Jumaat, 17 Oktober 2008

MENJAWAB BEBERAPA KEKELIRUAN IBADAH @ BIDAAH

MENJAWAB BEBERAPA PERSOALAN SALAFI-WAHHABI

-Harus baca Quran atas mayat
-Harus baca Quran Dikubur
-Harus hadiahkan pahala kepada mayat
-Sampai pahala baca Quran kepada mayat samada dekat atau jauh

Pendapat Ulamak2 Muktabar

Berkata Imam Nawawi pada kitab Raudhah :

‘Ditanya akan Qadhi Abu Thoyyib daripada membaca Al-Quran pada tanah perkuburan maka ia berkata “Pahalanya bagi yang membaca dan adalah mayat itu seperti orang yang hadir. Diharapnya baginya akan rahmat dan berkat. Maka disunatkan membaca Al-Quran pada perkuburan atas ini makna. Dan juga berdoa mengiringi bacaan Al-Quran itu lebih hampir bagi diperkenankan.”

Kemudian berkata Syeikh ‘Adil Ahmad Abd Maujud pentahkiq kitab tersebut “Telah menaskan oleh Imam Syafi’e dan ashab atas membaca Quran ini bahawasanya hendaklah membaca yang ziarah akan apa yang mudah dan berdoa bagi mereka itu selepas daripada membaca Quran. Telah berkata ashab “Kerana keadaan berdoa setelah membaca Quran itu lebih hampir kepada perkenan dan keadaan mayat itu seperti orang yang hadir yang diharap bagi mereka itu akan rahmat dan berkat. Dan jika membaca Quran itu diatas perkuburan maka adalah lebih elok.

Dan adalah pahala membaca itu bagi pembaca dan jika yang membaca itu memohon kepada Allah swt supaya menjadikan pahala bacaan tersebut bagi mayat maka hasillah pahala tersebut bagi mayat. Dan ialah yang berjalan kebiasaan manusia dengannya pada segala zaman.”
( m.s. 657 juzuk 1 )

Berkata Imam Nawawi pada kitab Al-Azkaar :

‘ Dan disunatkan bagi yang ziarah kubur itu memperbanyakkan daripada membaca Al-Quran dan zikir dan berdoa bagi demikian penghuni kubur dan sekelian yang telah mati dan sekelian orang Islam.’
( m.s. 135 )

Dan tersebut pada kitab Majmu’ Imam Nawawi :

‘ Dan telah berjalan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan satu jama’ah dari kalangan ulamak dan satu jama’ah daripada Ashab As-Syaafi’e kepada bahawasanya pahala membaca Quran itu sampai ia. Dan yang mukhtar bahawa berkata yang ziarah itu selepas membaca Al-Quran : Ya Allah! Sampaikanlah akan pahala apa yang telah aku baca.’
( m.s. 509-510 juzuk 16 )

Berkata Imam Nawawi pada kitab Syarah Muslim :

‘ Dan yang masyhur pada mazhab kami bahwasanya membaca Quran bagi mayat tiada sampai pahalanya kepada mayat. Dan berkata satu jama’ah dari Ashab kami : Sampai pahalanya kepada mayat dan dengannya berkata oleh Imam Ahmad.’
( m.s. 90 juzuk 7 )

Berkata Syeikh Abi Bakr Ad-Dimyaati pada kitab I’aanaa al-Tholibin :

‘Dan katanya “tiada sampai pahalanya” itu adalah dhaif dan katanya “telah berkata satu jemaah dari Ashab kami sampai pahalanya” adalah muktamad.’
( m.s. 221 juzuk 3 )

Berkata Syeikh Khotib Syarbini as-Syaafi’e pada kitab Mughni Muhtaj :

‘Dan membaca orang yang ziarah itu disisi kuburnya akan Quran apa yang mudah baginya dan yaitu sunat pada segala perkuburan maka bahawasanya pahalanya bagi sekelian yang hadir dan mayat itu seperti sekelian yang hadir yang diharap akan baginya rahmat’
( m.s.365 juzuk 1 )

Syeikh Khotib Syarbini juga berkata pada kitab Al-Iqna’ :
‘Dan membaca oleh yang ziarah itu disisi penghuni kubur itu akan apa yang mudah daripada Al-Quran maka sungguhnya rahmat itu turun ia pada tempat dibacakan Al-Quran. Dan mayat itu seperti orang yang hadir yang diharapkan baginya akan rahmat dan hendaklah berdoa yang ziarah itu selepas membaca Al-Quran kerana doa itu memberi guna kepada mayat. Dan doa selepas membaca Al-Quran lebih hampir kepada diperlkenankan.’
( m.s. 181 juzuk 1)

Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansori As-Syaafi’e pada kitab Hasyiah Syarqowi :

‘Disunatkan bahawa membaca oleh yang ziarah itu disi kuburnya daripada Quran apa yang mudah baginya dan berdoa baginya selepas berhadap ke arah qiblat kerana doa itu memberi menafaat akan mayat dan yaitu selepas membaca lebih hampir kepada diperkenankan.’
( m.s. 345 juzuk 1 )

Berkata Syeikh Muhammad Az-Zuhri As-Syaafi’e pada kitab Siraajul Wahhaaj :

‘Dan memberi salam oleh yang ziarah akan kubur hal keadaannya sunat dan membaca akan apa yang mudah daripada Al-Quran dan berdoa kepada mayat selepas membaca AlQuran.’
( m.s. 115 juzuk )

Berkata Syeikhul Islam Syeikh Zakaria Al-Ansori As-Syyafi’e pada kitab Fathul Wahhab :

‘ Dan bahawa membacalah oleh yang ziarah itu daripada Al-Quran apa yang mudah dan berdoalah bagi mayat itu kemudian dari berhadap ke arah qiblat kerana doa itu memberi menafaat akan mayat dan berdoa selepas membaca Al-Quran itu lebih hampir bagi diperkenankan doa.’
( m.s. 101 juzuk 1 )

Berkata Syeikh Sulaiman Bujairimi as-Syaafi’e pada kitab Syarh Khotib :

‘Disunatkan bahawa membaca disisi kubur itu akan suatu daripada Quran. Dan jika membaca sampai khatam akan Al-Quran maka adalah ia lebih afdhal.’
( ms.s.587 juzuk 2 )

Berkata Syeikh Ibrahim Al-Bajuri as-Syaafi’e pada kitab Hasyiah ‘ala Ibn Qasim :

‘ Dan bahawa membaca oleh yang ziarah kubur itu akan apa yang mudah dari Al-Quran seperti Surah Yaasin dan berdoa bagi mereka itu dan menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada mereka itu.’
( m.s. 255 juzuk 1 )

Berkata Syeikh Muhammad Nawawi As-Syaafi’e pada kitab Nihaayatuzzain :

‘ Dan hendaklah membaca Quran oleh yang ziarah kubur itu dan berdoa selepas membaca Quran’
( m.s. 162 )

Berkata Doktor Mustofa Khin pada kitab Al-Fiqhul Manhaji ‘ala mazhabi Syaafi’e :

‘Dan hendaklah membaca disi kubur itu akan apa yang mudah daripada Al-Quran maka sungguhnya rahmat itu turun ia dimana saja tempat dibacakan Al-Quran kemudian hendaklah ia berdoa bagi mereka itu setelah membaca dan hendaklah ia hadiahklan umpama pahala bacaannya itu bagi sekelian arwah mereka itu. Maka sesungguhnya doa itu diharapkan akan perkenan. Dan apabila diperkenankan doa itu nescaya mengambil faedahlah oleh mayat dari bacaan tersebut.’
( m.s. 267 juzuk )

Berkata Al-Fadhil Doktor Wahbah Zuhaili pada kitab Al-Fiqh Al-Islami :

‘Dan dengan yang demikian itu adalah mazhab mutakkhirin as-Syafi’eyyah seperti mazhab imam-imam yang tiga yakni Hanafi, Maliki dan Hanbali atas sampainya pahala bacaan Al-Quran kepada mayat. Baerkata As-Subki : “Dan yang menunjukkan atasnya oleh khabar dengan istinbat bahawasanya sebahagian Al-Quran itu apabila diqasad dengannya memberi menafaat akan mayat dan meringankan apa yang ia berada padanya nescaya memberi menafaat akan mayat itu .’

‘ Dan sungguhnya telah mengharuskan oleh Qadhi Hussain mengupah atas membaca Al-Quran disisi mayat.’
‘Dan telah berkata Imam Ibn Solah ; “Dan sayugia bahawa berkata oleh yang membaca Quran itu : Ya Allah! Sampaikanlah pahala apa yang telah kami baca kepada sifulan” Maka menjadikan olehnya akan doa. Dan tiada khilaf pada yang demikian itu samada dekat atau jauh dan sepatutnya memutuskan dengan ini”

( m.s. 551-552 )

Berkata Imam Ibn Qudaamah pada kitab Mughni :

‘ Dan bermula sekelian ini adalah hadith-hadith yang sahih. Dan padanya menjadi dalil atas memberi guna akan mayat dengan sekelian amalan kebajikan. Kerana sungguhnya puasa dan haji dan doa dan istighfar adalah ibadah yang bangsa badaniyyah sungguhnya telah menyampaikan oleh Allah akan menafaatnya kepada mayat. Maka seperti itu juga barang yang selainnya serta apa yang telah kami sebut daripada hadith pada pahala mereka yang membaca surah Yaasin dan memberi ringan oleh Allah Ta’ala daripada sekelian ahli kubur dengan bacaannya itu. Dan kerana bahawasanya telah ijma’ sekelian orang Islam. Maka bahawasanya mereka itu pada segala masa dan segala negeri berkumpul mereka itu membaca akan Al-Quran dan menghadiahkan akan pahalanya kepada segala mayat-mayat mereka itu dari pada ketiadaan ingkar.’
(m.s. 568 juzuk 2 )

Berkata Imam Ibn Taimiyyah pada kitab Majmu’ Fataawa :

‘ Dan telah berkhilaf oleh ulamak pada sampainya amalan yang bangsa badaniyyah seperti puasa, solat dan membaca Quran. Dan yang sebenarnya bahawasanya sekelian amalan tersebut sampai ia kepada mayat.’
( m.s. 366 juzuk 24 )

Berkata Al-Fadhil Doktor Abd Karim Zaidan pada kitab Al-Mufasshol fi Ahkaamil mar_ah :

‘ Dan yang lebih kuatnya pada masalah memberi guna akan mayat dengan amalan orang hidup ialah pendapat mereka yang berkata dengan memberi guna akan mayat dengan apa jua amalan kebajikan yang dikerjakan oleh orang yang masih hidup dan menghadiahkan pahalanya kepada mayat sebagaimana yang telah berkata oleh Ibn Qudaamah al-Hanbali dan seperti mana yang telah berkata oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyah kerana segala dalil yang menunjukkan atas memberi menafaat akan mayat dengan doa orang yang hidup dan istighfarnya bagi mayat dan sedekah daripadanya dan membayarkan hutang daripadanya dan menghajikan daripadanya dan selain demikian itu daripada amalan-amalan kebajikan yang telah datang nas-nas Sunnah Nabawiyyah dengan sampai pahalanya kepada mayat. Dan apa yang tidak datang dengannya dari amalan kebajikan oleh nas-nas yang jelas maka bahawasanya sekelian itu dikiaskan atas apa yang datang padanya oleh nas-nas yang terang.’
( m.s. 193 juzuk11 )

Berkata Syeikh Abu Abdillah Muhammad Ad-Dimasyqa pada kitab Rahmatul Ummah fi Ikhtilaaful A_immah :

‘ Berkata Imam Ibn Solah dari Imam-imam Syafi’iyyah :
“Pada menghadiahkan Al-Quran berlaku khilaf bagi para fuqahak. Dan yang atasnya beramal oleh kebanyakkan manusia adalah mengharuskan akan yang demikian itu. Dan sayugia apabila menghendaki akan yang demikian itu bahawa berkata ia ‘ Ya Alah! Sampaikanlah seumpama pahala apa yang telah aku bacanya kepada sifulan maka dijadikannya akan doa. Dan tiada khilaf pada memberi menafaat oleh doa dan sampainya. Dan ahli khair itu sungguhnya telah mendapat akan keberkatan pada menghubungkan segala yang telah mati dengan bacaan Quran dan doa.
Dan telah berkata Al-Muhibbu Thobari “ Dan adapun membaca disisi kubur maka telah berkata pada kitab Al-Bahr ianya adalah sunat.”
( m.s. 159 )

Berkata Al-Fadhil Doktor Ahmad Syarbashyi pada kitab Yasalunaka fi-diin :

‘Telah menetapkan oleh para Fuqahak bahawasanya pahala bacaan Al-Quran sampai ia kepada mayat bahkan sampai ia kepada yang hidup sebagaimana yang telah disebut akan yang demikian itu pada kitab ulamak-ulamak besar mazhab Hanfi, Syafi’e dan Hanbali. Yang demikian itu apabila memintalah oleh yang membacanya akan yang demikian itu daripada Allah Tabaraka Wata’ala.

Dan ini adalah kerana bahawasanya bacaan yang dihadiahkan itu adalah daripada pihak doa. Maka berniatlah pembaca dan berkata “Ya Allah! Jadikanlah pahala apa yang telah aku baca kepada sifulan.”
( m.s. 235 juzuk 6 )

Berkata Al-‘Allamah Doktor Nasr Farid Washil Mufti Negeri Mesir pada kitab Fatawa Islamiyyah :

‘ Bacaan Quran keatas seseorang kemudian daripada matinya samada yang demikian itu dirumahnya atau dimasjid atau selepas solat jenazah atau disisi kubur adalah harus ia pada syara’. Dan ianya meringankan atas mayat didalam kuburnya.

Bacaan Quran adalah sebab bagi turun segala rahmat dan sebab bagi mendapat keampunan dan redha Tuhan.

Orang yang telah mati mengambil menafaat dengan sekelian amalan-amalan kebajikan dan setengah daripadanya ialah bacaan Al-Quran dengan izin Allah.’
( m.s. 111 )

Tersebut pada kitab Jaami’ul Fatawa Al-Mu’asoroh :

‘ Dan bacaan Quran bagi mayat itu jikalau adalah dekat kuburnya diharap bahawa mengambil menafaat mayat itu dengannya kerana turunnya malaikat untuk mendengarnya dan serta malaikat tersebut rahmat yang mengena akan pembaca dan tempat duduk itu sekeliannya sebagaimana telah sabit turunnya malaikat dengan ketenteraman dan rahmat atas siapa yang membaca akan kitab Allah dan mempelajarinya.
( m.s. 116-117 )

Berkata Imam A’sa’aati pada kitab Buluughul Amaani ‘ala Musnad Imam Ahmad :

‘Telah berkata Imam Al-Qurtubi : Dan sungguhnya telah ijma’ oleh sekelian ulamak atas sampainya sedekah kepada segala yang telah mati dan demikian juga pendapat pada bacaan Al-Quran dan doa dan istighfar kerana sekeliannya itu adalah sedekah. Telah mengkuatkan akan ini oleh hadith ‘Tiap-tiap yang ma’ruf itu adalah sedekah. Maka tiadalah dikhususkan akan sedekah itu dengan harta sahaja.
( m.s. 105 juzuk 8 )

Telah berkata Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf bekas mufti negeri Mesir dan salah seorang anggota jama’ah ulamak-ulamak besar Al-Azhar As-Syarif pada kitab Fatawa Syar’iyyah Wabuhuusu Islaamiyyah :

‘Maka apabila harus membaca Yaasin disisi yang sedang sakit kerana meringankan kesakitan daripadanya dan disisi yang sedang naza’ kerana meringankan sakaratul maut daripadanya maka kenapa pula tidak harus membacanya atas mereka yang telah mati kerana meringankan daripadanya pada kuburnya juga.’ (m.s. 293 juzuk 2 )

Kemudian berkata pula Syeikh Muhammad Makhluf pada m.s. 296 juzuk yang sama :

‘Berkata Syeikhul Islam Zakaria Al-Ansori As-Syafi’e : Bahawasanya yang masyhur disisi maszhab (yakni tidak sampai pahala bacaan Quran) ditangggung atas barang yang jikalau membaca Quran itu tidak pada sisi mayat dan tidak meniatkan pahalanya bagi mayat atau berniat tetapi tidak berdoa.

Dan pada syarh Minhaj daripada kitab-kitab Syafi’iyyah : Tidak sampai kepada mayat disisi kami oleh bacaan atas yang masyhur. Dan pendapat yang dipilih ialah sampai ia apabila memohon pembaca akan Allah menyampaikan pahala bacaannya itu. Dan sepatutnya berpegang dengan pendapat ini. Kerana ianya adalah doa. Maka apabila harus berdoa kepada mayat dengan barang yang bukan bagi yang berdoa maka haruslah dengan lebih utama dengan barang yang ia baginya. Dan tinggallah pekerjaan itu terhenti atas diperkenankan doa.”

Dan ini makna tidaklah hanya tertentu dengan bacaan bahkan berjalan ia pada yang lain dari amala-amalan.’

Kemudian Syeikh Muhammad Makhluf berkata :

‘Telah berkata Imam Syaukani umum ayat tersebut ( An-Najmu 39 ) ditakhsiskan dengan sedekah daripada anak simati kerana hadith sedekah dan ditakhsisikan dengan haji daripada anak kerana hadith Khas’am dan haji daripada selain anak kerana hadith muhrim daripada Syubrumah dan ditakhsiskan dengan solat kerana hadith solat anak simati dan puasanya bagi dua ibu bapanya serta solatnya dan puasanya bagi dirinya sendiri dan ditakhsisikan dengan puasa daripada anak simati kerana hadith ini dan hadith puasa seorang perempuan daripada ibunya dan daripada selain anak simati kerana hadith puasa oleh wali dan ditakhsiskan dengan bacaan surah Yaasin daripada anak simati dan lainnya kerana hadith ‘Bacalah atas mayat-mayat kamu akan Yaasin’ dan ditakhsiskan dengan doa daripada anak kerana hadith ‘atau anak soleh yang mendoakan baginya’ dan doa dari orang lain kerana ayat ‘ Dan orang-orang yang datang kemudian daripada nereka itu berkata : Wahai Tuhan kami ampunkanlah kepada kami dan bagi saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dengan iman’ dan kerana hadith ‘Minta ampunlah bagi saudara kamu ini dan mintalah baginya ketetapan’.

Maka sebagaimana hadith-hadith tersebut mengtakhsiskan ayat ini, mengtakhsiskan juga hadith-hadith tersebut akan hadith Abi Hurairah ( Apabila mati anak Adam maka putuslah amalannya melainkan tiga perkara ) Maka pada zahirnya putuslah dari simati itu barang yang selain tiga perkara itu yang ada ia sebagaimana yang telah ada. Dan kata setengah ulamak dikiaskan atas ini sekelian tempat akan lainnya. Maka berhubunglah akan mayat oleh tiap-tiap suatu yang mengamalkan akan dia oleh orang lain bagi mayat itu.’
( m.s. 297-298 juzuk 2 )

Berkata Al-Marhum As-Syeikh Jadul Haq bekas Syeikh Al-Azhar setelah beliah bentangkan segala dalil dan pendapat-pendapat ulamak pada kitab Fatawaanya :

‘Maka sungguhnya harus membaca Al-Quran untuk mayat disisi kubur atau jauh daripadanya, daripada anaknya atau dari lainnya samada sukanya atau dengan upah. Dan sampai pahalanya kepada mayat khususnya pula apabila berkata pembaca Quran itu sebelum membaca : Ya Allah! Jadikanlah pahala apa yang aku baca itu kepada sifulan.

Maka apabila keluarlah bacaan itu pada pihak doa nescaya adalah pahala untuk sifulan yang didoakan baginya itu sebagai perkataan yang satu. Dan haruslah daripada ketiadaan khilaf sebagaimana yang telah lalu oleh naqalnya dari Ibn Rusyd.

Dan bagi pembaca tersebut juga pahala bacaannya tiada kurang dari pahala mayat itu sedikit pun.

Adapun apa yang diberikan kepada pembaca daripada upah ( dibina atas pendapat Al-Malikiyyah ) dan masalah pahala dan upah samada sedikit atau banyak maka urusan ini padanya terserah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan pada tanganNya mencurahkannya dan memberikannya bagi sesiapa yang Ia kehendak dan betapa yang Ia kehendak.

Dan inlah apa yang saya cenderung kepada memberi fatwa padanya sebagai takhrij atas membolehkan mengambil upah atas mengajarkan Al-Quran dan atas menjadi imam pada sembahyang. Wallahu Subhanahu Wa Ta’ala A’lam’.
( m.s. 558 juzuk 2 )

Ayat 39 Surah An-Najm

Firman Allah swt :

“ Dan tiada bagi manusia itu melainkan apa yang telah ia usahakan”

Berkata Al_Fadhil Doktor Wahbah Az-Zuhaili pada kitab Tafsir Al-Munir :

‘Daripada ayat yang mulia ini telah mengistinbat oleh Syafi’e rahimahullahu Ta’ala bahawasanya bacaan itu tidak sampai dihadiahkan pahalanya kepada yang telah mati kerana bahawasanya ia bukannya daripada amalan mereka itu dan bukan usaha mereka itu. Dan yang muktamad pada mazhab-mazhab yang empat bahawa pahala bacaan itu sampai ia kepada segala yang telah mati kerana ianya adalah pemberian dan doa dengan Al-Quran yang turunlah segala rahmat pada ketika dibacakan dia.

Dan sungguhnya telah sabit pada Sunnah Nabi sampainya doa dan sedekah kepada mayat. Yang demikian itu telah diijma’kan atasnya.

Imam Muslim meriwayatkan didalam sahihnya dan Imam Bukhari didalam kitab Al_Adab dan Ashab as-Sunan melainkan Ibn Majah dari Abi Hurairah r.a. bahawasanya Rasul Allah saw bersabda :

“Apabila matilah seorang anak Adam putuslah amalannya melainkan daripada tiga perkara yaitu sedekah jariyah atau ilmu yang diambil menafaat darinya atau anak soleh yang mendoakan baginya”
( m.s. 131-132 juzuk 27)

Berkata Imam Al-Qurtubi pada kitab tafsirnya Al-Jami’y li Ahkaam al-Quran :

‘Berkata Rabi’ bin Anas : Menghendaki oleh Allah akan ayat ini akan orang kafir. Dan adapun orang yang beriman maka sabit baginya apa yang ia telah usahakan dan apa yang telah berusaha baginya oleh orang yang lain.

