskan kepada umum, termasuklah mengajar dan mengadakan kempen mengamalkan salam pada semua peringkat, sama ada lelaki atau perempuan, dewasa atau kanak-kanak.

Mengucap salam merupakan petanda pengamalnya mempunyai akhlak yang tinggi dan mulia. Perkataan al-Salam, ertinya sejahtera, ia juga salah satu daripada 99 al-Asma` al-Husna (nama-nama Allah yang indah) dan mempunyai fadilatnya sendiri bagi pengamalnya.

Objektif Salam
Penyebaran salam mempunyai objektif yang begitu banyak dan sangat besar, antaranya:

Menanamkan kemesraan dan kasih sayang di kalangan umat Islam. Sehubungan ini Nabi saw bersabda:

‏ ‏لاَ تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلاَ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلاَمَ بَيْنَكُمْ [2

Terjemahan: “Kamu tidak masuk syurga sebelum kamu beriman, kamu tidak beriman sebelum kamu berkasih sayang. Sukakah kamu aku tunjukkan sesuatu, apabila kamu menghayatinya nescaya kamu berkasih sayang: Sebarkan salam di kalangan kamu”.

Imam al-Nawawi menyebutkan antara faedah mengamalkan salam ialah mengeratkan hubungan kasih sayang, kunci bagi memulakan ikatan kemesraan, menzahirkan syi`ar Islam, menzahirkan sikap rendah diri, menjauhkan perasaan benci dan jauh hati sesama Islam dan mempertemukan hati orang Islam di atas jalan Allah.

Salam antara ciri Islam yang terbaik. Dalam sebuah hadith Rasulullah saw bersabda:

أنَّ رَجُلاً سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏أَيُّ اْلإِسْلاَمِ خَيْرٌ قَالَ ‏ ‏تُطْعِمُ الطَّعَامَ وَتَقْرَأُ السَّلاَمَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ [3

Terjemahan: “Seorang lelaki bertanya Nabi saw: Mana satu antara ciri Islam terbaik? Sabda Nabi: “Mengadakan jamuan makan dan mengucap salam kepada orang yang anda kenali dan yang tidak dikenali”.

Memberi salam tanpa memilih orang, sama ada dikenali atau tidak dikenali merupakan jalan terbaik bagi menghapuskan salah faham dan mewujudkan sangka baik serta menzahirkan rasa rendah diri di tengah-tengah masyarakat yang menyimpan berbagai-bagai perasaan.

Menambahkan peluang mendapatkan pahala. Dalam sebuah hadis:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏فَقَالَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ فَرَدَّ عَلَيْهِ السَّلاَمَ ثُمَّ جَلَسَ فَقَالَ النَّبِيُّ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏عَشْرٌ ثُمَّ جَاءَ آخَرُ فَقَالَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ فَرَدَّ عَلَيْهِ فَجَلَسَ فَقَالَ عِشْرُونَ ثُمَّ جَاءَ آخَرُ فَقَالَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ فَرَدَّ عَلَيْهِ فَجَلَسَ فَقَالَ ثَلاَثُونَ [4

Terjemahan: “Seorang lelaki datang kepada Nabi saw lalu mengucapkan: “al-Salam `alaukum”, lalu Nabi menjawab “Wa `Alaykum al-Salam”. Kemudian dia duduk, Nabi bersabda: “10 (pahala). Berikutnya datang pula seorang lelaki, lalu mengucap al-Salam `alaykum wa rahmatullah, lalu Nabi menjawab salamnya (mengikut yang diucap), kemudian dia duduk, Nabi bersabda: “20 (pahala)”. Kemudian datang pula seorang lelaki lain, lalu mengucapkan salam “al-Salam `alaykum wa rahmatullah wa barakatuh” Nabi menjawab salamnya sebagaimana diucap, kemudian lelaki itu duduk, Nabi saw bersabda: “39 (pahala)”.

Menerusi hadis ini, Nabi saw membuat tawaran pakej kasih sayang bersama pahala yang berlipat ganda, iaitu pakej salam yang ringan disebut, berat ditimbang dalam neraca akhirat.

Memulangkan kewajipan sesama Muslim. Dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda:

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ ‏ ‏فَشمِّتْهُ ‏ ‏وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ [5

Terjemahan: “Kewajipan orang Islam kepada orang Islam enam perkara: Sahabat bertanya: Apa perkaranya? Sabda Nabi SAW: “Beri salam kepadanya jika bertemu, hadir jemputannya jika diundang, beri nasihat kepadanya jika dia meminta, jawab bersinnya jika dia mengucap Al-hamdu lillah, ziarah jika dia sakit dan ikuti jenazahnya jika dia meninggal”.

Memberi nasihat, maksudnya nasihat kepakaran secara ikhlas dan professional. Jangan menipu, jangan pura-pura dan jangan mengambil peluang untuk membuat keuntungan.

Kedua:
Mengadakan Jamuan Makan

Dalam hadis di atas Nabi saw bersabda: “adakan jamuan makan: Saranan ini telah didahului beberapa firman Allah, antaranya:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ مِسْكِيناً وَيَتِيماً وَأَسِيراً* إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لاَ نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاء وَلاَ شُكُوراً*[6

Terjemahan: “ .. dan memberikan makanan yang disayanginya kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (mereka berkata): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih”

Firman Allah lagi, lalu menyatakan antara sebab kemasukan ahli neraka ke Neraka:

فِي جَنَّاتٍ يَتَسَاءلُونَ* عَنِ الْمُجْرِمِينَ* مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ* قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ* وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ*" [7

Terjemahan: “ .. mereka berada dalam syurga sambil bertanya tentang orang-orang yang bersalah. Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mendirikan sembahyang. Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin”

Mengadakan jamuan kepada fakir miskin banyak fadilat dan faedahnya, antaranya:

1: Menjadikan salam satu faktor yang membawa ke syurga. Dalam hadis Rasulullah swt bersabda:

لما وَفَدَ على رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: يا رسول الله أي شيء يُوجِبُ لِي الْجَنَّةَ قال: عَلَيْك بِحُسْنِ الْكَلاَمِ وَبَذْلِ الطَّعَامِ [8

Terjemahan:“Satu rombongan datang menemui Nabi SAW dan bertanya: Apakah sesuatu yang membawa seseorang ke syurga? Sabda Nabi SAW: “ Elokkan tutur kata dan memberi makan”.

Sabda Nabi lagi:

‏ فُكُّوا الْعَانِيَ ‏ ‏يَعْنِي اْلأَسِيرَ وَأَطْعِمُوا الْجَائِعَ وَعُودُوا الْمَرِيضَ [9

Terjemahan: “ Hendaklah kamu bebaskan tawanan, berikan makanan kepada orang kelaparan dan ziarahlah orang sakit”.

Ketiga:
Hubungilah Rahim


Rahim ialah orang yang ada hubungan dengan anda melalui nasab atau kandungan ibu, sama adari sebelah ibu atau bapa. Al-Qur`an al-Karim memberi penekanan yang sungguh-sungguh supaya dihubungi rahim dan memberi amaran keras dari memutuskannya, firman Allah:

وَاتَّقُواْ اللّهَ الَّذِي تَسَاءلُونَ بِهِ وَالأَرْحَامَ إِنَّ اللّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيباً [10

Terjemahan: “.. dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta di antara satu sama lain dengan menyebut-yebut namaNya, serta bertaqwalah pada hubungan rahim. Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu”.

Firman Allah lagi:

فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِن تَوَلَّيْتُمْ أَن تُفْسِدُوا فِي اْلأَرْضِ وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ[11

Terjemahan: “Tidakkah mungkin jika kamu berpaling dari Islam kamu kembali melakukan kerosakan di bumi memutuskan hubungan silaturrahim dengan keluarga?”

Ibu bapa merupakan orang yang teratas sekali yang wajib dihubungi dan dibelai dengan kasih sayang. Perhatikan firman Allah:

وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيماً [12

Terjemahan: “Dan Tuhanmu telah memutuskan, supaya kamu tidak menyembah melainkan hanya Dia sahaja dan supaya kamu berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata sebarang perkataan kasar kepada keduanya dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia”.

FirmanNya lagi:

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلى أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلاَ تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفاً [13

Terjemahan: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”

Dalam keadaan mereka mempersekutukan Allah, kita diwajib berlaku ihsan terhadap mereka, apa lagi jika mereka terdiri dari orang salih dan muttaqin.
Memutuskan hubungan rahim termasuk dalam kumpulan dosa-dosa besar. Dalam sebuah hadith Rasulullah saw bersabda:

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعٌ [14

Terjemahan: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan (rahim)”

Sabda Nabi lagi:

مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ تَعَالَى لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي اْلآخِرَةِ مِثْلُ ‏ ‏الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ [15

Terjemahan: “Tiada dosa yang lebih wajar bagi Allah menyegerakan keseksaan terhadap pelakuynya di dunia serta disimpan lagi keseksaan di Akhirat seperti dosa zina dan memutuskan rahim”.

Sabdanya lagi:

الرَّحِمُ‏ شِجْنَةٌ ‏ ‏فَمَنْ وَصَلَهَا وَصَلْتُهُ وَمَنْ قَطَعَهَا قَطَعْتُهُ [16

Terjemahan: “Rahim bagaikan ranting yang bertautan, sesiapa menghubunmginya nescaya aku hubungkan. Sesiapa memutuskannya, nescaya aku putuskan”

Nabi saw juga menyatakan bagaimana hubungan rahim yang sebenarnya, adakah ia bermusim atau kerana ada sesuatu kepentingan disebaliknya, sabda Nabi:

لَيْسَ الْوَاصِلُ ‏ ‏ بِالْمُكَافِئِ ‏ ‏وَلَكِنْ الْوَاصِلُ الَّذِي إِذَا قُطِعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا [17

Terjemahan: “ Tidak dikira orang menghubungi rahim dengan bertukar pemberian, tetapi orang yang menghubungi rahim ialah orang yang apabila hubungan rahimnya diputuskjan, dia menghubunginya”

Ibn Hajar mengulas hadith ini, katanya: Orang yang menghubungi rahim ialah mereka sedia menghubungi sekalipun ia tidak dihubungi. al-Mukafi` ialah orang yang tidak memberi lebih dari yang diterima, manakala al-Qati` pula ialah orang yang dihubungi rahim dengannya, sedangkan dia tidak membalas hubunagnnya [18].

Nabi mengulas lagi kewajipan menghubungi rahim dalam sabdanya:

‏أَنَّ رَجُلاً قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي قَرَابَةً أَصِلُهُمْ وَيَقْطَعُونِي وَأُحْسِنُ إِلَيْهِمْ وَيُسِيئُونَ إِلَيَّ وَأَحْلُمُ عَنْهُمْ وَيَجْهَلُونَ عَلَيَّ فَقَالَ ‏ ‏لَئِنْ كُنْتَ كَمَا قُلْتَ فَكَأَنَّمَا ‏ ‏تُسِفُّهُمْ الْمَلَّ ‏ ‏وَلاَ يَزَالُ مَعَكَ مِنْ اللَّهِ ‏ ‏ظَهِيرٌ ‏ ‏عَلَيْهِمْ مَا دُمْتَ عَلَى ذَلِكَ [19

Terjemahan: “Seorang lelaki bertanya wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku mempunyai seorang keluarga, aku hubungi mereka tetapi mereka tidak menghubungi aku, aku berbuat baik kepada mereka, tetapi mereka tidak menghargaiku, aku menghormati mereka, tetapi mereka mengabaikan aku. Lalu Nabi saw bersabda: “Andainya benar seperti yang engkau katakan itu, mereka itu (sangat hina) bagaikan orang yang diberi makan abu panas, tetapi engkau sentiasa bersama pertolongan Allah ke atas mereka, selama engkau terus menghubungi rahim”.

Banyak sekali faedah yang dijanji Nabi saw kepada mereka yang menghubungi rahim. Dalam sebuah hadis Nabi bersabda:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ [20
Terjemahan: “Sesiapa suka rezekinya dimurahkan, ajalnya dipanjangkan, hendaklah dia menghubungi rahimnya”

Maksud dimurahkan rezeki ertinya diberi barakah padanya. Maksud ditanguh ajal ertinya diberi kekuatan pada jasadnya atau maksudnya nama baiknya dikenangi selepas mati. Dengan maksud ini tertolak kekeliruan sesetengah orang yang menyatakan rezeki dan usia telah ditentukan oleh Allah dan tiada perubahan berlaku padanya [21].

Keempat:
Bersalat Pada Waktu Akhir Malam

Allah SWT memuji para hamba-Nya yang beribadat pada akhir malam, semata-mata kerana takutkan Allah dan kerana inginkan rahmatNya, firman-Nya:

تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفاً وَطَمَعاً وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ [22

Terjemahan: “Lambung-lambung mereka berpisah dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur). mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut serta menaruh harapan memperolehi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami beri kepada mereka”.

Firman-Nya lagi:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَى أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَاماً مَّحْمُوداً [23

Terjemahan: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”

Beribadat malam menjanjikan faedah yang besar, antaranya:

1: Menambahkan pahala. Nabi saw bersabda:

‏مَا مِنْ رَجُلٍ تَكُونُ لَهُ سَاعَةٌ مِنْ اللَّيْلٍ يَقُومُهَا فَيَنَامُ عَنْهَ ا إِلاَّ كُتِبَ لَهُ أَجْرُ صَلَاتِهِ وَكَانَ نَوْمُهُ عَلَيْهِ صَدَقَةً تُصُدِّقَ بِهِ عَلَيْهِ [24

Terjemahan: “Tiada seorang lelaki, baginya satu saat pada waktu malam, dia bangun (menunaikan salat) kemudian dia tidur, lalu ditulis baginya pahala salat dan tidurnya pada malam itu dijadikan sedekah yang diberinya pada malam itu”.

2: Mengelak diri dari kejahatan syaitan, sabda Nabi:

أَنَّ رَجُلاً قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ فُلاَنًا نَامَ عَنْ الصَّلاَةِ الْبَارِحَةَ حَتَّى أَصْبَحَ قَالَ ‏ذَاكَ شَيْطَانٌ بَالَ فِي أُذُنَيْهِ ‏[25

Terjemahan: “Seorang lelaki melaporkan kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya orang itu tidur sampai waktu pagi tanpa menunaikan salat” Sabda Nabi: Itulah orang yang dikencing syaitan dalam dua lubang telinganya”.

Sabda Nabi lagi kepada Abdullah ibn `Amr ibn al-`As ra:

‏يَا ‏ ‏عَبْدَ اللَّهِ ‏ ‏لاَ تَكُنْ مِثْلَ فُلاَنٍ كَانَ يَقُومُ اللَّيْلَ فَتَرَكَ قِيَامَ اللَّيْلِ [26

Terjemahan: “Wahai Abdullah! Jangan engkau jadi seperti orang itu, dia bangun beribadat malam, kemudian dia tinggalkannya”.

Dalam hadis yang lain Rasulullah saw bersabda:

رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً قَامَ مِنْ اللَّيْلِ فَصَلَّى وَأَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَإِنْ أَبَتْ ‏ ‏نَضَحَ ‏ ‏فِي وَجْهِهَا الْمَاءَ رَحِمَ اللَّهُ امْرَأَةً قَامَتْ مِنْ اللَّيْلِ فَصَلَّتْ وَأَيْقَظَتْ زَوْجَهَا فَإِنْ أَبَى ‏ ‏نَضَحَتْ ‏ ‏فِي وَجْهِهِ الْمَاءَ [27

Terjemahan: “Semoga Allah merahmati seorang lelaki yang bangun pada waktu malam, lalu dia bersalat dan mengejutkan isterinya. Jika isterinya enggan, disimbahnya air di atas mukanya. Semoga Allah merahmati seorang wanita yang bangun pada waktu malam, lalu dia sembahyang dan mengejutkan suaminya, jika dia enggan, disimbahnya air di atas mukanya”.

3: Mendidik keluarga supaya ikut serta berjamaah pada salat malam. Sabda Nabi SAW tatkala mengetuk pintu bilik Fatimah dan Ali yang sedang tidur:

أَلاَ تُصَلِّيَانِ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْفُسُنَا بِيَدِ اللَّهِ فَإِذَا شَاءَ أَنْ يَبْعَثَنَا بَعَثَنَا فَانْصَرَفَ حِينَ قُلْنَا ذَلِكَ وَلَمْ يَرْجِعْ إِلَيَّ شَيْئًا ثُمَّ سَمِعْتُهُ وَهُوَ ‏ ‏مُوَلٍّ ‏ ‏يَضْرِبُ فَخِذَهُ وَهُوَ يَقُولُ:وكَانَ الإنسَانُ أكثَرَ شَيءٍ جَدَلاً [28
Terjemahan: “Adakah kamu berdua tidak bangun salat? Aku berkata: Wahai Rasulullah. Diri kami di tangan Allah. Jika Dia kehendaki, nescaya dikejutnya kita, lalu Nabi beredar tatkala kami menjawab begitu. Baginda tidak menjawab apa-apa lagi kepadaku, kemudian aku mendengarnya ketika dia berpaling sambil menepuk pahanya bersabda: “dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya”

Peristiwa ini menyatakan bahawa tidur pada waktu pagi sangat berat untuk bangun menunaikan ibadat seperti salat tahajjud, ia memerlukan sedikit mujahadah dan melawan nafsu.

Pengajaran dan Saranan

1: Nabi saw membuat seruannya kepada seluruh para hadirin dengan seruan “Ayyuha al-Nas”. Sebaliknya Nabi tidak membuat seruan dengan “Ayyuha al-Mu`minun”. Tujuannya supaya seruannya meliputi semua kumpulan dalam masyarakat Madinah.

2: Empat perkara ditekankan dalam hadis ini ialah memberi makan, berbudi bahasa, melebarkan salam dan menghubungi rahim. Empat perkara ini termasuk dalam akhlak Islam yang terpuji dan hak yang wajib disempurnakan kepada orang Islam.

3: Antara keperluan dalam Fiqh al-Da`wah ialah mengambil kira suasana masa dan muslihat umum. Pada masa hadis ini disabdakan, suasana sangat memerlukan sokongan dari masyarakat umum kepada Islam.

4: Berintraksi dengan baik dengan orang ramai, merupakan da`wah secara amali. Pergaulan yang baik memudahkan orang ramai menerima Da`wah Islamiyah yang baru diperkenalkan.

Nota Hujung

[1]Ibn Majah, al-At`imah: It`am al-Ta`am, hadis (3242) daripada Abdullah ibn Salam.
[2] Muslim, al-Iman: Bayan annahu La Yadkhul al-Jannah .. , hadis (81) daripada Abu Hurayrah.
[3] Muslim, al-Iman: Bayan Tafadul al-Islam, hadis (56) daripada Abdullah ibn `Umar.
[4] Abu Dawud, al-Adab: Kayf al-Salam, hadis (4521) daripada `Imaran ibn Husayn.
[5] Musli, al-Salam: Min haq al-Muslim li al-Muslim, hadis (4023) daripada Abu Hurayrah.
[6] Al-Insan: 8-9
[7] al-Muddaththir: 40-44
[8] Al-Bukhari, Khalq Af`al al-`Ibad, ms 79. Al-Albani, al-Silsilah al-Sahihah, 4/578 (Sahih)
[9] Al-Bukhari, al-Jihad wa al-Siyar: Fikak al-Asir, hadis (2819) daripada Abu Musa al-Ash`ari.
[10] al-Nisa: 1
[11] Muhammad: 22
[12] al-Isra`: 23

Oleh Dr Abdul Hayei Abdul Sukor

Sabtu, 25 September 2010

KULIAH BULANAN - USTAZ AWANG BIN MAMAT

CERAMAH / KULIAH BULANAN

TARIKH: 26 SEPT 2010

MASA: SELEPAS MAGHRIB

TEMPAT: SURAU AL-IKHLAS BDR SG BUAYA

PENCERAMAH: USTAZ AWANG BIN MAMAT

KITAB: AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH KARANGAN HJ SA'ID HJ IBRAHIM (BEKAS MUFTI SABAH)

MUSLIMIN MUSLIMAT DI JEMPUT HADIR

Islamkan sambutan raya raih kehidupan mulia


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Mu’minun :

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya,

Suasana sambutan hari raya masih begitu terasa dengan pelbagai cara sambutannya termasuk rumah terbuka silih berganti bagi meraikan anugerah hari raya yang dianugerahkan oleh Allah setelah sebulan melalui ujian hawa nafsu dalam tarbiah Ramadhan. Jika menyambut kedatangan Ramadhan kita boleh mengikut lunas-lunas Islam dalam menghidupkannya maka mengapa ketika menyambut kedatangan Syawal begitu banyak pelanggaran terhadap syariat Islam seolah-olah syaitan dibebaskan bersama dengan dosa dan seolah2 dosa pahala tidak lagi dipedulikan oleh Allah dalam bulan Syawal.
Cara berpakaian yang mendedah aurat, cara pergaulan bebas yang melampaui batas syarak, cara berhibur yang keterlaluan mencemari kemuliaan Syawal sehingga tarbiah Ramadhan sudah tidak diendah lagi. Tidak malukah kita dengan para sahabat nabi dan pejuang Islam sebelum kita yang terpaksa berdepan dengan musuh Islam seperti dalam peperangan Ahzab atau Khandak, peperangan Hunain dan peperangan Uhud ketika suasana Syawal demi menjulang agama Allah sedangkan ramai di kalangan umat Islam hari ini tersungkur di kaki syaitan dan hawa nafsu ketika menyambut Syawal.
Tidak malukah kita melaung takbir kemenangan ketika kalah melawan hawa nafsu sedangkan pejuang Islam dulu melaungkan takbir kemenangan ketika meraikan kemenangan mengalahkan musuh Islam. Inilah suasana masyarakat hari ini yang tidak lagi mengenal erti kemenangan yang sebenar dan bagaimana mahu menghayatinya kerana apa yang ada dalam otak mereka ialah berhibur sampai lupa Allah samada ketika sambut hari raya, tahun baru, hari merdeka dan lain-lain perayaan. Renungilah kata pujangga :

لَيْسَ العِيْد ِلمَنْ لَبِسَ الجَدِيْد، إِنَّمَا العِيْد ِلمَنْ طَاعَتُهُ تَزِيْد. لَيْسَ العِيْد ِلمَنْ تَجَمَّل بِاللِّبَاسِ وَالمَرْكُوْب، إِنَّمَا العِيْد ِلمَنْ غُفِرَتْ لَهُ الذُّنُوْب. لَيْسَ العِيْد ِلمَنْ حَازَ الدِّرْهَم وَالدِّيْنَار إِنَّمَا العِيْد ِلمَنْ أَطَاعَ العَزِيْزَ الغَفَّار
Maksudnya : Bukanlah hari raya itu bagi orang yang hanya berpakaian baru nan indah sebaliknya hari raya itu bagi orang yang ketaatannya terus bertambah. Bukanlah hari raya itu bagi yang berhias dengan pakaian anggun dan kenderaan bersusun sebaliknya hari raya itu bagi orang yang dosa-dosanya diampun. Bukanlah hari raya itu bagi yang memperolehi wang dinar juga dirham yang bertimbun sebaliknya raya itu bagi orang yang mentaati Allah Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Setiap graduan yang telah berjaya dalam pengajiannya wajib membuktikan kejayaannya dengan mencurah khidmat mengikut bidang yang diceburi barulah diiktiraf sebagai graduan yang benar-benar berjaya bukan setakat membawa sijil ke hulu-hilir tanpa menunjukkan hasilnya. Begitulah juga dengan graduan universiti Ramadhan bukan setakat berbangga kerana dapat berpuasa sebulan sebaliknya kesan daripada tarbiah Ramadhan dengan mengekalkan amalan soleh, sifat terpuji dalam diri serta ketaatan kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan pada 11 bulan yang lain dapat dilihat jelas dalam kehidupan seharian.
Betapa beruntungnya orang-orang yang telah menyempurnakan puasa sunat 6 hari bulan Syawal, begitu juga yang sedang menunaikannya. Bagi yang belum memulakannya atau tak pernah menunaikannya sebelum ini maka marilah kita sama-sama membuktikan bahawa tarbiah Ramadhan lepas telah berjaya mengubah kita ke arah menjadi hamba Allah bukan setakat hamba Ramadhan yang hanya baik pada bukan Ramadhan sahaja manakala pada bulan lain kembali menjadi pengikut setia kepada hawa nafsu. Sama-samalah kita merebut kelebihan puasa sunat terutama berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثٌمَّ أَتْبَعَهٌ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ - رواه مسلم
Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.
Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا - رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ketika berseronok menyambut hari raya jangan kita lupa kepada keadaan yang berlaku sekeliling kita. Kita dihimpit dengan pelbagai masalah sosial dan jenayah besar yang semakin membarah terutama penyakit 5M iaitu mencuri, menyuburkan zina, mabuk dadah atau arak, main judi dan membunuh. Begitu juga bala Allah berbentuk bunuh diri di mana suatu kajian pakar pada tahun 2007 menyatakan gejala bunuh diri dijangka menjadi faktor kedua tertinggi menyumbang kepada jumlah bilangan kematian di negara ini dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan purata 6 orang bunuh diri setiap hari , 2500 orang setiap tahun dan 50,000 kes cuba bunuh diri setiap tahun.
Ditambah lagi dengan laporan seramai 3 juta daripada 26 juta penduduk termasuk kanak-kanak di negara ini disahkan menghidap masalah gangguan mental atau emosi yang menyaksikan penyembelihan kejam terhadap ibu bapa, isteri dan anak sendiri yang begitu mengerikan seolah-olah menonton drama tv sahaja. Kes bunuh terhadap seorang jutawan wanita serta 3 lelaki bersama yang bukan sahaja dibunuh dengan kejam malah dibakar begitu menggemparkan negara ketika kehangatan menyambut raya. Bila manusia gila harta maka segala kejahatan menjadi halal pada pegangan mereka. Akhirnya apa yang kita dapat hasil jauh daripada petunjuk al-Quran melainkan kehancuran. Renungilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ ، وَتَكْثُرَ الزَّلَازِلُ ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ ، وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ ، وَهُوَ الْقَتْلُ الْقَتْلُ ، حَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمْ الْمَالُ فَيَفِيضَ
Maksudnya : Tidak berlakunya kiamat sehingga ditarik ilmu pengetahuan, dan banyak gempa bumi, terlalu singkat waktu, banyak fitnah dan kekacauan, iaitu pembunuhan demi pembunuhan, sehingga semakin banyak harta kemewahan yang melimpah ruah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 108 surah al-An’am :

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya : Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan
Ketika kehangatan menyambut hari raya namun tidak melupakan kita kepada perancangan jahat seorang paderi sebuah gereja di Florida, Amerika bernama Terry Jones yang disifatkan oleh anak perempuannya sebagai seorang yang sakit otak selepas disingkirkan oleh kumpulan gerejanya sendiri di Jerman di mana dia menjadi perancang utama untuk membakar 200 naskhah al-Quran sempena memperingati serangan 11 September terutama bantahan terhadap rancangan umat Islam untuk membina pusat Islam dan masjid berhampiran bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang ranap dalam peristiwa 11 September 2001. Walau pun paderi tersebut menarik balik perancangan yang tidak bertamadun itu namun ada seorang peguam Australia telah membakar al-Quran dan Bible dengan penuh rasa bangga menyatakan bahawa dia mahu membuktikan antara al-Quran dan Bible mana yang lebih cepat terbakar.
Begitu juga sebuah televisyen Amerika menyiarkan tindakan sekumpulan aktivis mengoyakkan naskah kitab al-Quran di hadapan White House sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam sedunia sehingga ada yang mati dalam tunjuk perasaan demi mempertahankan kesucian al-Quran. Sebagai golongan terpelajar sepatutnya perbuatan terkutuk ini tidak berlaku. Islam tidak pernah pernah menyuruh umatnya membakar Bible kristian, Talmud yahudi dan kitab agama lain walau pun jelas sesat sebagaimana Islam melarang daripada mengganggu rumah ibadat agama lain. Inilah kehebatan Islam ketika berdepan dengan kerakusan nafsu serakah golongan pelampau.
Kalau kita di sini begitu sibuk dengan hari raya sehingga tak sempat nak ambil tahu tentang peristiwa pembakaran al-Quran ini maka tanyalah diri sendiri samada kita layak berhari raya yang merupakan anugerah Allah sedangkan dalam masa yang sama kita tidak mempedulikan al-Quran yang diturunkan oleh Allah daripada dikhianati oleh musuh Islam. Adakah masih ada cahaya iman dalam diri orang yang tenggelam dalam melayan hawa nafsu sehingga tidak menghiraukan panduan kehidupan utama iaitu al-Quram dipermainkan oleh musuh Islam. Tepuklah dada dan tanyalah iman kita

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِب