Rabu, 30 Jun 2010

TAHUN HIJRAH

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab radhiyallahu `anhu. Ini adalah turutan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.

Terdapat riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengutus surat kepada Saidina Umar r.a yang meminta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. (Umar r.a) mahu diwujudkan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Parsi, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam.

Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan tetegaknya Islam. Hasilnya, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.

Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmaqdis dibebaskan dari Rom dan Masjid Al Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Parsi dan Romawi, ternyata kalendar yang baru itu lebih baik. Akhirnya, Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.

Dalam takwim Hijrah, terdapat 12 bulan. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap. Lazimnya, hari pertama setiap bulan akan bermula setelah anak bulan (hilāl) kelihatan ketika matahari terbenam. Jika hilāl tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan tersebut, sama ada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang apabila bulan terbenam, maka, hari tersebut dikira sebagai hari yang ke-30. Pencerapan atau rukyah tersebut haruslah dilakukan oleh orang yang dipercayai dan dan mengakuinya dihadapan pemimp

Pencerapan ini mendorong orang-orang Islam untuk mendalami bidang astronomi, yang meletakkan Islam lebih maju dalam bidang tersebut buat beberapa kurun. Amalan tradisi ini masih diikuti di negara-negara lain seperti Pakistan and Jordan. Walau bagaimanapun, kebanyakan peraturan astronomi negara Muslim membenarkan penggunaan calendar dan tidak tertakluk sentiasa kepada cara ini. Malaysia, Indonesia, dan beberapa negara yang lain memulakan bulan ketika matahari terbenam pada hari pertama ketika bulan terbenam selepas matahari terbenam. Di Mesir, bulan bermula ketika matahari terbenam pada hari pertama yang bulan terbenam sekurang-kurangnya lima minit selepas matahari terbenam.

Umm al-Qura yang rasmi, kalendar Arab Saudi menggunakan kaedah astronomi yang berlainan hinggalah beberapa tahun kebelakangan ini [1]. Sebelum 1420H (sebelum 18 April 1999), jika usia bulan yang terbenam di Riyadh sekurang-kurangnya 12 jam, maka hari yang tamat ketika matahari terbenam itu merupakan hari pertama setiap bulan. Ini menyebabkan negara tersebut meraikan hari-hari raya sehari atau dua hari awal berbanding negara lain termasuklah Haji yang hanya menggunakan tarikh Arab Saudi kerana berlangsung di Makkah. Pada tahun 1380-an H (1970-an), negara Muslim berlainan menamatkan puasa Ramadan pada empat hari yang berbeza. Perayaan aidil fitri lebih seragam pada 1420H. Bagi 1420-22H, jika bulan terbenam selepas matahari terbenamdi Makkah, maka hari yang bermula ketika matahari terbenam tersebut adalah hari pertama bulan Saudi, peraturan yang sama juga bagi Malaysia, Indonesia, dan yang lain (kecuali tempat rukyah dijalankan).

Berikut adalah nama bulan Islam dan asal-usulnya (yang kebanyakannya muncul sebelum Islam lagi). Kebanyakan nama tersebut timbul sempena cuaca ketika suatu peristiwa besar berlaku ataupun sempena peristiwa besar tersebut. Walau bagaimanapun, oleh kerana semuanya adalah nama bulan dan bulan berubah 11 hari lebih awal setiap tahun, maka, musim atau peristiwa asal tidak begitu mempengaruhi nama sesetengahnya kini.

1. Muharam al-Haram (dipendekkan kepada Muharram – محرّم)
* Bulan ini mengambil perkataan "Haram" yang bermaksud terlarang. Ini disebabkan budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini. Selepas munculnya Islam, Allah meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram dalam Islam.

2. Safar (ﺻﻔﺮ)
* Perkataan in bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin. Safar juga menunjukkan yang masyarakat Arab (badwi) meninggalkan rumah mereka.

3. Rabiulawal (ﺭﺑﻴﻊ ﺍﻷﻭﻝ)
* Bulan pertama musim bunga iaitu masa ketika bulan tersebut dinamakan.

4. Rabiulakhir (ﺭﺑﻴﻊ ﺍﻷﺧﻴﺮ/'ﺭﺑﻴﻊ ﺍﻟﺜﺎﻧﻲ)
* Bulan kedua musim bunga.

5. Jamadilawal (ﺟﻤاﺪ ﺍﻷﻭﻝ)
* Bulan pertama musim panas. "Jumada" bermaksud kering.

6. Jamadilakhir (ﺟﻤاﺪ ﺍﻷﺧﻴﺭ/ﺟﻤاﺪ ﺍﻟﺜﺎﻧﻲ)
* Bulan kedua musim panas. Jamada, juga bulan yang lain juga lebih sejuk, yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.

7. Rejab (ﺭﺟﺐ)
* Satu lagi bulan suci yang mengharamkan perlawanan atau peperangan dan salah satu bulan yang dihormati. Ia juga dikenali sebagai Rajab al Fard. Fard bermaksud keseorangan; kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab di tengah-tengah.

8. Syaaban (ﺷﻌﺒاﻦ)
* Bulan ini terbit dari perkataan "syu'ba", bermaksud berpecah/menyimpang. Masyarakat Arab dahulu sering keluar dan berpecah untuk mencari air.

9. Ramadan (ﺭﻣﻀاﻦ)
* Diambil daripada perkataan "ramda", yang bermaksud batu panas. Ini menceritakan ketika nama tersebut diberikan, keadaan amat panas ketika itu.

10. Syawal (ﺷﻮﺍﻝ)
* Diambil daripada perkataan yang membawa maksud, apabila unta betina bunting. Ketika nama bulan ini diberikan, lazimnya unta betina bunting pada ketika itu.

11. Zulkaedah (ﺫﻭ ﺍﻟﻘﻌﺪة)
* Diambil daripada perkataan "qa'ada" bermaksud untuk duduk. Inilah bulan suci ketiga yang mengharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan Haji.

12. Zulhijah (ﺫﻭ ﺍﻟﺤﺠة)
* Ini adalah bulan suci terakhir dalam setahun dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan ini, haji dilaksanakan. Perkataan tersebut juga mengambil perkataan "haji" sebagai rujukan nama bagi bulan haji ini.

http://alamindaku.blogspot.com/2009/12/tahun-masihi-vs-tahun-hijri.html
Read more: http://e-laporan.blogspot.com/2010/04/maksud-nama-nama-bulan-hijriah.html

CERITA TAK MASUK AKAL

Pada suatu hari….

Seorang ayah pergi merantau ke luar negara untuk mencari rezeki meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. Dia seorang yang penyayang dan sangat dikasihi dan dihormati pula oleh ahli keluarganya.

Setelah keadaannya di rantau orang agak stabil, dia menghantar surat pertama kepada keluarganya. Mereka sangat gembira menerima surat yang sungguh bermakna dari seorang ayah yang sangat dikasihi dan disayangi. Sampul surat itu ditenung berulang kali. Masing-masing memeluk dan mengucup surat tersebut bagai tidak mahu dilepaskan. Kemudian surat yang berharga itu disimpan di dalam pembalut sutera yang indah. Sekali sekala surat itu dikeluarkan dari pembalutnya untuk dibersihkan daripada debu dan habuk. Kemudian meletakkan kembali di dalam pembalutnya.

Kemudian tiba pula surat kedua, ketiga dan seterusnya. Semuanya disimpan dan dijaga rapi seperti surat pertama.

Beberapa tahun berlalu…

Tibalah masa untuk si ayah pulang menemui keluarga tercinta. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati tiada seorangpun yang tinggal kecuali anak bongsunya. Dengan cemas dia bertanya:

-“Mana ibumu?”
- “Ibu ditimpa sakit yang amat teruk. Kami tidak ada wang untuk membiayai rawatannya sehingga akhirnya dia meninggal dunia.”
- “Kenapa begitu? Apakah kamu tidak membuka suratku yang pertama? Di dalamnya terkandung sejumlah wang yang banyak untuk perbelanjaan kamu?”
- “Tidak!”

- “Di mana pula abangmu?”
- “Dia telah terpengaruh dengan kawan-kawan sebaya yang jahat. Selepas kematian ibu, tidak ada siapa yang mampu menasihatinya. Sekarang dia sudah jadi sebahagian daripada mereka.”
-(Ayah semakin hairan) “Kenapa begitu? Aku telah tulis dengan panjang lebar menasihati kamu agar berhati-hati memilih kawan. Jangan berkawan dengan orang jahat kerana lama kelamaan kita juga akan jadi jahat! Aku juga meminta agar abangmu itu mengikut aku di rantau orang. Apakah kamu tidak membaca suratku?”
- “Tidak!”

- “Kakakmu di mana?”
- “Dia pernah tulis surat kepada ayah meminta nasihat tentang seorang pemuda yang melamarnya. Sekarang dia telah berkawin dengan pemuda itu. Tapi malangnya dia tidak bahagia. Hidupnya menderita didera sepanjang masa lahir dan batin.”
- “Bukankah aku telah jawab surat itu menasihatinya agar jangan terima lamaran pemuda itu? Aku telah ingatkan, jangan pillih pasangan berdasarkan harta dan kedudukan. Tapi pilihlah berdasarkan agama, akhlak dan keturunan! Kamu tidak baca semua surat-suratku?”
- “Tidak! Kami simpan surat-surat ayah di dalam pembalut sutera yang cantik, kami usap dan cium surat itu sebagai tanda sayang dan rindu kami kepada ayah! Tetapi kami tidak membacanya…”

Tidak ada siapa yang percaya akan kebenaran cerita ini. Mungkin ada yang akan berkata ia tidak masuk akal sama sekali!

Namun sedarkah kita bahawa inilah kisah benar. Kisah yang tak masuk akal sebenarnya hanyalah sebuah analogi mudah.inikah yang berlaku dalam kehidupan UMAT ISLAM hari ini?

Kita menerima surat dari Yang Maha Mengetahui, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Memerhati lagi Maha Bijaksana. Surat yang mengandungi panduan, ajaran serta petunjuk dalam segenap bidang kehidupan. Tetapi sejauh mana kita membaca, memahami dan mengikuti panduan yang diberi?

Maka jadilah apa yang terjadi! Umat Islam mati dibunuh saban hari, di sana sini. Jenayah meningkat, keruntuhan akhlak mencemaskan di semua peringkat, wanita-wanita didera dan diperkosa tanpa mengira tua atau muda, bayi-bayi yang tidak berdosa dibuang merata-rata, dan bermacam-macam kejahatan, maksiat dan kemungkaran yang menjijikkan.

Semuanya berpunca daripada tidak membaca dan mengambil pengajaran daripada Surat yang dikirim oleh Pencipta Yang Maha Esa Yang Amat Sayang kepada makhluk-Nya!

[ISLAM SULUKUL HAYAH]
http://e-laporan.blogspot.com/2010/05/cerita-tak-masuk-akal.html

Isnin, 28 Jun 2010

HIKMAH 7 AYAT

Tafsir Hanafi, barangsiapa menghafal Tujuh Kalimah dan jika diamalkan dalam kehidupan seharian, ia terpandang mulia di sisi Allah dan Malaikat serta diampuni dosa-dosanya walaupun sebanyak buih-buih di lautan.

1.Mengucap Bismillah pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

2.Mengucap Alhamdulillah pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.

3.Mengucap Astaghfirullah jika lidah menyebut perkataan yang tidak elok.

4.Mengucap Insya' Allah jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.

5.Mengucap La haula wala quwwata illa billah jika menghadapi sesuatu tidak disukai dan tidak diingini.

6.Mengucap Inna lillahi wa inna ilaihi raaji'un jika menghadapi dan menerima musibah.

7.Mengucap La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah sepanjang siang malam sehingga tidak terpisah dari lidahnya.


Mudah-mudahan ingat, walau lambat-lambat..mudah-mudahan selalu, walau sambil lalu mudah-mudahan jadi biasa, kerana sudah biasa.

Petikan Dari : Laman Portal Murabbi Net
http://www.ustaznoramin.com/

Sabtu, 26 Jun 2010

CERAMAH PERDANA & MAJLIS AQIQAH


CERAMAH PERDANA HANCURKAN ISRAEL

TARIKH: 26 JUN 2010

HARI: SABTU

MASA: SELEPAS SOLAT MAGHRIB

TEMPAT SURAU AL-IKHLAS BANDAR SG BUAYA RAWANG

PENCERAMAH:

PROF. MADYA DR.HAFIDZI MD NOOR
(Pensyarah Fakulti Perlindungan Tumbuhan, UPM/ aktivis Jamaah Islah Malaysia (JIM)/ Pengarah Palestine Center of Excellence (PACE))

MUSLIMIN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR

HUKUM PERNlKAHAN ANTARA MENANTU DENGAN IBU MERTUA TIRI

KEPUTUSAN JAWATANKUASA PERUNDING HUKUM SYARA' (FATWA) NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN MENGENAI PERNlKAHAN ANTARA MENANTU DENGAN IBU MERTUA TIRI

1. TAJUK PERSOALAN

Pihak Jabatan Agama Islam Selangor telah menerima pengaduan daripada wakil jemaah Surau Kg. Pekan, Simpang Lima, Sungai Besar mengenai seorang ahli qaryah tersebut telah bernikah dengan ibu mertua tirinya.

Aduan ini dipanjangkan ke Bahagian Fatwa untuk mendapatkan keputusan Fatwa samada sah atau tidak pernikahan mereka berdua. Pernikahan tersebut melibatkan En. Mohidin bin Abd. Samad (Menantu) dengan Puan Arbaatun bte Hj. Maamun (Ibu Mertua tiri yang telah bernikah pada 29 November 1991 dan dinaikahkan oleh AF Tuan Kadi Sungai Besar.

Maka Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) telah diminta memberikan Fatwanya mengenai perkara tersebut.

2. PERBINCANGAN DAN KEPUTUSAN

2.1. Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti mengikut hukum yang muktabar didalam Islam. Keputusannya adalah seperti berikut :

"Bahawa pernikahan di antara En. Mohidin bin Abd. Samad (Menantu) dengan Puan Arbaatun bte Hj. Maamun adalah sah, kerana ia tidak ada hubungan nasab keturunan atau ikatan perkahwinan yang diharamkan mengikut hukum Syara' dalilnya adalah :

Maksudnya :

Diharamkan kepada kamu berkahwin (perempuan-perempuan yang berikut), ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara sesusuan kamu dan ibu-ibu isteri kamu dan anak-anak tiri yang dalam peliharaan kamu dari isteri-isteri yang telah kamu campuri, tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya), dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu, dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu, sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi, dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaja yang kamu membelinya, (diharamkan segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu, dan (sebaliknya), dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain dari yang tersebut itu" .

Daripada ayat yang disebutkan di atas jelas menunjukkan bahawa tidak ada larangan perkahwinan (pernikahan) emak mertua tiri itu diharamkan dalam Islam. \

*Ibu Mertua Tiri bukanlah Mahram kerana Mushoharoh (Berkahwin) kepada menantu lelakinya. Cuma semasa menjadi isteri kepada Bapa Mertua, Ibu Mertua Tiri tersebut tidak boleh berkahwin dengan Menantu lelakinya tersebut, kerana dia masih isteri orang; iaitu wanita yang terhalang untuk dikahwini. Maka setelah diceraikan, dia boleh berkahwin dengan menantunya, sepertimana didalam fatwa diatas*. WA

Sekian, wassalam

SUMBER:
1.www.muftiselangor.gov.my/PortalFatwaSelangor/.../Keputusan/KeputusanFatwa1993/KeputusanFatwa1993(3).doc
2.http://al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=102&t=32966&p=82118

Rabu, 23 Jun 2010

Bolehkah Memberitahu Aurat Kepada Bukan Mahram

Asssalamualaikum..
Apakah hukum memberitahu sesuatu sesuatu ciri-ciri bhagian aurat kepada yg bukan mahram tanpa menunjukan bahagian tersebut?
Contohnya seorng perempuan memberitahu kepada kawan lelakinya tentang rambutnya seperti rambutnya panjang, lurus dn sebagainya..tetapi lelaki tersebut tidak pernah melihat/terlihat rambut perempuan itu tersebut..

Jawapan:

Waalaikumussalam warahmatullahi wa barakatuh. Tidak boleh memberitahu hal tersebut kepada bukan mahram.

a) Antara illah aurat wanita muslim di hadapan wanita non muslim sama seperti dgn lelaki bukan mahram adalah kerana wanita non muslim ini tidak boleh dipercayai kerahsiaan mereka (dalam menjaga amanah).. Ditakuti aib dan aurat wanita muslim dihebah-hebahkan.

b) Dari Ibn Mas’ud radiallahu anhu. berkata, Rasulullah saw. bersabda: “Janganlah seorang perempuan bergaul dengan perempuan lain kemudian menceritakan perempuan lain itu kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat perempuan yang diceritakannya”.(HR. al-Bukhari dan Muslim)

c) Imam Ibnu Katsir di dalam Tafsir Ibnu Katsir menyatakan:
“Firman Allah Subhanahu wa Taala [au nisaa`ihinna], maksudnya adalah, seorang wanita Muslimah juga dibolehkan menampakkan perhiasannya (auratnya) kepada wanita-wanita Muslimah, namun tidak boleh kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir ahlu zimmah); agar wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita-wanita Muslimah kepada suami-suami mereka. Walaupun hal ini mesti dihindari (mahdzuuran) pada semua wanita, akan tetapi kepada wanita ahlu zimmah lebih ditekankan lagi. Sesungguhnya tidak ada larangan mengenai masalah ini (menceritakan aurat wanita lain) bagi wanita ahlu zimmah. Adapun untuk wanita Muslimah, sesungguhnya, dia memahami bahawa hal ini (menceritakan aurat wanita lain kepada suaminya) adalah haram. Oleh kerana itu, hendaknya dia menjaga diri dari hal tersebut. [Tafsir Ibnu Katsir, juz 6, hal. 48]

sumber: al-fikrah,net

AURAT WANITA DI HADAPAN LELAKI BERUSIA 12 -15 TAHUN

Soalan; Assalamualaikum ustaz. Saya ada soalan: Berkenaan dengan aurat. Bolehkah seorang perempuan membuka aurat dihadapan remaja lelaki yang berusia dalam lingkungan 12-15 tahun yang bukan mahramnya?

Jawapan;

Firman Allah dalam surah an-Nur (bermaksud);“Dan janganlah mereka (yakni perempuan-perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan”. (an-Nur, ayat 31).

Di dalam ayat di atas, Allah melarang wanita-wanita beriman mendedahkan perhiasan dalaman mereka kepada kaum lelaki kecuali beberapa orang berikut;
1. Suami
2. Bapa kandung
3. Bapa mertua
4. Anak lelaki kandung
5. Anak lelaki tiri
6. Saudara kandung
7. Anak-anak saudara
8. Sama-sama wanita
9. Di hadapan hamba-hamba mereka
10. Orang gaji lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan
11. Kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan.

Perhiasan pada badan wanita ada dua jenis;

1. Perhiasan zahir; iaitu pakaian yang dipakai dan perhiasan yang ada di kawasan badan yang harus didedahkan iaitu muka dan tangan (seperti celak, cincin, inai dan sebagainya). Perhiasan zahir ini harus diperlihatkan (atau didedahkan) kepada orang lain termasuk lelaki ajnabi, namun dengan syarat aman dari fitnah.

2. Perhiasan batin/khafiy (tersembunyi); iaitu perhiasan yang berada di kawasan selain muka dan tangan seperti anting-anting, rantai, gelang kaki dan sebagainya; tidak harus diperlihatkan kecuali kepada suami, mahram dan lelaki-lelaki yang disebut oleh Allah di dalam ayat di atas. Jika perhiasan sudah tidak harus diperlihatkan, apatahlagi hendak memperlihatkan tempat beradanya perhiasan itu iaitu tubuh itu sendiri, sudah tentu lebih diharamkan. Jadi, ayat di atas sekaligus difahami darinya kewajipan wanita beriman menutup aurat mereka (iaitu seluruh badan kecuali muka dan tangan) dari dilihat oleh kaum lelaki kecuali beberapa orang yang disebut dalam ayat di atas.

Salah seorang yang dikecuali dalam ayat di atas ialah “Kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan”, iaitu kanak-kanak yang belum memahami hal-ehwal wanita dan aurat wanita dan belum nampak pada mereka keinginan seks kerana umur yang masih kecil. (Lihat; Tafsir al-Munir (Dr. Wahbah az-Zuhaili), surah an-Nur, ayat 31). Jadi, kanak-kanak ada dua jenis;

1. Kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita dan belum ada keinginan kepada wanita. Kanak-kanak dalam kategori ini harus membuka aurat di hadapan mereka sebagaimana di hadapan mahram.

2. Kanak-kanak yang telah mengerti tentang aurat wanita. Kanak-kanak dalam kategori ini tidak harus wanita Islam membuka aurat di hadapan mereka iaitu sama seperti di hadapan lelaki ajnabi dewasa.

Dari sudut umur, umur mereka (yakni kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita) ialah sebelum mencapai umur murahiq iaitu lingkungan umur hampir baligh. (Fathul-Qadier, Imam as-Syaukani). Menurut Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam tafsirnya al-Wasit; “Kanak-kanak di bawah usia 10 tahun”. Jadi, kanak-kanak yang telah berusia 10 tahun ke atas, tidak harus lagi didedahkan aurat di hadapannya. Menurut Dr. Abdullah Syahatah dalam kitabnya “Tafsir Surah an-Nur”; paling jauh ialah yang berusia 12 tahun kerana menurut beliau; kanak-kanak yang telah melepasi 12 tahun telah mula bangkit dalam dirinya perasaan terhadap wanita walaupun mereka belum baligh (halaman 147). Berdasarkan pandangan ini, kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke atas –sekalipun belum baligh- tidak harus didedahkan aurat di hadapannya.

Penentuan umur di atas tidaklah mutlak kerana keadaan manusia pada setiap zaman sentiasa berubah. Pada zaman hari ini melalui pengaruh televisyen dan media-media masa yang lain, pendedahan tentang seks (hubungan lelaki dan wanita) begitu berleluasa termasuk kepada kanak-kanak. Oleh itu, tidak mustahil kanak-kanak lelaki hari ini walaupun belum berusia 10 tahun sudah ada keinginan kepada wanita. Maka ukuran yang paling tepat bagi seorang wanita –untuk mengukur sama ada harus ia membuka auratnya di hadapan kanak-kanak atau menutupnya- ialah dengan ia melihat keadaan kanak-kanak di hadapannya, bukan dengan melihat umurnya semata-mata.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir Fathul-Qadier, Imam as-Syaukani.
2. Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah az-Zuhaili.
3. Tafsir al-Wasit, Dr. Wahbah az-Zuhaili.
4. Tafsir Surah an-Nur, Dr. Abdullah Mahmud Syahatah.
5. Fiqh al-Albisah dan az-Zinah, ‘Abdul-Wahhab Tawilah.

Penulis: Ustaz Adnan Fadhil

Selasa, 22 Jun 2010

Perbincangan Kelebihan Bulan RAJAB.

Untuk mengetahui tentang kelebihan salah satu dari BULAN HARAM ini, kita baca & dengar ulasan dari pelbagai pihak, semoga mendapat manfaat dari perbincangan ini.

Ulasan Ust Dr. Zahazan Mohamed;sila layari :
http://al-ahkam.net/home/index.php?option=com_content&view=article&id=5651:ustaz-zahazan-rejab-walaupun-hadisnya-dhaif-tapi-janganlah-kita-melarang-orang-nak-beramal&catid=69:artikel

Antara Perkara YAng Dibincangkan ialah:

Petikan dari al-Kuliyaah TV3 berkaitan dengan Rejab. rakaman TV yang diconvert kepada MP3. Diulas oleh Ustaz Zahazan. Antara yang diketengahkan ialah:
- Walaupun hadisnya Dhaif tapi jangan kita melarang orang nak beramal
- Kesan Ibadah Sunat terhadap Ibadah Fardhu
- Saya menyeru janganlah sibuk membidahkan orang lain
- Doa keberkatan di bulan Rejab & wajarkah lebih beramal pada bulan Rejab
- Hukum menyambut israk mikraj & puasa 3 bulan berturut-turut
- Maksud Rejab adalah bulanKu & minum air sungai Rejab

SELAMAT MELAYARI DAN MENDENGAR SERTA BERAMAL

Zaid Bin Tsabit

Di usia 13 tahun, Zaid Bin Tsabit datang menemui Rasulullah Muhammad SAW. Ia datang membawa pedang yang panjangnya melebihi tinggi badannya. Tanpa rasa takut dan dengan penuh percaya diri pemuda kecil itu memohon kepada rasulullah agar diizinkan ikut berperang. “Saya bersedia syahid untuk anda wahai rasulullah. Izinkan saya pergi berjihad bersama anda untuk memerangi musuh-musuh Allah, dibawah panji-panji anda,” ucapnya dengan tegas. Rasulullah terpegun mendengar permintaan itu. Dengan penuh rasa haru, gembira dan takjub ia menepuk-nepuk bahu Zaid. Sayangnya, rasulullah tidak bisa memenuhi permintaan itu. Zaid masih terlalu muda untuk ikut berperang.

Zaid pulang dengan rasa kecewa. Ia sedih kerana tak diizinkan ikut berperang. Tapi kecintaannya yang tinggi terhadap islam tidak pupus. Dengan kecerdasannya, ia memikirkan hal lain yang mungkin dilakukan tanpa terhalang usia. Dibantu oleh sang ibu, Nuwar Binti Malik, ia mengajukan permohonan baru untuk ikut berjuang dijalan Allah. Sang ibu pergi menghadap rasulullah, menyampaikan kelebihan Zaid yang hafal tujuh belas surah dengan bacaan yang baik dan benar, serta mampu membaca dan menulis dengan bahasa arab dengan tulisan yang indah dan bacaan yang lancar. Lalu Rasulullah meminta Zaid mempraktikkan apa yang dikatakan ibunya. Rasulullah kagum, ternyata kemampuan Zaid lebih bagus dari yang disampaikan ibunya. Rasulullah meminta Zaid belajar bahasa Ibrani, bahasa orang Yahudi agar mereka tidak mudah menipu rasulullah.

Sebentar saja Zaid mampu menguasai bahasa itu. Setiap kali rasulullah mendapat surat atau akan membalas surat kepada orang Yahudi, maka beliau meminta Zaid melakukannya. Lalu rasulullah juga meminta Zaid belajar bahasa Suryani, ternyata Zaid mampu melakukan. Di usia yang masih muda, Zaid sudah menjadi orang kepercayaan rasulullah untuk menjadi sekretaris pribadi beliau. Tidak hanya itu. Karena kemampuannya membaca dan menghapal Al Qur’an, rasulullah juga mempercayakan Zaid untuk selalu menuliskan wahyu yang turun kepada rasulullah. Setiap kali wahyu turun, rasulullah memanggil Zaid, mendiktekan, dan meminta Zaid menulisnya.

Karena kedekatannya dengan Al Qur’an, setelah rasulullah wafat, Zaid menjadi rujukan utama bila ada yang ingin bertanya tentang Al Qur’an. Di masa Abu Bakar Siddiq menjadi khalifah, Zaid menjadi ketua kelompok yang bertugas menghimpun Al Qur’an. Dan dimasa pemerintahan Ustman Bin Affan, ia menjadi ketua penyusun mushaf Al Qur’an. Kerana kedalaman pengetahuannya akan Al Qur’an, ia diangkat menjadi penasihat umat islam dimasanya. Ia menjadi tempat bertanya bila ada masalah yang terkait dengan hukum islam. Terutama masalah warisan, dimasa itu hanya Zaid yang mahir membagi warisan sesuai aturan islam. Karena kemampuan itu, saat Umar Bin Khatab menjadi khalifah, Umar pernah berfatwa, “Hai manusia, siapa yang ingin bertanya tentang Al Qur’an, datanglah kepada Zaid Bin Tsabit….,”

Meski sudah menjadi ulama besar, namun Zaid tetap zuhud dan tawadhu'. Suatu hari saat ia sedang mengendarai seekor haiwan, ia kesulitan mengendalikan haiwan itu. Saat itu Ibnu Abbas melintas didepannya. Ia membantu Zaid mengendalikan hewannya. Lalu Zaid berkata, “Biarkan saja haiwan itu wahai anak paman rasulullah,” katanya. Ibnu Abbas menjawab, “Beginilah kami diperintahkan oleh rasulullah menghormati ulama kami.” Lalu Zaid menjawab, “kalau begitu berikan tanganmu padaku.” Ibnu Abbas memberikan tangannya, Zaid menciumnya dan berkata, “Begitulah caranya kami diperintahkan Rasulullah SAW untuk menghorrnati keluarga nabi kami.”

Kebesaran nama Zaid Bin Tsabit dan kedalaman ilmu yang dimilikinya menjadi sebuah kehilangan besar ketika tiba waktunya ia pergi menghadap Illahi Robbi. Kaum muslimin bersedih kerana mereka kehilangan seseorang yang dihatinya bersarang ilmu Al Qur’an. Bahkan Abu Hurairah mengungkapkannya sebagai kepergian Samudera Ilmu. Begitulah Zaid Bin Tsabit dengan keluasan ilmu Al Qur’an yang ia miliki. Semoga Allah merahmati dan memberi beliau tempat yang layak disisi-NYA. Amin.

Harta Hamba atau Hamba Harta!!

"Teman anak Adam (manusia) ada tiga: yang satu mengikutinya sampai kepada nyawanya diambil, yang kedua sampai ke kuburnya dan yang ketiga sampai ke padang masyar, adapun yang sampai nyawanya diambil ialah hartanya, dan yang sampai ke kuburnya ialah kaum kerabatnya dan sampai ke padang masyar ialah amalannya." (HR. Ahmad)

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (Surah Al-Munafiqun:9)

"Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan disisi Allah jualah pahala yang besar." (Surah At-Taghabun:15)

"Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya, dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)!" (Surah Al-Humazah:104)


"Kerosakan akibat penyakit suka kemuliaan, harta dan kemegahan pada agama seorang muslim lebih bahaya daripada kerosakan akibat kedatangan dua ekor serigala kedalam kumpulan kambing." (HR. Tirmidzi)

Prinsip Menjaga Harta Berdasarkan Al-Quran

"Bukanlah kebajikan itu hanya menghadap muka kamu ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan (yang sebenarnya) ialah beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab, nabi-nabi, bersedekah harta yang disayangi kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, musafir, peminta-peminta sedekah dan hamba-hamba yang menuntut kemerdekaan, mendirikan solat dan menunaikan zakat, orang yang menepati janji apabila berjanji, orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan peperangan. Mereka itulah orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa." (Surah Al-Baqarah: 177)

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya kepada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengadungi seratus biji. Dan (ingatlah) , Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dihendakiNya, dan Allah Maha Luas (Rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya ." (Surah Al-Baqarah: 261)

~ "Kegembiraan kerana ilmu itu akan kekal, kemuliaan kerana ilmu akan kekal, dan kemasyuran kerana ilmu akan kekal. Sedangkan kegembiraan kerana harta akan mudah lenyap, kemuliaan yang disebabkan harta akan mengarah kepada kehancuran dan kemasyuran kerana harta akan memudar" ~ (Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni)

Pemimpin Yang Tulin

Ramai orang dewasa ini berebut-rebut hendak menjadi pemimpin atau ketua. Bagi mereka yang menyedari tentang besarnya risiko memegang jawatan sebagai ketua sudah tentu keberatan menerima jawatan tersebut. Saiyidina Abu Bakar sendiri semasa hendak meninggal dunia, mengeluh dan kesal kerana dilantik sebagai ketua (khalifah).

Begitu juga dengan Saiyidina Umar yang dilantik sebagai khalifah selepas kematian Saiyidina Abu Bakar. Saiyidina Umar sangat mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya. Pada suatu malam sedang dia meronda di sekeliling kota dan kampung untuk melihat hal rakyatnya, dia terdengar tangisan kanak-kanak. Saiyidina Umar menghampiri pondok buruk tempat tinggalnya kanak-kanak itu.

Dia mendengar ibunya menjerang sesuatu. Kanak-kanak tadi senyap seketika apabila melihat ibunya sedang memasak. Namun masakannya tidak siap-siap sehinggalah anaknya tertidur dalam kelaparan. Melihat keadaan yang menyayat hati itu, Saidinia Umar memberi salam dan meminta izin untuk masuk. Wanita itu tidak sedar bahawa tetamu itu ialah Saiyidina Umar. Saiyidina Umar bertanya tentang hal kehidupan wanita itu. Wanita itu mengadu yang dia dan anaknya sudah berhari-hari tidak makan. Apabila anaknya menangis hendakkan makanan, dia pura-pura memasak dengan memasukkan beberapa ketul batu ke dalam periuk. Melihat keadaan itu, anaknya diam sebentar kerana menyangka ibunya memasak sesuatu.

Wanita itu mengadu dan mengutuk Khalifah Saiyidina Umar kerana tidak bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Mendengar kutukan wanita itu, Saiyidina Umar terdiam sejenak. Sebentar kemudian, dia memohon diri meninggalkan keluarga wanita itu. Dalam kegelapan malam, Saiyidina Umar terus menuju ke Baitul Mal lalu mengambil sendiri beberapa pundi gandum untuk dihantar ke rumah wanita itu.

Sebaik sampai di rumah wanita itu, Saiyidina Umar memberi salam dan masuk ke rumahnya buat kali kedua. Dia mengambil gandum dari pundi lalu terus memasakkan untuk wanita dan anaknya. Wanita itu masih tidak sedar bahawa orang yang datang membawa gandum dan memasak itu ialah khalifah sendiri. Setelah siap, Saiyidina Umar sendiri menghidangkan makanan untuk wanita dan anaknya.

Melihat mereka gembira mengadap makanan, Saiyidina Umar berasa amat senang hati dan beredar dari situ. "Kalaulah Saiyidina Umar buat begini, alangkah baiknya....", kata wanita itu tanpa menyedari orang yang berada di hadapannya ialah Saiyidina Umar sendiri.

Moral & Iktibar

Tanggungjawab sebagai pemimpin amat berat. Mengikut Nabi Muhammad s.a.w. Setiap kita adalah gembala dan akan ditanya tentang haiwan gembalaannya. Ini bermaksud kita akan dipersoalkan tentang orang di bawah jagaan/tanggungan kita.

Pemimpin yang benar-benar bertanggungjawab terhadap rakyat sentiasa memastikan kebajikan mereka dijaga dengan baik.

Pemimpin tulen ialah mereka yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat terutama yang msikin lebih daripada kepentingan sendiri.

Amalan yang ikhlas tanpa mengharapkan pujian makhluk adalah satu amalan yang terpuji.

Setiap pemimpin (raja, menteri, atau wakil rakyat) sepatutnya sanggup turun padang setiap ketika untuk melihat sendiri kehidupan rakyat dan hulurkan bantuan kepada mereka yang miskin dan memerlukan dengan ikhlas kerana Allah, bukan mengharapkan pujian dan sanjungan.

Kegagalan seseorang pemimpin mentadbir negara dengan adil dan saksama akan menyebabkan dirinya jauh dari syurga dan hampir dengan neraka.

Walau setinggi manapun pangkat dan darjat kita tidak akan dinilai Allah. Apa yang diambil kira ialah amalan yang diikhlaskan untuk Allah.

Untuk keselamatan dunia dan akhirat hendaklah kita mencontohi pekerti Nabi Muhammad dan sahabat-sahabat Baginda.

Pemimpin yang baik ialah mereka yang sanggup mendengar kritikan rakyat jelata serta mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

nukilan :Zulfazdli's
http://kedahlanie.blogspot.com/

Ahad, 20 Jun 2010

Isu Gabung Puasa Qadha&Sunat DAN Cara ganti puasa berganda-ganda

i. Manakah yang lebih baik, berpuasa qada’ terlebih dahulu baru berpuasa sunat, atau menggabungkan kedua-duanya sekali? Contohnya seperti puasa qada’ ramadan dengan puasa enam.

Jawapan :

i) Jika anda bertanya manakah yang lebih baik antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha, jawapannya adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih ertinya : “ Tidak hampir kepadaku orang yang ingin hampir kepadaKu sebagaimana apabila mereka melaksanakan amalan fardhu / wajib mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya…” ( Riwayat Al-Bukhari )

Amat jelas hadis ini menjelaskan amalan fardhu atau wajib lebih utama di sisi Allah SWT dari yang sunat, walau sehebat mana sekalipun yang sunat itu.

Hadis tadi sebagai asasnya, tetapi dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang. Maksud saya begini, jika seseorang itu perlu qadha puasanya selama 30 atau berpuluh-puluh hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat sehingga mampu mengerjakan syawwal terlebih dahulu, ketika itu mungkin ia boleh mendahulukan puasa syawwal bagi mengejar waktunya yang singkat berbanding qadha. Tapi harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa qadha adalah panjang, tetapi kita tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum qadha puasa tetapi sudah berpuasa sunat syawwal akan pasti bermasalah kerana ia masih berhutang dengan Allah. Bagaimanapun seseorang yang mati setelah qadha puasanya tetapi tidak sempat sunat syawwal, maka tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali.

Kita harus memahami bahawa darjat puasa qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang’ ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan saya seperti berikut :-

Tidak elok menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu ( dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk digabungkan. Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang membolehkan penggabungan menjadi tandatanya iaitu :-

• Jika anda mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan tahiyyatul masjid atau dengan solat unat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat tahiyyatul masjid. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

• Menurut guru saya Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.

• Tindakan A’isyah ra yang melewatkan qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa qadha dan syawwal. Maka ini lah yang terpilih sepatutnya. ( tidak gabungkan kerana aisyah tidak menggabungkannya)

• Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya. Bagaimanapun , ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat sepenunya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

• Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW ertinya “ Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Muslim). Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melangkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

• Hujjah ulama yang mengharuskan adalah hadith “ Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12) dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat dalam mazhab Syafie mestilah dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103)

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.

• Qiyas haji Qiran (iaitu menggabungkan Haji dan Umrah) kepada Puasa Qadha wajib dan Sunat Syawwal adalah qiyas yang kurang tepat. Malah terdapat majority ulama yang tidak setuju dengan konsep “qiyas’ dalam isu ibadat. ( Rujuk Nihayah As-Sull, Jamaluddin al-Isnawi)

Kesimpulan pandangan saya yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal) ; bagaimanapun, pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan adalah beberapa ulama mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

ii) Semasa usia remaja, saya pernah meninggalkan solat, demikian juga puasa. Tetapi saya tidak ingat jumlah solat yang ditinggalkan, serta jumlah hari puasa yang ditinggalkan. Bagaimana cara terbaik untuk saya lakukan qada’ terhadap kedua-dua perkara wajib ini?

Jawapan : Terdapat pelbagai pandangan ulama dalam hal ini, tetapi pandangan pilihan saya adalah. Ia adalah hutang kepada Allah yang mesti di bayar, maksud saya semua amalan solat dan puasa wajib yang ditinggalkan wajib juga diganti. Sabda Nabi menyebut tentang perlunya membayar hutang Allah ini: “ Hutang Allah lebih layak untuk dipenuhi (terlebih dahulu) “ (Riwayat ) .

Bagaimanapun, timbul persoalan akan beratnya tindakan untuk menggantikannya dan jumlahnya yang tidak terkira banyaknya. Jika demikian maka respond cadangan saya adalah anda boleh melakukan tindakan berikut:-

a) Tawbat kepada Allah atas kelalaian yang lalu, dengan tawbat dan penyesalan yang sungguh-sungguh.

b) Qadha’ solat dan puasa yang ditinggalkan menurut kemampuan yang ada, jangan terlalu dipaksa, sekadar yang mampu kerana Allah maha pemurah dan pengampun. Bersangka baiklah dengan Allah SWT agar Allah mengampunkan tetapi sangka baik mestilah disertakan dengan bukti kesungguhan kita untuk bertawbat, Sabda Nabi dalam hadith Qudsi “Berkatalah Allah: Aku berada di atas sangkaan hambaku terhadapKu..” ( Riwayat Al-Bukhari, Muslim, Muntaqa Targhib wa Tarhib, no 821, 1/437 ). Pun begitu saya tetap sarankan agar ianya diganti sekadar yang mampu bagi membuktikan kesungguhan. Jika tidak saya bimbang, ramai meninggalkan solat dan puasa wajib dengan mudah, kemudian bertawbat, kemudian ponteng lagi, kemudian tawbat. Benar Allah maha pengampun tetapi buktikan keinsafan kita. Nabi bersabda : “ Sekiranya kamu melakukan dosa sehingga sebesar matahari sekalipun, kemudian kamu bertawbat , nescaya Allah akan menerimanya “ (Riwayat Ibn Majah no 4238 dengan sanad yang baik; disebut sebagai “Hasan” dalam majma az-Zawaid; rujuk Muntaqa 2/820)

c) Kemudian tebus kesalahan lalu itu dengan memperbanyakkan amalan-amalan soleh yang pelbagai seperti ajak orang lain agar jangan ponteng puasa (sebagai tebus kita ponteng dahulu), ajak orang keluarga, rakan-rakan yang melalaikan solat agar mementingkannya. Cadangan saya ini berasaskan sabda Nabi SAW : “ Bertaqwalah kamu kepada Allah dimana sahaja kamu berada, dan ikutilah perbuatan dosamu (buruk) dengan perbuatan baik (pahala) , kerana ia akan memadamnya dan menjadikan kamu sebagai seorang yang berakhlak mulia “ ( Riwayat Tirmidzi, kitab al-Birr, no 1987, 4/355 ; Hasan Shohih menurut Tirmidzi dan Hasan menurut Albani)

Kisah Teladan : Membantah Perintah Ayahnya

Ketika Rasulullah S.A.W memanggil kaum Muslimin yang mampu berperang untuk terjun ke gelanggang perang Badar, terjadi dialog menarik antara Saad bin Khaitsamah dengan ayahnya yakni Khaitsamah. Dalam masa-masa itu panggilan seperti itu tidak terlalu mengherankan. Kaum Muslimin sudah tidak merasa asing bila dipanggil untuk membela agama Allah dan jihad fisabilillah. Sebab itu Khaitsamah berkata kepada anaknya, "Wahai anakku, aku akan keluar untuk berperang dan kau tinggal di rumah menjaga wanita dan anak-anak."

"Wahai ayahku, demi Allah janganlah berbuat seperti itu, kerana keinginanku untuk memerangi mereka lebih besar daripada keinginanmu. Engkau telah berkepentingan untuk tinggal di rumah, maka izinkanlah aku keluar dan tinggallah engkau di sini, wahai ayahku."
Khaitsamah marah dan berkata kepada anaknya, "Kau membangkang dan tidak mentaati perintahku."

Saad menjawab, "Allah mewajibkan aku berjihad dan Rasulullah memanggilku untuk berangkat berperang. Sedangkan engkau meminta sesuatu yang lain padaku, sehingga bagaimana engkau rela melihat aku taat padamu tetapi aku menentang Allah dan Rasulullah."

Maka Khaitsamah berkata, "Wahai anakku, apabila ada antara kita harus ada yang berangkat satu orang baik kau mahupun aku, maka dahulukan aku untuk berangkat."

Saad menjawab, "Demi Allah wahai ayahku, kalau bukan masalah syurga, maka aku akan mendahulukanmu."

Khaitsamah tidak rela kecuali melalui undian antara dia dan anaknya sehingga terasa lebih adil. Hasil undian menunjukkan bahwa Saadlah yang harus turun ke medan perang. Dia pun turun ke medan Badar dan mati syahid.

Setelah itu Khaitsamah berangkat menuju medan pertempuran. Tetapi Rasulullah tidak mengizinkannya. Hanya saja Rasulullah akhirnya mengizinkannya setelah Khaitsamah berkata sambil menangis, "Wahai Rasulullah, aku sekali terjun dalam perang Badar. Lantaran inginnya aku harus mengadakan undian dengan anakku. Tetapi itu dimenangkannya sehingga dia yang mendapat mati syahid. Kelmarin aku bermimpi di mana di dalamnya anakku itu berkata kepadaku, "Engkau harus menemani kami di syurga, dan aku telah menerima janji Allah. Wahai Rasulullah, demi Allah aku rindu untuk menemaninya di syurga. Usiaku telah lanjut dan aku ingin berjumpa dengan Tuhanku."

Setelah diizinkan Rasulullah, Khaitsamah bertempur hingga mati syahid dan berjumpa dengan anaknya di syurga.

http://www.fadhiri.com

Pemimpin Menggunakan Harta Rakyat Dalam Islam

Baru-baru ini kita mendengar kerajaan telah membina Istana baru yang berharga 811 juta. Itu adalah salah satu projek yang menelan banyak duit rakyat walaupun kemiskinan masih lagi membelenggu ramai rakyat malaysia. Dalam masa yang sama biasiswa pelajar luar negara dibekukan. Kita cuba lihat bagaimana Khalifah Abu Bakar dan Umar menggunakan duit rakyat.

ANCAMAN RASUL TERHADAP PENYALAH GUNAAN HARTA

من استعمل منكم على عمل فكتمنا مخيطا فما فوقه كان غلولا يأتي به يوم القيامة
“Sesiapa yang dilantik dikalangan kamu untuk melakukan satu tugas, kemudian dia menyembunyikan harta senilai jarum atau pun lebih dari itu itu adalah harta yang dikhianati yang akan ditanggungnya pada hari kiamat.”Hadis sahih Muslim
Nabi saw bersabda:

إن رجالا يتخوضون في مال الله بغير حق فلهم النار يوم القيمة
"Sesungguhnya manusia-manusia yang menggunakan harta Allah swt dengan cara yang salah akan mendapat seksaan api neraka pada hari kiamat.” - Hadis sahih riwayat Bukhari.

PENGGUNAAN HARTA RAKYAT OLEH ABU BAKAR AS-SIDDIQ

Abu bakar as-Siddiq pada mulanya tidak menerima gaji dan tidak mahu menggunakan harta rakyat . beliau tetap pergi berniaga ketika dia dilantik sebagai khalifah. Ibnu Saad menceritakan dalam kitabnya:

Apabila Abu Bakar as-Siddiq dilantik sebagai khalifah , belaiu keluar pada waktu pagi dengan membawa pakaian-pakaian untuk dijual . Dipertengahan jalan beliau bertemu dengan saidina Umar dan Abu Ubaidah Al-Jarrah . Mereka berdua bertanya kepada Abu Bakar ra “Kamu hendak kemana wahai khalifah?” Lalu Abu Bakar menjawab “ Hendak ke pasar.” Mereka berdua pun membalas “ Apa yang kamu hendak buat dipasar sedangkan engkau sudah dilantik sebagai khalifah untuk menjaga orang-orang Islam? ! Abu Bakar ra menjawab “ Dari sumber mana aku hendak memberi makan keluarga ku?

Gaji Abu Bakar

Dalam kitab Tabaqat al-Kubra , Ibnu Saad menyebut :

Apabila Abu Bakar as-Siddiq dilantik sebagai Khalifah , orang-orang Islam telah menetap gajinya sebanyak dua ribu dirham (setahun). Abu Bakar ra berkata :

زيدوني فإن لي عيالا وقد شغلتموني عن التجارة
“ Tambah lagi kerana sesungguhnya aku anak-anak yang ku tanggung. Sesungguhnya jawatan khalifah ini menyebabkan aku tidak sempat untuk berniaga.”

Lalu mereka menambah 500 dirham.

Ibnu Hajar menyatakan hadis ini sahih

Memulangkan kembali harta setelah jawatan dilepaskan

Hasan bin Ali ra berkata:

Apabila Abu Bakr as-Siddiq hampir meninggal dunia , beliau berpesan:

يا عائشة انظري اللقحة التي كنا نشرب من لبنها والجفنة التي كنا كنا نصطحب فيها والقطيفة التي كنا نلبسها فإن كنا ننتفع بذلك حين كنا نلي أمر المسلمين. فإذا مت فاردديه إلى عمر
“Wahai Aisyah, lihatlah ‘unta yang hampir melainkan anak’ yang kita minum daripadanya, bekas yang digunakan untuk memasak dan pakaian baldu yang kita pakai. Semuanya kita gunakan semasa aku menjadi khalifah. Apabila aku mati hendaklah kembalikan kepada Umar.”

Apabila beliau wafat Aisyah menghantar barang-barang tadi kepada Umar ra. Umar pun berkata:

رضي الله عنك يا أبا بكر
“ Semoga Allah meredaimu wahai Abu Bakr.”

Hadis riwayat at- Thabrani . al-Haithami berkata para perawi-perawinya thiqah.

CARA UMAR MENGGUNAKAN HARTA RAKYAT

Umar ra berkata:

إني أنزلت نفسى من مال الله منزلة مال اليتيم إن استغنيت استعففت وان افتقرت أكلت بالمعروف
“Sesungguhnya aku menggunakan harta rakyat seperti penggunaan harta anak yatim, sekiranya aku tidak memerlukan aku tidak mengambilnya dan sekiranya aku benar-benar memerlukan baru aku akan mengambilnya dengan cara yang baik (tidak berlebihan).”

Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih

Kita lihat bagaimana sejauh mana Umar menggunakan harta rakyatnya. Umar sangat bersederhana dalam berpakaian dan hanya memiliki satu pakaian sahaja. Abdul Aziz bin Abi Jamilah al-Ansari ra:

Suatu hari Umar terlambat keluar untuk solat Jumaat , apabila beliau naik ke atas mimbar beliau meminta maaf kepada para jemaah dan berkata:

إنما حبسني قميصي هذا لم يكن لي قميص غيره
“ Baju aku yang menyebabkan lambat (basuh baju). Aku hanya ada satu baju ini sahaja.”

Walaupun dia ada sebab untuk menggunakan duit orang Islam untuk membeli pakaiannya tetapi beliau tidak melakukannya. Umar mengambil harta kerajaan ketika benar-benar perlu dan beliau hanya mengambil harta kerajaan setelah mendapat keizinan rakyatnya. Barra bin Makmur menceritakan:

Sesungguhnya suatu hari Umar keluar ke mimbar dan mengadu sakit. Orang menyatakan bahawa dia perlu makan madu untuk merawat penyakitnya. Dalam baitul mal (tempat simpanan kerajaan) terdapat madu. Lalu Umar berkata:

إن أذنتم لي فيها أخذتها وإلا فإنها علي حرام
“Sekiranya kamu semua izinkan aku mengambilnya aku akan ambil. Jika tidak, haram aku mengambilnya.”

Umar tidak menggunakan harta rakyat melainkan benar-benar perlu dan dibenarkan oleh rakyatnya.

KESIMPULAN

1. Setiap sen yang dibelanjakan oleh pemimpin akan dipertanggungjawab oleh tuhan. Kemana ia dibelanjakan? adakah ia suatu pembaziran? adakah mengikut syariat?

2. Pihak kerajaaan hendaklah mendedahkan kepada rakyat gaji-gaji pemimpin utama. Kita lihat baru-baru ini david cameroon (pm england) mendedahkan gajinya sebanyak 150,000 pound sterling.

3. Setiap penyelewangan dan penyalah gunaan harta akan ditanggung oleh penjenayah tersebut pada hari kiamat dan dibawanya pada hari kiamat kepada tuhannya. Tanah-tanah yang diambil bukan dengan cara yang betul akan dikalungkan tanah tersebut sehingga tujuh petala bumi dilehernya pada hari kiamat (hadis sahih).

4. Setiap harta kerajaan hendaklah digunakan harta tersebut mengikut apa yang dibenarkan sahaja. Tidak boleh barang yang dibenarkan di pejabat di bawa balik. Dalam hal ini kita kena berhati-hati menggunakan harta awam. Ulama mengharamkan membasuh tangan dengan air minum sabil kerana ia hanya untuk diminum. Pada masa kini banyak harta kerajaan digunakan oleh parti politik untuk berkempen, tabur janji dan sebagainya.

5. Bagi memastikan semua penggunaan itu menepati syariat hendaklah ada panel penasihat syariah bagi memastikan ia bertepatan dengan syariat.

6. Hendaklah pemimpin menggunakan duit rakyat seperti mana Umar menggunakan duit. Menggunakan bila benar-benar perlu dan meminta keizinan rakyat.

7. Pemimpin yang menyalah gunakan harta sehingga dibenci rakyat akan menyebabkan tidak diterima solatnya. Nabi saw bersabda:

ثلاثة لا ترتفع صلاتهم فوق رؤوسهم شبرا (أحدها) رجل أم قوما وهم له كارهون
"Tiga golongan yang solatnya tidak akan diterima (salah satunya) seorang lelaki yang mengimami kaumnya sedangkan kaumnya membencinya." Hadis sahih riwayat Ibnu Majah

Dr Yusuf Qardawi berkata:

" Kalaulah pemimpin kecil (imam) pun ditolak solatnya kerana tidak disukai oleh jemaahnya (kerana sebab yang syarie) apakan lagi pemimpin besar iaitu ketua negara."

Oleh itu -hati dan berwaspadalah wahai pemimpin kecil atau pemimpin besar dari melakukan kesalahan sehingga dibenci oleh kebanyakan rakyatnya.

Rujukan: Al-Malul Am oleh Muhammad said al-Baghdadi dan Al-Muntaqa At-Targhib watrghib oleh Dr Yusuf Qardawi.

Fadhilat Sanabil al-Khair..(Tangkai-tangkai Kebaikan)

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud : "Bandingan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya,lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah: 261)

Itulah Sanabil al-Khair yang mempunyai fadhilat yang tidak terhitung. Antara kelebihan-kelebihan bersedekah:

* Sedekah memadamkan murka Allah terhadap hamba-Nya. Sabda Allah s.a.w. yang bermaksud : "Sesungguhnya sedekah yang diberikan secara sembunyi-sembunyi dapat memadamkan nurka Allah." (Sahih al-Targhib)

* Sedekah merupakan perisai daripada api neraka. Sabda Baginda mafhumnya : "Cegahlah diri daripada api neraka walau dengan (sedekah) sebiji tamar." (Sahih al-Targhib)
* Penawar penyakit jasmani, sabda Baginda yang bermaksud : "Ubatilah penyakit kamu dengan bersedekah." (Sahih al-Targhib)

*Selamat di bawah naungan sedekahnya pada hari akhirat. Rasulullah s.a.w. bersabda tentang tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari akhirat, mafhumnya : "Lelaki yang menghulurkan sedekah kemudian menyembunyikannya hinggakan tidak diketahui tangan kirinya apa yang disedekahkan tangan kanannya." (Muttafaq 'alaih)

*Penawar penyakit hati. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Lembutkanlah hati kamu dengan memberi makan orang miskin dan usaplah kepala anak yatim." (Riwayat Ahmad)

*Sedekah merupakan pintu kebaikan. Alalh berfirman yang bermaksud : "Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi." (Surah Ali 'Imran: 92)

* * Sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "tidak berlalu hari-hari yang tatkala manusia memulakan pekerjaan melainkan turun dua malaikat yang satu amlaikat berdoa, 'Ya Alla, berilah ganti kepada orang yang membelanjakan (iaitu menderma atau menyedekahkan) hartanya.' Sedangkan malaikat yang kedua berdoa. 'Ya Allah, binasakanlah harta orang yang bakhil,'" (Riwayat al Bukhari no. 2383 dan Muslim)

· *Harta akan diberkati. Rasulullah s.a.w. bersabda : “Tidak akan berkurang harta yang disedekahkan.” (Riwayat Muslim)

· *Sedekah ibarat penuras yang mengasingkan wang perolehan dan pendapatan daripada unsur-unsur yang haram dan syubhah.

· *Rasulullah mengharuskan seseorang berasa iri hati terhadap orang yang pemurah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Tiada hasad melainkan kepada dua perkara; lelaki yang diberikan ilmu, lalu disebarkannya dan lelaki yang diberikan harta lalu digunakan harta tersebut pada jalan Allah.” (Muttafaq ‘Alaih)

· *Allah melipatgandakan pahala sedekah. Firman-Nya bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” Surah al-Hadid: 18)

· * Namanya diseru dari pintu syurga. Diriwayatkan daripada Imam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “…Sesiapa yang tergolong dalam golongan ahli sedekah dia akan diseru dari Bab Sedekah (pintu sedekah)…”

(Sumber: Majalah Solusi Isu 14)

HUKUM MENYANYI & DENGAQ LAGU ORANG PUTIH

Hiburan melalaikan haram

PERSOALAN saya mengenai lirik lagu dari luar negara, khususnya negara Barat yang menyelitkan perkataan berunsurkan Kristian seperti Father dan Jesus serta loceng gereja. Apakah hukumnya bagi kita yang sering menyanyikan lagu itu? Apakah menjadi kesalahan juga bagi kita yang mendengarnya?

Siti, Selangor

Hukumnya haram bagi seseorang Muslim menyanyikan lagu yang berunsurkan Kristian seperti Father dan Jesus. Allah SWT berfirman dalam surah Luqman ayat 6 yang bermaksud: “Dan ada antara manusia: Orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita dan perkara hiburan yang melalaikan; yang mengakibatkan boleh menyesatkan (dirinya dan orang ramai) daripada agama Allah SWT dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.”

Kebanyakan ulama tafsir, seperti Ibn Jarir, Ibn Kathir dan al-Syaukani mengemukakan pendapat. Ibn Mas’ud yang sudah mentafsirkan maksud hiburan yang melalaikan itu sebagai nyanyian yang melalaikan. Lebih jelas lagi sesuatu nyanyian itu dihukum sebagai haram sama ada disebabkan zatnya atau perkara lain yang berkaitan dengannya.

Sebagai contoh lagu yang berbentuk pemujaan kepada syahwat dan berunsur syirik itu diharamkan kerana zatnya sendiri. Lagu yang dinyanyikan dalam parti yang berlaku percampuran lelaki dan perempuan pula menjadi haram disebabkan perkara yang berkaitan dengannya. Demikian seperti yang dijelaskan oleh Dr Yusuf al-Qar-dhawi dalam salah sebuah karyanya, contohnya Malamih al-Mujtamak al-Islamiyy.

sumber: www.bharian.com.my

Sabtu, 19 Jun 2010

Pagar Diri Dari Maksiat

LELAKI & PEREMPUAN HARAM BERPEGANGAN TANGAN

Hadith :

Dari Jabir r.a, katanya dia mendengar Nabi s.a.w bersabda:”Apabila ada di antara kamu yang tergoda hatinya kepada seorang wanita maka hendaklah dia pulang kepada isterinya untuk melepaskan rasa rindunya. Sesungguhnya yang demikian itu dapat mententeramkan gejolak hatinya.” (Muslim)

Huraian:

Rumah tangga orang beriman adalah benteng mempertahankan maruah dan harga diri. Rumah yang didiami bukan sekadar tempat berlindung dari panas dan hujan bahkan ia merupakan tempat untuk beristirehat, membina kasih sayang antara ahli keluarga, anak dan isteri dan mencari keredhaan Allah S.W.T.

Sesungguhnya, alasan yang paling kukuh mengapa manusia itu perlu berkahwin adalah disebabkan tuntutan psikologi. Dengan perkataan lain ia adalah fitrah yang dijadikan oleh Allah S.W.T.

Maka atas tuntutan tersebut, tanpa adanya perkahwinan kadangkala manusia akan terjerumus ke lembah perzinaan dan maksiat. Sebab itulah Islam memuliakan sebuah perkahwinan dan amat menggalakkan umatnya supaya berkahwin sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: "Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)." (Bukhari)

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Taubat Sang Pemalas

“Terima kasih ustaz. Azam saya tahun ini, saya mahu hadir lebih kerap lagi ke majlis ilmu. Nak berubah!” kata seorang anak muda.

Beliau hadir ke salah satu program saya baru-baru ini.
“Alhamdulillah. Baguslah begitu. Semoga istiqamah,” saya memberi semangat.
“Ustaz tahu kenapa saya nak berubah?” tanyanya kepada saya tanpa diminta.
“Kenapa?” saya tidak tahu apa yang saya tidak tahu.

“Saya kasihan tengok orang macam ustaz!” ujar beliau.

“Kasihan macam mana? Ustaz gembira sahaja. Berceramah sentiasa lebih seronok daripada mendengar ceramah. Bukankah erti hidup pada memberi!” saya menjawab.

“Betul tu. Cuma saya terfikir sesuatu. 20 orang pelajar yang sepatutnya belajar, bertungkus-lumus menjadi AJK mengatur program. Banyak susah payah yang terpaksa mereka hadapi. Mereka kena mesyuarat untuk cari idea supaya program ini menarik perhatian dan tidak stereotaip. Mereka kena fikir bab makanan dan jamuan. Mereka tak cukup tidur dan keletihan…” kisah anak muda itu.

“Itu kan bagus. Latihan dan peluang mendapat pahala” saya mencelah.

“Itu baru mereka. Ustaz pula kena buat persediaan. Buat macam-macam slaid. Tinggalkan isteri, tinggalkan anak-anak. Musafir jauh-jauh. Nak kata sebab duit, saya yakin berapa sangatlah duit yang ustaz dapat. Tapi ustaz datang juga. Dan ceramah berjam-jam dengan penuh semangat” sambungnya lagi.

“Rutin yang menyeronokkan” saya menyelit.

“Semuanya kerana nak bagi orang macam saya ni sedar. Dapat ilmu, dapat petunjuk. Berpuluh-puluh orang malah beratus yang bersusah payah untuk saya. Tiba-tiba saya lebih selesa lepak di bilik main game atau tidur sahaja. Ustaz rasa patut tak Allah bakar saya dalam Neraka kerana malas dan degil saya?” soalnya dengan nada serius.

“Allah Maha Pengampun” saya menjawab.

“Maha Pengampun kepada orang yang tidak pernah minta ampun?” tanya anak muda itu.
Saya terdiam.

“Pada saya, setiap kali ada program di kampus, ada 1001 pengorbanan yang berlaku untuk menjayakannya. Golongan yang tak endah dengan program itu adalah manusia yang kufur nikmat. Kalau nanti masuk Neraka pun, semua orang akan kata, memang patut pun! Sebab itu saya takut ustaz.
Saya janji pada diri sendiri untuk tidak lagi mensesiakan majlis ilmu terutamanya yang diatur khusus untuk orang macam saya. Kaum pemalas!” katanya.

Antara sedih dan terharu, hinggap pula di hati saya perasaan lucu.

“Tahu takpe!” hati berkata.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Selasa, 15 Jun 2010

DI MANA PUNCA KELEMAHAN UMAT ISLAM MASA KINI

Penulis : Prof Dr. Yusof al-Qardhawi

Sebuah buku kecil yang padat dengan pendapat dan pandangan konkrit dari seorang ilmuan terkemuka abad ini. Meneliti hujah-hujah dan kritikan pedas Dr Yusuf al-Qardhawi seharusnya menyedarkan kita umat Islam yang terlena berabad lamanya kerana sebagai umat terbaik yang dilahirkan untuk seluruh manusia ini tidak sepatutnya kita menjadi beban kepada orang lain bagi memenuhi keperluan hidup kita baik di bidang ekonomi, ketenteraan dan lain-lain. Kita adalah umat yang banyak bercakap tetapi sedikit bekerja, jadi tidak hairanlah kita umat Islam yang berjumlah 1.6 billion bertekuk lutut di bawah si Yahudi yang hanya berjumlah tiga juta!

BAHAGIAN 1: UMAT ISLAM YANG LUPA DIRI

Apabila kita meneropong umat kita dengan menggunakan teropong Allah s.w.t. yang terdapat dalam al-Quranul Karim, maka kita akan menemukan umat itu sebagai umat lain, bukan sebagai umat al-Quran yang dilukiskan oleh Allah s.w.t. sebagai umat terbaik, yang dijelaskan alasan terbaiknya kerana mereka menyeru orang berbuat makruf dan mencegah orang berlaku mungkar, serta beriman kepada Allah s.w.t.

Ia melihat makruf sebagai sesuatu yang mungkar dan melihat yang mungkar sesuatu yang makruf. Malah lebih dari itu, ia menyuruh orang berbuat mungkar dan mencegah mereka berbuat makruf, sehingga dilanda fitnah yang tidak ditemukan hujung pangkalnya, yang membuat intelektual muslim menjadi bingung.

Secara ringkas dapat dikatakan bahawa umat kita telah melupakan Allah, lalu Allah melupakan dia pada dirinya sendiri dan Maha Besar Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah, lalu Allah melupakan dia pada diri mereka sendiri” (al-Hasyr: ayat 19)

UMAT KITA DILIHAT DARI KEMAJUAN MATERIAL

Umat Islam selalu saja menjadi beban bagi umat-umat yang lain dalam memenuhi keperluan hidupnya, baik di bidang ekonomi, ketenteraan atau bidang-bidang lainnya. Ia belum pandai memproduksi keperluannya sendiri atau untuk memproduksi keperluan senjatanya untuk melindungi kedaulatan dirinya sendiri.

KEKUATAN AKAL KITA DI SIA-SIAKAN

Kekuatan akal kita sia-siakan, kerana kita bagaikan burung tiung hanya suka meniru. Kita tidak mahu berijtihad, tidak suka mencipta sendiri, tidak kreatif, senang menghafal daripada berfikir dan lebih senang mengutip fikiran orang lain, baik fikiran pendahulu kita ataupun masyarakat lain, kerana kita menganggap tidak perlu bersusah payah berfikir sendiri Suatu ketika dahulu Moshe Dayan (bekas Menteri Luar Israel), menyatakan secara terbuka cita-cita dan keinginan negaranya. Dia mendapat serangan dan kecaman dari bangsanya, kerana mereka khuatir pernyataanya itu dibaca oleh bangsa Arab (umat Islam) dan rencana jahatnya diketahui. Namun dengan tenang ia menjawab serangan kaumnya, katanya: “Tenanglah, pecayalah padaku, bangsa Arab (dan juga Melayu –Pent) tidak akan membacanya, kerana mereka tidak suka dan malas membaca”.

Inilah kenyataan pahit yang dimiliki suatu umat yang ayat pertama dalam kitab yang diturunkan kepadanya memerintahkan; “Iqra” (bacalah). Ternyata mereka malas dan tidak suka membaca. Kalaupun membaca, mereka tidak pandai memahami, kalaupun memahami, mereka tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya.

KEKUATAN AMAL KITA DI SIA-SIAKAN

Amat menyedihkan, umat kita merupakan umat yang paling sedikit dalam berbakti dan amal perbuatannya, tetapi yang paling banyak bercakap dan berdebat. Kita banyak bicara dan sedikit kerja. Andaikata bekerja, kita hanya mengerjakan sesuatu yang kurang penting dan meninggalkan yang penting, malah kadang-kadang kita mengerjakan yang tidak bermanfaat sedikitpun.

Saya banyak mengikuti seminar Islam dan banyak keputusan yang sudah disepakati untuk dilaksanakan, tetapi sedikit sekali yang dilaksanakan dan sebahagian besar hanya di atas kertas.

KEKUATAN EKONOMI KITA DI SIA-SIAKAN

Kekuatan ekonomi kita disia-siakan, padahal kita hidup di bumi terbaik, yang paling baik daerahnya, paling subur tanahnya, paling kaya bahan galiannya, tetapi kita tidak memanfaatkan kekayaan itu.

KEKUATAN TENAGA KITA SIA-SIAKAN

Kekuatan tenaga manusia kita sia-siakan, meskipun kita selalu membangga diri dengan jumlah yang sangat ramai, tetapi apalah ertinya jika membuat hal masing-masing tanpa mempedulikan orang lain.

Seharusnya kita mengambil manfaat dari kekuatan tenaga manusia (manpower) kita, seperti yang dajarkan Jamaluddin al-Afghani kepada bangsa India dahulu. Katanya: “Jika kekuatan jutaan kamu itu berupa lalat yang meraung-raung di telinga Inggeris, tentu kamu akan berhasil memecahkan telinga mereka”.

KEKUATAN JIWA KITA SIA-SIAKAN

Kurikulum pelajaran kita tidak mampu menterjemahkan erti dan sifat “Rabbaniyah” ke dalam jiwa kita. Tepat sekali apa yang dikatakan penyair dan pemikir Islam, Muhammad Iqbal, ketika mengatakan tentang “sekolah-sekolah moden”, bahawa ia boleh membuka mata generasi muda untuk mempelajari berbagai hakikat dan pengetahuan, namun ia tidak mengajari matanya bagaimana menangis dan tidak mengajari hatinya supaya khusyuk.

Musibah paling tragis yang menimpa umat kita dewasa ini ialah menjadikan agama sebagai permainan dan senda gurau dan menjadikan permainan dan senda gurau sebagai agama!

Bagaimana tidak, kita telah tergila-gila menghiasi tembok masjid dengan ayat-ayat al-Quran, tetapi tidak menghias kehidupan kita dengan al-Quran. Kita membacakan al-Quran untuk orang-orang mati, tetapi tidak mengajarkannya kepada orang-orang hidup! Kita berusaha memiliki al-Quran, membawanya berkah, padahal berkah yang hakiki terletak dalam mengikuti perintah-Nya dan menjauhi larangan Nya.

Saya selalu mengatakan dan akan selalu mengatakan, bahawa kunci keperibadian umat ini dan kebanggaan kekuatannya terletak pada keimanan kepada Islam, yang telah menjadikannya sejak dahulu sebagai umat terbaik yang dikirimkan untuk seluruh manusia dan telah memberikan kemenangan atas golongan kuasa besar, meskipun kekuatan tenaga manusianya sedikit dan kelengkapan senjatanya sangat minima.

Kita memiliki aqidah terbesar, risalah paling lengkap, kita memiliki kitab Ilahi satu-satunya yang terjaga dari kerosakan dan pemindaan oleh tangan-tangan jahat, namun kita dilanda lupa diri, tidak menyedari sumber tenaga dan kekuatan yang ada pada diri kita sendiri.

Rahsianya terletak pada penyakit yang merosak batin kita, berupa rasa cinta dan keinginan pada hal-hal yang gemerlapan, lebih senang hidup bermegah-megah yang dinamakan oleh hadith itu sebagai “wahan” dan ditafsirkan sebagai “Cinta dunia dan takut mati!”

Maka tidak menghairankan, kalau umat yang terbilang seribu juta itu, terdiri dari umat yang bertutut di bawah si Yahudi yang hanya berjumlah tiga juta!.

TANGGUNGJAWAB PARA PENGUASA

Memang pertanggungjawaban terbesar atas kesalahan-kesalahan yang telah menjerumuskan kita, terletak di bahu para penguasa kita.

Tetapi yang jelas juga bahawa para penguasa itu pada umumnya sama saja dengan rakyatnya, kerana mereka merupakan lambang keadaan masyarakatnya.

TANGGUNGJAWAB PARA ULAMA

Memang ramai ulama’ yang tidak menunaikan tugasnya dengan baik dalam menyampaikan agama Allah dan ada pula di antara mereka yang membonceng kenderaan pemerintah dan menjadikan ilmu ( agama ) sebagai hamba politik dan menjadikan dirinya seperti mesin pengeluar ‘fatwa’ , sesuai pesanan orang atasannya.

Sebenarnya ulama’ dewasa ini bukan lagi sebagai pemain tunggal seperti halnya pada zaman dahulu. Kerana pemilik media cetak, elektronik dan pusat-pusat penerangan nampaknya lebih kuat pengaruhnya dalam masyarakat, daripada ulama’ yang berpidato dari atas mimbar. Meskipun mereka masih memiliki pengaruh kuat yang tidak dimiliki oleh yang lain.

Salah seorang bertanya pada seorang penguasa tentang kekuatan al-Imam al-Hasan al-Bashri dan ketegasannya yang tidak tergoyah. Maka Gabenor negeri itu menjawab secara terus terang: “Kami perlukan agamanya, tetapi dia tidak perlukan dunia kami”.

TANGGUNGJAWAB MASYARAKAT

Saya masih ingat, pada suatu hari seorang pendengar menegur gurunya selesai memberikan ceramahnya, katanya: “Saya telah mendengar dan mengikuti ceramah yang bapa berikan selama tiga puluh tahun, lalu apa yang telah bapa lakukan?”

Jawapan guru itu membuat muridnya terdiam, katanya, “Kalau telah tiga puluh tahun mendengarkan ceramahku, lalu sudah sejauh mana kamu melakukannya?”

BAHAGIAN 2: PERGERAKAN ISLAM

Pergerakan Islam ialah semua jemaah kerja yang berusaha untuk memperbaharui agama, dalam erti hendak melaksanakan hukum syariat dan menghidupkannya dalam peribadi umat, untuk mengembalikan kejayaannya yang gemilang dalam memimpin masyarakat dan melaksanakannya dalam berbagai lapangan hidup, baik di segi aqidah, ibadah, akhlak, muamalat ( jual-beli), dalam fikiran, perasaan, undang-undang, pengarahan masyarakat, dalam bidang eksekutif dan yudikatif.

Tetapi nampaknya, pergerakan Islam ini tidak berhasil merealisasikan apa yang dicita-citakan , sebagaiamana harapan umat dan sebagaimana yang selalu dilanung-laungkan oleh para pimpinannya.

TIADA PENGHISABAN DIRI

Keluhan pertama yang sangat dirasakan oleh para pakar dalam pergerakan Islam, bahawa usaha menghisab diri adalah sangat lemah, atau boleh dikatakan pada umumnya tidak ada.
Ulama’ zaman dahulu berkata: “Orang mukmin sangat keras memperhitungkan dirinya, lebih dari seorang penguasa yang diktator dan dari seorang sekutu yang kikir.”

PERPECAHAN DAN PERSELISIHAN

Salah satu penyakit pergerakan Islam moden adalah adanya perpecahan parah yang kita saksikan antara bahagian-bahagiannya yang beragam. Masing-masing merasa kebenaran itu hanya ada dalam jamaahnya saja, sedang di luar jamaahnya hanyalah kesesatan. Yang dapat masuk syurga dan selamat dari api neraka hanya dimonopoli oleh anggota jamaahnya, hanya dia saja yang merupakan “kelompok yang selamat”, selain dari itu termasuk kelompok yang sesat.

Alangkah baiknya jika masing-masing bebaik sangka terhadap yang lain, saling bertimbang rasa (toleransi) meskipun dalam keadaan yang berbeza, saling tolong menolong dan tegur menegur dalam berbuat makruf dan berdiri dalam satu barisan menghadapi masalah-masalah yang besar, iaitu kewujudan Islam dan penentuan hari depannya dan bersatu padu dalam menghadapi serangan musuh, baik dalam bentuk Yahudisme, Salibisme, mahupun berupa Komunisme, Kapitalisme dan Sekukarisme.

Pergerakan Islam tidak boleh mengabaikan individu-individu yang kuat bekerja di lapangan dakwah, meskipun mereka bekerja secara sendirian, hanya mempunyai pengaruh dalam lingkungannya dan pada murid-muridnya dan mereka masing-masing mempunyai sekolah dan pengikut. Sudah tentu ramai di antara mereka yang jujur dan ikhlas, yang mampu menggerakkan pendapat umum dan mengarahkannya, jika mereka mahu dan di dukung oleh pengarahan yang tepat.

KURANGNYA PENYELIDIKAN DAN PROGRAM

Kita harus sentiasa mengadakan penyelidikan tentang perkembangan keadaan umat Islam, keadaan pergerakan Islam dan keadaan serta kekuatan pihak yang memusuhi Islam. Semua keterangan dan maklumat itu, dianalisa secara ilmiah dan bertanggungjawab, sehingga diperoleh hasil yang diperlukan untuk digunakan sebagai acuan dalam melaksanakan langkah selanjutnya.

Adapun yang paling utama untuk diprogram dan direncanakan ialah memupuk bakat para anggotanya sejak awal lagi, membimbing dan meningkatkannya dalam berbagai bidang kehidupan seperti dalam sudut ilmu, syariat, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, penerangan, pemerintahan, statistik dan sebagainya untuk mengisi kekosongan dan memenuhi keperluan masyarakat. Dan perlu juga mengetahui dan mempelajari apa yang sedang dikejar oleh masyarakat beradab dan moden, seperti dalam dunia komputer dan senjata nuklear, alam luar angkasa dan teknologi canggih lainnya.

Sekarang ini terjadi hal sebaliknya, mereka (golongan di luar Islam) sibuk dalam dunia yang setiap hari menambah hal-hal yang baru seolah-olah suatu lompatan dalam ilmu dan teknologi. Sementara kaum muslimin masih bertikai sama sendiri dan hidup dalam alam mimpi dan senda gurau, sedang umat lain bekerja keras. Kaum muslimin lebih banyak berbicara yang tidak mempunyai manfaat sedikitpun bagi dirinya dan umatnya.

Kita bekerja tanpa rencana dan program, sedang lawan-lawan kita tidak demikian, akhirnya hasil perjuangan kita jatuh ke tangan mereka, dalam keadaan kita tidak menyedarinya.

TERBURU BURU

Kita menanam pada pagi hari dan ingin memetik hasil pada petang harinya. Ini bertentangan dengan hukum Allah dalam alam yang sudah diterima oleh seluruh umat manusia. Segala sesuatu yang ada berjalan sesuai dengan ketentuan yang telah digariskan dan diproses menurut lazimnya.

BERLEBIH-LEBIHAN

Beberapa penyakit yang sering menjangkiti umat kita ialah suka bertindak berlebih-lebihan dan di luar hukum. Suatu perkara yang disesalkan dari kita iaitu, ketika menghadapi berbagai masalah, kita lebih suka berdiri pada salah satu hujung dari kedua kutub, iaitu paling kanan atau paling kiri. Jarang kita berdiri dan bersikap “tengah-tengah”, yang Allah puji untuk dijadikan tempat berpihak dan bersikap umat ini, seperti dalam firman Nya.

Terjemahannya:
“Begitulah kami jadikan kamu umat pertengahan” (al-Baqarah ayat 143 )

Penyakit ini telah menulari pergerakan Islam, sehingga sikap berlebih-lebihan memuji diri sendiri, berlebih-lebihan dalam mengecam lawan-lawannya dan berlebih-lebihan dalam berbagai kegiatan lainnya.

Para pemerhatit melihat pergerakan Islam moden dewasa ini sangat berlebih-lebihan menilai besar kekuatannya, berlebih-lebihan menilai kelemahan lawannya, terlalu meremehkan berbagai rintangan yang dihadapi dalam perjalananan, terlalu tinggi memuji diri, terlalu rendah menilai lawan, berlebih-lebihan kalau sedang cinta dan begitu pula kalau sedang benci.

TAKUT DENGAN PEMBAHARUAN

Inilah satu titik lemah dalam pergerakan Islam. Ia takut dari ijtihad, tidak senang pada pembaharuan, tidak cenderung pada keterbukaan dan tidak menyenangi perkembangan dan perubahan.

MARI BERCITA-CITA DAN BEKERJA

Sebenarnya di sana ada harapan yang menggembirakan, menyonsong datangnya hari depan yang lebih baik dan menyedari sudut-sudut kekurangan merupakan langkah pertama dalam mewujudkan kesempurnaan.

SEBAHAGIAN KEJAYAAN PERGERAKAN ISLAM

Pergerakan Islam telah berhasil memperbaiki pemahaman-pemahaman Islam yang diperburuk oleh zaman jumud atau oleh masa penjajahan dan mengusir kebudayaan yang pernah menguasai gelanggang yang dikosongkan beberapa saat lamanya dan memperhambakan akal para cendekiawan umat kita.

Pergerakan Islam berhasil memulihkan masyarakat muslim rasa keperibadian Islam, rasa bangga menjadi anggota “Khaira ummatin ukhrijat lin naasi”, (umat terbaik yang dilahirkan untuk umat manusia), sehingga tertanamlah dalam hatinya cita-cita akan lahirlah hari esok yang cemerlang, sesudah mengalami putus asa yang panjang akibat berbagai kekalahan dan kejatuhan, kerana pengaruh dari luar dan kezaliman dari dalam.

Pergerakan telah berhasil melahirkan suatu generasi muslimin dan muslimat yang patuh dengan ajaran Islam, baik dalam iktiqad, ibadah, fikiran, kelakuan baik, dakwah dan dalam jihad.
Pergerakan ini juga telah merekrut generasi masa depan yang patuh dan berdisiplin , yang sentiasa mendukung dan mencintai dakwahnya, menyatakan kepatuhan pada syariatnya, menolak kekafiran dan sekularisme.

Pergerakan Islam juga telah mempunyai kekuatan dalam mewujudkan apa yang diistilahkan sebagai “kebangkitan Islam” moden, yang meliputi para cendikiawan, baik lelaki mahupun wanita di seluruh penjuru tanah air kaum muslimin dan di luar dunia Islam , seperti Eropah, Amerika dan di Timur Jauh.

PERLU BANYAK KERJA DAN PENGORBANAN

Pergerakan Islam hendaknya beralih dari kegiatan berbicara kepada kegiatan bekerja, agar mampu membebaskan dirinya dari penyakit yang hampir menjadi penyakit umum kaum muslimin, yang selalu menjadi perintang bagi kita untuk melangkah maju, iaitu banyak menangisi masa lalu dan kurang kerja untuk masa kini. Kerana tangis kita itu tidak boleh menghidupkan yang sudah mati dan tidak mampu mengembalikan sesuatu yang sudah hilang.

Dalam menghadapi berbagai penyakit, ramai di antara kita yang mengeluh tetapi sedikit yang mengubati. Banyak yang mengutuk kegelapan dan sedikit yang menyalakan lilin.

Ya, kita terlalu berkeluh-kesah kerana sakit dan menderita, sehingga tidak ditemukan seorangpun yang tidak mengeluh, lalu apa yang harus menampung keluhannya itu? Kita semua berkeluh-kesah dan kita sendiri yang menerima keluhan-keluhan itu.

Pergerakan Islam dewasa ini perlu keluar dari lingkaran keluh-kesah dan mengumpat pada zaman lampau ke lapangan kerja, bekerja keras dan terus-menerus bekerja demi agama Islam, sesuai dengan tuntutan zamannya dan sesuai dengan apa yang dilakukan orang-orang lain terhadap agama mereka. Bekerja untuk masa kini, bekerja untuk masa depan, bekerja untuk membangun dan bekerja untuk memelihara bangunan itu dari tindakan penghancuran musuh.

BEKERJA UNTUK MEMIKAT TOKOH DAN MASYARAKAT

Pergerakan Islam hendaklah bekerja dengan sungguh-sungguh untuk memikat hati para tokoh dan masyarakat, untuk menghilangkan tembok pemisah antara pergerakan dan banyak tokoh intelektual dari satu sudut dan dengan masyarakat awam disudut lain.

Pergerakan Islam hendaklah bekerja keras membongkar pagar pemisahan dan menghancurkan tembok buatan dan mulai bekerja dengan semangat baru untuk menembus kalbu masyarakat, yang juga merupakan wadah mereka, dari mereka, kepada mereka dan untuk mereka. Masyarakat kita percaya dengan fitrah dan sejarahnya, mereka bersama pergerakan Islam dan akan selalu bersama mengumandang keimanan, seperti yang dapat dilihat dari fakta dan dengan membaca sejarah.

Pergerakan akan berjaya selagi ia merupakan pergerakan semua kaum muslimin dan bukan hanya pergerakan segelintir umat Islam.

MENYULUH KEBANGKITAN ISLAM

Di antara perkara yang melambatkan kebangkitan Islam :

Menjauhkan masyarakat dari Islam sebagai tatacara yang mengatur kehidupan, selama orang-orang yang menjadi objek dakwahnya dan calon anggota pergerakan kebangkitan merasa sulit dan berat mengikutinya, kerana yang dimudahkan Allah kepada hamba-Nya dipersulit mereka, bertentangan dengan sabda Nabi s.a.w. yang menyatakan.

“Sesungguhnya kalian dibangkitkan untuk memudahkan dan tidak untuk menyulitkan”

Generasi yang merupakan tulang punggung kebangkitan Islam itu disibukkan dengan masalah-masalah remeh dan kurang berguna dengan mendakwahkan soal-soal furu’, suka berdebat dan bertengkar dan mengabaikan soal-soal besar yang menentukan, yang berkaitan erat dengan peradaban Islam, dengan dominasi umatnya, dengan pembebasan tanah airnya dan dengan pelaksanaan hukum syariatnya di muka bumi.

Pergerakan Islam disibukkan dan diadu domba satu sama lain. Seharusnya pergerakannya diarahkan kepada musuh yang dihadapi bersama, bukan bermusuhan antara satu dengan yang lain sehingga pada puncaknya mereka saling mengkafirkan.

Pergerakan telah memberikan kesempatan kepada penguasa yang sentiasa mengawasi pergerakan Islam, yang sentiasa dirundung rasa takut atau rasa benci, untuk memukul jatuh pergerakan Islam dan semua kerja keIslaman.

PANDUAN UTAMA PENYULUH KEBANGKITAN

Kita harus berpindah kepada perkara-perkara penting sebagaimana berikut:
1.Dari soal furu’ kepada soal usul dan universal
2. Dari kerja nafilah (sunnah) kepada kerja fardu
3. Dari hal-hal yang diperselisihkan kepada hal-hal yang disepakati
4. Dari kerja anggota tubuh kepada kerja hati
5. Dari kedua-dua sudut kelebihan dan kekurangan kepada hal-hal yang sedang dan normal
6. Dari sikap mempersulit dan menjauhkan orang kepada sikap mempermudah dan menggembirakan hati
7. Dari sikap jumud dan taklid kepada sikap ijtihad dan renovasi
8. Dari fasa bicara dan debat ke fasa kerja dan memberi
9. Dari masa sentimen tanpa persiapan ke masa ilmiah berencana
10.Dari sikap fanatik terhadap orang-orang yang berbeza pendapat kepada sikap toleransi bersama mereka
11.Dari menggalakkan bekerja kepada menanamkan pengertian.
12.Dari memperhatikan soal-soal kuantiti kepada soal-soal kualiti, terutama dalam bidang pendidikan dan pengkaderan.
13.Dari melayang-layang ke langit impian turun ke bumi kenyataan (atau daripada menghulur idealisme lebih baik mengharap yang mungkin dan yang sudah ada).
14.Dari sikap meninggikan diri atas masyarakat kepada sikap hidup bermasyarakat (atau dari sikap menuduh dan memusuhi masyarakat berusaha menjadi tabib masyarakat).
15.Dari sikap yang hanya merenungi kejayaan masa lampau, kembali pada kenyataan masa kini dan mempersiapkan zaman yang akan datang.
16.Dari menghanyutkan diri dalam lapangan politik kepada memusatkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
17.Dari mengobarkan perselisihan yang menimbulkan pertentangan dan pertengkaran kepada perbezaan yang beragam dan bergotong-royong.
18.Dari mengabaikan masalah kehidupan kepada meningkatkannya dengan motivasi lillahi Ta’ala, sebagai amal ubudiyah.
19. Dari pandangan dan sikap yang regional yang sempit kepada wawasan universal yang luas.
20. Dari sikap ujub terhadap diri sendiri kepada sikap memeriksa diri.

KERJA KEMASYARAKATAN

Seharusnya pergerakan Islam terjun ke bidang kemasyarakatan demi mengabdikan diri kepada agama dan umatnya dan jangan sampai kegiatan politik hanya menghabiskan tenaga dan waktunya.
Lapangan dalam bidang kemasyarakatan tidak banyak digeluti oleh kaum muslimin, sehingga lawan-lawannya berhasil menguasai lapangan itu untuk menyebarluaskan agamanya yang menyimpang di tengah-tengah orang lapar, orang sakit, orang buta huruf dan di tengah orang-orang terlantar di antara anak-anak umat kita.

Itulah yang mendorong kami untuk membentuk suatu “Lembaga Sosial Islam Antarabangsa” yang bekerja dengan sekuat tenaga untuk memberi makanan bagi yang lapar, memberi pakaian bagi yang telanjang, memberi ubat bagi yang sakit, pemeliharaan bagi anak yatim, tempat berteduh bagi yang terlantar, pengajaran dan pendidikan bagi yang bodoh, kerja bagi para penganggur, latihan keterampilan bagi yang akan kerja dan berusaha keras dalam mengembangkan kemasyarakatan Islam dari dalam tubuhnya sendiri.

KERJASAMA LAPISAN MASYARAKAT

Sesungguhnya di antara penyakit yang menjangkit kita ialah, banyak penonton dan para penganggur yang hanya berpangku tangan menyaksikan kegiatan pergerakan, padahal wajib bagi mereka untuk bekerja dengan sekuat-kuatnya di lapangan masing-masing, seperti yang difirmankan oleh Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Katakanlah, hai kaumku, bekerjalah kamu menurut keadaan kamu masing-masing dan aku juga bekerja” (al-An’am ayat 135)

Maka hendaklah kita juga mampu menggerakkan kaum muslimin di seluruh dunia, agar mereka melakukan tugas kewajipannya di bidang masing-masing. Kaum lelaki, wanita, orang tua, anak-anak, orang kaya dan orang miskin. Yang penting semuanya bekerja, masing-masing memilih kerja yang sesuai dan selaras untuk dirinya. Siapa yang mampu membuang duri dari jalan, hendaklah ia membuangnya. Siapa yang biasa menabur benih di bumi, hendaklah ia menaburnya.

BAHAGIAN 3 : PENUTUP

Sesungguhnya kerosakan itu umum dan menyeluruh dan tanggungjawabnya dipikul bersama, meskipun masing-masing berbeza-beza pendapat.

Kalau kami mahu berterus terang, kami akan mengatakan, kerosakan itu terdapat dalam batin kita, dalam diri kita masing-masing, kerana kita terlalu mencintai kita. Kita masing-masing bertawaf di sekitar zat kita, seperti penyembah berhala dengan mengelilingi berhalanya, dalam usaha mencuci bersih diri sendiri dan menunding orang lain. Orang lain selain dari kita sendiri dipersalahkan sebagai yang bertanggunjawab. Kita melihat kotoran pada mata orang lain tetapi tidak melihat kayu pada mata kita sendiri.

Ya, kerosakan itu terdapat pada diri kita semua. Kaum muslimin dituntutnya untuk bekerja, sedang dia sendiri tidak, mereka diperintahkan berjihad, dia sendiri duduk, mereka disuruh menyumbang, sedang dirinya sangat kikir dan mereka dituntut untuk berkorban, sedang dia sendiri menontoninya.
Penyakitnya ada dalam diri kita semua, kerana semuanya beriman kepada Allah dan sekaligus tidak patuh kepada perintahNya. Kita mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi enggan mengikuti ajarannya. Ingin masuk ke syurga, tetapi tidak menempuh jalan-jalannya dan takut pada api neraka, namun senang menempuh jalan yang dapat menghantarkan ke neraka. Senang mengakui dirinya sebagai orang Islam, tetapi enggan bekerja untuk membela agamanya.

Sungguh berbahagia orang yang telah mulai dengan memperbaiki dirinya sendiri, kemudian mengajak orang lain.

Meletakkan tangannya dan berpimpingan tangan dengan semua orang yang sealiran, yang sefahaman dalam berbuat kebaikan, tidak jemu dengan apa yang dilakukan , tidak putus asa dengan apa yang dihadapi, percaya penuh pada dirinya, berbahagia dengan agamanya, beriman dengan Rabb-Nya, sentiasa mengharap bantuan Nya agar memenangkan kaum muslimin.

Adapun hal-hal yang memberi perangsang dan menguatkan harapan kita pada hari depan, antara lain:

1. Sesungguhnya kita ada di pihak al-Haq (kebenaran), yang dengan itu Dia telah menciptakan langit dan bumi.
2. Sesungguhnya kita ada di pihak fitrah Islam, yang Allah berkenan menempatkan manusia padanya, yang tiap-tiap hari berbondong-bondong orang kembali ke pangkuannya, mendapat hidayah sesudah hilang dalam kesesatan, bertaubat sesudah hanyut dalam maksiat, kembali insaf sesudah fikiran dan akhlaknya terbius hawa nafsu atau kembali sedar setelah lama terbuai nyenyak dan kembali bergabung dengan kafilah orang-orang yang kembali iaitu, bersama rombongan Islam.
3. Sesungguhnya kita bersama-sama bangsa-bangsa umat Islam, yang Islam sudah menjadi darah dagingnya, yang tidak mungkin dipisah-pisah dari kewujudannya, baik mental, spiritual mahupun sosial, yang tidak mungkin boleh hidup atau boleh mewujudkan dirinya sendiri, melainkan dengan Islam dan tidak mungkin boleh digerakkan oleh siapapun, seperti yang digerakkan oleh kalimah Islam.
4. Sesungguhnya kita bersama dengan kepentingan umat manusia, yang telah menderita sengsara kerana falsafah hidup manusia dan perundangan bumi.

5. Dan bersama kita sebelum dan sesudah itu semua pertolongan Allah s.w.t. yang berjanji akan menolong orang-orang yang menolong Nya dan menjamin akan memenangkan agama Nya di atas semua agama, meskipun orang-orang musyrik tidak senang, akan menyempurnakan cahaya Nya, meskipun tipudaya lawan terus dilanjutkan