Dan kebanyakkan daripada hadith-hadith menunjukkan atas pendapat ini. Dan bahawasanya orang yang beriman sampai kepadanya oleh pahala amal yang soleh dari selainnya. Dan sungguhnya telah lalu kebanyakkan daripadanya bagi barang siapa yang memerhatikannya.’
( m.s. 113 juzuk 17 )

Berkata Syeikh Khazin pada kitab Tafsir Khazin :

‘Adapun yang demikian itu ( yakni manusia hanya dapat apa yang ia usahakan ) untuk kaum Nabi Ibrahim dan kaum Nabi Musa. Maka adapun umat ini maka baginya apa yang telah ia usahakan dan apa yang telah mengusahakan untuk mereka oleh orang lain.’
( m.s. 223 juzuk 6 )

Berkata Syeikh Muhammad Makhluf pada kitab Fatawa Syar’iyyah :

‘ Dan adapun firman Allah Ta’ala ( Dan tiada bagi manusia itu melainkan apa yang telah ia usahakan ) maka yaitu diqaidkan dengan apabila tidak memberikan oleh yang beramal itu akan pahala amalnya bagi lainnya. Maka sungguhnya telah sabit pada dua kitab sahih bahawasanya Rasul Allah saw menyembelih dua ekor kibas yang besar salah satunya untuk dirinya dan yang satu lagi untuk umatnya. Dan telah masyhurlah riwayat hadith ini diriwayatkan oleh sejumlah daripada sahabat. Maka haruslah mengqaidkan ayat ini dengan barang yang apabila tidak menjadikan oleh empunya amal itu untuk lainnya.

Dan telah sabit pada sunnah akan sebagai sabit yang sampai kepada darjat mutawatir bahawa barang siapa yang menjadikan akan suatu dari amal-amal soleh untuk selainnya nescaya memberi menafaat oleh Allah dengannya seperti hadith solat anak dan puasanya untuk dua ibu bapanya serta solatnya dan puasanya untuk dirinya sendiri dan hadith membaca Surah Al-Ikhlas dan memberi pahalanya kepada sekelian yang telah mati dan baca Yaasin keatas mayat-mayat dan hadith “ Kami sedekahkan dari yang mati kami dan kami hajikan dari mereka itu dan kami berdoa bagi mereka itu dengan sampai yang demikian itu kepada mereka dan sungguhnya mereka suka dengannya sepertimana suka seorang kamu dengan suatu yang dihadiahkan kepadanya.”

Kemudian katanya lagi :

‘Dan makna ayat itu bahawasanya tiada memberi menafaat akan manusia pada akhirat melainkan apa yang telah ia amalkan pada dunia selama mana tidak mengamalkan baginya oleh orang lain akan satu amalan dan memberikan pahala amalan itu untuknya maka sungguhnya amalan itu memberi guna baginya. Seperti itu jugalah siapa yang sembahyang atau puasa atau bersedekah atau mendatangakan apa-apa amal kebajikan maka dijadikan pahalanya untuk selainnya nescaya harus ia. Tiada beza antara bahawa ada ia amalan itu bangsa harta atau tubuh badan atau tersusun dari keduanya.’

( m.s. 278-279 juzuk 2 )

Berkata Imam Syaukani pada Kitab nailul Authar:

‘Ayat ini umum yang ditakhsisikan dengan beberapa hadith dan tiada pertentangan diantara yang am dan yang khas’

Berkata Al-Hafiz Imam Ibn Hajr pada kitab Fathul Baari :

‘Sungguhnya umum usaha manusia pada ayat tersebut ditakhsisikan dengan ittifaq.’

Dan ramai lagi ulamak-ulamak yang memberi pendapat dengan sampai pahala membaca Quran kepada simati dan harus menghadiahkan pahala amal kebajikan untuk simati kami didalam kitab-kitab mereka yang bilangannya lebih dari 200 buah kitab dan kami sebutkan sebahagian darinya untuk rujukan yaitu :

• Imam Ibn Qayyim pada Kitab Ar-Ruh
• Imam Abi Bakr al-Kasaani pada Kitab Bada’iu as-Sonaa’i’
• Imam Al-Zaila’i pada Kitab Syarhul ‘ala Matan al-Kanz
• Imam Ibn ‘Abidin pada Risalah Syifaau al-‘Alil
• Imam As-Suyuthi pada Kitab Al-Itqan
• Imam Ibn Hazm pada Kitab Al-Muhalla
• Imam Ibn al-Himam pada Kitab Fathul Qadir
• Imam Al-Qaraafi pada Kitab Al-Furuq
• Imam Nawawi pada Kitab Minhaj
• Syeikh Qalyubi pada Kitab Syarh Qalyubi
• Syeikh ibn Hajar pada Kitab Tuhfah
• Syeikh Ramli pada Kitab An-Nihaayah
• Syeikh Muhammad Ad-Dasuki pada Kitab Syarh Kabir
• Syeikh ‘Athiyah Soqr pada Kitab Fatawa Al_azhar as-Syarif

#SELAMAT BERAMAL#

MEMBACA AL-QURAN DI KUBUR TIDAK BIDAAH

Membaca al-Quran di kubur tidak bidaah

DEWASA ini umat Islam berada dalam persimpangan dan kekeliruan ekoran timbulnya dakwaan bahawa beberapa amalan yang mereka lakukan adalah satu kesalahan dan bidaah yang menyesatkan. Timbulnya dakwaan oleh pihak tertentu yang mengemukakan hujah dan bukti melalui kajian ilmiah dan akademik (seperti yang didakwakan) boleh menyebabkan kesan negatif di kalangan sesetengah masyarakat awam, iaitu merasa bersalah atas amalan yang selama ini dianggap baik, rupa-rupanya ia adalah sesat seperti yang didakwakan. Jauh lebih buruk daripada itu, bibit-bibit sangkaan buruk kepada ahli-ahli agama mula menular. Tidak jauh kemungkinan timbulnya tanggapan bahawa selama ini sesetengah ahli agama menipu mereka dengan ajaran-ajaran palsu ekoran dakwaan yang ditimbulkan itu. Apatah lagi dakwaan itu pula ditimbulkan oleh kalangan cerdik pandai yang terbabit membuat penyelidikan dan pembacaan dalam bidang-bidang yang mereka perkatakan.

Salah satu daripada isu yang semakin kerap dibincangkan dewasa ini ialah hukum membaca al-Quran di atas kubur dengan dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Adakah amalan ini diharuskan atau sebaliknya? Benarkah jumhur ulama menghukumnya sebagai bidaah? Memang tidak dinafikan terdapat perbezaan pendapat tentang keharusan amalan ini, tetapi secara umumnya ramai di kalangan ulama yang berpendapat harus membaca al-Quran di atas kubur dengan tujuan menghadiahkan pahalanya kepada si mati, dan ia bukannya amalan yang bidaah serta amat tersasar untuk dikatakan sebagai sesat.

Salah seorang tokoh salafi yang terkenal iaitu Imam Ibn Taimiyah menyebutkan: “Sesiapa yang membaca al-Quran kerana mengharapkan ganjaran pahala dan menghadiahkannya kepada si mati, maka yang demikian itu ada manfaatnya.” (Majmu’ Fatawa, juzuk 24, hlm. 30). Tidak dinafikan bahawa dalam soal membaca al-Quran di kubur, Imam Ibn Taimiah berpandangan tentang larangannya, tetapi beliau tidaklah menghukum sebagai sesat atau mengatakan jumhur ulama menghukumnya sebagai bidaah. Ini kerana beliau turut menukilkan pertikaian pendapat di kalangan imam-imam mazhab antara yang mengharuskan dan yang tidak menyukainya (makruh). Walaupun begitu terdapat sesetengah buku semasa berbahasa Arab yang memerangi bidaah, mengharamkan membaca al-Quran untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati sama ada di kubur atau di tempat lain melebihi pandangan yang diutarakan oleh Ibn Taimiyah.

Berkata Ibn al-Qayyim dalam kitab ar-Roh: “Sebaik-baik yang dihadiahkan kepada mayat ialah sedekah dan istighfar, berdoa untuknya dan menunaikan haji bagi pihaknya. Manakala membaca al-Quran dan menghadiahkan pahala kepadanya secara sukarela tanpa dibayar upah, maka amalan ini (yakni pahalanya) sampai kepadanya (mayat) sebagaimana sampainya pahala puasa dan haji kepadanya.” Dalam tempat yang lain beliau (Ibn al-Qayyim) menyebutkan: “Yang lebih utama adalah berniat ketika melakukannya (membaca al-Quran) bahawa ia (pahalanya) adalah untuk si mati, dan tidaklah disyaratkan berlafaz dengan niat itu.” (Ar-Roh, Maktabah al-Mutanabbi. hlm. 143)

Ibn al-Qayyim melaporkan berita yang bersumber daripada ‘Ali bin Musa al-Haddad seorang yang benar (dipercayai), katanya: “Pernah aku bersama Ahmad bin Hanbal dan Muhammad bin Qudamah al-Jauhari mengiringi satu jenazah. Setelah mayat itu dikebumikan, maka duduklah seorang lelaki buta membaca al-Quran di sisi kubur. Lantas berkatalah Imam Ahmad: “Hai kamu, membaca al-Quran di sisi kubur adalah bidaah.” Maka tatkala kami keluar dari kawasan kubur, berkatalah Muhammad bin Qudamah kepada Imam Ahmad bin Hanbal: “Wahai Abdullah, apa pandangan tuan tentang Mubasysyir al-Halabi?” Jawabnya: “Dia seorang yang dipercayai.” Tanya Imam Ahmad: “Adakah anda menulis sesuatu daripadanya?” Kata Muhammad bin Qudamah: “Ya, Mubasysyir telah memberitahuku daripada Abdul Rahman bin al-‘Alla’ al-Lajlaj daripada bapanya yang berwasiat kepadanya apabila dia dikebumikan supaya dibaca di sisi kepalanya permulaan surah al-Baqarah dan penghujungnya, dan dia berkata: “Aku mendengar Ibn Umar berwasiat seperti yang demikian.” Lantas berkatalah Imam Ahmad: “Kembalilah kamu dan suruhlah lelaki itu membaca al-Quran.”

Ibn al-Qayyim menyebutkan lagi: “Berkata al-Hasan bin al-Sabah al-Za’farani: Aku bertanya al-Syafie tentang membaca al-Quran di sisi kubur, lalu dia menjawab: “Tidak mengapa.” (Ibid, hlm. 10-11). Sayugia diingatkan bahawa laporan oleh Ibn al-Qayyim ini bukan bertujuan menyanggahi amalan tersebut, malah beliau menyetujuinya.

Berdasarkan kenyataan ini dapatlah difahami pandangan imam al-Syafie bahawa pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati bukanlah bererti beliau mengatakannya sebagai salah atau haram seperti yang didakwakan sesetengah pihak. Apatah lagi fuqaha’ mutaakhir dalam mazhab al-Syafie seperti Imam an-Nawawi menyebutkan bahawa nas al-Syafie dan disepakati oleh para ashab (ulama al-Syafie) menyebutkan dimustahabkan (sunat) membaca al-Quran di sisi kubur. (Al-Majmu’ 5/286, Maktabah al-Irsyad, Jeddah).

Apabila Imam an-Nawawi menyebutkan hukum ini disepakati di kalangan ashab maka ia menunjukkan galakan membaca al-Quran di kubur itu adalah pendapat jumhur ulama dalam mazhab al-Syafie. Dan apabila beliau menyebutkan nas al-Syafie menyatakan demikian, maka ini menunjukkan bahawa beliau sendiri menemui sumber tersebut yang berasal daripada pandangan al-Syafie, apatah lagi beliau merupakan salah seorang ulama al-Syafie yang menjadi tonggak sandaran dalam menukilkan pandangan-pandangan dalam mazhab al-Syafie. Jika ada yang memberikan alasan bahawa Imam an-Nawawi menyebutkan dalam kitab yang lain bahawa pendapat yang masyhur dalam mazhab al-Syafie tidak sampai pahala al-Quran kepada si mati, maka secara langsung ini bererti pendapat yang azhar adalah sebaliknya, di mana masyhur dan azhar adalah istilah yang dipakai dalam fiqh mazhab al-Syafie dan azhar adalah pendapat yang dinilai lebih kuat.

Pada tempat yang lain dalam kitab yang sama beliau (Ibn Qayyim) menyebutkan: “Al-Khallal menyebutkan daripada al-Sya’bie, katanya: “Adalah orang-orang Ansar apabila berlaku kematian di kalangan mereka, maka mereka berulang alik ke kuburnya untuk membaca al-Quran di sisinya.” (Ar-Roh, Maktabah al-Mutanabbi hlm 143). Kenyataan ini dinukilkan oleh beliau (Ibn al-Qayyim) bukannya untuk membantah kesahihan berita tersebut, malah untuk menyokong pandangan tentang sampainya pahala al-Quran kepada si mati. Beliau juga menyebutkan bahawa pada mulanya Imam Ahmad mengingkari bacaan al-Quran di kubur kerana tidak sampai athar kepadanya, kemudian beliau menarik balik pandangannya itu. Yang pastinya kenyataan tersebut bukannya bertujuan untuk menghukum bidaah membaca al-Quran di atas kubur.

Sebaliknya. beliau menjadikan kenyataan ini untuk menguatkan pandangannya tentang sampainya pahala al-Quran jika dibaca dan dihadiahkan kepada si mati. Justeru dalam perengggan selepas kenyataan ini beliau menyebutkan lagi: “Jika dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah memberi petunjuk kepada mereka tentang (sampainya pahala) puasa, sedekah, dan haji, tetapi tidak memberitahu mereka tentang bacaan al-Quran, maka sebagai jawapannya dikatakan: “Bukannya Rasulullah s.a.w yang memulakan pemberitahuan itu kepada mereka, malah anjuran Baginda itu terbit sebagai memberikan jawapan kepada mereka. Orang ini bertanyakan kepada Nabi s.a.w tentang melakukan haji bagi pihak si mati, maka Baginda pun memberikan kebenaran kepadanya. Orang ini pula bertanya tentang berpuasa untuk si mati, maka Baginda pun memberikan kebenaran kepadanya. Orang ini pula bertanyakannya tentang bersedekah untuk si mati, maka Baginda pun memberikan kebenaran kepadanya, dan Baginda tidak pun melarang mereka selain daripada itu.” (Ibid, hlm. 143). Dengan kata lain Rasulullah menjawab apa yang mereka tanya, bukannya Rasulullah yang memulakan pemberitahuan hukum berpuasa bagi pihak si mati, bersedekah dan sebagainya adalah sekian sekian, dan selain daripada itu adalah sekian sekian.

Seterusnya beliau menyebutkan lagi: “Orang yang mengatakan tidak seorang pun daripada salaf yang melakukan demikian (membaca al-Quran di kubur) adalah orang yang bercakap apa yang tidak diketahuinya, kerana kenyataan ini menunjukkan dia menafikan apa yang dia tidak tahu. Mana dia tahu, entahkan para salaf melakukan demikian tetapi tidak menzahirkan kepada orang yang datang kepada mereka.” (Ibid)

Tidak dinafikan bahawa sebahagian daripada nukilan yang disebutkan ini telah dikoreksi oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani dalam kitabnya Ahkam al-Jana’iz wa Bida’uha. Kesimpulan daripada penilaian yang dibuat oleh Syeikh al-Albani ialah sama ada hadith atau athar yang dilaporkan oleh Ibn al-Qayyim itu tidak dikenali perawinya, atau mauquf setakat Ibn Umar dan lain-lain lagi justifikasi yang diberikan olehnya. Terserahlah kepada sesiapa yang hendak berpegang dengan pandangan Syeikh al-Albani. Namun sesuatu yang tidak diragui bahawa sebelum kemunculan Syeikh al-Albani umat Islam zaman berzaman telah berpegang dengan pandangan keharusan membaca al-Quran di kubur berdasarkan pandangan ulama-ulama mazhab seperti yang akan disebutkan nanti. Apakah dalam jarak masa yang sejauh itu selama ini umat Islam rupanya berada dalam kesesatan sehinggalah datang Syeikh al-Albani pada abad ini untuk memperbetulkan kesesatan itu? Bagaimana pula dengan para ulama yang sezaman dengan Syeikh al-Albani yang berpandangan sebaliknya. Lihat sahaja fatwa oleh Mufti Mesir Syeikh Ali Jum’ah yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah pada 14/2/2006, fatwa bil 4294:

“Para ulama telah ijmak bahawa mustahab (sunat atau digalakkan) membaca al-Quran di atas kubur sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Syeikh al-Uthmani dalam kitab “Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-A’immah”. Ungkapan kitab itu menyebukan: “Para ulama berijmak bahawa bacaan istighfar, doa, sedekah, haji dan pemerdekaan hamba (untuk si mati) dapat memanfaatkan si mati, dan pahalanya sampai kepadanya. Dan membaca al-Quran di sisi kubur adalah mustahab (sunat atau digalakkan).”

Tulisan ini bukan bermaksud mempertikaikan fatwa Syeikh al-Albani dalam hal tersebut. Tetapi apabila berlaku pertembungan antara fatwa yang menolak dengan yang mengharuskan maka apakah kita perlu berkeras untuk mengharam dan membidaahkan umat yang berpegang dengan fatwa yang sebaliknya? Apatah lagi fatwa Syeikh Ali Jum’ah adalah berautoriti kerana ia mewakili institusi fatwa secara resmi.Terserahlah pada sesiapa yang hendak berpegang dengan fatwa Syeikh al-Albani, tetapi jangan diheret umat ini kepada kancah kemelut yang membawa salah menyalah antara satu sama lain.

Seperkara lagi para ulama dahulu yang tidak mengharuskan bacaan al-Quran di sisi kubur, mereka hanya mengungkapkan dengan perkataan “saya tidak suka’, atau dimakruhkan, atau “tidak disyariatkan”, dan mereka tidak lancang lidah untuk mengatakan haram, bidaah, sesat dan yang seumpamanya. Syeikh al-Albani sendiri dalam fatwanya berkaitan hal ini tidak menyebut perkataan bidaah, haram, sesat dan sebagainya. Sebaliknya, beliau menyebutkan: “Adapun membaca al-Quran ketika ziarah kubur tidak ada asalnya dalam sunnah, malah hadis-hadis yang disebutkan dalam masalah yang lepas membayangkan ia tidak disyariatkan.” Saya gunakan perkataan “membayangkan” sebagai terjemahan daripada perkataan “tusy’iru” yang boleh diterjemahkan “seakan merasakan”, “seakan memberitahu” atau seumpamanya. Maknanya, beliau sendiri tidak menyebutkan hadis-hadis yang disebutkan menyatakan dengan pasti tidak disyariatkan membaca al-Quran di kubur.

Seperkara lagi bahawa hadiis-hadis yang dihukum sahih atau daif mahupun dihukum palsu oleh Syeikh al-Albani bukannya mutlak. Dengan kata lain ada kemungkinan penilaiannya betul atau sebaliknya. Begitu juga dengan penilaian oleh ulama-ulama lain yang tidak boleh dikatakan sebagai muktamad dan seratus peratus betul. Lihat apa yang dikatakan oleh Dr. Yusuf al-Qardawi berkaitan hal ini:

“Syeikh al-Albani pada pandangan saya adalah ulama hadith yang terkenal pada zaman kita khususnya dalam ilmu takhrij, tauthiq dan tad’if hadis. Di samping itu pandangannya bukanlah muktamad dalam semua hadith yang disahih dan dida’ifkannya. Ada kalanya dia disanggahi oleh ulama lain yang sezaman dengannya seperti Syeikh al-Allamah Habib al-Rahman al-A’zami, Syeikh Syua’ib al-Arna’ut, dan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah serta selainnya. Tidaklah pelik mereka itu menyanggahinya sebagaimana dia sendiri menyanggahi ulama-ulama besar sebelumnya dalam sesetengah hadis. Sebahagian mereka mengambil pendekatan yang tidak sama dengan pendekatannya dalam mentashih sebagaimana yang dilakukan oleh al-Allamah al-Syeikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah. Justeru, apabila Syeikh (al-Albani) menghukum da’if sesuatu hadith maka ia bukannya hujah yang muktamad dan keputusan pemisah. Malah saya (al-Qardawi) mengatakan: Syeikh al-Albani hafizahullah adakalanya menghukum da’if sesuatu hadis dalam sebuah kitab, dan dalam kitab yang lain diputuskannya sebagai sahih”. (Fatawa Mu’asarah 2/103).

Maka, sebagai lanjutan daripada itu, mari kita perhatikan pula apa yang dinyatakan oleh tokoh-tokoh ulama pelbagai mazhab berkaitan hal terbabit.

Al-Aini rahimahullah dari kalangan ulama Hanafi menyebutkan dalam kitab al-Binayah Syarh al-Hidayah (3/306, Dar al-Fikr): “Tidak mengapa membaca al-Quran di sisi kubur.” Dalam kitab Hasyiah Raddul Muhtar (2/246), Ibn Abidin rahimahullah menyebutkan: “Tidak dimakruhkan duduk di atas kubur untuk membaca al-Quran menurut pendapat yang dipilih.”

Dalam kitab Hasyiah al-Dusuqi ‘Ala al-Syarh al-Kabir (Fiqh mazhab Maliki) (1/423, Maktabah az-Zahran, Kaherah) menyebutkan: “Makruh membaca al-Quran selepasnya yakni selepas kematiannya, dan di atas kuburnya, kerana ia bukan dari amalan salaf, akan tetapi ulama mutaakhir berpandangan tidak mengapa membaca al-Quran dan zikir, dan dijadikan pahalanya untuk si mati. Si mati memperoleh pahalanya insya-Allah.”

Dalam kitab al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir li Ibn Qudamah (Fiqh mazhab Hanbali) menyebutkan: “Tidak mengapa membaca al-Quran di kubur. Telah diriwayatkan daripada Imam Ahmad bahawa beliau berkata: “Apabila kamu masuk ke kubur bacalah ayat al-Kursi dan tiga kali Qulhuallah (surah al-Ikhlas), kemudian katalah: “Ya Allah sesungguhnya kelebihannya untuk ahli kubur ini.” (2/426)

Para ulama al-Syafie seperti Imam an-Nawawi rahimahullah menyebutkan dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (5/286, Maktabah al-Irsyad, Jeddah) dengan katanya: “Dimustahabkan (sunat) membaca sebahagian daripada al-Quran apa yang termudah -yakni di sisi kubur- dan berdoa supaya dijadikan pahalanya untuk mereka (penghuni kubur) selepas membacanya. Hukum ini dinaskan oleh al-Syafie dan disepakati oleh ashab (para ulama al-Syafie).” Jika ada yang mengatakan imam al-Syafie berpandangan tidak sampai pahala membaca al-Quran kepada si mati, maka sebagai orang kebanyakan ini cukuplah bagi kita meletakkan kepercayaan kepada Imam an-Nawawi bahawa kenyataan oleh beliau menunjukkan beliau sendiri menemui teks imam al-Syafie tersebut. Sementara teks yang dijadikan hujah oleh sesetengah pihak konon imam al-Syafie melarang berbuat demikian, sebenarnya adalah berpunca daripada kekeliruan memahaminya seperti yang dihuraikan oleh para ulama dalam mazhabnya.

Yang menjadi pokok persoalan sehingga menimbulkan permasalahan ini ialah apabila ada pihak yang mahu supaya apa yang diamalkan itu benar-benar 100% menunjukkan Nabi s.a.w berbuat demikian. Mereka tidak menerima jika amalan itu berdasarkan hukum yang diistinbatkan oleh para ulama tertentu berdasarkan kefahaman terhadap nas syarak yang pelbagai serta teknik mengistinbatkan hukum seperti yang digariskan dalam ilmu Usul Fiqh. Lantaran itu oleh kerana tidak sabit bahawa Nabi s.a.w berbuat demikian, maka perkara itu dianggap sebagai bidaah. Lebih memilukan lagi, umat ini disesatkan dengan alasan semua yang bidaah itu sebagai sesat berdasarkan kefahaman mereka terhadap hadith Nabi s.a.w yang bermaksud: “setiap yang bid’ah adalah sesat”, tanpa mengambil kira di kalangan ulama yang lain juga mempunyai kefahaman tersendiri, dan mereka (ulama) sedikit pun tidak alpa dan mengabaikan peringatan dalam hadith ini. Kalau kita hendak menentukan sesuatu hukum hanya boleh dilakukan dengan berdasarkan 100% perbuatan Nabi s.a.w, maka kita juga perlu meletakkan hukum larangan berbuat demikian berdasarkan 100% Nabi s.a.w melarang berbuat demikian.

Maka, dalam hal membaca al-Quran di atas kubur jika tidak ditemui dengan jelas dan terang bahawa Nabi s.a.w berbuat demikian, maka apakah ditemui dengan jelas dan terang (tanpa perlu ditakwil dan dihuraikan) bahawa Nabi s.a.w melarang berbuat demikian? Sebagai contoh, mengemukakan hadith: “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah. (Riwayat Muslim, Tarmizi, dan Ahmad)”, untuk membuktikan bahawa kubur bukan tempat membaca al-Quran adalah dalil yang tidak terang, kerana ia merupakan kefahaman sesetengah ulama seperti Syeikh al-Albani.

Tentunya kita menghormati pandangan beliau. Pada masa yang sama di kalangan ulama yang lain memahami hadith itu dengan kefahaman yang lain, iaitu orang yang berada dalam rumah yang tidak dibacakan al-Quran bagaikan orang mati yang berada dalam kubur. Ini kerana rumah adalah tempat kediaman orang hidup, dan kubur adalah tempat orang mati. Maka, hadis tersebut (menurut kefahaman ini) menyifatkan orang yang tidak membaca al-Quran di dalam rumahnya bagaikan orang mati yang tidak ada kebaikan lagi untuk dilakukan. Kefahaman ini disokong dengan hadith riwayat Muslim yang bermaksud: “Bandingan rumah yang disebutkan Allah di dalamnya dengan rumah yang tidak disebutkan Allah di dalamnya seperti bandingan orang yang hidup dengan orang yang mati”. Kedua-dua kefahaman ini ada kemungkinan betul dan salah, tetapi apabila kita mendakwa kefahaman yang pertama menunjukkan nas yang sahih menafikan keharusan membaca al-Quran di atas kubur maka ia masih boleh dipertikaikan.

Renunglah maksud firman Allah: “dan apa jua yang dibawa datang oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu maka terimalah, dan apa jua yang kamu dilarang olehnya maka patuhilah larangannya” (Surah al-Hasyr, ayat 7). Dalam hal beramal dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w maka Allah perintahkan kita mengambilnya dengan menggunakan perkataan “apa yang dibawa datang”, sedangkan dalam hal mengharam atau melarang sesuatu maka Allah sebutkan dengan perkataan “apa yang kamu dilarang”, padahal lawan kepada perkataan apa yang dibawa datang ialah apa yang tidak dibawa datang, atau apa yang ditinggalkan, atau apa yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Allah tidak menyebutkan “tinggallah apa yang tidak dilakukan atau tidak dibawa datang oleh Rasulullah, sebaliknya Allah menyebutkan “tinggallah apa yang dilarang…”.

Berdasarkan ini al-Allamah al-Muhaddith Abdullah Siddiq al-Ghumari menyebutkan satu kaedah Usul, iaitu “meninggalkan sesuatu bukan bererti mengharamkannya” (Itqan as-Sun’ah fi Tahqiq Ma’na al-Bid’ah, hlm 9, Maktabah al-Kaherah). Kaedah usul ini bagi menetapkan bahawa apabila Rasulullah s.a.w meninggalkan daripada melakukan sesuatu atau tidak sabit adanya perbuatan Nabi s.a.w, maka tidaklah semestinya perkara itu haram dilakukan. Jangan pula kita tersasar dengan kenyataan ini bahawa semua yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w adalah boleh belaka. Apa yang hendak disampaikan ialah bukan semua yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w dilarang, tetapi apa yang dilarang oleh baginda dengan terang, jelaslah larangannya. Untuk mengenal pasti hal-hal yang tidak dilakukan atau dilarang secara terang dan nyata oleh Rasulullah s.a.w maka para ulama adalah sandaran kita kerana mereka lebih mengetahui tentang bidang pengkhususan mereka. Jadi kalau di kalangan ulama berbeza pendapat antara memboleh dan menidakkan sesuatu perkara, maka secara langsung yang mengikuti ulama juga akan berbeza pendapat. Selagi perbezaan pendapat itu diraikan dengan harmoni sebagaimana para ulama dahulu meraikannya maka tidaklah timbul soal sesat dan menyesatkan sesuatu amalan selagi ia masih dalam ruang lingkup perbezaan di kalangan ulama yang dikenali sebagai masalah khilafiyah.

Antara dalil yang dikemukakan oleh ulama berkaitan masalah ini ialah hadith berkaitan dua orang yang diseksa di dalam kubur, yang mana salah seorangnya diseksa kerana tidak membersihkan kencingnya. Dalam hadis terbabit menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w memacak pelepah tamar di atas kubur itu dan bersabda (yang kira-kira maksudnya): “Mudah-mudahan ia dapat meringankan kepada mereka berdua selagi mana ia tidak kering” (maksud hadis riwayat al-Bukhari). Berkata Imam an-Nawawi dalam kitab Syarh Muslim (3/260): “Para ulama memandang sunat hukumnya membaca al-Quran di sisi kubur berdasarkan hadis ini, kerana jika dapat diharapkan keringanan dengan tasbih oleh pelepah tamar, maka lebih utama lagi membaca al-Quran.” Jika ada yang berpendapat bahawa hadith ini khusus untuk menunjukkan keberkatan Nabi s.a.w berdasarkan sesetengah pendapat yang menyatakan demikian, maka silalah berpegang dengan pendapat itu, tetapi jangan sampai menyalahkan pendapat yang lain.

Kita sedia berlapang dada kepada sesiapa jua yang tidak mahu membaca al-Quran di kubur, bertalqin, bertahlil dan sebagainya. Siapa mahu dia boleh buat, dan siapa mahu dia boleh meninggalkannya, tetapi tidak sepatutnya sampai membawa kepada pencelaan dan penuduhan sesat yang amat berat untuk ditanggung oleh umat ini.

At-Tabarani meriwayatkan dalam al-Mu’jam al-Kabir (19/220, Maktabah Ibn Taimiah, Kaherah) daripada hadis Abdul-Rahman bin al-‘Ala’ bin al-Lajlaj, katanya: Bapaku berkata kepadaku: “Duhai anakku, bila aku mati nanti, galilah liang untukku. Apabila engkau letakkan aku dalam liang lahadku, maka bacalah: Bismillah wa ‘ala millati Rasulillah s.a.w (dengan nama Allah dan di atas agama Rasulullah s.a.w), kemudian timbuskan tanah ke atasku, kemudian bacalah di sisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penamatnya, kerana aku mendengar Rasulullah s.a.w menyebutkan demikian”. Berkata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (3/44, Dar al-Kitab al-‘Arabi): “Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam kitab Mu’jam al-Kabir, dan rijalnya (senarai perawinya) dipercayai.” Imam an-Nawawi rahimahullah menyebutkan dalam kitab al-Azkar (hlm 219, Dar al-Rayyan li al-Turath): “Berkata al-Syafie dan para ashab: “Disunatkan membaca al-Quran di sisinya (kubur) sesuatu daripada al-Quran. Mereka (ashab) mengatakan: Jika mereka mengkhatamkan al-Quran semuanya, maka itu adalah baik. Dan telah diriwayatkan kepada kami (seperti) dalam Sunan al-Baihaqi dengan sanad yang hasan bahawa Ibn Umar menggalakkan dibaca di atas kubur setelah pengkebumian permulaan surah al-Baqarah dan penghujungnya.”

Dr. Wahbah az-Zuhaili menyebutkan dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu tentang pandangan ulama pelbagai mazhab hukum berkaitan membaca al-Quran untuk si mati. Beliau menyebutkan:

“Ulama berbeza pendapat tentang sampainya pahala ibadat badani semata-mata seperti solat dan bacaan al-Quran kepada orang yang tidak melakukannya. Ada dua pendapat dalam hal ini: Pandangan ulama Hanafi dan Hanbali serta ulama mutaakhir dalam kalangan mazhab al-Syafie dan Maliki mengatakan pahala al-Quran sampai kepada si mati jika dibaca di di sisinya, atau didoakan supaya disampaikan pahala itu selepas membaca al-Quran, walaupun mayat itu ghaib (jauh dari pembacanya). Ini kerana tempat al-Quran dibaca akan turun rahmat dan keberkatan, dan berdoa selepasnya lebih diharapkan untuk diterima.

Golongan terdahulu dari kalangan Maliki dan pendapat yang masyhur dari kalangan ulama al-Syafie yang terdahulu mengatakan tidak sampai pahala ibadat mutlak (yakni tidak berkaitan dengan harta) kepada bukan si pelakunya.

Berkata ulama Hanafi: Menurut pendapat yang dipilih tidak makruh mendudukkan beberapa orang pembaca al-Quran untuk membacanya di sisi kubur. Mereka menyebutkan dalam bab mengerjakan haji bagi pihak orang lain: Manusia berhak untuk menjadikan pahala amalannya untuk orang lain, sama ada amalan itu berupa solat atau puasa atau sedekah atau selainnya, sedangkan yang demikian itu tidak mengurangi sedikitpun pahalanya.

Berkata ulama Hanbali: Tidak mengapa membaca al-Quran di sisi kubur berdasarkan hadith (yang bermaksud): “Sesiapa yang masuk ke perkuburan lalu membaca surah Yasin, maka diringankan daripada mereka (penghuni kubur) pada hari itu, dan dia memperolehi kebaikan sebanyak bilangan mereka yang ada di situ (kubur).” Mereka juga menyebutkan hadith: “Sesiapa yang menziarahi kubur kedua-dua ibu bapanya, lalu membaca al-Quran di sisinya atau membaca Yasin di sisi kedua-duanya, maka diampunkan untuknya.” Di bahagian nota kaki, beliau (Dr. Wahbah az-Zuhaili) menyatakan kedua-dua hadith ini adalah da’if dan hadith yang pertama lebih da’if daripada yang kedua seperti yang diisyaratkan oleh as-Suyuti dalam kitab al-Jami’.

Golongan mutaakhir dari kalangan ulama al-Syafie mentahkikkan bahawa pahala membaca al-Quran sampai kepada si mati, seperti membaca al-Fatihah dan selainnya, dan berdasarkan pandangan inilah menjadi amalan yang dilakukan oleh orang ramai. Apa yang dipandang baik oleh orang Islam maka ia adalah baik di sisi Allah. Apabila ternyata bahawa membaca al-Fatihah memberikan manfaat kepada orang hidup yang disengat binatang dan diperakui oleh Nabi s.a.w melalui sabdanya: “Bagaimana engkau tahu bahawa ia (al-Fatihah) boleh dijadikan jampi?, maka kemanfaatannya kepada mayat adalah lebih utama.” (selesai nukilan al-Fiqh al-Islami 2/1579).

Kemungkinan hadis yang disebutkan oleh ulama Hanbali ini disenaraikan sebagai hadis palsu oleh sesetengah pihak, walaupun Dr. Wahbah az-Zuhaili menukillkannya sebagai hadis daif. Moga dilindungi Allah daripada kita melabelkan ulama Hanbali sebagai tidak bertanggunjawab kerana menyebarkan hadith ini. Sama ada hadis tersebut palsu atau daif tidaklah menjejaskan pandangan para ulama yang berpandangan membaca al-Quran di kubur bukannya bidaah kerana bukan hadis terbabit yang menjadi tonggak pendalilan semua ulama yang mengharuskannya. Ekoran perbincangan di atas timbul satu kemusykilan, jumhur ulama yang manakah menghukum bidaah membaca al-Quran di atas kubur? Jika dikatakan segelintir ulama berpandangan demikian tentulah tidak disangsikan.

Saya tidak mengharapkan daripada tulisan ini agar pembaca mengambil ketetapan bahawa apa yang dikemukakan adalah pandangan yang tidak boleh dipertikaikan. Cuma, apabila dikemukakan perbincangan di atas, harapan untuk orang awam janganlah sampai anda menyalahkan ahli agama atau ustaz-ustaz yang dianggap tidak pakar kerana mengajarkan kepada anda ajaran yang selama ini kononnya bidaah (seperti yang didakwakan). Berbaik sangkalah bahawa mereka yang diamanahkan menyampaikan ilmu berusaha menyampaikan sekadar yang terdaya olehnya, dan jauh sekali mereka berniat menyebarkan bidaah sama ada secara sedar atau tidak. Bagi mereka yang pakar, mudah-mudahan kepakaran itu dapat dimanfaatkan untuk umat sejagat.

(Tulisan Asal Oleh: MUHAMMAD RAMZI OMAR)

#SELAMAT BERAMAL#

Bidaah: Satu Erti Yang Disalahgunakan

Assalamualaikum Warahmatullah.

PENDAHULUAN

Permasalah bidaah-membidaah dan sesat-menyesatkan di dalam masyarakat Islam kini amatlah parah dan berbahaya sekali. Masalah seperti ini timbul semula dengan membawakan kembali persoalan-persoalan khilafiyah yang telah sekian lama dibahaskan dan diselesaikan oleh para ulama muktabar terdahulu. Golongan yang sewenang-wenangnya membidaah ini cuba menafsirkan nas-nas dari al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. dengan hawa nafsu sendiri sehingga pelbagai tafsiran yang tidak munasabah diperolehi. Maka kucar-kacirlah masyarakat Islam dengan pembawakan golongan ini yang kononnya berjuang untuk membersihkan perkara-perkara bidaah.

Keadaan menjadi semakin parah apabila isu ini dipandang sebagai isu besar yang perlu diperdebatkan sehingga mereka lupa dan alpa akan isu-isu yang lebih besar untuk kemaslahatan umat Islam sejagat. Ini semua berpunca daripada kesalahan mereka dalam memahami maksud bidaah sesat dalam ertikata yang sebenarnya. Semoga ulasan dan penerangan ringkas ini dapat dijadikan panduan kepada semua di dalam usaha kecil saya untuk memperbetulkan salah faham masyarakat terhadap isu ini.

DALIL YANG DIGUNAKAN

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
…Seburuk-buruk perkara ialah perkara yang direka-reka (muhdathatuha) dan setiap yang direka itu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat.
(Riwayat Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Setiap yang direka ialah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat dan setiap yang sesat ke dalam neraka.
(Riwayat al-Nasaie).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Setiap yang mengada-adakan sesuatu pada ajaran kami ini sedang ia bukan darinya maka ianya tertolak.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

PENERANGAN DAN PEMAHAMAN PARA ULAMA TERHADAP HADIS BIDAAH

Berkata Saidina Umar al-Khattab R.A. bermaksud:…Baik bidaah ini…
(Riwayat Bukhari).

Saidina Umar al-Khattab R.A. berkata demikian ketika melihat para jemaah bersolat terawih berimamkan seorang imam sahaja .

Berkata Imam Abu Umar Yusuf al-Andalusi: Adapun kenyataan Saidina Umar R.A. ‘baik bidaah ini’ maksudnya bidaah mengikut orang Arab ialah mencipta sesuatu yang belum pernah ada dan tidak pernah bermula. Ia tidaklah mempunyai apa-apa percanggahan dengan sunnah (dari segi agama) seperti yang diamalkan selama ini.

Berkata Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah: Kata-kata Saidina Umar R.A. ‘baik bidaah ini’ adalah: Penyandaran baik kepada bidaah ialah kerana kebaikkannya dan penamaannya dari segi bahasa bukan syarak. Bidaah dari segi bahasa menyentuh setiap perbuatan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Adapun bidaah menurut syarak ialah perbuatan yang tidak berasaskan dalil syarie.

Amalan yang mempunyai sandaran kepada al-Quran dan al-Sunnah bukanlah bidaah dari segi syarak meskipun ianya bidaah dari segi bahasa. Perkataan bidaah lebih umum dalam bahasa daripada bidaah dalam syarak.

Berkata Imam al-Ghazali: Bukanlah semua perkara bidaah adalah dilarang tetapi perkara yang dilarang ialah bidaah yang bercanggah dengan sunnah yang tetap dan sabit dan membuang segala arahan syarak.

Berkata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani: Bidaah asalnya ialah sesuatu yang baru diada-adakan iaitu sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ia di dalam syarak ialah lawan kepada sunnah dan dicela. Sebenarnya sesuatu yang baru diadakan itu sekiranya tidak bercanggah dengan syarak adalah baik dan sebaliknya jika buruk mengikut syarak maka ianya buruk kecuali termasuk bab harus. Bidaah adalah terbahagi kepada lima hukum.

Berkata Imam Abu Sulaiman al-Khitabi: Adapun sesuatu yang baru itu jika bersandarkan kepada kaedah Usul dan dirujuk kepadanya maka itu bukanlah bidaah dan bukanlah menyesatkan.

Berkata Syeikh Bakhit Muthi: Bidaah syarie ialah yang sesat dan yang tercela. Adapun bidaah yang dibahagikan oleh ulama kepada bidaah wajib, haram dan sebagainya adalah bidaah dari sudut bahasa dan ia lebih umum pengertiannya daripada bidaah syarie kerana bidaah syarie adalah satu bahagian daripada bidaah dari sudut bahasa.

PENGERTIAN BIDAAH

Setelah melihat perbincangan para ulama dalam memahami maksud hadis ‘setiap bidaah adalah sesat’ maka disimpulkan bahawa setiap amalan yang disokong oleh syarak walaupun ia berbentuk nas umum dan tidak pula bertentangan dengan syarak serta tidak membawa kepada keburukkan maka ia tidak termasuk di dalam pengertian bidaah yang sesat. Dan tidak juga boleh dikatakan kepada sesuatu perbuatan baik yang di bawahnya terdapat nas yang umum adalah sebagai bidaah sesat. Adapun makna bidaah secara syarie kesemuanya adalah tercela dan bidaah dari sudut makna syarie adalah salah satu cabang daripada bidaah dari sudut bahasa.

Berkata lagi Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah: Sesuatu yang tidak wujud di zaman Nabi Muhammad S.A.W. maka apa yang dilihat orang-orang Islam sebagai perkara-perkara baru yang tidak berlaku di zaman Nabi S.A.W. maka ia adalah perkara yang harus dilakukan selama mana menjadi keperluan.

PEMBAHAGIAN BIDAAH KEPADA HASANAH DAN DHALALAH

Berkata Imam Shafie: Bidaah ada dua: Bidaah terpuji (mahmudah) dan bidaah yang dicela (mazmumah). Maka apa yang sesuai dengan sunnah tetap dipuji dan yang mencanggahinya tetap dicela.

Imam Shafie berkata lagi bahawa perkara-perkara baru (al-muhdathat) ada dua jenis:
Pertama: Perkara yang mencanggahi al-Quran atau sunnah atau athar atau ijmak dan ini dikira sebagai bidaah sesat.

Kedua: Perkara baik yang diadakan yang tidak mencanggahi mana-mana daripada keempat-empat sumber (al-Quran, sunnah, athar dan ijmak) adalah perkara baru yang tidak dicela.

Berkata Imam Izzuddin Abdus Salam: Bidaah terbahagi kepada bidaah wajib, bidaah haram, bidaah sunnah, bidaah harus.

Imam al-Nawawi dalam mengulas hadis ‘setiap bidaah adalah sesat’ berkata:
Hadis ini adalah makhus dan dikehendaki dengannya ialah kebanyakkan bidaah. Berkatalah ahli bahasa: Ia (bidaah) adalah sesuatu yang baru dilakukan tanpa ada contoh sebelumnya.

Berkata ulama:
Bidaah ada lima bahagian iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Antara yang wajib ialah merangka dalil-dalil oleh para mutakallimin dalam menolak para mulhid (yang tidak percayakan kewujudan tuhan) dan menolak kaum bidaah (mubtadiin) dan seumpamanya.

Berkata Imam Ibnu Athir: Bidaah terbahagi dua bahagian iaitu bidaah petunjuk dan bidaah kesesatan. Sesuatu perkara yang bercanggah dengan arahan Rasulullah S.A.W. maka ia adalah perkara yang tercela manakala perkara yang berada di bawah arahan baginda secara umum maka ia adalah terpuji.

Bidaah hasanah pada hakikatnya adalah sunnah. Maka di atas tafsiran ini bahawa maksud hadis ‘setiap bidaah adalah sesat’ ditafsirkan kepada perkara yang bercanggah dengan usul-usul syarak dan tidak bertepatan dengan sunnah.

MEMBETULKAN SALAH ANGGAP TERHADAP MAKSUD IMAM SYATIBI

Saya melihat pandangan dari Imam Syatibi (antara ulama yang mula-mula mengatakan bidaah tidak wujud dhalalah dan hasanah) serta bebeberapa ulama terkini antaranya ialah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili mengenai persolalan bidaah ini adalah suatu yang mesti dihormati oleh semua orang Islam.

Namun perlulah difahami bahawa majoriti ulama berpendapat bahawa bidaah terbahagi kepada hasanah (baik) dan dhalalah (sesat). Inilah yang dikatakan khilaf antara ulama dalam mentafsirkan sesuatu dalil. Dalam kita menghadapi khilaf di antara ulama ini maka beberapa perkara dan adab mestilah kita fahami. Namun saya tidaklah bercadang untuk membincangkan mengenai adab-adab yang perlu ada dalam diri seseorang itu bagi menghadapi khilaf para ulama ini.

Jika kita perhatikan secara ikhlas bahawa mereka (ulama-ulama yang tidak bersetuju untuk membahagikan bidaah kepada dhalalah dan hasanah) tidak pula menghalang atau mengatakan haram dan sesat bagi sesiapa yang melakukan perkara-perkara baik seperti sambutan maulidur rasul, menyebut lafaz niat ketika hendak mengerjakan solat, kenduri tahlil dll. Malah mereka menyokongnya sepertimana Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan bahawa sambutan maulidur rasul adalah baik. Dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili turut memperakukan bahawa menyebut lafaz niat ketika hendak mengerjakan solat adalah sunat.

Jadi bolehlah kita simpulkan di sini bahawa mereka membenarkannya pada persoalan-persoalan dan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan akan tetapi mereka hanya tidak besetuju bahawa bidaah dibahagikan kepada dhalalah dan hasanah. Perkara yang baik adalah dipuji dan perkara yang buruk (melanggar sunnah) adalah dikeji lagi bidaah. Inilah yang dimaksudkan oleh para ulama ini.

DI ANTARA BIDAAH PADA MASA KINI

Mendakwa boleh berijtihad oleh orang yang tidak berkelayakan merupakan di antara seburuk-buruk bidaah dan kerosakan serta kemungkinan yang paling merbahaya yang mengancam syariat Islam. Mereka menolak mazhab-mazhab dan mengingkari imam-imam mujtahid bahkan mereka mengangap imam-imam sebagai penentang syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Mereka mendakwa bahawa imam-imam ini kononnya cuba mengalihkan perhatian manusia daripada syariat yang dibawa oleh Rasululluh S.A.W. kepada mazhab-mazhab tajaan diri sendiri dan sesiapa sahaja yang bermazhab adalah tergolong sebagai ahli bidaah. Pemikiran seperti ini adalah pemikiran yang didasari oleh orientalis yang ingin menghancurkan Islam.

Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi berkata: Bermazhab ini adalah bermaksud seorang awam atau orang yang tidak sampai ke taraf untuk berijtihat cuba mengikut mazhab seorang imam mujtahid samada dia memegang satu mazhab tertentu atau berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain. Sementara tidak bermazhab pula ialah tidak bertaqlid (orang awam atau orang yang tidak sampai taraf mujtahid) kepada seseorang imam yang mujtahid tanpa terikat untuk mengikutnya sepanjang masa.

Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi menambah lagi: Kita amat gembira menyandarkan bahawa mereka yang tidak bermazhab kononnya menyandarkan kepada golongan Salafiyyah (atau mana-mana kumpulan yang membawa maksud sama dengan Salafiyyah) sebenarnya itulah mazhab mereka. Mengapa tidaknya justeru mereka pun bertaqlid dengan salah seorang imam-imam mujtahid di mana pandangan-pandangan para imam ini dipindahkan dengan penuh amanah, tidak kiralah samada mereka itu sentiasa berpegang dengan pandangan-pandangan para imam tersebut atau tidak, juga samada mereka mengakui demikian itu ataupun sebaliknya.

BIDAAHKAH AMALAN KEBANYAKKAN MASYARAKAT ISLAM DI MALAYSIA?

Pada masa kini terdapat sebahagian kumpulan ini yang terlalu melampau lalu menjadikan setiap perkara baru seperti amalan-amalan kebaikan dan ketaatan yang tidak pernah wujud di zaman Rasulullah S.A.W. adalah bidaah lagi sesat. Mereka berkata demikian konon-kononya untuk menyucikan amalan-amalan umat Islam sekarang dari sebarang penambahan dan penyelewengan yang tidak pernah dirakamkan di dalam al-Quran dan al-Hadis. Namun mereka tidak sedar (atau mungkin sengaja lupa) bahawa para sahabat Rasulullah S.A.W. dan para alim ulama adalah lebih memahami dan mengetahui dalam segala urusan agama Islam ini.

Firman Allah Taala bermaksud:
Maka hendaklah kamu bertanya ahli zikir seandainya kamu tidak mengetahuinya.
(Surah al-Nahl: ayat 43).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sebaik-baik manusia kurun aku kemudian orang orang yang mengikutnya kemudian orang-orang yang mengikutnya…
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sahabat-sahabat aku seperti bintang. Sesiapa sahaja dari kalangan mereka yang kamu turuti kamu mendapat hidayah.
(Riwayat al-Darqutni, al-Baihaqi, al-Hakim dan ramai lagi).

Sabda Rasullah S.A.W. bermaksud:
Ke atas kamu sunnahku dan sunnah Khulafa al-Rasyidin…
(Riwayat Adu Daud dan al-Tarmizi).

Sabda Rasullah S.A.W. bermaksud:
Turutilah orang-orang selepasku Abu Bakar dan Umar.
(Riwayat al-Tarmizi dan Ahmad).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan Abu Daud).

Sepatutnya persoalan yang tidak membawa sebarang kesan kepada tertolaknya akidah dan syariah Islam tidaklah boleh dikatakan sebagai bidaah lagi sesat terhadap sekiranya seseorang itu ingin mengamalkannya. Antara masalah yang cuba diketengahkan di dalam masyarakat Islam khususnya di Malaysia adalah seperti kenduri tahlil, bacaan al-Quran kepada mayat, bilangan rakaat solat tarawih, bacaan surah Yasin pada malam Jumaat, talkin, berzikir dengan biji tasbih, berzikir beramai-ramai, sambutan maulid nabi, tawasul, tarikat dan banyak lagi.

Permasalah seperti inilah yang cuba diketengahkan dengan berdalilkan hadis ‘setiap bidaah adalah sesat’ tanpa melihat dahulu kepada ulasan para ulama muktabar terlebih dahulu. Jika amalan-amalan seperti itu adalah bidaah yang menyesatkan maka sudah pastilah majoriti ulama-ulama akan bangun untuk menjelaskan dan menolak segala amalan-amalan itu kerana mereka (ulama-ulama) tidak akan bersepakat atau berdiam diri dengan kesalahan dan kesesatan yang dilakukan oleh umat Islam. Namun perlulah diingatkan janganlah sampai beriktikad bahawa amalan-amalan seperti ini adalah mesti atau wajib dibuat oleh umat Islam dalam apa jua keadaan sekalipun. Juga janganlah sampai terdapat unsur-unsur yang menyalahi syarak ketika membuat segala amalan ini yang mana boleh menjadi illah kepada pengaharaman sesuatu amalan itu.

Kemungkinan besar golongan ini perlu mendalami ilmu usul al-fiqh terlebih dahulu sebelum mengatakan sesuatu amalan itu bidaah ataupun tidak. Saya tidaklah bercadang untuk memperincikan tulisan ini dengan perbahasan usul al-fiqh pula. Contohilah akhlak para ulama muktabar kita yang sentiasa berlapang dada di dalam masalah-masalah khilafiyah seperti ini kerana khilaf di kalangan ulama adalah rahmat bagi umat Islam. Janganlah mudah untuk kita mengatakan seseorang itu ahli bidaah atau sesat tanpa ada penelitian yang sepatutnya.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Mana-mana orang yang berkata kepada saudaranya wahai kafir sesunggungnya dia terkena satu darinya kecuali engkau kembali ke atasnya.
(Riwayat muslim).

PENUTUP

Setelah meneliti segala hujah di dalam perbincangan ini maka bolehlah kita katakan bahawa janganlah terlalu mudah untuk membidaahkan amalan orang lain sebelum meneliti dahulu kata-kata para ulama. Adapun amalan-amalan yang biasa dilakukan oleh masyarakat Islam di Malaysia seperti kenduri tahlil, berzikir ramai secara nyaring dan pelbagai lagi amalan bukanlah tergolong di dalam maksud bidaah yang dimaksudkan oleh al-Hadis. Saya ingin menasihati agar golongan yang begitu mudah membidaah amalan-amalan orang lain ini (walaupun sekadar amalan-amalan seperti kenduri tahlil dll) supaya kembali ke pangkal jalan dengan mendalami ilmu agama secara ikhlas. Semoga kita semua berada di bawah lindungan Allah Taala setiap masa dalam menghadapi situasi ini.

(PETIKAN DARI LAMAN: http://buluh.iluvislam.com)

Jumaat, 10 Oktober 2008

KHUTBAH JUMAAT 10 SYAWAL 2008

(DI BACA DI SURAU AL-IKHLAS (SURAU JUMAAT) BANDAR SG BUAYA)

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Setiap kali tibanya bulan Syawal maka ia mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti Peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah diikuti dengan Peperangan Ahzab atau Khandak yang berlaku pada bulan Syawal berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah. Bulan Syawal juga menyaksikan bagaimana berlakunya Peperangan Hunain pada tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Peperangan besar ini menyedarkan kita bagaimana api permusuhan kuffar terhadap Islam tidak mengenal tempat dan masa. Jika Rasulullah s.a.w bersama para pejuang Islam terpaksa berdepan dengan musuh yang nyata pada bulan Syawal sedangkan kita pada hari ini ramai yang kecundang dengan nafsu syahwat dan syaitan pada bulan Syawal setelah berpenat lelah mengawal nafsu sepanjang Ramadhan lalu. Kata pepatah arab berkenaan hakikat hari raya yang sepatutnya kita sambut iaitu :

لَيْسَ العِيْد لِمَنْ لَبِسَ الجَدِيْد َوَلَكِنَّ العِيْد ِلمَنْ تَقْوَاهُ يَزِيْدُ

Maksudnya : Bukanlah hari raya itu bagi mereka yang sekadar memakai pakaian baru sebaliknya hari raya yang sebenarnya ialah bagi mereka yang taqwanya bertambah.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam surah al-Ghafir ayat 23 - 24

Dan Demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Nabi Musa membawa ayat-ayat Kami dan Bukti (mukjizat) Yang jelas nyata kepada Firaun dan Haman serta Qarun; maka mereka (menuduhnya dengan) berkata: "Ia seorang ahli sihir, lagi pendusta!"

Umat yang terbaik di sisi Allah ialah umat yang menjalankan amanah Allah dalam kehidupan seharian ketika senang dan susah, kaya dan papa, tua dan muda. Perjuangan dalam meninggikan syiar Islam di muka bumi ini tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran. Segala rintangan dan cabaran ini tidak boleh dianggap sebagai batu penghalang yang membantutkan perjuangan sebaliknya ia mestilah dianggap sebagai penambah kepada semangat juang yang sedia ada. Semakin kuat cabaran maka semakin tinggi semangat juang sehingga akhirnya kebenaran pasti mendapat kemenangan manakala kebatilan pasti dapat dikalahkan. Tidak mudah untuk menang tetapi bukan susah untuk kalah.

Contohnya ketika kita merenung perjuangan nabi Musa a.s yang terpaksa berdepan dengan tiga jenis manusia yang berbeza dari segi pangkat, tugas dan peranan tetapi matlamatnya sama iaitu memastikan umat manusia terus menyembah sesama manusia serta kufur kepada Allah. Manusia pertama bernama Firaun yang berjawatan sebagai raja pemerintah yang menjadikan kuasa sebagai hak milik mutlak bukannya menjadikan kuasa itu sebagai suatu amanah daripada Allah sehingga dia sanggup melawan Allah tanpa rasa takut dan bersalah. Firaun telah lama mati lemas dengan penuh kehinaan tetapi pemimpin-pemimpin yang bersikap sepertinya terus ada setiap zaman dan tempat. Pemimpin jenis ini tidak pernah takut untuk mempersendakan Islam dan mengenepikan agama dalam politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Akhirnya pemimpin jenis ini menjadikan dirinya sebagai penguasa yang tidak boleh disanggah sehingga yang kuat dan kaya sentiasa menang manakala yang lemah dan miskin menjadi mangsa kezaliman yang sentiasa kalah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Manusia jenis kedua bernama Haman yang berperanan sebagai menteri atau pegawai yang berusaha siang dan malam dalam memastikan rakyat jelata sentiasa tunduk kepada pemimpin yang sesat dan zalim secara membabi buta. Haman juga telah mati tetapi menteri dan pegawai yang bersikap sebagaimana Haman terus muncul sehingga rakyat terus keliru hasil kepetahan bicara manusia jenis ini yang bijak menutup kesesatan dan kezaliman pemimpin. Apa yang lebih malang apabila ada yang faham agama tetapi sanggup menjual agama demi dunia sehingga timbulnya pendapat bahawa dalam mendidik manusia hanya perlu kepada amar makruf sahaja tanpa perlu kepada nahi mungkar kerana bila telah banyak program kebaikan maka manusia akan jadi baik dengan sendiri tanpa perlu kepada pencegahan sedangkan bila kita lihat dalam negara lebih banyak program yang merosakkan berbanding program mendidik sehingga meningkatnya jenayah, pecah amanah dan sebagainya.

Jika rakyat terus terpesona dengan tipuan ini maka rosaklah kita. Bila rakyat hanyut dengan hiburan maka negara dijajah dengan kejahatan, bila rakyat boleh dijual beli maka sistem negara terus rosak binasa. Ingatlah suatu pesanan Rasulullah s.a.w

Maksudnya : Tiada seorang nabi pun yang Allah utus kepada umat sebelum aku melainkan terdapat pada umatnya itu penolong dan para sahabat yang melaksanakan sunnahnya dan mengikut perintahnya. Setelah generasi mereka, datanglah generasi yang hanya pandai bercakap apa yang tidak dibuat. Mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak pernah diperintahkan kepada mereka. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan tangannya maka dia seorang yang beriman. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan lidahnya maka dia seorang yang beriman. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan hatinya maka dia juga seorang yang beriman. Tiada lagi keimanan selepas itu walaupun sebesar sawi.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Manusia jenis ketiga pula bernama Qarun yang merupakan hartawan yang sanggup membantu pemimpin dan menteri melalui harta kekayaannya dengan syarat dia mendapat balasan yang berganda hasil pelaburannya dalam menyesatkan rakyat dan menutup kesalahan pemimpin. Qarun juga telah lama mati ditelan bumi bersama harta kekayaannya tetapi hartawan yang bersikap sebagaimana Qarun terus wujud di mana-mana. Bahayanya hartawan jenis ini ialah dia mampu mengawal sistem pemerintahan, perundangan, ekonomi, sosial dalam sesebuah negara kerana berjaya membeli negara dengan harta kekayaannya. Jadi tidak pelik apabila wujudnya negara yang dikawal oleh tauke dadah, tauke judi, tauke arak, penyamun, perompak,kongsi gelap dan sebagainya..

Benar kata cerdik pandai : Bila wang bercakap maka perundangan akan senyap.

Menyedari perkara ini maka kita sebagai rakyat yang bermaruah mestilah memastikan bahawa pemimpin, menteri, pegawai dan hartawan yang berada di atas kita daripada golongan yang bertaqwa dan bertanggungjawab bukannya yang hanya pandai menyeru rakyat supaya berjimat cermat tetapi dia hidup dalam mahligai indah, melancong dengan kapal terbang mewah, membina kekayaan untuk diri sendiri, anak isteri, menantu, cucu cicit, kroni tanpa memikirkan keperitan, kesengsaraan orang bawahan yang terhimpit dengan peningkatan kos saraan hidup.

Orang-orang atas hanya sibuk dengan perebutan jawatan dan kuasa sehingga lupa memikirkan masalah negara yang semakin porak peranda, masalah jenayah yang semakin ketara, kerosakan akhlak golongan muda mudi, kehancuran ummah dengan hiburan yang keterlaluan dan masalah Islam yang semakin dipertikaikan dan dipermainkan.

Jangan gadaikan maruah diri dan negara kerana sedikit habuan wang, baja, saham sedangkan kita semakin dibebankan dengan masalah keruntuhan aqidah, peningkatan jenayah rogol dan bunuh serta kegawatan akhlak dikalangan masyarakat, juga kenaikan harga barang yang tidak terkawal. Jangan jadi manusia setaraf binatang yang boleh di jual beli dengan wang. Untungnya sedikit ruginya banyak, senangnya sebentar deritanya lama.

Lahirlah kita sebagai rakyat yang sentiasa peka dengan keadaan semasa yang semakin parah dan berusaha untuk menyelesaikan dengan kemampuan yang kita ada disamping banyakkan berdoa dan bermunajat kepada Allah agar memastikan perpaduan Islam sentiasa kukuh atas landasan al-Quran dan Sunnah yang sebenar dan sistem pemerintahan dalam negara kembali bersih daripada rasuah, pecah amanah dan unsur-unsur khianat yang lain. Bukan daripada golongan orang yang beriman, sesiapa yang tidak menghiraukan keadaan umat Islam lain yang menderita dan ditindas.

Firman Allah dalam surah an-Nur ayat 51

Maksudnya : Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah S.W.T dan sunnah Rasulullah agar mereka berhukum dengannya di kalangan mereka lalu mereka berkata : “ Kami dengar dan kami patuh”. Dan mereka itulah golongan yang beroleh kejayaan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

ustaz muhamad naim hashim
10/10/2008=10 syawal 1429.

Isnin, 6 Oktober 2008

TAZKIRAH SYAWAL

Rebut pahala di hari raya

Maksud firman Allah: "Kamu semua wahai orang mu'min diminta menyempurnakan bilangan puasa sebulan dan kamu juga diminta bertakbir kepada Allah (berhari raya) kerana Allah beri kepada kamu hidayat." (al-Baqarah: 185) Iklan

Setelah kita berpuasa, bertarawih, berqiamullail, bersedekah, berzikir sepanjang Ramadan, Allah menyuruh kita bertakbir dalam berhari raya.

Takbir ialah sebutan Allahu Akbar. Allahu Akbar maknanya kita kata dengan lidah sendiri bahawa "Allah yang terbesar".

Manakala yang lainnya ialah yang paling kecil yang mesti dipinggirkan bila bertembung dengan kehendak Allah. Betulkah pengakuan Allahu Akbar yang selalu kita sebutkan dalam azan, sembahyang dan laungan tertentu bahawa Allah itu Maha Besar, Maha Agung atau hanya kita sebutkannya dengan lidah sebagai satu tradisi saja?

Hari Raya bukan tradisi ciptaan orang Melayu, bukan juga tradisi ciptaan orang Arab. Ia adalah kehendak agama. Islam minta kita bersukaria, yang kita panggil berhari raya.

Anak kecil, orang tua, orang sakit dan juga orang sihat, semuanya berasa seronok bila disebut hari raya. Kita kena faham, berhari raya itu sendiri adalah ibadah dan boleh pahala.

Pada hari raya kita tak dibenarkan berpuasa sekalipun puasa itu sendiri adalah ibadat. Tapi dalam persoalan ibadat, kita tak boleh buat pandai-pandai.

Bila Allah Taala minta kita mengerjakan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya mengikut rukunnya.

Begitu juga dalam kita berhari raya, tak boleh kita buat ikut pandai sendiri. Kita berseronok dalam lingkungan yang dikehendaki Allah.

Tak boleh dengan sebab kita berhari raya, maka kita meneguk minuman yang memabukkan kerana berseronok misalnya.

Tak boleh berjudi, tak boleh pergi ke tempat yang bercanggah dengan konsep hari raya menurut Islam.

Dalam berhari raya, memang menjadi satu fitrah manusia suka berseronok, tapi mestilah mengikut peraturannya.

Sebab itu, dalam jadual hari raya, kita diminta mandi dengan niat mandi sunat hari raya sebelum pergi ke masjid. Kalau kita mandi biasa, tubuh kita saja yang suci.

Tapi bila kita niat bahawa mandi itu adalah mandi hari raya, bukan tubuh kita saja yang bersih dan berbau sedap bahkan kita dapat pahala.

Sesetengah orang tak berapa minat sangat nak cari pahala. Apa yang dia minat ialah nak cari duit, nak cari harta. Kepada orang-orang sebegini, dia kena faham bahawa pahala adalah duit, 'mata wang' yang sangat berguna bila kita masuk ke dalam kubur.

Bila kita masuk ke dalam kubur, kita tidak mati seratus peratus, yang mati hanya tubuh. Dalam jisim kita ada roh.

"Dialah Tuhan yang telah meniup masuk ke dalam tubuh manusia rohnya". (maksud as-Sajdah: 9)

Allah Taala tiupkan masuk ke dalam tubuh manusia roh. Walaupun semua benda lain datang daripada Allah belaka, tapi oleh kerana roh ni benda mulia, maka Allah sandarkan roh kepada Dia sendiri.

Jadi, sebagaimana Allah tak mati-mati, kekal abadi, maka roh juga tak mati. Yang mati hanyalah tubuh.

Sebagaimana tubuh atas dunia ni berkehendak kepada makan minum, maka roh juga berkehendak kepada makan minum. Untuk makan minum di dunia ini kita terpaksa guna duit untuk beli beras, petrol, bayar sewa rumah.

Tapi duit tidak laku lagi bila saja kita masuk ke dalam kubur. Duit Amerika tak laku. Mas jongkong pun tak laku. Yang lakunya ialah pahala.

Jadi, bila ada orang bercakap mengenai pahala, pahala, pahala, jangan buat main. Satu daripada cara kita mendapat pahala ialah selain daripada puasa, bertadarus, bertarawih ialah kita berhari raya. Di hari raya kita diminta khusus memakai pakaian cantik.

Seboleh-bolehnya pakaian yang belum dipakai lagi. Kalau pakaian sudah dipakai pun tak apa asalkan bersih.

Kita dapat pahala. Dan kita bawa anak-anak ke masjid, ke surau atau ke musalla. Saya sudah berusaha bertahun-tahun nak mengerjakan sembahyang hari raya bukan di masjid.

Kalau boleh, di padang yang luas seperti padang bola. Tapi dengan sebab iklim negeri Kelantan ini, kalau tak ada hujan pun ada air embun menyebabkan tak boleh dibuat di padang. Sepatutnya kita mengerjakan sembahyang hari raya di tempat yang luas, lapang.

Tapi ada halangan iklim. Sembahyang raya baik Aidilfitri ada bacaannya sepertimana dibaca Rasulullah s.a.w.

Sembahyang Hari Raya Korban pun ada bacaannya. Dalam sembahyang Aidilfitri, Rasulullah membaca surah Qaaf dalam rakaat pertama dan surah al-Qamar dalam rakaat kedua.

Kedua-dua surah ini menyentuh tentang kiamat. Kita dalam keadaan seronok, maka nabi kita baca tentang kiamat. Segala nikmat dunia ini akan disoal dan akan dikenakan pembalasan.

Siapa yang hidup di dunia ini kena dengan kehendak al-Quran akan masuk syurga. Tak kena dengan kehendak al-Quran, baik masalah politik, rumah tangga dan sebagainya akan masuk neraka.

Jadi, kedua-dua surah ini akan jadi sebagai brek supaya kita tidak terlajak sangat dengan semangat bersukaria dan gelak ketawa pada Hari Raya kerana di depan kita ada pembalasan.

Di kiri kanan kita ada malaikat yang menulis. Allah pula Maha Tahu semua sekali. Begitu juga bacaan sembahyang raya korban juga menceritakan tentang urusan kiamat, kiamat, kiamat. Itu akan menyebabkan manusia hidup penuh berhati-hati.

"Kamu diminta bertakbir di hari raya kerana Allah berikan kepada kamu hidayat." Hidayat ialah Quran. Al-Quran adalah hidayat.

"Sebagai petunjuk untuk manusia seluruhnya". Saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua rakyat Kelantan dan Malaysia tak kira Melayu, Cina, India dan sebagainya. Dan tolong berhati-hati kerana anak-anak kecil suka bermain mercun menyebabkan ada yang putus jari, buta dan melecur. Ini bukan cara orang Islam menyambut raya.

Begitu juga masalah jalan raya. Sekarang zaman orang nak cepat. Naik motokar dan motosikal nak cepat, yang menyebabkan banyak berlaku kemalangan maut.

Maka tolonglah jaga supaya hari raya tahun ini benar-benar menenangkan hati dan tidak menimbulkan masalah dalam masyarakat khasnya keluarga kita sendiri. Mudah-mudahan kita dianugerahkan oleh Allah kesejahteraan dunia dan akhirat.

Allaahu Akbar! Walillaahil Hamd.- mr_

Tulisan: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat